Anak dan bapa cipta kisah kereta api dan teman-teman untuk sebar mesej kerjasama

KEMBARA sebuah kereta api di atas trek yang berliku. Kerjasama masyarakat sekeliling dan persahabatan yang terjalin.
Inilah yang menjadi teras kisah kereta api popular, Thomas & Friends, sebuah siri televisyen dan pementasan kanak-kanak yang dipadankan daripada buku-buku cereka The Railway Series, karya Rev Wilbert Awdry dan anaknya, Christopher Awdry.
Apa yang menarik ialah siri ini yang menjadi kegemaran kanak-kanak dan remaja diusahakan oleh pasangan bapa dan anak untuk meneruskan legasi mengenai sistem rel dan enjin-enjinnya di kepulauan Sodor.
Terdapat 41 buku dalam siri ini, dengan jilid pertamanya diterbitkan pada 1945. Sebanyak 26 jilid ditulis oleh Rev Awdry, manakala 14 lagi jilid diusahakan Christopher. Dua tahun lalu, Christopher muncul dengan karyanya yang ke-15 iaitu Thomas and Victoria.
Hampir kesemua kisah yang dicoretkan dalam siri ini berdasarkan kisah sebenar.
Wilbert ialah pengamat dan penggemar rel yang sejati. Justeru, beliau memastikan kisah-kisah yang dicoretkannya adalah serealistik mungkin. Watak- watak enjin dalam bukunya juga berdasarkan pengetahuannya mengenai dunia lokomotif, dengan beberapa contoh dipetik daripada pengalaman menaiki kereta api mengelilingi Britain.
Mendiang Wilbert pernah menceritakan tentang cinta pandang pertamanya terhadap kereta api. Menurutnya:
'Bapa saya dilahirkan di Hampshire dan seperti saya ialah pencinta sistem kereta api. Memandangkan kami dibesarkan dalam suasana desa, kami beruntung mempunyai beberapa teman yang tugasnya juga adalah menjaga rel kereta api.
'Saya mengingati saat-saat manis tidak dapat tidur pada waktu malam. Saya dan adik saya, George, akan baring di atas katil sambil mendengar bunyi enjin kereta api.
'Saya kemudian bertemu jodoh dengan Margaret Wale, seorang guru yang saya temui di Palestin. Hanya selepas kami berpindah ke Birmingham dan Christopher pula dilahirkan, maka kisah- kisah pertama Railway Series tercipta. Saya ingat ketika itu Christopher terkena campak dan saya pula sibuk berkarya,' katanya.
Kerana minat yang mendalam terhadap kereta api, Wilbert mencipta enjin kereta api daripada kayu untuk Christopher. Enjin itu dipanggil Thomas.
Karya pertama mengenai Thomas, yang dipanggil The Three Railway Engines, kemudian diterbitkan pada Mei 1945. Ini disusuli dengan kisah Thomas The Tank Engine dan hampir saban tahun, ada sahaja buku baru yang dihasilkan Wilbert.
Sedang beliau berkarya, beliau juga ghairah menyiapkan model-model kereta api dan peta-peta rel yang dipamerkan serata Britain. Beliau juga terlibat dalam beberapa projek pemuliharaan sistem rel.
Dua tahun sebelum pemergian Wilbert, seorang penulis dan wartawan penyiar, Brian Sibley, telah menerbitkan kisah riwayat tokoh sastera rel terkenal. Buku itu diberi nama Thomas the Tank Engine Man.
Wilbert diberi anugerah kepujian New York pada 1996 dan meninggal dunia pada usia 85 tahun pada 1997.

PERJUANGAN DITERUSKAN ANAK
Sejak usia remaja lagi, Christopher telah mula menulis rencana mengenai pemuliharaan sistem rel dan treknya. Beliau hanya mengarang beberapa kisah mengenai Thomas untuk bacaan anaknya, Richard, tetapi bukan untuk diterbitkan.
Hanya selepas dipujuk bapanya, barulah Christopher memberanikan diri menerbitkan buku Really Useful Engines.
Buku terakhirnya, New Little Engine, mengisahkan tentang sistem rel rekaan, Skarloey, yang persis struktur sistem rel Talyllyn di Wales.
BILA KARYA SASTERA DIPENTASKAN
Namun, yang paling menggembirakan bagi Christopher kini tentunya apabila melihat watak ciptaan bapanya itu menebarkan sayapnya ke pentas pementasan.
Mulai Jumaat ini, satu pementasan Thomas & Friends Live! On Stage: A Circus Comes To Town akan dipentaskan di Stadium Tertutup Singapura.
Saya berkesempatan menemui dua pelakonnya, Brendan Melafonte, yang menjayakan watak pemandu kereta api, dan Greg Pearl, yang membawa watak Sir Topham Hatt atau The Fat Controller.
Kata Greg ketika ditemui di Hotel Grand Mercure Roxy:
'Bagi saya, pementasan ini bagaikan satu persembahan rok untuk kanak- kanak.'
Beliau, bagaimanapun, menjelaskan bahawa sewaktu kecil, beliau lebih melihat watak Harold, si helikopter, sebagai idolanya kerana helikopter itu cukup istimewa dan tidak akan tersangkut pada landasan kereta api.
Bagi Brendan, idolanya ialah James, kereta api merah.
'Sewaktu kecil, saya memang sukakan warna merah dan nombor lima. Secara kebetulan, James berwarna merah dan bernombor lima!
'Namun, apabila dewasa dan melibatkan diri dalam pementasan ini, saya lebih sukakan Thomas kerana lagaknya yang keletah dan mencuit hati,' tambahnya.
Pementasan ini dijangka menarik minat bukan saja kanak-kanak, malah orang dewasa yang diharap terhibur dengan lagu-lagu ceria yang dipaparkan.
Selebihnya, seperti dalam karya The Railway Series, ada pesanan mengenai kerjasama, persahabatan dan cara terbaik menghurai masalah.
Nota: Tiket-tiket untuk pementasan 4 petang (Ahad); 4.30 petang (Jumaat dan Sabtu); 7 malam (Sabtu) dan 11 pagi (Ahad) berharga $38, $48 dan $68 dijual di kaunter Sistic.
No comments:
Post a Comment