Monday, 23 November 2009

Bila hamil belum waktunya...

BERITA HARIAN SG, 23 NOVEMBER 2009

USIA baru 16 tahun tetapi telah ditebuk tupai atau hamil di luar nikah? Mungkin sebahagian daripada kita akan terperanjat dengan kenyataan sebegitu.

Mungkin sebahagian yang lain pula menganggapnya suatu perkara yang lumrah. Tapi...Ya. 16 dan mengandung.

16 and Pregnant bukanlah dokumentari yang direka-reka tetapi ia merupakan dokumentari tentang kisah sebenar pengalaman hidup remaja perempuan berusia 16 tahun.

Ia menjejak bagaimana 'budak-budak' ini meniti kehidupan mereka sewaktu bayi mereka masih dalam kandungan dan juga setelah anak itu selamat dilahirkan.

Kalau disebut sahaja perkataan dokumentari, anda pasti akan menyatakan ia tentunya membosankan.

Sebenarnya kalau dah namanya dokumentari, memanglah ia lebih banyak bercerita tentang kisah sebenar tetapi saya kira 16 and Pregnant yang disiarkan di saluran MTV Asia ini merupakan program penerangan yang disuntik unsur-unsur kool lagi 'gerek'. Anda gerenti tidak akan terlelap menontonnya.

Sewaktu sidang media bagi dokumentari tersebut diadakan baru-baru ini, pihak media berpeluang menonton episod pertama dokumentari lapan episod itu.

Setiap episod menampilkan remaja-remaja wanita berusia 16 tahun di samping menunjukkan masalah-masalah kehidupan yang berbeza yang dialami mereka. Misalnya, bagaimana penerimaan keluarga mereka apabila mereka mengandung, cabaran menjaga anak, masalah kewangan dan sebagainya.

Ia memang sesuai ditonton remaja bahkan untuk tontonan seisi keluarga kerana antara tujuan dokumentari ini ialah untuk memecahkan tembok kejanggalan antara keluarga untuk berbual tentang seks, lebih-lebih lagi dalam keadaan meningkatnya bilangan remaja yang mengalami masalah kehamilan luar nikah.

Episod pertama menampilkan pasangan Maci dan juga suaminya, Ryan. Permulaan kisah hidup mereka memang agak lumrah dalam konteks kehidupan remaja di Singapura.

Apabila anak mereka, Bentley, lahir, pasangan tersebut menjadi lebih dingin dan saling tidak bertegur sapa, berbeza daripada saat mereka menyulam cinta.

Dari raut wajah Ryan, dia tampak kesal. Tanggungjawab menjaga anak dilepaskan kepada isterinya, Maci sepenuhnya. Ryan lebih suka bersantai bersama kawan-kawannya yang lain.

Maci kini terpaksa menjaga anaknya, Bentley, sendirian tanpa kehadiran Ryan di sisi.

Ryan tetap enggan menghulur tangan membantu isterinya. Adakah pasangan ini akan berbaik semula?

Apakah kesudahan kisah mereka atau bagaimanakah Maci menempuhi liku-liku hidup menjadi seorang ibu?

Nota: 16 and Pregnant disiarkan di saluran MTV Asia, setiap Ahad, 11 pagi.

No comments: