Tuesday, 6 April 2010

Buah hati Aizat

BERITA HARIAN SG, 5 APRIL 2010

Bonda bukan saja teman karaoke bahkan pengkritik 'tajam lidah'

ORANGNYA berkulit hitam manis. Beliau pernah juga mengejutkan peminatnya apabila tubuh badannya susut secara drastik setelah mengeluarkan single-nya.

Walaupun baru dua tahun berkecimpung dalam industri seni suara di Malaysia, namanya kian harum menjadi sebutan pengamat industri.

Beliau yang saya maksudkan adalah Muhammad Aizat Amdan atau lebih dikenali sebagai Aizat.

Anak kelima dalam keluarga enam beradik itu lahir dari sebuah program realiti yang cukup popular di Malaysia, Akademi Fantasia. Meskipun baru, lagu-lagunya tetap menjadi pilihan sebagai santapan halwa telinga.

Antara lagu yang sering didengari di corong-corong radio di sini termasuk Hanya Kau Yang Mampu dan juga Lagu Kita.

Pada 8 Mei ini, anda yang meminati Aizat, 21 tahun, tentunya mampu bersua muka dengannya sebab beliau adalah antara artis yang akan mewarnai sambutan Hari Ibu, anjuran Berita Harian/Berita Minggu.

Ketika dihubungi menerusi panggilan telefon, Aizat ternyata begitu sibuk dengan persiapan program Muzik-Muzik di saluran TV3. Lagu terbarunya, Susun Silang, yang bakal dimuatkan dalam album keduanya juga dijangka 'meletup'.

'Buat masa sekarang, saya menyanyi secara sepenuh masa tetapi ada juga terfikir nak sambung belajar nanti. Insya-Allah, saya akan mendalami bidang muzik tetapi bila masanya, tidak tahu lagilah sebab saya sibuk dengan album kedua,' jelasnya.

Percubaan Pertama, album pertamanya, memang laris. Apa yang dijangkakan untuk album kedua ini?

'Judul albumnya belum diketahui lagi, bahkan masih belum dipilih lagi judulnya. Jumlah lagu yang ada di dalam album ini sepuluh dan sekarang baru 50 peratus siap. Insya-Allah, Mei nanti akan dilancarkan album saya ini,' tambahnya.

Soalan demi soalan terus diajukan. Walaupun sibuk, Aizat tetap menjawab tanpa terkesan nada bosan. Mungkin, itulah sebabnya beliau disenangi ramai.

Rapat dengan keluarga, khususnya ibu


Menceritakan tentang keluarganya, Aizat berkata beliau memang rapat dengan semua anggota keluarganya, khususnya adik-beradiknya dan juga ibunya.

Boleh kenalkan pembaca dengan ibu anda?

'Namanya, Fina Norhizah Baharu Zaman. Umurnya sekarang ini 52 tahun. Saya memanggilnya Umi.

'Bagi Aizat, Umi tak macam jenis emak-emak biasa. Dia sangat kool dan memahami hati anak-anaknya.

'Setiap kali Aizat cakap dengannya, dia tahu apa yang Aizat rasakan dan ingin sampaikan.

'Aizat boleh borak dengan dia macam kawan Aizat. Itulah yang best!' katanya.

Aizat akur syurga itu di bawah telapak kaki ibunya. Lantaran itu, beliau berusaha membahagiakan Umi dengan rezeki yang diraih. Aizat menambah tidak akan senang kalau hati ibunya disakiti.

'Bagi Aizat, kalau Aizat sakiti hati Umi, itu adalah dosa yang paling maksimum. Justeru, janganlah sekali-kali menyakiti hati emak kita, memaki mereka atau memarahi mereka,' katanya lagi.

Umi adalah teman karaoke Aizat, tanpa mengira lagu Melayu atau Inggeris.

'Penguasaan bahasa Inggeris Umi baik sekali. Iyalah... sebelum ini, Umi adalah peguam. Kadangkala, apabila Umi berbual Inggeris, Aizat yang tak faham. Bahasa Inggeris Umi kompleks sekali! Boleh katakan, dia macam kamus!' selorohnya, geli hati.

Pernahkah Aizat buat salah dengan Umi dan apakah reaksi Umi?

Menurut Aizat, ibunya jenis yang akan berterus terang, menjelaskan apa yang salah.

'Kalau Aizat salah, memang dia cakap. Siaplah tu! Itu yang Aizat suka tentang Umi sebab dia akan marah dan cakap terus terang. Aizat tak suka kalau buat salah, lepas tu Umi diamkan dan terlalu baik atau beri peluang.

'Takut-takut kalau terhanyut pula nanti. Umi memang tegas dan selalu berdoa untuk kebaikan anak- anaknya,' cerita Aizat lagi.

Pendek kata, memandangkan ibunya peguam yang tajam lidahnya, si ibu juga pengkritik besar sewaktu Aizat bertanding untuk Akademi Fantasia. Kritikannya, jelas Aizat, pedas.

'Kalau diingat semula, Umi pernah cakap pitch Aizat larilah... suara sumbanglah... tiada interaksi dengan penontonlah dan macam- macam lagi!' katanya yang pernah diundang Datuk Siti Nurhaliza untuk membuat persembahan bersama Datuk Siti dan Faizal Tahir untuk Konsert Satu Suara, Februari lalu di Istana Budaya.

Nota: Majlis Hari Ibu, anjuran Berita Harian/Berita Minggu diadakan di Padang Ballroom, Hotel Fairmont pada 8 Mei ini. Tiket- tiket berharga $65 dan $75 boleh didapati di pejabat Berita Harian, News Centre, 1000 Toa Payoh North atau hubungi 6319-5601/ 6319-5353/ 6319-5137/6319-5497 untuk tempahan.


KENAL-KENAL

Hobi: Melukis, bermain bola

Pasukan bola yang paling digemari: Manchester United

Kalau nakkan sesuatu yang susah diperolehi daripada Umi, Aizat akan...: Urut kepala dan kaki Umi. Beliau juga akan buatkan kerja-kerja rumah tetapi katanya, hatinya tetap perlu ikhlas.

Barangan yang tidak boleh ditinggalkan jika keluar rumah: Telefon bimbit, dompet wang dan jam tangan.

Haiwan kegemaran: Kucing sebab ia manja dan aktif.

Makanan kegemaran: Roti sandwic, ikan sambal Opah, sambal ikan bilis tumbuk Pak Ngah

Idola: Kumpulan The Beatles

Kalau rumah gelap kerana bekalan elektrik terputus, Aizat akan mencari...: Telefon bimbitnya!

Lengkapkan ayat ini 'Ibu bagi saya adalah...': Insan yang perlu kita jaga supaya selamat dunia dan akhirat!

No comments: