
BERDEGAP-DEGUP jantung mereka. Mungkin itulah perasaan setiap peserta yang ingin bergelar Ma'wa Idol.
Tidak. Saya tidak tersalah.
Bukan saya ditugas menulis tentang Singapore Idol yang kemuncaknya bergema di Stadium Tertutup Singapura malam ini.
Sebaliknya, dalam kehangatan melihat siapa pula yang akan ditabalkan sebagai Idola Singapura, rumah kebajikan Darul Ma'wa juga mencari Ma'wa Idol-nya yang ketiga.
Peringkat akhir peraduan ini akan berlangsung di pekarangan rumah di Still Road itu pada 2 petang, Sabtu depan.
Ma'wa Idol bukanlah sesuatu yang baru, tetapi ia sudah bermula sejak 2007 lagi.
Tujuannya sama seperti Singapore Idol iaitu mencari seorang penyanyi yang hebat di kalangan penghuni rumah kendalian Jamiyah itu.
Yang mungkin saya rasa berbeza sedikit ialah sistem pemarkahan mereka. Juga, juara boleh bertanding semula dua tahun selepas kejuaraan mereka manakala tahun selepas kejuaraan mereka itu, mereka diberikan peranan menjadi mentor.
Untuk merebut gelaran Ma'wa Idol ini lebih sukar kerana mereka tidak menggunakan sistem undian kecuali di peringkat akhir. Jadi, semua keputusan setiap pusingan berada di tangan pengadil.
Peserta-pesertanya yang terdiri daripada para penghuni Darul Ma'wa sendiri dipecahkan kepada dua kategori - junior (pelajar peringkat rendah) dan senior (pelajar peringkat menengah). Pengadil mereka juga bukanlah calang-calang orang, termasuk beberapa penyanyi Singapura yang turut diundang seperti Wawan, Zaibaktian, Fyno dan Nana.
Daripada sejumlah 67 peserta yang memasuki pertandingan itu, hanya 25 orang layak ke pusingan suku akhir. Dan mereka yang berjaya untuk ke peringkat suku akhir turut diberi kelas-kelas vokal bagi memantapkan mutu suara mereka.
Setiap peserta juga menerima piala pusingan yang ditaja oleh kumpulan penyedia khidmat pengiring pengantin, Team Impetus.
Bak kata orang, 'kecil-kecil cili padi'. Walaupun pertandingan kecil, hadiah yang menanti juara tetap lumayan.
Juara Ma'wa Idol yang pertama, Taufiq A. Rahman, misalnya berpeluang merakamkan sebuah lagu di studio Luncai Emas milik M. Nasir.
Piala pusingan dan perkakas elektronik juga menanti pemenang.

Hadiah yang lebih menarik itu ternyata menarik minat para penghuni Darul Ma'wa, bahkan, juara dua tahun lalu, Nuraini Kannu, 15 tahun, pelajar Sekolah Menengah Telok Kurau, turut mencuba nasibnya sekali lagi.
'Selain tertarik dengan hadiah, saya juga ingin merebut peluang keemasan ini. Bagi saya, sewaktu saya memasuki pertandingan ini dua tahun lalu, suara saya macam kartun! Jadi, saya nak berikan satu kelainan kali ini,' kata Nuraini.
Peserta, dalam pada itu, bukan sahaja dapat mengasah bakat menyanyi. Selebihnya, mereka dipupuk dengan nilai-nilai murni yang memberi mereka keyakinan tinggi dan membuat mereka lebih berdisiplin.
Rahsul Bahshar, 12 tahun, pelajar Sekolah Rendah Telok Kurau, pula berkata: 'Inilah kali pertama saya memasuki pertandingan adu bakat sebegini. Memang gementar rasanya apabila berada di atas pentas.
'Saya masuk sebab nak tunjuk kebolehan saya menyanyi. Daripada pertandingan ini, saya dapat pelajari kepentingan disiplin.'
Seorang lagi peserta, Muhammad Mahathir Kannu, 14 tahun, pelajar Sekolah Menengah Broadrick, berkata: 'Pertandingan ini buat saya lebih yakin diri. Saya juga kini memiliki gaya penampilan di pentas atau showmanship. Saya memang suka sangat menyanyi dan sewaktu pertandingan peringkat lalu, saya mendendangkan lagu Spider, Rela Ku Pujuk.
Muhammad Mahathir, adik kepada Nuraini, menambah: 'Walaupun kakak saya pernah menjadi juara, saya rasa saya boleh mengalahkannya. Kelas vokal turut membantu tapi saya perlu terus berlatih.'