Monday, 30 November 2009

Kejutan manis

BERITA HARIAN SG, 30 NOVEMBER 2009

Cedar tidak menjangka rebut gelaran juara

WAJAH penuh kegelisahan dan kekecewaan jelas terpampang, sedang mereka menanti pengumuman Juara Kem Obor dibuat.

Ada yang menunduk sayu. Ada pula menatap skrin telefon bimbit.

Sangka pasukan Sekolah Menengah Perempuan Cedar, harapan untuk mereka menjulang piala Obor tipis.

Namun, pengumuman yang dibuat koresponden Berita Harian, Encik Farid Hamzah, petang Rabu lalu, mengejutkan empat gadis ini

'Betul ke? Bukan main-main?' Kedengaran Irene Cyrena, 16 tahun tertanya-tanya.

Mereka ketawa sehingga terkesan titisan air mata gembira ketika dipanggil ke tepi pentas untuk menerima hadiah berupa iPod Shuffle, baucar buku Popular dan piala Juara Kem Obor daripada penyelaras Obor, Cik Haryani Ismail.

Nur Fitriah Zakiah Misnal, 14 tahun, yang awalnya kelihatan khusyuk menatap skrin telefon bimbitnya, sempat memberitahu Cik Haryani:

'Saya baru sahaja lakar SMS, nak minta maaf dengan Cikgu Mahani. Cikgu, kami minta maaf banyak-banyak kalau kecewakan Cikgu. Nampaknya ada pasukan lebih baik. Kami dah mencuba... Selepas itu, nama sekolah kami diumumkan. Kami terkejut!'

Nur Fitriah Zakiah dan Irene Cyrena berganding bahu dengan dua lagi teman mereka, Noor Aqilah Noor Azlan, 14 tahun, dan Hana Puteri Kurnianta, 16 tahun, di dalam pertandingan yang dihadiri sekitar 108 pelajar.

Ini merupakan kali kedua Sekolah Menengah Perempuan Cedar merebut gelaran juara. Kali pertama ialah sewaktu kem kedua diadakan pada November 2006.

Apa yang mungkin membuatkan pasukan ini terkejut kerana kemenangan mereka ialah kerana mereka tidak memenangi kategori individu, iaitu 'Editor Terbaik', 'Penyunting Terbaik', 'Wartawan Terbaik' dan 'Jurufoto Terbaik' - sesuatu yang biasanya menjadi tradisi dan faktor kejayaan beberapa sekolah di kem-kem sudah.

Namun, panelis pengadil yang terdiri daripada Cik Haryani dan wartawan infografik, Cik Nur Amanina Ismail, dibantu wartawan infografik eksekutif, Encik Mohd Samad Afandie dan Editor SUTRA, Cik Hasleen Bachik, sebulat suara memilih akhbar kumpulan ini yang diberi nama iCedar sebagai juara.

'Kami memilih enam suratkhabar yang menarik dan kami tampal pada dinding bilik sidang. Kami bayangkan kalau akhbar ini dijual di pasaran, yang mana akan laku dulu. Ternyata, daya tarikan akhbar iCedar menyerlah kerana reka hiasnya kemas, foto yang digunakan juga besar, jelas dan menarik, ditambah dengan nama akhbar yang disusun vertikal, berbanding nama akhbar pasukan lain yang diletakkan mendatar,' jelas Cik Haryani.

Apabila ditanyakan tentang perasaan pasukannya apabila diumumkan sebagai pemenang, Nur Fitriah Zakiah, berkata:

'Tentu sekali kami rasa gembira tetapi terkejut juga sebab kami memang tidak menyangka kami akan menang. Kami juga tidak mempunyai banyak persiapan bahkan kami diberitahu oleh guru kami lewat tentang kem ini.

'Lagi pun, kami lihat banyak kumpulan lain yang lebih baik dan begitu on gigih membuat persiapan terperinci.'

Bagi Irene Cyrena, kem selama tiga hari itu memang agak memenatkan sebab saban hari, sembilan jam lamanya dihabiskan di auditorium News Centre, Toa Payoh North, atau dalam perjalanan menjejak berita di Pusat Sains Singapura.

'Tetapi demi ilmu, tidak mengapalah,' katanya tersenyum.

Apabila disentuh tentang ilmu, Hana Puteri pula mencelah: 'Di Kem Obor, kami dapat menimba banyak ilmu pengetahuan terutama sekali dalam bidang media atau penghasilan akhbar .

'Kami juga tahu bagaimana suratkhabar itu diproses dan yang penting sekali saya dapat memperbaiki lagi penggunaan bahasa Melayu saya,' ujar Hana Puteri sambil tersenyum.

Saya juga diberitahu ada pertelingkahan di antara mereka berlaku sewaktu menyiapkan akhbar ini. Betul ke?

'Memang ada. Ia berlaku sewaktu kami sibuk memilih foto. Dah banyak sangat foto. Jadi, masing-masing ada pilihan tersendiri.

'Walaupun dalam keadaan begitu, kami tahu yang kami tetap perlu memilih satu sahaja foto. Lantaran itu, kami menyemak kelebihan dan kekurangan setiap foto. Akhirnya, pilihan sepakat dibuat,' tambah Irene Cyrena lagi.

Senyap saja Noor Aqilah? Soalan untuk anda pula ya? Selama tiga hari ni, mesti ada satu acara yang anda suka. Boleh beritahu kami?

'O.K. saya suka sidang akhbar bersama naib juara Anugerah 2009, Kunjung Whitaker. Beliau memang pandai bergaul dengan kita.

'Lagi pun, ini merupakan kali pertama saya mewawancara Kunjung dan bukannya selalu kami dapat interviu selebriti. Apabila nak interviu beliau tu, rasa gementar sangat,' jawab Noor Aqilah, ringkas.

Ucapan tidak terhingga mereka kepada Cikgu Mahani Ahmad kerana mewakilkan mereka ke kem itu. Jutaan penghargaan juga kepada anggota keluarga mereka yang memahami situasi apabila mereka pulang lewat ke rumah dek tuntutan tugasan kem.

Nota: Interviu dengan naib juara Kem Obor dan pemenang tempat ketiga akan disiarkan minggu depan.

Tuesday, 24 November 2009

Ingin Datang Lagi

BERITA HARIAN SG, 24 NOVEMBER 2009

Melenggang hai melenggang
dengan tari lenggang,
kalau baik hati nanti
orang pun sayang.
Dari KLIA ke negeri Pahang,singgah sekejap
di Kuala Lumpur...

EWAH! Gembira rasa hati saya dapat ke Pahang. Yalah, mana tidaknya? Walaupun tidak dapat ke Kuala Lipis, tempat kelahiran Siti Nurhaliza (penyanyi idola saya), dapat 'bau-bau' Pahang pun jadilah.

Saya antara lima pelawat dari Singapura yang dijemput pihak Persatuan Homestay Malaysia dan Pelancongan Malaysia bagi acara homestay atau tinggal dengan keluarga angkat di rumah mereka di Pahang.

Selain pelawat dari Singapura, yang lain adalah dari Phuket, Bangkok dan Medan.

Hati saya sungguh teruja saat berangkat mulai 8.30 pagi dari

Kuala Lumpur ke Pahang. Perjalanan kami mengambil masa empat jam. Meskipun jauh, kehijauan alam semula jadi di sekeliling membuat saya cukup berasa santai hingga tertidur.

Kami tiba di Homestay Kampung Baru Salong dekat Pekan, Pahang, sekitar 1 petang. Riuh dan kecoh! Kami disambut macam pengantin kerana ada paluan kompang yang berdentam-dentum memecah kesunyian kampung itu.

Kehausan kami dilegakan apabila orang-orang kampung menghidangkan kami dengan air kelapa yang segar dan baru dipetik. Dahlah sejuk, sedap pula tu.

Jamuan tengah hari di Dewan Mempelas sungguh lazat sekali. Ada ikan patin goreng, itik masak lemak, sayur-sayuran dan sambal belacan.

Selepas menjamu selera kami diberi keluarga angkat masing-masing. Di rumah merekalah kami akan bermalam. Menurut seorang datuk angkat saya, Encik Abdul Malek, yang lebih dikenali sebagai Cu Dolah, terdapat sebanyak 100 buah rumah di kampung itu dan sekitar 300 penduduk. Sempat juga saya beramah mesra dengannya. Ikutkan hati, macam ingin tinggal seminggu dua di sana, tetapi tiada kesempatan.

TASIK CINI

Kami kemudian diajak ke Tasik Cini. Di situ khabarnya ada naga, tetapi mungkin cerita dongeng semata. Saya tidak nampak pun!

Kami semua diajak menaiki bot mengelilingi tasik itu. Pem

andangannya memang luas dengan pohon-pohon hijau dan bukit-bukau serta angin yang bertiup perlahan. Terpesona saya dibuatnya.

Di situ juga terdapat Lubang Ular di mana ada ular besar yang dikatakan keluar dari situ.

Kami kemudian ke Tanjung Puput yang mengambil masa perjalanan sekitar sejam. Tempat ini merupakan kediaman orang asli Jakun. Apabila disebut orang asli, seperkara yang timbul dalam fikiran saya ialah 'cawat'. Tetapi jangkaan saya meleset. Mereka berpakaian biasa saja seperti kita.


Dari Tanjung Puput, kami kembali ke kampung keluarga angkat kami. Malam itu kami dihiburkan dengan persembahan nasyid dan lagu-lagu zaman Sanisah Huri. Saya turut diajak menari tarian orang asli. Mudah sekali tarian mereka. Anda hanya perlu pusing keliling sahaja.

Sambil menikmati persembahan, kami diberi makan ayam percik dan nasi goreng. Semua pelawat dari tiga negara turut diminta membuat persembahan. Kira-kira jam 12 tengah malam barulah kami pulang ke rumah homestay masing-masing. Mulanya saya ingat ingin pakai kain pelekat seperti orang kampung, tetapi apabila fikir kalau nanti lipas atau cicak masuk ke dalam kain, saya ubah fikiran.

SEDIH

Esok harinya sebaik saja matahari timbul, kami bersiap-siap untuk meninggalkan kampung itu. Sedih rasanya. Kalaulah ada kesempatan ke Pahang lagi, memang ingin saya ke sana.

Sempat saya berbual dengan Encik Zainal Abidin Ibrahim yang bertanggungjawab menguruskan homestay kami.

'Di sini biasanya kami ada banyak aktiviti yang dilakukan bersama-sama orang kampung seperti bersukan, konsert dan barbeku. Kami juga ada guest house untuk mereka yang segan tinggal bersama pemilik rumah. Harganya sekitar RM50 ($20.50) sahaja.'

Seorang ibu yang juga mengendali sebuah rumah homestay, Cik Fauziah Ahmad, berkata: 'Homestay ini bagus untuk penduduk di sini kerana kita pun akan mendapat pendapatan.

Mula-mula, program ni memang tak selesa, tapi selepas dah lama, rasa macam biasa. Saya memang dah ramai sangat anak angkat menerusi program ini dah tak terkira. Saya dah anggap mereka macam saudara saya sendiri.'

Pada pagi Sabtu itu, kami bersarapan dengan keluarga angkat kami di Dewan Mempelas.

Sebelum berangkat ke Kuala Lumpur, kami singgah ke Pusat Tenun Pahang yang terletak berdekatan dengan Dewan Mempelas.

Untuk mereka yang ingin maklumat lanjut mengenai homestay di Malaysia, sila ke laman web www.motour.gov.my

Nota: Penulis, 18 tahun, ialah pelajar Madrasah Aljunied Al-Islamiah.

APA HARUS DIBAWA

Lima benda yang harus dibawa sewaktu homestay

  • Ubat pencegah serangga supaya serangga tidak mendekati.
  • Baju dan seluar panjang agar tidak digigit nyamuk.
  • Mi segera sekiranya anda tinggal di guest house dan tiada makanan apabila kelaparan.
  • Sabun jika tidak mahu kongsi dengan tuan rumah.
  • Lilin atau lampu suluh jika anda hendak keluar malam.

  • Persiapan mental

  • Tempat yang dilawati mungkin banyak nyamuk.
  • Cuaca panas dan tiada alat hawa dingin.
  • Bersiap sedia mandi pagi dengan air sejuk kerana tiada alat pemanas air.
  • Monday, 23 November 2009

    Bila hamil belum waktunya...

    BERITA HARIAN SG, 23 NOVEMBER 2009

    USIA baru 16 tahun tetapi telah ditebuk tupai atau hamil di luar nikah? Mungkin sebahagian daripada kita akan terperanjat dengan kenyataan sebegitu.

    Mungkin sebahagian yang lain pula menganggapnya suatu perkara yang lumrah. Tapi...Ya. 16 dan mengandung.

    16 and Pregnant bukanlah dokumentari yang direka-reka tetapi ia merupakan dokumentari tentang kisah sebenar pengalaman hidup remaja perempuan berusia 16 tahun.

    Ia menjejak bagaimana 'budak-budak' ini meniti kehidupan mereka sewaktu bayi mereka masih dalam kandungan dan juga setelah anak itu selamat dilahirkan.

    Kalau disebut sahaja perkataan dokumentari, anda pasti akan menyatakan ia tentunya membosankan.

    Sebenarnya kalau dah namanya dokumentari, memanglah ia lebih banyak bercerita tentang kisah sebenar tetapi saya kira 16 and Pregnant yang disiarkan di saluran MTV Asia ini merupakan program penerangan yang disuntik unsur-unsur kool lagi 'gerek'. Anda gerenti tidak akan terlelap menontonnya.

    Sewaktu sidang media bagi dokumentari tersebut diadakan baru-baru ini, pihak media berpeluang menonton episod pertama dokumentari lapan episod itu.

    Setiap episod menampilkan remaja-remaja wanita berusia 16 tahun di samping menunjukkan masalah-masalah kehidupan yang berbeza yang dialami mereka. Misalnya, bagaimana penerimaan keluarga mereka apabila mereka mengandung, cabaran menjaga anak, masalah kewangan dan sebagainya.

    Ia memang sesuai ditonton remaja bahkan untuk tontonan seisi keluarga kerana antara tujuan dokumentari ini ialah untuk memecahkan tembok kejanggalan antara keluarga untuk berbual tentang seks, lebih-lebih lagi dalam keadaan meningkatnya bilangan remaja yang mengalami masalah kehamilan luar nikah.

    Episod pertama menampilkan pasangan Maci dan juga suaminya, Ryan. Permulaan kisah hidup mereka memang agak lumrah dalam konteks kehidupan remaja di Singapura.

    Apabila anak mereka, Bentley, lahir, pasangan tersebut menjadi lebih dingin dan saling tidak bertegur sapa, berbeza daripada saat mereka menyulam cinta.

    Dari raut wajah Ryan, dia tampak kesal. Tanggungjawab menjaga anak dilepaskan kepada isterinya, Maci sepenuhnya. Ryan lebih suka bersantai bersama kawan-kawannya yang lain.

    Maci kini terpaksa menjaga anaknya, Bentley, sendirian tanpa kehadiran Ryan di sisi.

    Ryan tetap enggan menghulur tangan membantu isterinya. Adakah pasangan ini akan berbaik semula?

    Apakah kesudahan kisah mereka atau bagaimanakah Maci menempuhi liku-liku hidup menjadi seorang ibu?

    Nota: 16 and Pregnant disiarkan di saluran MTV Asia, setiap Ahad, 11 pagi.

    Pertarungan berdarah muncul depan mata

    BERITA HARIAN SG 23 NOVEMBER 2009

    SPLASH! Ini bukan bunyi pancutan air tetapi pancutan darah. Itulah yang dapat anda jangkakan bagi filem Ninja Assassin ini.

    Bertepatan dengan tema lasaknya, filem ini memang sesuai ditonton oleh golongan yang suka bergasak.

    Dari awal filem ini sahaja, ia seakan memberitahu anda bahawa banyak lagi keganasan dan pertempuran yang dapat dijangkakan dalam filem ini. Selain daripada pertempuran yang dapat anda lihat daripada filem ini, ada juga diselitkan unsur-unsur humor dan percintaan.

    Filem ini menceritakan tentang Raizo (Rain, artis Korea) yang diambil oleh gurunya, Ozunu Clan dari jalanan. Beliau kemudiannya dibesarkan di institusi di mana beliau dan anak yatim yang lainnya mempelajari seni mempertahankan diri.

    Sejak dari kecil lagi, beliau telah diajar secara zalim. Raizo dan temannya yang lain seakan tidak mempunyai hati dan perasaan simpati hinggalah temanitanya sewaktu di institusi itu

    menyedarkannya.

    Antara ramai pelajar yang belajar dengan Ozunu Clan hanya Raizo sahaja yang mempunyai perasaan belas simpati.

    Temanitanya itu kemudian dibunuh kejam di hadapannya oleh seorang pelajar membuatkan Ozunu telah berjanji bahawa pembelot itu akan dibayar dengan darah.

    Dengan perasaan dendam dan marah, Raizo melarikan diri dari institusi itu.

    Di Berlin pula, Naomie Harris sebagai Mika dan kawan sepejabatnya, Ryan, memfailkan kes pembunuhan yang berkaitan dengan politik dan Mika mendapati bahawa Ozunu Clan terlibat dalam komplot itu.

    Ozunu kemudian tahu bahawa siasatan sedang dijalankan. Mika kemudian diburu.

    Raizo menyelamatkan Mika daripada ancaman pelajar Ozunu. Ryan kemudian menyangka bahawa Raizo adalah orang jahat. Ryan menghubungi Mika bertanyakan apakah dia sudah selamat.

    Ryan meminta untuk berjumpa Mika dan Raizo. Raizo kemudiannya ditangkap walaupun Mika cuba memberitahu duduk perkara sebenar.

    Persoalannya di sini, bagaimanakah nasib Mika? Apakah beliau akan terus diburu sehingga mati ataupun Raizo dapat keluar dari penjara? Jawapannya dapat diketahui apabila anda menonton Ninja Assassin di pawagam.

    Satu pengajaran yang dapat diambil ialah melentur buluh biar dari rebungnya. Raizo yang pada awalnya terus diseksa sewaktu pembelajaran seni mempertahankan diri terus tabah dan tidak mengalah. Berkat kesungguhannya, beliau sukar ditumpaskan.

    Filem ini hanya untuk tontonan mereka yang berusia 18 tahun ke atas kerana adegan keganasan. Bagi anda yang takutkan babak-babak keganasan, saya syorkan anda agar tidak menontonnya kerana filemnya bagaikan suatu realiti dengan kesan darah dan muzik yang menyeramkan.

    Monday, 16 November 2009

    Seks kool? Fikir dulu...

    BERITA HARIAN SG, 16 NOVEMBER 2009


    MTV dekati remaja dengan dokumentari realiti di Barat

    'Buat seks kool ah.'
    'Ingatkan nak 'ringan-ringan' sekali... syok sangat.'
    'Alah, paling-paling mak dengan ayah marah sekejap aja lepas tu semua benda dah macam biasa semula.'

    WAH! Kes ini memang tidak boleh diambil ringan. Dengan kadar kehamilan remaja yang semakin meningkat hari demi hari, apa yang remaja dan ibu bapa sendiri dapat lakukan? Itulah yang saya bincangkan bersama tiga pakar dan seorang VJ saluran kabel MTV.

    Semasa sidang media bagi dokumentari 16 and Pregnant dilancarkan, sempat saya menemuramah VJ MTV, Denise Keller, dan bertanyakannya tentang pendapat mengenai isu ini.

    Katanya:

    'Perkara ini memang membimbangkan dan semakin hari jumlah yang hamil semakin meningkat. Oleh kerana itu, saluran MTV mengambil plot dokumentari 16 and Pregnant ini bagi tontonan remaja setempat agar ia dapat membuat remaja lebih memikirkan kesan serta tindak balas daripada kehamilan sewaktu usia remaja itu sendiri.'

    Personaliti TV itu sempat berpesan dengan menekankan: 'Anda bertanggungjawab terhadap apa yang dilakukan.'

    Mungkin anda tertanya-tanya apakah cara terbaik untuk menangani masalah ini. Justeru, saya tanyakan tiga orang yang selalu berdepan dengan masalah ini.

    Ketiga-tiga mereka mengatakan bahawa pembelajaran seks bagi ibu bapa amat penting.

    Mereka yang saya maksudkan ialah Naib Presiden Persatuan Perancangan Keibubapaan Singapura (SPPA), Dr Sundardas D. Annamalay; Ketua Unit Kaunseling Persatuan Persuratan Pemuda Pemudi Melayu (4PM), Cik Nadia Hamid Bamasri; dan Pengasas Eros Coaching Pte Ltd, Dr Martha Lee; yang juga pakar seksologi klinikal.

    Soalan (S): Apakah agaknya pendapat anda tentang mendidik anak mengenai seks itu sendiri?

    Dr Sundardas (DS): Seseorang anak itu mesti diajar sewaktu kecil lagi bahkan sejak umurnya 13 atau 14 tahun. Pada usia itu, anda bolehlah mengajar mereka bagaimana hendak membuka lampin bayi. Bukan sahaja memberikan mereka peluang bermain dengan bayi malah menjaga bayi itu dengan lebih rapi lagi.

    Cik Nadia Hamid Bamasri (NH): Ibu bapa harus bersikap lebih terbuka dengan anak mereka atau kerana biasanya apabila anak mereka tanyakan tentang seks, mereka akan katakan, 'Seks itu adalah tidur bersebelahan atau cium.' Jadi itu tidak menggambarkan tentang perihal yang sebenar.

    Dr Martha Lee (DM): Ibu bapa patut mengajar mereka sejak lahir lagi. Sejak kecil lagi, ibu bapa tidak harus mengatakan kemaluan anak itu sebagai satu yang janggal atau pelik seperti memanggilnya 'tempat bawah sana' atau 'tempat kotor' kerana anak itu sendiri akan fikir benda ini salah ataupun tidak boleh diperbualkan. Ini boleh memberi impak bagi masa panjang kerana saya ada seorang pelanggan yang mempunyai fobia dan tidak tahu anggota tubuhnya sendiri.

    S: Selain daripada mendidik anak, saya yakin ibu bapa juga perlu diajar sama. Pandangan anda?

    NH: Kita memang ada kelas yang boleh ibu bapa ikuti tetapi mereka katakan yang mereka tidak punya masa.

    S: Dr Sundardas, anda seorang bapa, jadi rasanya bagaimana anda berbual dengan anak anda? Dan bagaimana cara mendidik anak itu sendiri?

    DS: Saya berfikiran terbuka dengan anak-anak saya sendiri. Dan saya rasa, ibu bapa juga harus mengadakan perbualan yang kerap dengan anak mereka supaya hilang kejanggalan.

    Jika ibu bapa tidak mahu berbual dengan mereka tentang isu ini sebaliknya menyuruh mereka mencari dengan sendirinya, mereka sebenarnya telah hilang kesempatan berbual bersama anak-anak mereka.

    S: Apa pula pendapat anda tentang media?

    DS: Saya rasa media juga bersalah terhadap isu ini kerana, biasanya jika mereka mahu menjual aiskrim, mereka 'jual' seks, mereka mahu jual rokok, mereka 'jual' seks, begitu juga dengan barangan yang lain. Media biasanya menggunakan wanita-wanita seksi untuk produk mereka sebab itulah saya katakan mereka 'menjual' seks.

    NH: Media menjalankan tanggungjawab mereka dengan adanya dokumentari seperti Hanyut dan juga Seksa tetapi jika ibu bapa tetap tidak mahu berfikiran terbuka ia tetap kekal sebagai masalah sebenarnya.

    S: Cik Nadia, anda seorang kaunselor, ada yang paling rumit yang anda tangani?

    NH: Ada, masalahnya dengan seorang remaja yang diperkosa atau dicabul sejak umurnya 10 tahun lagi. Pada umurnya 11 tahun, dia sudah hamil. Dia juga menggugurkan sebanyak enam kali dan hamil sebanyak tujuh kali.

    Masalah yang pelik pernah saya tangani ialah tentang seorang remaja yang mengadakan seks hanya kerana mahukan bayi. Dan dia mahu bayi itu tidak mencontohinya. Selepas dia melahirkan, dia berubah dan tidak ke kelab-kelab ataupun minum arak.

    S: Dr Martha dan Dr Sundardas, biasanya remaja fikir apabila mereka sudah ada kerja sambilan mereka sudah berkemampuan. Pendapat anda?

    DM: Anda memang bekerja tetapi dalam umur yang belum cukup dewasa pastinya tahap pembelajaran anda belum cukup tinggi. Tentu sekali gaji anda sedikit, mungkin $5 sejam. Orang lain mungkin kerja sama waktu dengan anda tetapi mereka dapat gaji yang lebih kerana pendidikan tinggi. Dan tentu sekali, duit merupakan satu prioriti dalam kehidupan kita masa kini.

    DS: Kerja memang kerja, tetapi sudahkah anda kira angka-angka perbelanjaan nanti? Di mana anda harus membiayai kos menjaga anak, isteri anda sendiri, duit makan, perubatan dan sebagainya. Kalau anda seorang remaja, anda harus pandai menjaga diri. Jika diri sendiri tidak terjaga masakan hendak berkahwin? Tunggulah sehingga dapat kerja yang tetap.

    S: Dr Sundardas, apa pendapat anda tentang remaja yang berfikiran, seks itu kool tetapi melakukannya sebelum berkahwin lebih kool?

    DS: Bagi saya, untuk golongan dewasa mungkin terkecuali tetapi bagi remaja, anda sedang membuat satu lagi masalah bagi diri anda sendiri.

    S: Dr Martha, mengapa remaja masih tetap mahu mengadakan seks walaupun mereka tahu ia dilarang?

    DM: Pada pendapat saya, mereka mungkin memikirkan secara jangka pendek. Dengan adanya bencana-bencana alam seperti gempa bumi dan taufan mereka rasa kehidupan itu pendek sebab itulah mereka mahu mengadakan hubungan tersebut. Orang tua memang menyuruh mereka berfikiran jauh tetapi mereka belum dapat menerima konsep tersebut.

    S: Baiklah, sebagai penutup, apakah pesanan anda?

    NH: Bagi saya, berbual tentang masalah ini jika anda mengalaminya dengan orang- orang yang anda percayai seperti ibu bapa ataupun talian hotline seperti Nur Teens Line dan lainnya.

    S: Dr Sundardas pula, kata-kata akhir daripada anda?

    DS: Berseronoklah! Berpestalah! Tetapi ingat, apabila anda berpesta dan berkenalan dengan seseorang yang baru, ia harus bermula dan berhenti di pesta itu sendiri tetapi jika ia berterusan, anda mungkin sedang berada dalam masalah besar.

    S: Dr Martha, bagaimana pula dengan kata-kata penggulung anda?

    DM: Bagi saya, remaja harus bersedia dalam tiga perkara iaitu kewangan, emosional dan juga secara fizikal sebelum berkahwin.

    Itulah sedikit sebanyak dialog antara saya dengan mereka menyusuli tayangan dokumentari 16 and Pregnant.

    Masalah ini memang dilema di seluruh dunia dan Singapura juga tidak terkecuali. Oleh itu, langkah MTV menayangkan cerita itu merupakan usaha yang cukup baik.

    Nota: '16 and Pregnant' disiarkan di saluran MTV mulai 22 November, 11 pagi.