SUMBER: http://cyberita.asia1.com.sg/mrencana/story/0,6879,162616,00.html?
Isu: Hidup golongan merempat jadi dorongan hasilkan kertas kerja
JASA kasihan terhadap golongan yang hidup merempat tanpa tempat berteduh mendorong Cik Mastura Manap menghasilkan kertas kerja mengenainya.
Usaha itu pada awalnya hanya untuk kajian akademiknya dan beliau tidak terfikir langsung akan mengongsinya dengan pihak awam, apatah lagi mempertandingkannya untuk peraduan Cabaran Realiti Sosial anjuran Lembaga Biasiswa Kenangan Maulud (LBKM).
Bagaimanapun, pertemuannya dengan salah seorang rakannya, Encik Fadzli Baharom Adzahar, yang mewakili kumpulan PB3 dalam peraduan tersebut, mencetus keinginan untuk mencuba. Mereka minum teh bersama suatu hari dan terbetiklah rancangan untuk ikut serta bertanding.
Maka, terbentuklah kumpulan SMS, yang Cik Mastura, 25 tahun, wakili dengan penyertaan dua lagi temannya, Encik Suen Johan Mohd Zain dan Encik Shawn Tan, kedua-duanya 27 tahun, yang mengikuti kursus Sarjana Sosiologi di Universiti Nasional Singapura (NUS).
Walaupun ketiga-tiganya sibuk dengan tugasan masing-masing, persiapan intensif selama tiga bulan yang dilalui membuahkan hasil dengan SMS muncul juara dalam peraduan yang membawa pulang hadiah $3,000.
'Kami semuanya sibuk sangat. Saya dan Johan menamatkan penggal terakhir dan Shawn pula tinggal dua penggal terakhir. Tambahan pula, kami tinggal berjauhan.
'Perbincangan kami dibuat di rumah Shawn memandangkan beliau tinggal di tengah-tengah - di antara rumah saya dengan rumah Johan. Walaupun kami jarang berbincang, apabila ada kesempatan, kami akan mengambil masa sekitar empat hingga enam jam berbual tanpa henti,' kata Cik Mastura.
Cabaran Realiti Sosial yang diusahakan dengan kerjasama Berita Harian itu merupakan satu peraduan unik membabitkan penghasilan dan pembentangan kertas kerja yang membincangkan huraian isu-isu sosial masyarakat Melayu/Islam secara terperinci.
Peraduan berkumpulan yang dibuka kepada mahasiswa dan pelajar possiswazah di dalam dan luar negara ini memerlukan perwakilan seramai tiga orang.
Mereka perlu membentangkan masalah yang menjadi keprihatinan, sejarah dan faktor yang mencetus pergolakan isu itu, kesan dasar-dasar terhadap masalah tersebut serta saranan yang dirasakan berkesan dalam mengatasi masalah meruncing itu.
Lima pasukan bersaing dalam peringkat akhir pada 27 Mac lalu dan membentangkan kajian dan hasil penemuan mereka di Teatret Singapore Post.
'Kami tidak menganggap mereka yang hidup tanpa tempat berteduh ini Melayu bobrok. Hidup tanpa rumah daripada kajian kami bukan sesuatu yang berakar umbi daripada perkauman. Sebaliknya, ia ada kena-mengena dengan isu kelas yang dilihat sebagai dimensi perkauman kerana perwakilan Melayu yang tidak seimbang atau setara dalam kelas bawahan penduduk Singapura,' katanya.
Melalui kajian ini dan latihan melalui proses demi proses peraduan ini, mereka belajar daripada diri mereka sendiri secara lebih objektif - bagaimana kemiskinan itu terjadi dari segi sejarah, politik dan ekonomi.
'Kami memilih tajuk ini kerana masalah tiada rumah ini jarang diketengahkan. Biasanya, ramai yang rancak berbincang tentang keterlanjuran remaja dan pendidikan. Jadi, kami pilih masalah perumahan ini,' jelasnya.
Banyak faktor yang diperolehi menerusi dapatan mereka seperti budaya kemiskinan, perihal kemasyarakatan, keadaan di mana ibu bapa menjual beli rumah dan masalah luaran seperti ejen rumah yang menipu, yang dirasakan menjadi antara sebab dan punca sesetengah masyarakat Melayu terbiar tanpa tempat tinggal.
'Walau bagaimanapun, kami memberi keutamaan terhadap isu dasar perumahan. Sama ada analisis kami akan berjaya mengubah atau tidak kehidupan itu bergantung pada kuasa politik yang ada.
'Kami sudah membuat kajian dan analisis. Diharapkan apabila hasil kajian ini dibukukan atau diketengahkan kepada pihak-pihak tertentu, akan ada langkahlangkah lanjutan untuk menghurai masalah ini,' tambah Cik Mastura.
No comments:
Post a Comment