Wednesday, 7 April 2010

CABARAN REALITI SOSIAL

BERITA HARIAN SG, 22 MAC 2010

Idea tiga serangkai
Pelajar Sosiologi berbilang kaum kemuka saranan hurai masalah program mentor

ISU-ISU seperti kahwin muda, seks luar nikah dan lemah dalam matematik sering dikaitkan dengan orang Melayu kita.

Kalau dua minggu lalu, kita telah mengenali dua kumpulan finalis pertandingan Cabaran Realiti Sosial atau Socialive! Challenge yang sampai ke kemuncaknya Sabtu ini, kini tiba masanya kita mengenali pasukan dengan anggota berbilang kaum, PB3, pula.

Cabaran Realiti Sosial ini anjuran Lembaga Biasiswa Kenangan Maulud (LBKM) dengan kerjasama Berita Harian.

Ia merupakan satu peraduan penghasilan dan pembentangan kertas kerja yang membincangkan huraian isu-isu sosial masyarakat Melayu/Islam secara terperinci.

Peraduan berkumpulan yang dibuka kepada mahasiswa dan pelajar possiswazah di dalam dan luar negara ini menawarkan hadiah wang tunai $3,000.

Setiap pasukan seramai tiga orang perlu membentangkan masalah yang menjadi keprihatinan, sejarah dan faktor yang mencetus pergolakan isu itu, kesan dasar-dasar terhadap masalah tersebut serta saranan yang dirasakan berkesan dalam mengatasi masalah meruncing itu.

Lima pasukan akan bersaing membentangkan kajian dan hasil penemuan mereka di Teatret Singapore Post, antara 8.30 pagi dengan 1 petang, Sabtu ini.

Apabila diwawancara, PB3 menjelaskan nama kumpulan mereka adalah akronim bagi Pasukan Bertindak (PB), manakala nombornya pula melambangkan bilangan anggota dalam kumpulan itu.

PB3 disertai tiga anak muda dan mereka ialah Allan Lee, Christopher Navarajan SelvaRaj dan Fadzli Baharom Adzahar. Kesemua jejaka itu berusia 25 tahun dan merupakan mahasiswa Universiti Nasional Singapura (NUS). Mereka juga calon bagi Program Sarjana Jabatan Sosiologi NUS.

Berikut adalah temu ramah saya bersama mereka.

Soalan (S): Apakah isu yang anda ketengahkan?

Fadzli Baharom (F): Ramai berpendapat bagi membolehkan masyarakat Melayu meningkatkan kelakonan dalam pelajaran, perlu ada semacam perubahan minda. Namun, apakah yang dimaksudkan dengan perubahan minda ini? Kajian kami memberi tumpuan terhadap aspirasi pendidikan golongan belia Melayu.

S: Mungkin ada sebab-sebab tertentu yang membuat anda memilih isu tersebut?

F: Topik ini merupakan kajian lanjutan daripada tesis tahun kepujian saya yang mendapati sebilangan rakan mentor dalam kalangan belia (kumpulan kajian) tidak mendorong teman-teman yang dibimbingnya agar berjaya dalam bidang pelajaran. Bagi mereka, cemerlang dalam pelajaran tidak membawa apa-apa manfaat. Oleh itu, dengan menyertai pertandingan ini, saya dapat berkongsi dapatan tersebut.

S: Apa pula agaknya kesukaran atau cabaran yang dihadapi?

Christopher (C): Oleh kerana kami dilatih dalam Sosiologi, kami memberi fokus terhadap soalan yang berbentuk 'bagaimana' dan 'mengapa'. Pertandingan ini secara tidak langsung mendorong kami mengaplikasikan pengetahuan berbentuk akademik sekali gus melatih diri untuk menghuraikan masalah dalam kehidupan sebenar.

S: Kumpulan anda unik kerana mempunyai pelbagai 'perisa' atau lebih tepat lagi berlainan bangsa. Adakah anda mempunyai sebab tertentu dalam pemilihan anggota kumpulan anda?

F: Sudah tentu. Komposisi kumpulan dapat memberi maklum balas, sumbangan dan perspektif masing-masing dalam membantu masyarakat Melayu mengatasi masalah yang dihadapi.

Allan (A): Oleh kerana keakraban kami, saya rasa ia menjadikan pengalaman bekerjasama ini lebih menarik. Fadzli mempelawa kami menyertainya. Sebelum pertandingan ini juga kami pernah berbincang mengenai masalah-masalah ini secara bersembang santai dan merasakan bahawa kami mempunyai peranan bersama dalam meningkatkan keprihatinan tentang isu pembelajaran ini. Bahkan, sebagai ahli sosiologi, kami akur bahawa kaum itu hanyalah penanda identiti. Ia jelas dalam cara kami mengenal pasti satu sama lain bukan sebagai anggota berbilang kaum bahkan sebagai rakan dalam bidang sosiologi.

S: Tentu sekali dalam pencarian anda, ada perkara yang anda dapat jelaskan menjadi asam garam kehidupan.

A: Setelah menjalani proses ini, saya sedar bahawa masalah yang dihadapi masyarakat Melayu bukanlah sesuatu yang unik ataupun hanya terjadi pada masyarakat itu sahaja. Bahkan, ia turut berlaku dalam masyarakat Cina dan India.

C: Bagi saya pula, masalah sosial yang dihadapi masyarakat Melayu ini jarang sekali merupakan masalah mudah. Ia adalah hasil percampuran kompleks faktor-faktor sejarah dan sosiologi. Justeru, kami belajar untuk tidak meletakkan jangkaan tinggi dalam mengemukakan huraian yang gah sebab ia mungkin tidak mudah dilaksanakan. Sebaliknya, kami pelajari bahawa huraian terbaik untuk melaksanakan perubahan datang daripada usaha inovatif yang sederhana skalanya yang mampu mencetus perubahan secara asas.


CABARAN REALITI SOSIAL

Anda dipersilakan hadir ke acara

PERINGKAT AKHIR CABARAN REALITI SOSIAL

Tarikh: Sabtu, 27 Mac 2010.

Tempat: Teatret Singapore Post.

Masa: 8.30 pagi hingga 1 petang.

No comments: