Wednesday, 21 April 2010

Sesuci kasih Aishah

BERITA HARIAN SG, 21 APRIL 2010
SUMBER: http://cyberita.asia1.com.sg/mrencana/story/0,6879,163203,00.html?


Ingati ibu dan anak pada Hari Ibu

Di hati ini sering melagukan rindu
senyum tangismu di mataku
andai waktu bisa menemukan semula
akan kubina kasih dulu bersamamu

BERSESUAIAN dengan lagu Camar Yang Pulang, mungkin ada di antara anda yang merindukan kehadiran beliau membuat persembahan. Kini, waktu bisa menemukan semula anda dengan penyanyi tersebut, Aishah.

Aishah atau nama sebenarnya, Wan Aishah Wan Ariffin, 45 tahun, bakal membuat persembahan untuk sambutan Hari Ibu anjuran Berita Harian pada 8 Mei ini.

Menerusi perbualan saya dengannya baru-baru ini beliau juga sempat meluahkan keinginan mahu berjumpa peminatnya di sini.

Semasa dihubungi melalui panggilan jauh, beliau berkata: 'Saya dah lama tak ke Singapura. Jadi, memang saya mengalu-alukan dan berharap ramai akan datang meraikan ibu mereka atau meraikan diri sendiri sebagai ibu.'

AISHAH DAN ALBUM ZIKIR DAN DOA

Buat masa ini, Aishah sibuk dengan persiapan album terbarunya. Bahkan, sewaktu dihubungi, Aishah berkata beliau sibuk setiap malam membuat rakaman. Album berbentuk kerohanian itu bakal menemui anda bulan depan.

'Sebenarnya, album ini adalah koleksi zikir dan doa. Konsepnya pula untuk anak-anak, zuriat dan keluarga. Saya ada satu lagu baru yang saya tulis liriknya dan diberi judul Anak.

'Sebuah lagu lagi - kalau di Malaysia orang panggil lagu berendoi - digunakan untuk majlis cukur rambut atau 'potong jambul'. Jadi, kami rakam semulalah.... sebab kalau kami tak lakukan, ia akan hilang ditelan zaman,' katanya.

Menurut Aishah, zikir-zikir itu juga untuk ibu bapa gunakan bagi melembutkan hati anak-anak.

'Saya bekerja dengan pihak nasyid.com dan selagi ada bahan yang kami boleh rakam, kami rakam hinggakan terlebih keratan rakaman pula sampaikan boleh membuat album 'volume kedua',' selorohnya.

Aishah menambah, pada mulanya, beliau memang tidak terlintas mahu membuat album itu. Beliau hanya merakamkan suaranya sendiri untuk kegunaan anak-anaknya secara peribadi.

'Kemudian, apabila kawan-kawan saya mendengarnya, mereka menggalak saya membuat album. Lagipun, kata mereka, ia boleh dikongsi dan dimanfaatkan bersama,' ujarnya.

Sebahagian daripada hasil jualan album itu akan didermakan kepada badan-badan wanita teraniaya atau perlindungan dan pemulihan kes-kes keterlanjuran.

KASIH SUCI SEORANG IBU

Belaian seorang ibu itulah yang sering didahagakan setiap anak. Begitu juga dengan anak-anak Aishah. Walaupun Aishah hidup sebagai seorang ibu tunggal, beliau tetap memastikan anak-anaknya mendapat kasih sayang yang sempurna.

'Saya pastikan apabila mereka membuka mata, sayalah orang yang pertama mereka melihat dan saya juga memastikan sayalah orang yang terakhir mereka melihat sebelum mereka masuk tidur.

'Sebagai ibu tunggal, saya perlu jaga emosi mereka dengan baik. Jadi, saya juga sering melakukan aktiviti bersama mereka. Bahkan, saya menyusun jadual saya agar dapat kami meluangkan masa bersama sebab saya rasa rugi kalau tak dapat jumpa mereka.

'Biasanya, kami sekeluarga melancong dalam negeri bersama-sama. Dengan itu, saya juga sambil-sambil mengajar kraftangan kepada ibu-ibu tunggal dan wanita berpendapatan rendah,' ceritanya, penuh cekal.

Kedua-dua anak Aishah sudah meningkat remaja. Armand Azhari Abdullah berusia 16 tahun sementara Azhad Ahlami Muhammad, 10 tahun.

Apabila ditanyakan mengenai kesukaran menjaga anak yang disifatkan sebagai 'budak-budak zaman sekarang' pula, beliau berkata: 'Biasalah, anak-anak zaman sekarang ni bukan macam kita dulu. Pendedahan mereka dan kita berlainan. Kalau dulu angkat muka takut tapi kini mereka boleh cakap dengan kita balik.

TERINGAT ARWAH IBU

Sempat juga Aishah menyelitkan rasa rindu dan sayangnya kepada Allahyarhamha ibunya.

Beliau berkata: 'Dulu, saya dan ibu memang rapat sangat. Apabila beliau meninggal dunia pada 2001, hidup saya terasa gelap sebab, bagi saya, dah hilang tempat saya mencurahkan masalah dan berkongsi pencapaian saya - lebih-lebih lagi waktu itu, saya dalam krisis rumahtangga.'

KRAFTANGAN PENGUBAT HATI

Seorang peminat Aishah, Sirajuddin Jamat, 21 tahun, sempat menitipkan soalan kepada penyanyi kegemarannya itu yang menurut beliau banyak memberikannya inspirasi. Maklumlah, Sirajuddin membesar dengan lagu-lagu Aishah.

'Kita tahu beliau ni sibuk dengan bisnes kraftangan. Apakah beliau kini hanya menerima satu atau dua tawaran sahaja? Mungkinkah anak-anaknya mengikut jejak langkahnya sebagai penyanyi?' tanya Sirajuddin.

Aishah menjawab: 'Dah lama saya buat bisnes kraftangan ini. Saya sering membuat program ini di desa-desa. Kalau bulan puasa pula, saya membuka bazar kraftangan. Kini, saya menganjurkan kelas kraftangan kerana saya lebih cenderung mengajar.

'Dalam bidang nyanyian pula, saya memang lebih sibuk dari dulu. Bahkan, untuk Hari Ibu nanti, saya menerima banyak undangan seperti dari Singapura, Johor dan negeri-negeri lain di Malaysia.

'Mengenai anak saya pula, memang dia minat menyanyi tetapi saya tak galakkan sebab mahu dia menumpukan perhatiannya kepada pelajaran terlebih dahulu,' tambah Aishah, jawapan yang lumrah didengar daripada artis yang pernah melalui onak dan duri menjadi selebriti.

Nota: Majlis Hari Ibu anjuran Berita Harian/Berita Minggu diadakan di Padang Ballroom, Hotel Fairmont, pada 8 Mei ini. Tiket berharga $65 dan $75 boleh didapati di pejabat Berita Harian, News Centre, 1000 Toa Payoh North atau hubungi 6319-5601/ 6319-5353/ 6319-5137/6319-5497 untuk tempahan.


LAGU KEHIDUPAN AISHAH

Aishah diminta menyambung beberapa tajuk lagunya untuk menceritakan sekilas hidupnya kini. Apa katanya?

Janji Manis... saya terhadap anak-anak saya supaya tidak disia-siakan.

Kemaafan dendam yang terindah... kerana apabila kita memaafkan seseorang, dendam yang ada padanya akan hilang.

Kasih kita... adalah seseorang yang kita kasihi sekarang ini. Ikutilah perkembangan kita kalau awak nak tahu

Sunday, 18 April 2010

Teman Dari Hutan batu sakura

i3
Tabloid keluaran Berita harian
Isnin 18 Jan 2010



Untuk membaca dengan lebih jelas, anda perlu klik gambar.
=)

Thursday, 15 April 2010

Kembara ke alaf baru dengan kenderaan terbang

BERITA HARIAN SG, 15 APRIL 2010

SUMBER: http://cyberita.asia1.com.sg/mrencana/story/0,6879,162838,00.html?

MAHUKAH anda melihat dunia pada tahun 2020 atau mungkin tahun 2080? Apa mungkin benarnya ada kenderaan berterbangan di udara kelak?

Jika anda ingin melihat dunia baru, tontonilah filem Cina, Future X-Cops.

Filem itu dibintangi Andy Lau sebagai Andy. Di awal cerita itu sahaja, anda sudah dapat menjangkakan banyak aksi hebat dari filem itu apabila munculnya pasukan jahat yang diketuai Kalon (Siu-Wong Fan).

Pasukan jahat muncul sewaktu sebuah pameran dirasmikan pada tahun 2080 oleh Dr Masterson. Mereka mempunyai lima anggota, namun dikalahkan pasukan baik yang diketuai Andy sehinggakan adik dan dua anggota Kalon mati dan musnah. Tinggallah Kalon bersama seorang lagi anggotanya. Dendam berbalas antara Andy dan Kalon apabila isteri Andy, Millie (Bingbing Fan) mati ditembak walau ditepis dengan penghadang. Di situ, mulalah kisah yang mendebarkan.

Kerana kesedihan Andy setelah kematian isterinya, beliau membuat keputusan untuk pulang ke tahun 2020.

Pada tahun itu, beliau menjumpai cintanya walaupun dilarang untuk bercinta pada tahun 2020. Identiti Andy sebagai insan yang memiliki kuasa luar biasa tiada dalam pengetahuan orang kecuali setelah berlakunya satu kejadian hinggakan beliau digelar Superman.

Walaupun filem ini berbahasa Mandarin, anda tetap dapat memahami plotnya dan ketawa berdekah-dekah tatkala membaca sarikata yang disediakan.

Hampir dua jam saya menonton filem arahan Wong Jin, tidak terasa bosan pun dengan pengembaraan yang sememangnya membuat anda terfikir jauh bagaimanakah keadaan masa depan anda nanti. Ada juga babak-babak sendu yang mengiringi filem ini.

Apakah yang menyebabkan identiti Andy diketahui orang awam? Bagaimana pula cara Andy mengalahkan pasukan jahat yang hanya tinggal dua anggota sahaja sedangkan hanya beliau seorang berkuasa? Semuanya dikupas dalam filem sains cereka mirip Transformers, Power Rangers dan Iron Man.

Sunday, 11 April 2010

kajian akademik muncul juara

BERITA MINGGU, 11 APRIL 2010
SUMBER: http://cyberita.asia1.com.sg/mrencana/story/0,6879,162616,00.html?


Isu: Hidup golongan merempat jadi dorongan hasilkan kertas kerja

JASA kasihan terhadap golongan yang hidup merempat tanpa tempat berteduh mendorong Cik Mastura Manap menghasilkan kertas kerja mengenainya.

Usaha itu pada awalnya hanya untuk kajian akademiknya dan beliau tidak terfikir langsung akan mengongsinya dengan pihak awam, apatah lagi mempertandingkannya untuk peraduan Cabaran Realiti Sosial anjuran Lembaga Biasiswa Kenangan Maulud (LBKM).

Bagaimanapun, pertemuannya dengan salah seorang rakannya, Encik Fadzli Baharom Adzahar, yang mewakili kumpulan PB3 dalam peraduan tersebut, mencetus keinginan untuk mencuba. Mereka minum teh bersama suatu hari dan terbetiklah rancangan untuk ikut serta bertanding.

Maka, terbentuklah kumpulan SMS, yang Cik Mastura, 25 tahun, wakili dengan penyertaan dua lagi temannya, Encik Suen Johan Mohd Zain dan Encik Shawn Tan, kedua-duanya 27 tahun, yang mengikuti kursus Sarjana Sosiologi di Universiti Nasional Singapura (NUS).

Walaupun ketiga-tiganya sibuk dengan tugasan masing-masing, persiapan intensif selama tiga bulan yang dilalui membuahkan hasil dengan SMS muncul juara dalam peraduan yang membawa pulang hadiah $3,000.

'Kami semuanya sibuk sangat. Saya dan Johan menamatkan penggal terakhir dan Shawn pula tinggal dua penggal terakhir. Tambahan pula, kami tinggal berjauhan.

'Perbincangan kami dibuat di rumah Shawn memandangkan beliau tinggal di tengah-tengah - di antara rumah saya dengan rumah Johan. Walaupun kami jarang berbincang, apabila ada kesempatan, kami akan mengambil masa sekitar empat hingga enam jam berbual tanpa henti,' kata Cik Mastura.

Cabaran Realiti Sosial yang diusahakan dengan kerjasama Berita Harian itu merupakan satu peraduan unik membabitkan penghasilan dan pembentangan kertas kerja yang membincangkan huraian isu-isu sosial masyarakat Melayu/Islam secara terperinci.

Peraduan berkumpulan yang dibuka kepada mahasiswa dan pelajar possiswazah di dalam dan luar negara ini memerlukan perwakilan seramai tiga orang.

Mereka perlu membentangkan masalah yang menjadi keprihatinan, sejarah dan faktor yang mencetus pergolakan isu itu, kesan dasar-dasar terhadap masalah tersebut serta saranan yang dirasakan berkesan dalam mengatasi masalah meruncing itu.

Lima pasukan bersaing dalam peringkat akhir pada 27 Mac lalu dan membentangkan kajian dan hasil penemuan mereka di Teatret Singapore Post.

'Kami tidak menganggap mereka yang hidup tanpa tempat berteduh ini Melayu bobrok. Hidup tanpa rumah daripada kajian kami bukan sesuatu yang berakar umbi daripada perkauman. Sebaliknya, ia ada kena-mengena dengan isu kelas yang dilihat sebagai dimensi perkauman kerana perwakilan Melayu yang tidak seimbang atau setara dalam kelas bawahan penduduk Singapura,' katanya.

Melalui kajian ini dan latihan melalui proses demi proses peraduan ini, mereka belajar daripada diri mereka sendiri secara lebih objektif - bagaimana kemiskinan itu terjadi dari segi sejarah, politik dan ekonomi.

'Kami memilih tajuk ini kerana masalah tiada rumah ini jarang diketengahkan. Biasanya, ramai yang rancak berbincang tentang keterlanjuran remaja dan pendidikan. Jadi, kami pilih masalah perumahan ini,' jelasnya.

Banyak faktor yang diperolehi menerusi dapatan mereka seperti budaya kemiskinan, perihal kemasyarakatan, keadaan di mana ibu bapa menjual beli rumah dan masalah luaran seperti ejen rumah yang menipu, yang dirasakan menjadi antara sebab dan punca sesetengah masyarakat Melayu terbiar tanpa tempat tinggal.

'Walau bagaimanapun, kami memberi keutamaan terhadap isu dasar perumahan. Sama ada analisis kami akan berjaya mengubah atau tidak kehidupan itu bergantung pada kuasa politik yang ada.


'Kami sudah membuat kajian dan analisis. Diharapkan apabila hasil kajian ini dibukukan atau diketengahkan kepada pihak-pihak tertentu, akan ada langkahlangkah lanjutan untuk menghurai masalah ini,' tambah Cik Mastura.

Wednesday, 7 April 2010

CABARAN REALITI SOSIAL

BERITA HARIAN SG, 22 MAC 2010

Idea tiga serangkai
Pelajar Sosiologi berbilang kaum kemuka saranan hurai masalah program mentor

ISU-ISU seperti kahwin muda, seks luar nikah dan lemah dalam matematik sering dikaitkan dengan orang Melayu kita.

Kalau dua minggu lalu, kita telah mengenali dua kumpulan finalis pertandingan Cabaran Realiti Sosial atau Socialive! Challenge yang sampai ke kemuncaknya Sabtu ini, kini tiba masanya kita mengenali pasukan dengan anggota berbilang kaum, PB3, pula.

Cabaran Realiti Sosial ini anjuran Lembaga Biasiswa Kenangan Maulud (LBKM) dengan kerjasama Berita Harian.

Ia merupakan satu peraduan penghasilan dan pembentangan kertas kerja yang membincangkan huraian isu-isu sosial masyarakat Melayu/Islam secara terperinci.

Peraduan berkumpulan yang dibuka kepada mahasiswa dan pelajar possiswazah di dalam dan luar negara ini menawarkan hadiah wang tunai $3,000.

Setiap pasukan seramai tiga orang perlu membentangkan masalah yang menjadi keprihatinan, sejarah dan faktor yang mencetus pergolakan isu itu, kesan dasar-dasar terhadap masalah tersebut serta saranan yang dirasakan berkesan dalam mengatasi masalah meruncing itu.

Lima pasukan akan bersaing membentangkan kajian dan hasil penemuan mereka di Teatret Singapore Post, antara 8.30 pagi dengan 1 petang, Sabtu ini.

Apabila diwawancara, PB3 menjelaskan nama kumpulan mereka adalah akronim bagi Pasukan Bertindak (PB), manakala nombornya pula melambangkan bilangan anggota dalam kumpulan itu.

PB3 disertai tiga anak muda dan mereka ialah Allan Lee, Christopher Navarajan SelvaRaj dan Fadzli Baharom Adzahar. Kesemua jejaka itu berusia 25 tahun dan merupakan mahasiswa Universiti Nasional Singapura (NUS). Mereka juga calon bagi Program Sarjana Jabatan Sosiologi NUS.

Berikut adalah temu ramah saya bersama mereka.

Soalan (S): Apakah isu yang anda ketengahkan?

Fadzli Baharom (F): Ramai berpendapat bagi membolehkan masyarakat Melayu meningkatkan kelakonan dalam pelajaran, perlu ada semacam perubahan minda. Namun, apakah yang dimaksudkan dengan perubahan minda ini? Kajian kami memberi tumpuan terhadap aspirasi pendidikan golongan belia Melayu.

S: Mungkin ada sebab-sebab tertentu yang membuat anda memilih isu tersebut?

F: Topik ini merupakan kajian lanjutan daripada tesis tahun kepujian saya yang mendapati sebilangan rakan mentor dalam kalangan belia (kumpulan kajian) tidak mendorong teman-teman yang dibimbingnya agar berjaya dalam bidang pelajaran. Bagi mereka, cemerlang dalam pelajaran tidak membawa apa-apa manfaat. Oleh itu, dengan menyertai pertandingan ini, saya dapat berkongsi dapatan tersebut.

S: Apa pula agaknya kesukaran atau cabaran yang dihadapi?

Christopher (C): Oleh kerana kami dilatih dalam Sosiologi, kami memberi fokus terhadap soalan yang berbentuk 'bagaimana' dan 'mengapa'. Pertandingan ini secara tidak langsung mendorong kami mengaplikasikan pengetahuan berbentuk akademik sekali gus melatih diri untuk menghuraikan masalah dalam kehidupan sebenar.

S: Kumpulan anda unik kerana mempunyai pelbagai 'perisa' atau lebih tepat lagi berlainan bangsa. Adakah anda mempunyai sebab tertentu dalam pemilihan anggota kumpulan anda?

F: Sudah tentu. Komposisi kumpulan dapat memberi maklum balas, sumbangan dan perspektif masing-masing dalam membantu masyarakat Melayu mengatasi masalah yang dihadapi.

Allan (A): Oleh kerana keakraban kami, saya rasa ia menjadikan pengalaman bekerjasama ini lebih menarik. Fadzli mempelawa kami menyertainya. Sebelum pertandingan ini juga kami pernah berbincang mengenai masalah-masalah ini secara bersembang santai dan merasakan bahawa kami mempunyai peranan bersama dalam meningkatkan keprihatinan tentang isu pembelajaran ini. Bahkan, sebagai ahli sosiologi, kami akur bahawa kaum itu hanyalah penanda identiti. Ia jelas dalam cara kami mengenal pasti satu sama lain bukan sebagai anggota berbilang kaum bahkan sebagai rakan dalam bidang sosiologi.

S: Tentu sekali dalam pencarian anda, ada perkara yang anda dapat jelaskan menjadi asam garam kehidupan.

A: Setelah menjalani proses ini, saya sedar bahawa masalah yang dihadapi masyarakat Melayu bukanlah sesuatu yang unik ataupun hanya terjadi pada masyarakat itu sahaja. Bahkan, ia turut berlaku dalam masyarakat Cina dan India.

C: Bagi saya pula, masalah sosial yang dihadapi masyarakat Melayu ini jarang sekali merupakan masalah mudah. Ia adalah hasil percampuran kompleks faktor-faktor sejarah dan sosiologi. Justeru, kami belajar untuk tidak meletakkan jangkaan tinggi dalam mengemukakan huraian yang gah sebab ia mungkin tidak mudah dilaksanakan. Sebaliknya, kami pelajari bahawa huraian terbaik untuk melaksanakan perubahan datang daripada usaha inovatif yang sederhana skalanya yang mampu mencetus perubahan secara asas.


CABARAN REALITI SOSIAL

Anda dipersilakan hadir ke acara

PERINGKAT AKHIR CABARAN REALITI SOSIAL

Tarikh: Sabtu, 27 Mac 2010.

Tempat: Teatret Singapore Post.

Masa: 8.30 pagi hingga 1 petang.

Tuesday, 6 April 2010

Buah hati Aizat

BERITA HARIAN SG, 5 APRIL 2010

Bonda bukan saja teman karaoke bahkan pengkritik 'tajam lidah'

ORANGNYA berkulit hitam manis. Beliau pernah juga mengejutkan peminatnya apabila tubuh badannya susut secara drastik setelah mengeluarkan single-nya.

Walaupun baru dua tahun berkecimpung dalam industri seni suara di Malaysia, namanya kian harum menjadi sebutan pengamat industri.

Beliau yang saya maksudkan adalah Muhammad Aizat Amdan atau lebih dikenali sebagai Aizat.

Anak kelima dalam keluarga enam beradik itu lahir dari sebuah program realiti yang cukup popular di Malaysia, Akademi Fantasia. Meskipun baru, lagu-lagunya tetap menjadi pilihan sebagai santapan halwa telinga.

Antara lagu yang sering didengari di corong-corong radio di sini termasuk Hanya Kau Yang Mampu dan juga Lagu Kita.

Pada 8 Mei ini, anda yang meminati Aizat, 21 tahun, tentunya mampu bersua muka dengannya sebab beliau adalah antara artis yang akan mewarnai sambutan Hari Ibu, anjuran Berita Harian/Berita Minggu.

Ketika dihubungi menerusi panggilan telefon, Aizat ternyata begitu sibuk dengan persiapan program Muzik-Muzik di saluran TV3. Lagu terbarunya, Susun Silang, yang bakal dimuatkan dalam album keduanya juga dijangka 'meletup'.

'Buat masa sekarang, saya menyanyi secara sepenuh masa tetapi ada juga terfikir nak sambung belajar nanti. Insya-Allah, saya akan mendalami bidang muzik tetapi bila masanya, tidak tahu lagilah sebab saya sibuk dengan album kedua,' jelasnya.

Percubaan Pertama, album pertamanya, memang laris. Apa yang dijangkakan untuk album kedua ini?

'Judul albumnya belum diketahui lagi, bahkan masih belum dipilih lagi judulnya. Jumlah lagu yang ada di dalam album ini sepuluh dan sekarang baru 50 peratus siap. Insya-Allah, Mei nanti akan dilancarkan album saya ini,' tambahnya.

Soalan demi soalan terus diajukan. Walaupun sibuk, Aizat tetap menjawab tanpa terkesan nada bosan. Mungkin, itulah sebabnya beliau disenangi ramai.

Rapat dengan keluarga, khususnya ibu


Menceritakan tentang keluarganya, Aizat berkata beliau memang rapat dengan semua anggota keluarganya, khususnya adik-beradiknya dan juga ibunya.

Boleh kenalkan pembaca dengan ibu anda?

'Namanya, Fina Norhizah Baharu Zaman. Umurnya sekarang ini 52 tahun. Saya memanggilnya Umi.

'Bagi Aizat, Umi tak macam jenis emak-emak biasa. Dia sangat kool dan memahami hati anak-anaknya.

'Setiap kali Aizat cakap dengannya, dia tahu apa yang Aizat rasakan dan ingin sampaikan.

'Aizat boleh borak dengan dia macam kawan Aizat. Itulah yang best!' katanya.

Aizat akur syurga itu di bawah telapak kaki ibunya. Lantaran itu, beliau berusaha membahagiakan Umi dengan rezeki yang diraih. Aizat menambah tidak akan senang kalau hati ibunya disakiti.

'Bagi Aizat, kalau Aizat sakiti hati Umi, itu adalah dosa yang paling maksimum. Justeru, janganlah sekali-kali menyakiti hati emak kita, memaki mereka atau memarahi mereka,' katanya lagi.

Umi adalah teman karaoke Aizat, tanpa mengira lagu Melayu atau Inggeris.

'Penguasaan bahasa Inggeris Umi baik sekali. Iyalah... sebelum ini, Umi adalah peguam. Kadangkala, apabila Umi berbual Inggeris, Aizat yang tak faham. Bahasa Inggeris Umi kompleks sekali! Boleh katakan, dia macam kamus!' selorohnya, geli hati.

Pernahkah Aizat buat salah dengan Umi dan apakah reaksi Umi?

Menurut Aizat, ibunya jenis yang akan berterus terang, menjelaskan apa yang salah.

'Kalau Aizat salah, memang dia cakap. Siaplah tu! Itu yang Aizat suka tentang Umi sebab dia akan marah dan cakap terus terang. Aizat tak suka kalau buat salah, lepas tu Umi diamkan dan terlalu baik atau beri peluang.

'Takut-takut kalau terhanyut pula nanti. Umi memang tegas dan selalu berdoa untuk kebaikan anak- anaknya,' cerita Aizat lagi.

Pendek kata, memandangkan ibunya peguam yang tajam lidahnya, si ibu juga pengkritik besar sewaktu Aizat bertanding untuk Akademi Fantasia. Kritikannya, jelas Aizat, pedas.

'Kalau diingat semula, Umi pernah cakap pitch Aizat larilah... suara sumbanglah... tiada interaksi dengan penontonlah dan macam- macam lagi!' katanya yang pernah diundang Datuk Siti Nurhaliza untuk membuat persembahan bersama Datuk Siti dan Faizal Tahir untuk Konsert Satu Suara, Februari lalu di Istana Budaya.

Nota: Majlis Hari Ibu, anjuran Berita Harian/Berita Minggu diadakan di Padang Ballroom, Hotel Fairmont pada 8 Mei ini. Tiket- tiket berharga $65 dan $75 boleh didapati di pejabat Berita Harian, News Centre, 1000 Toa Payoh North atau hubungi 6319-5601/ 6319-5353/ 6319-5137/6319-5497 untuk tempahan.


KENAL-KENAL

Hobi: Melukis, bermain bola

Pasukan bola yang paling digemari: Manchester United

Kalau nakkan sesuatu yang susah diperolehi daripada Umi, Aizat akan...: Urut kepala dan kaki Umi. Beliau juga akan buatkan kerja-kerja rumah tetapi katanya, hatinya tetap perlu ikhlas.

Barangan yang tidak boleh ditinggalkan jika keluar rumah: Telefon bimbit, dompet wang dan jam tangan.

Haiwan kegemaran: Kucing sebab ia manja dan aktif.

Makanan kegemaran: Roti sandwic, ikan sambal Opah, sambal ikan bilis tumbuk Pak Ngah

Idola: Kumpulan The Beatles

Kalau rumah gelap kerana bekalan elektrik terputus, Aizat akan mencari...: Telefon bimbitnya!

Lengkapkan ayat ini 'Ibu bagi saya adalah...': Insan yang perlu kita jaga supaya selamat dunia dan akhirat!