Berita Harian Sg, 26Okt2009
Hanya pada-Mu aku meminta
sesungguhnya Kau pemurah
ampuni segala dosaku
WAH! Baru sebait sahaja lirik lagu yang saya berikan, anda sudah dapat meneka lirik lagu ini yang seterusnya? Hebat sungguh! Boleh masuk K-Nite musim ketiga! He... He...
Lagu ini memang sering diputarkan di stesen tempatan Warna sebelum atau sesudah azan. Sudah lama didengar lagu ini. Cuma, baru sekarang datangnya ilham untuk menulis yang berkaitan dengannya.
Doa. Itulah judul lagu biduanita Rahimah Rahim. Doa. Itulah juga antara perkara yang akan saya bincangkan bersama pembaca budiman kali ini.
Apabila saya beritahu anda bahawa saya akan membincangkan tentang doa, pasti anda ingat saya ingin bersyarah bukan? Nanti dulu! Janganlah nak menilai sebarangan. Saya akan cuba membawa mauduk ini sehip mungkin. Sering kita dengar perkataan doa. Tapi apa itu doa ya? Masanya sampai untuk dirujuk pada Kamus Dewan!
Menurut edisi keempat kamus tersebut, terdapat tiga macam makna 'doa'. Pertama sekali, ia membawa maksud permohonan atau permintaan kepada Tuhan. Seterusnya pula, ia bermakna kebaikan yang dipinta dengan restu daripada Tuhan. Yang terakhir sekali, ia memberi erti potongan ayat terutama daripada Al-Quran, hadis dan sebagainya yang dibaca untuk memohon sesuatu kebaikan daripada Tuhan.
Hari ini, kita berdepan dengan banyaknya berlaku bencana alam di sana sini. Justeru, ayuhlah kita bersama-sama doakan mereka di kejauhan sana supaya diselamatkan daripada segala macam bentuk ancaman serta ditenteramkan kehidupan mereka, tidak kurang juga supaya disentosakan sentiasa negara kita yang tercinta ini, amin.
Seperti yang anda sedia maklumi, sekarang ini kita sudah berada di musim peperiksaan.
Mungkin ada di antara pelajar yang menyiapkan senarai peralatan yang diperlukan atau checklist sehari sebelum peperiksaan. Alat tulis, sudah. Nota untuk ulang kaji terakhir, sudah. Pakaian seragam sekolah, sudah. Agaknya, apa lagi yang belum ya? Doa? Tepat sekali!
Sesudah anda bersedia menempuhi peperiksaan dengan ulang kaji yang mampat, janganlah lupa berdoa ataupun membuat solat hajat atau sujud syukur. Mintalah pada-Nya agar dipermudahkan urusan sewaktu peperiksaan dijalankan.
Selain daripada alat tulis, nota, seragam sekolah dan doa, satu lagi yang saya kira penting adalah jam loceng. Sebolehnya, letaklah jam loceng agar keesokan harinya anda dapat bangun awal. Iyalah, kadang-kadang tu apabila sudah mengulangkaji sampai melebihi jam 12 tengah malam, apabila hendak bangun pun, bukan main liat lagi!
Apabila loceng dah bunyi, janganlah buat tak tahu atau tangguh-tangguhkan. Mula-mula nanti terfikir hendak tangguhkan lima minit, apabila bunyi lagi, lima minit lagi. Tup tup, matahari pun dah atas kepala! Kasihan...
Namun, janganlah pula anda hanya berdoa sewaktu musim peperiksaan. Bukan tidak boleh tetapi di musim peperiksaan sebeginilah kita meningkatkan lagi jumlah doa kita daripada kebiasaannya buat yang di atas sana.
Saya tanya anda, adilkah kalau seseorang yang setiap hari berdoa untuk berjaya berbanding dengan seseorang yang berdoa hanya setahun sekali untuk berjaya? Anda sendiri tahu jawapannya.
Ada pula kes yang berdoa sahaja tapi tidak berusaha. Pepatah Arab ada mengatakan, 'Siapa berusaha pasti mendapat hasilnya.'
Jadi, bagi sayalah, doa tanpa usaha ibarat kereta tanpa minyak ataupun tanpa enjin. Mana boleh gerak? (Ingat zaman Flintstones-kah? Yabba-dabba-doo!) Samalah juga dengan anda berdiri di hadapan batu bata kemudian berdoa, 'Wahai Tuhan, tolonglah dirikan batu-bata ini sehingga menjadi rumah bagiku.' Anda rasa batu itu akan bergerak sendirikah? Wallahualam.
Sekarang kita beralih ke situasi apabila sudah mendapat keputusan pula. Janganlah terlalu kecewa jikalau doa untuk berjaya tidak dimakbulkan. Lihatlah dari satu sudut yang lain. Mungkin, belum tiba masanya untuk anda berjaya dan yakinlah bahawa setiap yang berlaku itu pasti ada hikmahnya.
Macam sayalah, doa hendak jadi kaya, tapi belum lagi kaya! Agaknya, kalau saya kaya, saya lupa diri dan sombong tak? Sebab itulah belum dimakbulkan. (PS: Agaknya kenapa ya doa saya untuk berjumpa Datuk Siti Nurhaliza belum dimakbulkan? Hehe.. Doakan saya ya?).
Semoga keputusan anda kelak adalah yang anda idam-idamkan. Selamat maju jaya.
No comments:
Post a Comment