SUMBER: http://cyberita.asia1.com.sg/mrencana/story/0,6879,162838,00.html?
MAHUKAH anda melihat dunia pada tahun 2020 atau mungkin tahun 2080? Apa mungkin benarnya ada kenderaan berterbangan di udara kelak?
Jika anda ingin melihat dunia baru, tontonilah filem Cina, Future X-Cops.
Filem itu dibintangi Andy Lau sebagai Andy. Di awal cerita itu sahaja, anda sudah dapat menjangkakan banyak aksi hebat dari filem itu apabila munculnya pasukan jahat yang diketuai Kalon (Siu-Wong Fan).
Pasukan jahat muncul sewaktu sebuah pameran dirasmikan pada tahun 2080 oleh Dr Masterson. Mereka mempunyai lima anggota, namun dikalahkan pasukan baik yang diketuai Andy sehinggakan adik dan dua anggota Kalon mati dan musnah. Tinggallah Kalon bersama seorang lagi anggotanya. Dendam berbalas antara Andy dan Kalon apabila isteri Andy, Millie (Bingbing Fan) mati ditembak walau ditepis dengan penghadang. Di situ, mulalah kisah yang mendebarkan.
Kerana kesedihan Andy setelah kematian isterinya, beliau membuat keputusan untuk pulang ke tahun 2020.
Pada tahun itu, beliau menjumpai cintanya walaupun dilarang untuk bercinta pada tahun 2020. Identiti Andy sebagai insan yang memiliki kuasa luar biasa tiada dalam pengetahuan orang kecuali setelah berlakunya satu kejadian hinggakan beliau digelar Superman.
Walaupun filem ini berbahasa Mandarin, anda tetap dapat memahami plotnya dan ketawa berdekah-dekah tatkala membaca sarikata yang disediakan.
Hampir dua jam saya menonton filem arahan Wong Jin, tidak terasa bosan pun dengan pengembaraan yang sememangnya membuat anda terfikir jauh bagaimanakah keadaan masa depan anda nanti. Ada juga babak-babak sendu yang mengiringi filem ini.
Apakah yang menyebabkan identiti Andy diketahui orang awam? Bagaimana pula cara Andy mengalahkan pasukan jahat yang hanya tinggal dua anggota sahaja sedangkan hanya beliau seorang berkuasa? Semuanya dikupas dalam filem sains cereka mirip Transformers, Power Rangers dan Iron Man.
No comments:
Post a Comment