BERITA HARIAN SG, 5 Jul 2010
Bagi setiap kritikan, ada 20 lagi yang menyokong
SETERIK mentari atau mungkin semendung awan di langit. Bagaikan cuaca, begitu jugalah yang dapat saya nyatakan tentang seorang lagi Idola Singapura ini.
Walaupun sudah dinobatkan sebagai juara, namun masih ada lagi segelintir orang yang meragukan kejuaraannya dan masih mengatakan beliau belum cukup 'ooomph' untuk menjadi seorang Idola Singapura.
Namun, Sezairi Sezali, 23 tahun, akur itulah lumrah dunia anak seni yang perlu dihadapi dengan tenang.
Walaupun sibuk menjalani perkhidmatan negara (NS), minat menyanyi yang sudah tercetus sejak kecil lagi mendorongnya untuk menyulam mimpi menjadi kenyataan.
Baru-baru ini, satu sesi untuk media mendengar lagu-lagu yang dimuatkan dalam album sulung Sezairi, Take Two telah berlangsung di Hotel Pan Pacific. Di situlah, saya bertemu dengannya.
TIADA LAYANAN ISTIMEWA DARIPADA TEMAN-TEMAN NS
Sejurus bergelar Idola Singapura, Sezairi perlu berkhidmat kepada negara. NS merupakan satu lagi tempoh peralihan bagi remaja lelaki. Sezairi tamat tempoh NS-nya pada 2012 nanti.
Apakah beliau mendapat layanan istimewa kerana masuk sahaja NS, beliau telah dikenali ramai sebagai seorang idola?
'Di kem semua sama sahaja! Kita sama-sama botak... lama-lama, kulit jadi gelap sebab terik mentari.
'Justeru itu, saya tidak dapat sebarang layanan yang lain daripada lain. Dan saya pun tidak mahu dilayan secara berlainan hanya kerana saya seorang Idola Singapura. Lagi pun, gelaran itu tidak bermakna saya tidak boleh buat apa yang anggota NS lain perlu lakukan. Saya juga ingin nikmati zaman NS, susah senangnya sebagaimana orang lain,' jelasnya.
Memang ada yang akan berseloroh, menyatakan mereka seakan melihat Idola Singapura berada di atas bukit!
'Geli hati juga apabila sesetengah teman NS saya begitu 'menghormati' saya dan minta teman-teman lain memberi laluan kepada saya!' tambahnya lagi.
ALBUM YANG DITUNGGU
Walaupun sibuk dengan NS, Sezairi tetap mempunyai masa untuk membuat album. Bahkan, menurutnya, sebahagian besar waktunya dihabiskan untuk memerah otak bagi menggubah dan menyiapkan albumnya di studio.
'Album ini terhasil daripada pengaruh muzik saya ketika meningkat usia remaja. Saya juga menerapkan muzik yang ayah saya dengar seperti dendangan Smokey Robinson dan Tracy Chapman. Lagu-lagu seperti Heart of The Matter dari Don Henley dan juga Better Be Home Soon dari Crowded Houses juga ada dimuatkan.
'Ia telah diberi nafas baru yang lebih segar,' ujarnya mengenai album barunya itu.
Nikmat merakam album sendiri begitu dirasakan Sezairi. Apabila sebuah lagu mampu diilhamkan dan kemudian tamat rakaman, itulah kepuasan baginya.
'Sejak dari dulu lagi, saya memang suka menulis lagu dan kawan-kawan saya juga mengharapkan apa yang dulunya saya karang dimasukkan dalam album sulung saya tetapi kita memilih untuk memulakan segalanya bertahap-tahap.
'Inilah kelahiran semula Sezairi. Saya menerapkan unsur-unsur baru dalam penciptaan lagu saya. Saya memperbaiki mutu gubahannya,' katanya lagi.
Take Two turut memuatkan sebuah lagu bahasa Melayu yang dikarang pemenang Projek Rentak tahun lalu, The Lion Story. Namanya ialah Matahari.
'Pertama kali mendengar lagu itu, saya terus jatuh cinta. The Lion Story pun belum lagi menggunakan lagu ini. Tambahan pula, mereka kata mereka berbesar hati jika saya menggunakan hasil ciptaan mereka dalam album saya.
'Saya rasa bernasib baik sebagai seorang pendatang baru, saya dapat bekerjasama dengan orangorang berbakat dan juga pencipta lain. Boleh juga saya pelajari cara bagaimana untuk menghasilkan sesebuah lagu yang menarik perhatian,' tambahnya.
Seperkara lagi, album ini turut memuatkan lagu duet Sezairi dan pesaingnya dalam peringkat akhir Singapore Idol, Sylvia Ratonel. A Woman and A Man merupakan nama lagu yang mewujudkan kesan semberani. Ternyata, mereka juga adalah pasangan duet yang serasi.
Penyokong Sylvia pastinya cukup terkejut dengan usaha label rakaman mengemukakan kededuanya dalam lagu duet. Iyalah. Sesetengah penyokong Sylvia tidak putus-putus mempersoal kemenangan Sezairi yang disangka tidak layak bergelar idola.
LAYAKKAH SEZAIRI?
Kata Sezairi: 'Bagi setiap orang yang katakan saya tidak layak, ada lagi 20 orang yang katakan saya tidak begitu teruk sangat. Kata-kata mereka tidak menjejas semangat saya. Jika kritikan itu merupakan suatu perkara yang boleh saya jadikan iktibar, saya akan ambil. Jika tidak, saya tak rasa ia menjejas mutu persembahan atau semangat saya.'
Kembali pada Take Two, apakah lagu yang dijangka digemari ramai? Pilihan saya, Would She Know? Rentaknya yang agak rancak membuat saya seakan-akan menari bersama.
Secara keseluruhan, jika anda mendengar suara Sezairi sahaja tanpa melihat wajahnya, anda pasti tidak akan terfikir ia adalah nyanyian seorang anak Melayu kerana telonya kedengaran seperti orang Eropah. Selebihnya, saya akan katakan inilah anak Melayu berbakat dengan penguasaan bahasa Inggeris yang baik lagi bertenaga.
TRIVIA
Berdasarkan lagu popular Sezairi, 'Broken', tiga soalan ini diajukan.
Pernahkah anda pecahkan pasu emak?
Oh ya! Ha... ha...! Pernah! Sewaktu saya kecil-kecil dahulu. Saya memang cemerkap. Saya selalu jalan ke stor dan ibu saya tahu kalau saya jalan, saya akan pecahkan barang-barang! Saya pecahkan lebih daripada satu pasu! Ibu saya kool dan tidak suka buat bising. Jadi, beliau tidak marah sangat. Kasihan jugalah dia perlu beli yang baru!
Pernah patah hati atau budak-budak sekarang kata jiwa retak?
Iya, pernah. Ia adalah pengalaman yang baik sebab bagi saya, sesiapa yang pernah melaluinya, pasti melihat kehidupan ini dengan pandangan yang berbeza. Apabila saya patah hati, saya akan karang sebuah lagu.
Kalau ada orang pecahkan atau curi sesuatu yang anda sayangi, bagaimana?
Saya tidak begitu kisah dan percayakan karma. Bagi saya, Tuhan itu sentiasa adil.