BERITA HARIAN SG, 16 NOVEMBER 2009
MTV dekati remaja dengan dokumentari realiti di Barat
'Buat seks kool ah.'
'Ingatkan nak 'ringan-ringan' sekali... syok sangat.'
'Alah, paling-paling mak dengan ayah marah sekejap aja lepas tu semua benda dah macam biasa semula.'
WAH! Kes ini memang tidak boleh diambil ringan. Dengan kadar kehamilan remaja yang semakin meningkat hari demi hari, apa yang remaja dan ibu bapa sendiri dapat lakukan? Itulah yang saya bincangkan bersama tiga pakar dan seorang VJ saluran kabel MTV.
Semasa sidang media bagi dokumentari 16 and Pregnant dilancarkan, sempat saya menemuramah VJ MTV, Denise Keller, dan bertanyakannya tentang pendapat mengenai isu ini.
Katanya:
'Perkara ini memang membimbangkan dan semakin hari jumlah yang hamil semakin meningkat. Oleh kerana itu, saluran MTV mengambil plot dokumentari 16 and Pregnant ini bagi tontonan remaja setempat agar ia dapat membuat remaja lebih memikirkan kesan serta tindak balas daripada kehamilan sewaktu usia remaja itu sendiri.'
Personaliti TV itu sempat berpesan dengan menekankan: 'Anda bertanggungjawab terhadap apa yang dilakukan.'
Mungkin anda tertanya-tanya apakah cara terbaik untuk menangani masalah ini. Justeru, saya tanyakan tiga orang yang selalu berdepan dengan masalah ini.
Ketiga-tiga mereka mengatakan bahawa pembelajaran seks bagi ibu bapa amat penting.
Mereka yang saya maksudkan ialah Naib Presiden Persatuan Perancangan Keibubapaan Singapura (SPPA), Dr Sundardas D. Annamalay; Ketua Unit Kaunseling Persatuan Persuratan Pemuda Pemudi Melayu (4PM), Cik Nadia Hamid Bamasri; dan Pengasas Eros Coaching Pte Ltd, Dr Martha Lee; yang juga pakar seksologi klinikal.
Soalan (S): Apakah agaknya pendapat anda tentang mendidik anak mengenai seks itu sendiri?
Dr Sundardas (DS): Seseorang anak itu mesti diajar sewaktu kecil lagi bahkan sejak umurnya 13 atau 14 tahun. Pada usia itu, anda bolehlah mengajar mereka bagaimana hendak membuka lampin bayi. Bukan sahaja memberikan mereka peluang bermain dengan bayi malah menjaga bayi itu dengan lebih rapi lagi.
Cik Nadia Hamid Bamasri (NH): Ibu bapa harus bersikap lebih terbuka dengan anak mereka atau kerana biasanya apabila anak mereka tanyakan tentang seks, mereka akan katakan, 'Seks itu adalah tidur bersebelahan atau cium.' Jadi itu tidak menggambarkan tentang perihal yang sebenar.
Dr Martha Lee (DM): Ibu bapa patut mengajar mereka sejak lahir lagi. Sejak kecil lagi, ibu bapa tidak harus mengatakan kemaluan anak itu sebagai satu yang janggal atau pelik seperti memanggilnya 'tempat bawah sana' atau 'tempat kotor' kerana anak itu sendiri akan fikir benda ini salah ataupun tidak boleh diperbualkan. Ini boleh memberi impak bagi masa panjang kerana saya ada seorang pelanggan yang mempunyai fobia dan tidak tahu anggota tubuhnya sendiri.
S: Selain daripada mendidik anak, saya yakin ibu bapa juga perlu diajar sama. Pandangan anda?
NH: Kita memang ada kelas yang boleh ibu bapa ikuti tetapi mereka katakan yang mereka tidak punya masa.
S: Dr Sundardas, anda seorang bapa, jadi rasanya bagaimana anda berbual dengan anak anda? Dan bagaimana cara mendidik anak itu sendiri?
DS: Saya berfikiran terbuka dengan anak-anak saya sendiri. Dan saya rasa, ibu bapa juga harus mengadakan perbualan yang kerap dengan anak mereka supaya hilang kejanggalan.
Jika ibu bapa tidak mahu berbual dengan mereka tentang isu ini sebaliknya menyuruh mereka mencari dengan sendirinya, mereka sebenarnya telah hilang kesempatan berbual bersama anak-anak mereka.
S: Apa pula pendapat anda tentang media?
DS: Saya rasa media juga bersalah terhadap isu ini kerana, biasanya jika mereka mahu menjual aiskrim, mereka 'jual' seks, mereka mahu jual rokok, mereka 'jual' seks, begitu juga dengan barangan yang lain. Media biasanya menggunakan wanita-wanita seksi untuk produk mereka sebab itulah saya katakan mereka 'menjual' seks.
NH: Media menjalankan tanggungjawab mereka dengan adanya dokumentari seperti Hanyut dan juga Seksa tetapi jika ibu bapa tetap tidak mahu berfikiran terbuka ia tetap kekal sebagai masalah sebenarnya.
S: Cik Nadia, anda seorang kaunselor, ada yang paling rumit yang anda tangani?
NH: Ada, masalahnya dengan seorang remaja yang diperkosa atau dicabul sejak umurnya 10 tahun lagi. Pada umurnya 11 tahun, dia sudah hamil. Dia juga menggugurkan sebanyak enam kali dan hamil sebanyak tujuh kali.
Masalah yang pelik pernah saya tangani ialah tentang seorang remaja yang mengadakan seks hanya kerana mahukan bayi. Dan dia mahu bayi itu tidak mencontohinya. Selepas dia melahirkan, dia berubah dan tidak ke kelab-kelab ataupun minum arak.
S: Dr Martha dan Dr Sundardas, biasanya remaja fikir apabila mereka sudah ada kerja sambilan mereka sudah berkemampuan. Pendapat anda?
DM: Anda memang bekerja tetapi dalam umur yang belum cukup dewasa pastinya tahap pembelajaran anda belum cukup tinggi. Tentu sekali gaji anda sedikit, mungkin $5 sejam. Orang lain mungkin kerja sama waktu dengan anda tetapi mereka dapat gaji yang lebih kerana pendidikan tinggi. Dan tentu sekali, duit merupakan satu prioriti dalam kehidupan kita masa kini.
DS: Kerja memang kerja, tetapi sudahkah anda kira angka-angka perbelanjaan nanti? Di mana anda harus membiayai kos menjaga anak, isteri anda sendiri, duit makan, perubatan dan sebagainya. Kalau anda seorang remaja, anda harus pandai menjaga diri. Jika diri sendiri tidak terjaga masakan hendak berkahwin? Tunggulah sehingga dapat kerja yang tetap.
S: Dr Sundardas, apa pendapat anda tentang remaja yang berfikiran, seks itu kool tetapi melakukannya sebelum berkahwin lebih kool?
DS: Bagi saya, untuk golongan dewasa mungkin terkecuali tetapi bagi remaja, anda sedang membuat satu lagi masalah bagi diri anda sendiri.
S: Dr Martha, mengapa remaja masih tetap mahu mengadakan seks walaupun mereka tahu ia dilarang?
DM: Pada pendapat saya, mereka mungkin memikirkan secara jangka pendek. Dengan adanya bencana-bencana alam seperti gempa bumi dan taufan mereka rasa kehidupan itu pendek sebab itulah mereka mahu mengadakan hubungan tersebut. Orang tua memang menyuruh mereka berfikiran jauh tetapi mereka belum dapat menerima konsep tersebut.
S: Baiklah, sebagai penutup, apakah pesanan anda?
NH: Bagi saya, berbual tentang masalah ini jika anda mengalaminya dengan orang- orang yang anda percayai seperti ibu bapa ataupun talian hotline seperti Nur Teens Line dan lainnya.
S: Dr Sundardas pula, kata-kata akhir daripada anda?
DS: Berseronoklah! Berpestalah! Tetapi ingat, apabila anda berpesta dan berkenalan dengan seseorang yang baru, ia harus bermula dan berhenti di pesta itu sendiri tetapi jika ia berterusan, anda mungkin sedang berada dalam masalah besar.
S: Dr Martha, bagaimana pula dengan kata-kata penggulung anda?
DM: Bagi saya, remaja harus bersedia dalam tiga perkara iaitu kewangan, emosional dan juga secara fizikal sebelum berkahwin.
Itulah sedikit sebanyak dialog antara saya dengan mereka menyusuli tayangan dokumentari 16 and Pregnant.
Masalah ini memang dilema di seluruh dunia dan Singapura juga tidak terkecuali. Oleh itu, langkah MTV menayangkan cerita itu merupakan usaha yang cukup baik.
Nota: '16 and Pregnant' disiarkan di saluran MTV mulai 22 November, 11 pagi.
No comments:
Post a Comment