Monday, 30 November 2009

Kejutan manis

BERITA HARIAN SG, 30 NOVEMBER 2009

Cedar tidak menjangka rebut gelaran juara

WAJAH penuh kegelisahan dan kekecewaan jelas terpampang, sedang mereka menanti pengumuman Juara Kem Obor dibuat.

Ada yang menunduk sayu. Ada pula menatap skrin telefon bimbit.

Sangka pasukan Sekolah Menengah Perempuan Cedar, harapan untuk mereka menjulang piala Obor tipis.

Namun, pengumuman yang dibuat koresponden Berita Harian, Encik Farid Hamzah, petang Rabu lalu, mengejutkan empat gadis ini

'Betul ke? Bukan main-main?' Kedengaran Irene Cyrena, 16 tahun tertanya-tanya.

Mereka ketawa sehingga terkesan titisan air mata gembira ketika dipanggil ke tepi pentas untuk menerima hadiah berupa iPod Shuffle, baucar buku Popular dan piala Juara Kem Obor daripada penyelaras Obor, Cik Haryani Ismail.

Nur Fitriah Zakiah Misnal, 14 tahun, yang awalnya kelihatan khusyuk menatap skrin telefon bimbitnya, sempat memberitahu Cik Haryani:

'Saya baru sahaja lakar SMS, nak minta maaf dengan Cikgu Mahani. Cikgu, kami minta maaf banyak-banyak kalau kecewakan Cikgu. Nampaknya ada pasukan lebih baik. Kami dah mencuba... Selepas itu, nama sekolah kami diumumkan. Kami terkejut!'

Nur Fitriah Zakiah dan Irene Cyrena berganding bahu dengan dua lagi teman mereka, Noor Aqilah Noor Azlan, 14 tahun, dan Hana Puteri Kurnianta, 16 tahun, di dalam pertandingan yang dihadiri sekitar 108 pelajar.

Ini merupakan kali kedua Sekolah Menengah Perempuan Cedar merebut gelaran juara. Kali pertama ialah sewaktu kem kedua diadakan pada November 2006.

Apa yang mungkin membuatkan pasukan ini terkejut kerana kemenangan mereka ialah kerana mereka tidak memenangi kategori individu, iaitu 'Editor Terbaik', 'Penyunting Terbaik', 'Wartawan Terbaik' dan 'Jurufoto Terbaik' - sesuatu yang biasanya menjadi tradisi dan faktor kejayaan beberapa sekolah di kem-kem sudah.

Namun, panelis pengadil yang terdiri daripada Cik Haryani dan wartawan infografik, Cik Nur Amanina Ismail, dibantu wartawan infografik eksekutif, Encik Mohd Samad Afandie dan Editor SUTRA, Cik Hasleen Bachik, sebulat suara memilih akhbar kumpulan ini yang diberi nama iCedar sebagai juara.

'Kami memilih enam suratkhabar yang menarik dan kami tampal pada dinding bilik sidang. Kami bayangkan kalau akhbar ini dijual di pasaran, yang mana akan laku dulu. Ternyata, daya tarikan akhbar iCedar menyerlah kerana reka hiasnya kemas, foto yang digunakan juga besar, jelas dan menarik, ditambah dengan nama akhbar yang disusun vertikal, berbanding nama akhbar pasukan lain yang diletakkan mendatar,' jelas Cik Haryani.

Apabila ditanyakan tentang perasaan pasukannya apabila diumumkan sebagai pemenang, Nur Fitriah Zakiah, berkata:

'Tentu sekali kami rasa gembira tetapi terkejut juga sebab kami memang tidak menyangka kami akan menang. Kami juga tidak mempunyai banyak persiapan bahkan kami diberitahu oleh guru kami lewat tentang kem ini.

'Lagi pun, kami lihat banyak kumpulan lain yang lebih baik dan begitu on gigih membuat persiapan terperinci.'

Bagi Irene Cyrena, kem selama tiga hari itu memang agak memenatkan sebab saban hari, sembilan jam lamanya dihabiskan di auditorium News Centre, Toa Payoh North, atau dalam perjalanan menjejak berita di Pusat Sains Singapura.

'Tetapi demi ilmu, tidak mengapalah,' katanya tersenyum.

Apabila disentuh tentang ilmu, Hana Puteri pula mencelah: 'Di Kem Obor, kami dapat menimba banyak ilmu pengetahuan terutama sekali dalam bidang media atau penghasilan akhbar .

'Kami juga tahu bagaimana suratkhabar itu diproses dan yang penting sekali saya dapat memperbaiki lagi penggunaan bahasa Melayu saya,' ujar Hana Puteri sambil tersenyum.

Saya juga diberitahu ada pertelingkahan di antara mereka berlaku sewaktu menyiapkan akhbar ini. Betul ke?

'Memang ada. Ia berlaku sewaktu kami sibuk memilih foto. Dah banyak sangat foto. Jadi, masing-masing ada pilihan tersendiri.

'Walaupun dalam keadaan begitu, kami tahu yang kami tetap perlu memilih satu sahaja foto. Lantaran itu, kami menyemak kelebihan dan kekurangan setiap foto. Akhirnya, pilihan sepakat dibuat,' tambah Irene Cyrena lagi.

Senyap saja Noor Aqilah? Soalan untuk anda pula ya? Selama tiga hari ni, mesti ada satu acara yang anda suka. Boleh beritahu kami?

'O.K. saya suka sidang akhbar bersama naib juara Anugerah 2009, Kunjung Whitaker. Beliau memang pandai bergaul dengan kita.

'Lagi pun, ini merupakan kali pertama saya mewawancara Kunjung dan bukannya selalu kami dapat interviu selebriti. Apabila nak interviu beliau tu, rasa gementar sangat,' jawab Noor Aqilah, ringkas.

Ucapan tidak terhingga mereka kepada Cikgu Mahani Ahmad kerana mewakilkan mereka ke kem itu. Jutaan penghargaan juga kepada anggota keluarga mereka yang memahami situasi apabila mereka pulang lewat ke rumah dek tuntutan tugasan kem.

Nota: Interviu dengan naib juara Kem Obor dan pemenang tempat ketiga akan disiarkan minggu depan.

No comments: