BERITA HARIAN SG, 21 Jun 2010
BIARPUN adik kesayangannya telah pergi buat selama-lamanya, juara Anugerah 2009, Sarah Aqilah, tetap tabah dan reda menerima ketentuan-Nya.
Lagu hits-nya, Biar Hati Mencintai, sudah lama bertapak di hati pendengar dan masanya tiba untuk peminat Sarah menikmati lagu-lagu lain daripada album sulungnya.
'Akhirnya, album saya sendiri dengan lagu-lagu saya sendiri!' katanya dengan nada ceria di majlis pelancaran album bertajuk Sarah Aqilah, terbitan Suria Records (SRC) yang berlangsung di Hotel Furama Riverfront baru-baru ini.
Album itu memuatkan 10 lagu, lima daripadanya merupakan versi minus one.
Tatkala mendendangkan Biar Hati Mencintai, Sarah, 26 tahun, berusaha mengawal emosinya. Lagu itu, jelasnya, banyak meninggalkan kesan dalam hidupnya sebab adiknya yang berkobar-kobar menantikan kemunculan lagu itu di corong radio tidak sempat menikmatinya.
Allahyarhamha Shaffadina Jamil, 20 tahun, meninggal dunia selepas diserang sejenis pneumonia yang berpunca daripada kejutan bahan toksik, tujuh hari selepas dimasukkan ke hospital.
Kepiluan itu Sarah benam jauh-jauh dan akhirnya muncul penuh bertenaga, mengusik pengacara, Zan Sofyan, dan peminat-peminatnya termasuk sembilan anggota Kelab Obor, Berita Harian.
TIDAK LAYU DEK KRITIKAN
Baru beberapa bulan lalu, Sarah dikritik tajam oleh anggota KRU, Edry, di dalam program terbitan Najip Ali, PopAgenda. Beliau dikatakan belum bersedia tampil di pentas besar sebagai seorang penghibur.
Adakah Sarah terguris dek komen laser sebegitu?
'Tidak. Kritikan itu sebaliknya membantu Sarah memperbaiki nyanyian dan juga persembahan.
'Apabila Abang Edry katakan begitu, Sarah ambil secara positif komennya dan buktikan Sarah boleh menjadi lebih baik daripada dulu sebab memang prinsip hidup Sarah, kalau orang tu kritik kita, dia nak kita memperbaiki diri.
'Setiap komen negatif yang sampai ke telinga, Sarah ambil secara positif. Tidak sedikit pun berkecil hati,' jawab Sarah dengan wajah tenang dan bibir merahnya menguntum senyum.
ALBUM UNTUK PEMINAT
Masa sembilan bulan diambil Sarah untuk menyiapkan album yang turut dijual di gedung CD seperti Gramaphone dan HMV. Dugaan turut dirasakan kerana pembikinan album itu bertembung juga dengan Ramadan. Jadi, tidak bolehlah meneguk air atau makan apa-apa.
Yang seronoknya bagi beliau ialah album itu mendapat sentuhan komposer, Sharon Paul, yang pernah mencipta lagu Anuar Zain.
Bustamam, jurufoto profesional yang 'mencantikkan' lagi Sarah dalam potret- potret album, pula pernah merakamkan foto Datuk Siti Nurhaliza.
'Pengorbanan tetap ada. Saya perlu kawal pemakanan dan tidak boleh minum air bergas dan makanan berminyak walhal saya dulu memang hantu Coke! Cubalah awak tahan tak makan makanan berminyak selama seminggu. Suara mesti berbeza,' tambahnya memberi tip menjaga suara.
CINTA HATI SARAH
Di dalam membincangkan tentang lagu Jatuh Cinta, ciptaan Pam Yuen dan Mohariz Yaakup, ramai yang ingin tahu sama ada hati Sarah sudah dimiliki?
Beliau tersenyum manja dan tidak mengelak soalan itu.
Sebaliknya, Sarah spontan menjawab mengenai pemuda yang bertakhta di hatinya sejak setahun lalu.
'Ya, saya sudah ada yang punya... dia bukan artis. Dia orang biasa-biasa sahaja. Anak buah pak cik saya.
'Dia pun peminat saya. Orangnya pemalu dan dia dua tahun lebih muda daripada saya. Apabila si pemalu ni mula bersuara dengan kita, tentunya terasa ada keistimewaannya.
'Bagi saya, saya sukakan jejaka yang lemah lembut, menghormati orang lebih tua daripadanya, suka anak-anak kecil dan gentleman!' tambah Sarah.
Namun, apabila diminta menceritakan tentang cinta pertamanya termasuk zaman cinta monyet, Sarah payah memberi jawapan sebab menurutnya, sewaktu zaman bersekolah, tidak terfikir pula untuk menjalin sebarang ikatan cinta.
Maklumlah, beliau sibuk dengan empat kegiatan kokurikular (CCA) semasa menuntut di Sekolah Menengah Teck Whye - bola jaring, bola lantai, tarian dan pancaragam di mana beliau adalah pemain alto-saksafon.
PEMINAT DAN KELUARGALAH SEGALA-GALANYA
Sarah jenis yang menghargai peminat dan melibatkan mereka dalam hobinya iaitu bermain futsal. Jarang kita mendengar artis mengajak peminatnya keluar bermain futsal tetapi itulah yang beliau lakukan dengan pelawaan menerusi laman Facebook.
'Saya akan cuba sedaya upaya berjumpa dengan peminat saya. Tidak kiralah sama ada untuk bermain futsal atau minum kopi bersama. Biasanya, saya akan pilih kumpulan berbeza dan bukan orang yang sama untuk memberikan peluang kepada semua.
'Dan kalau anda nak tahu, emak sayalah yang macam setiausaha saya! Dia rajin periksa akaun Facebook saya untuk beritahu saya berapa ramai peminat saya ada.
'Kalau sebelum Anugerah, saya ada 100 teman sahaja, sekarang dah melambung lebih 3,000 orang! Alhamdulillah,' ujar Sarah.
Begitulah kuasa Anugerah. Apabila disemak akaun Facebooknya, wow!
Semakin naik bilangan teman Sarah, mencecah 4,886 orang. Semoga maju jaya hendaknya.
KENAL-KENAL
No comments:
Post a Comment