Saturday, 15 May 2010

Duta Budi ke S'pura ajak anak anda menari

BERITA HARIAN SG, 10 MEI 2010

PEMINAT mereka bukan calang- calang. Gwyneth Paltrow, John Travolta, Johnny Depp dan Sarah Jessica Parker 'gilakan' The Wiggles.

Pada 5 dan 6 Jun ini, cuti sekolah anak-anak anda akan lebih bermakna kerana The Wiggles akan 'mendarat' di Stadium Tertutup Singapura untuk menghiburkan anak-anak di peringkat usia prasekolah.

The Wiggles, kumpulan dari Sydney, Australia, yang mengeluarkan album pertama mereka pada 1991 terdiri daripada Anthony Field (Blue Wiggle), Murray Cook (Red Wiggle), Jeff Fatt (Purple Wiggle) dan Sam Moran (Yellow Wiggle).

Sebelum terlibat dalam The Wiggles, Anthony dan Jeff mempunyai kumpulan rok mereka sendiri yang dinamakan The Cockroaches! Tercetus kemudian idea mengajar kanak-kanak prasekolah tetapi dengan cara yang lebih berbeza iaitu dengan menyanyi.

Baru-baru ini, saya sempat menemu ramah salah seorang anggota tertua The Wiggles, Jeff, 56 tahun, melalui panggilan jauh.

Menurut Jeff, beliau berbesar hati kerana berpeluang bertemu dengan peminat-peminat ciliknya dari Singapura.

'Kanak-kanak pasti terhibur dengan aksi kami kerana mereka sukakan watak-watak yang ada dan juga lagu-lagu kami. Persembahan kami juga tidak akan henti-henti mencuit hati penonton dengan lagak masing-masing. Kami akan gempakkan stadium itu nanti umpama sarkas!

'Saya dan Anthony akan melakukan akrobatik, manakala Murray akan mengimbangi barangan dan Sam pula akan memetik gitar. Watak-watak seperti Wags the Dog dan Henry the Octopus akan turut sama menggeletek hati anda dengan telatah mereka,' katanya.

Bercakap tentang lagu wajib mereka sewaktu persembahan nanti, Jeff menyatakan mereka akan mendendangkan lagu-lagu hit mereka seperti Hot Potato, Fruit Salad dan banyak lagi yang akan membuat kaki dan badan anda terasa mahu bangkit menari.

The Wiggles telah pun banyak membuat persembahan di serata dunia dari England ke Amerika, Dubai, Jepun dan inilah julung-julung kali mereka ke Singapura.

Apabila ditanyakan mengenai kesukaran yang beliau hadapi sewaktu membuat persembahan, Jeff berkata:

'Kami perlu menjadikan hiburan kami lebih baik dari masa ke masa. Kami juga akan meletakkan warna-warna yang lebih ceria agar kanak-kanak akan lebih tertarik pada kami.

'Tumpuan kanak-kanak biasanya kurang. Jadi, kami perlu pandai menarik perhatian mereka dan itu merupakan cabaran bagi kami.'

Apa lagi yang ada perlu tahu tentang The Wiggles?

  • 30 Juta DVD dan CD terjual di serata dunia.
  • The Wiggles ditonton 147 negara.
  • Mereka ditabal sebagai Duta Budi, Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unicef) 2008.
  • Mereka pernah berganding bahu dengan artis-artis popular seperti Kylie Minogue dan Leo Sayer.
  • NOTA: Tiket-tiket boleh didapati di kaunter atau laman Sistic dengan harga $78, $68 dan $58. Harga tidak termasuk bayaran tempahan sebanyak $3.


    KUIZ

    Ingin menangi hamper The Wiggles, yang setiap satu mengandungi empat tiket $68 untuk menonton konsert The Wiggles, miniatur, cawan, boneka dan koleksi DVD kumpulan ini (tajaan Tinsel PR).

    Soalan: Namakan empat anggota kumpulan The Wiggles.

    Kirimkan jawapan anda kepada haryani.ismail@gmail.com selewat-lewatnya Ahad ini. Sertakan nama, alamat, usia, nombor telefon dan pekerjaan anda.

    No comments: