Monday, 29 December 2008

PAHATKAN AZAM BARU DI HATI

Berita Harian SG, 29 Disember 2008


"Usah buat-buat lupa niat baik "


APABILA kita menjejakkan kaki kita ke tahun baru, satu perkara pasti hangat diperbualkan. Azam. Tidak dapat dinafikan, setiap individu, tanpa mengira peringkat usia, tua atau muda; tanpa mengenal jantina, lelaki atau wanita, pastinya ada menyimpan azam baru. Bukan begitukah?
Kalau tidak semua yang ada azam, pastinya sebahagian besar yang lain ada azam untuk tahun 2009 atau awal Muharram.
Hakikatnya tahun 2008 akan ditinggalkan. Hari ini pula kita menyambut 1 Muharam 1430. Sudahkah azam lama anda tercapai? Apa? Anda gagal? Tidak mengapa. Usah putus asa. Kita harus ingat azam itu hanyalah perancangan kita tetapi selebihnya yang di atas sana yang menentukan.
Kata orang dulu-dulu, rambut sama hitam, hati lain-lain tetapi diikutkan kata saya, walaupun rambut dah tak sama hitam lagi, hati dan azam tetap lain-lain.
Ada yang berazam untuk menguruskan badan, ada yang mahu berhenti menghisap rokok, ada pula yang mahu bangkit daripada kegagalan lama dan macam-macam lagi.
Dalam merealisasikan azam, anda tidak hanya boleh mengatakan 'Saya mahu'. Anda harus melakukan sesuatu terhadap azam anda. Contohnya, anda mahu kurus tetapi anda tidak mengamalkan gaya hidup sihat, tidak bersenam dan makan tanpa mengira kandungan kalori dan kemudaratannya.
Kalau begitu, lebih baik anda tukarkan azam anda kepada, 'Saya ingin gemuk.' Bukankah itu lebih sesuai?
Saya ada dua tip serta panduan kerdil untuk dikongsi bersama anda kali ini.
Pertama, letakkan azam yang ditulis itu di tempat-tempat yang mudah anda lihat. Contohnya, catatkan azam anda di kertas yang kecil agar mudah anda selitkan di dalam dompet anda.
Jadikan kertas itu menarik dengan menghiasnya atau menggunakan kertas berwarna atau berkerawang. Dengan meletakkan di tempat yang anda mudah lihat, diharapkan agar setiap kali anda melihatnya, anda akan terdorong untuk mencapai azam baru anda itu.
Jika anda yang memang tidak gemar menulis atau menganggap menghias kertas itu agak leceh atau anggap ia hanya kerja wanita, anda boleh sahaja gunakan teknologi terkini iaitu dengan menaip azam anda pada komputer atau telefon bimbit.
Cara ini berfungsi sebagai peringatan. Setiap kali azam anda terpancar di skrin alat canggih ini, anda akan terdorong untuk mengecapi azam tersebut.
Selain meletakkan di dompet ataupun alat teknologi terkini, anda juga boleh melekatkan azam itu di dalam bilik anda seperti di meja komputer anda, almari anda, pintu anda dan sebagainya.
Penampal atau sticker seperti yang diberikan Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) bagi menggalak penjimatan elektrik memang sesuai sekali ditampal.
Pintu bilik dan almari juga adalah tempat yang strategik untuk menampal azam anda kerana tempat-tempat itu sering dilintasi dan tangan ini akan mencapainya apabila anda hendak masuk ke bilik ataupun menukar pakaian.
Cara yang terakhir pula adalah untuk berkongsi azam tahun baru anda dengan rakan baik anda. Bagi saya, ini adalah cara yang bijak dan terbaik sekali.
Ini adalah kerana rakan anda dapat mengingatkan azam anda sekiranya anda terlupa. Iyalah, sudah namanya manusia... tidak lari daripada sifat terlupa atau sengaja buat lupa!
Langkah ini saya katakan lebih baik kerana rakan anda akan mampu menegur anda tidak seperti kertas-kertas atau nota-nota yang ditampal hingga pada masa anda berputus asa, anda hanya akan mengoyakkan atau melayangkannya ke mulut tong sampah.
Pesan akhir saya: 'Jangan jadikan azam anda setakat hangat-hangat tahi ayam sahaja.' Sekian, selamat berazam saya ucapkan. Selamat tahun baru dan selamat menyambut Maal Hijrah 1430.

Monday, 1 December 2008

Tiada putus usaha walau jaya atau gagal


BERITA HARIAN SG, 1 DISEMBER 2008

KONTRAS. Itulah sekitar tajuk perbincangan kita kali ini. Sebelum saya bermula, tahukah anda apa maksud kontras?
Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, ia bermakna perbezaan yang sangat nyata. Contohnya, hitam dengan putih, diri dengan duduk, bangun dengan tidur dan bermacam-macam lagi. Ianya lebih dikenali sebagai kata berlawan.
Pada kali ini, kontras yang akan saya katakan adalah mengenai natijah atau keputusan peperiksaan.
Kontras yang dimaksudkan adalah lulus dan gagal. Iyalah, saya yakin sebahagian daripada kita sudah dapat tahu keputusan peperiksaan. Sudah tentu ada kontrasnya: masam dan manis, lebih-lebih lagi bagi mereka yang baru dapat keputusan Peperiksaan Tamat Sekolah Rendah (PSLE) pada 20 November lalu.
Yang mana agaknya patut saya mulakan ya? Yang buruk atau yang baik? Baiklah, kita ikut pepatah Inggeris: 'Save the best for last.' (Simpanlah yang terbaik untuk di penghujungnya). Saya mulakan dengan kegagalan.

GAGAL

Bayangkan, anda di hadapan guru darjah anda yang berwajah kecewa dengan buku rekod anda di tangannya, sambil digeleng-gelengkan kepalanya.
Kemudian anda dengar beliau berkata, 'Maaf, anda gagal.' Kata-katanya berdesut di telinga!
Sememangnya kegagalan itu sendiri tidak diingini dalam hidup setiap orang, lebih-lebih lagi pelajar yang mana akan saya berikan tumpuan utama pada perbincangan kali ini.
Saya faham, ada di antara kita mungkin sudah dapat keputusan yang kurang baik ataupun kurang berjaya.
Bukanlah niat saya berkata mengenai hal ini untuk memperkecilkan sesiapa tetapi saya berharap rencana ini sedikit sebanyak dapat membangkitkan semangat dan memberi inspirasi pada anda. Jika anda belajar, anda memang layak untuk berjaya.
Mungkin kali ini nasib tidak menyebelahi anda. Yakinlah pada diri dan doa anda. Mungkin juga punca kegagalan anda adalah bersebab daripada usaha anda yang kurang. Contoh yang terang adalah waktu belajar kita. Jika kita belajar lewat dan hanya mengulangkaji sejam wajarkah keputusan kita dibandingkan dengan orang yang belajar lebih awal dan lebih lama daripada kita? Tentu sekali tidak bukan?
Kegagalan bukan bermakna ia adalah titik noktah buat anda. Padamlah titik noktah itu dan catatlah destinasi perjalanan pembelajaran anda berterusan.
Jika hari ini anda gagal dan berputus asa, pada hari-hari yang mendatang dan mencabar, anda mungkin akan lebih gagal lagi.

BERJAYA

Suatu perkataan yang menggembirakan lagi menceriakan. Satu kepuasan terhadap usaha anda selama bertahun-tahun lamanya belajar. Tidak kira posisi anda di kelas. Yang terpenting sekali anda berjaya dan lulus ke peringkat seterusnya. Itulah harapan sesetengah pelajar termasuk saya.
Apabila kita berjaya, jangan lupa pada guru-guru kita. Jangan pula kita ingat yang ilmu kita sudah melebihi mereka.
Jika mereka tersalah ia tidak bermaksud taraf anda melebihi mereka. Mungkin mereka tersalah kerana terlalu banyak ilmu yang 'disumbat' di fikiran. Iyalah, sudah namanya gurulah katakan. Sebesar mana kad memori mereka pun, belum tentu mencukupi. Jangan kail hanya sejengkal lautan hendak diduga!
Kita juga hendaklah bersyukur pada Tuhan atas nikmat yang diberikan. Mungkin dengan membuat sujud syukur atau amalan lainnya. Siapa tahu jika kita tidak bersyukur, esok lusa ditarik-Nya nikmat itu? Menangis pula nanti.
Untuk berjaya tidak susah. Anda harus berusaha. Ada yang kata, saya sudah berusaha tetapi kenapa saya gagal?
Kan dah saya beritahu, mungkin anda kurang usahanya. Berpadalah, jika anda gagal dengan mendapat 30% pada mulanya dan peperiksaan anda mendapat 45% selepas itu.
Ia sudah boleh dikatakan suatu kejayaan. Jangan terkejut ya! Dengan prestasi yang diperolehi itu, ia bermakna bahawa anda sudah berjaya membuat satu peningkatan.
Penulis buku, Paul Arden dalam sebuah buku inspirasinya ada mengatakan, 'Fail, fail again, fail better.'
Walau berapa kali pun kita gagal tetapi setiap kali kita gagal tetapi membuat peningkatan markah, itu petanda prestasi kita semakin naik. Kita sepatutnya gembira dan bangga. Tambah lagi usaha anda dan pasti di masa akan datang anda akan kecapi kejayaan.
Kemewahan seperti dengan adanya kelas tuisyen tidak menjanjikan kejayaan seperti slogan Ikea: 'You don't have to be rich to be clever.' Yang penting sekali, fikiran! Andalah yang menentukan sama ada anda hendak berjaya atau tidak. Tingkah laku anda menentukan kedudukan anda.
Sekian sahaja rencana saya untuk kali ini. Semoga rencana ini sedikit sebanyak dapat memberi inspirasi buat anda.
Ingat, untuk berjaya anda harus fikirkan kejayaan kerana anda adalah apa yang anda fikirkan. Isy, macam lirik lagu pula ya

Monday, 3 November 2008

Amah juga manusia



BERITA HARIAN SG, 10 NOVEMBER 2008

AMAH, orang gaji dan pembantu. Tiga perkataan sering kita anggap serupa tetapi apabila dirujuk pada kamus, nyatanya membawa makna yang ketara berbeza.
Ketiga-tiga perkataan ini telah saya rujukkan dalam Kamus Dewan (Edisi Keempat).
Pertama sekali amah. Ia bermaksud perempuan yang bekerja sebagai pembantu rumah atau orang gaji. Orang gaji pula bererti hamba, bujang, babu ataupun orang pinjaman atau sewaan (dengan kontrak dan lain-lain lagi).
Pembantu pula membawa makna orang yang membantu dan penolong. Berbeza bukan maknanya? Saya bukan hendak perkatakan tentang orang gaji mahupun pembantu pada kali ini tetapi amah.
Kalau mengikut sebutan dan makna amah dalam bahasa Arab, ia bererti hamba. Saya kira ada sebahagian yang mengambil kira makna amah dalam bahasa Arab dan menggunakannya terhadap amah-amah mereka. Mereka memperhambakan si amah itu.
Ada yang menganggap amah itu sebagai punching bag, ataupun beg yang digunakan untuk ditumbuk-tumbuk apabila tidak berpuas hati.
Cakap mudahnya, tempat melepaskan geram. Ada pula yang ingin membuat eksperimen dengan 'kononnya' ingin menjadi doktor gigi kepada amahnya sehinggakan sanggup mencabut gigi amah malang itu!
Anggapan dan keinginan sebegitu sepatutnya diluputkan kerana amah bukanlah bahan eksperimen. Mereka mencari rezeki di rantau orang. Jauh daripada keluarga mereka.
Tidak kurang seperti kita, mereka juga mempunyai otak yang boleh memberitahu apa yang menyakitkan dan mencederakan diri mereka. Perasaan seperti gembira, sedih dan takut juga ada dalam diri mereka.
Dengan rencana saya kali ini, saya berharap agar kita dapat meningkatkan kesedaran kita terhadap golongan amah ini. Anda harus bayangkan diri anda sebagai diri mereka. Mahukah anda dihina dan dicerca?
Mahukah anda didera, dipukul dan disebat? Tentu sekali tidak mahu bukan?
Media setempat pada 17 Oktober lalu menyiarkan laporan mengenai amah yang didera. Itu bukanlah masalah pertama yang didengari di Singapura.
Sebelum ini juga terdapat berita sedemikian rupa, bahkan, ada yang mungkin lebih teruk. Begitulah nasib si amah. Mereka ke sini dengan harapan dapat mencari rezeki yang halal buat menampung keluarga mereka. Malangnya di sini, mereka didera.
Mendera amah adalah suatu perkara yang kita tidak mampu ambil ringan. Saya kira seperkara lagi yang lebih teruk daripada mendera adalah menghina.
Kononnya, anda memanggilnya dengan nama-nama yang kurang elok atau memaki hamun mereka. Ini dapat merosakkan jiwa dan mentaliti mereka di samping menyakitkan hati.
Ini juga boleh dikira sebagai faktor mengapa ada di antara pembantu ini yang sanggup membunuh diri dek tekanan yang diberikan oleh majikan.
Berbaiklah dengan amah anda. Ia tidak bererti mengiyakan sahaja apa yang dibuatnya apabila tersalah. Ada kalanya, mereka tersilap langkah seperti kita.
Mungkin untuk kali yang pertama kita menegurnya dengan baik. Janganlah terlalu emosi sehinggakan kesilapan yang kecil itu dibayar dengan rembatan atau sebatan.

Monday, 20 October 2008

ADAB BERAYA ANAK MELAYU

BERITA HARIAN SG, 20 OKTOBER 2008

ADAB beraya? Aik, nak beraya pun mesti beradabkah? Mungkin sebahagian rasa agak janggal apabila disebut tentang adab beraya.

Bukannya apa, adab bukanlah penghalang kita untuk beraya. Tradisi Melayu memang penuh dengan adat, kesopanan dan ketertiban. Bukan sahaja Melayu yang menggalak adab baik tetapi selebihnya agama Islam kita sendiri.

Jika difikir-fikir semula, memang agak payah untuk kita bongkar, apa agaknya adab-adab beraya?

Sebenarnya, dalam sedar tak sedar, bulan Syawal ini banyak menggalak kita beradab dan banyak yang kita lakukan adalah adab.

Pertama, memberi salam. Itulah perbuatan yang patut diberi keutamaan apabila kita tiba di rumah kenalan kita baik yang rapat mahupun tidak.

Saya masih teringat satu peristiwa. Sedang saya duduk menikmati juadah di rumah kenalan saya, tiba-tiba saya terdengar seseorang, tanpa memberi salam, bertanya:

'Cik Petom (bukan nama sebenar) ada?' Aik. Mana pergi salamnya? Malukah hendak beri salam atau tak tau sebut? Bukannya susah mana pun memberi salam tu. Assalamualaikum. Susahkah? Tidak mengapalah. Kita bersangka baik. Yang tahu memberi salam pula, jangan tak beri salam ya!

Assalamualaikum atau 'Salam Sejahtera' dalam bahasa Melayunya adalah doa kepada penghuni rumah itu supaya sejahtera hendaknya.

Kedua, daripada soal adab berpakaian. Lelaki dan wanita tidak kira jantina di Lebaran ini pasti mengenakan pakaian Hari Raya.

Pakaian Hari Raya memanglah pakaian yang sopan. Terutama sekali bagi wanita. Iyalah, kurang 'buka sana buka sini'-nya.

Ada anda lihat 'tabung' bergerak? 'Pusat-pusat bertindik'? Kalau nampak pun, mungkin kuranglah ya. Tapi kalau mengenakan pakaian yang ketat dan menampakkan tubuh badan pun buat apa ya?

Selagi menampakkan tubuh badan atau bentuk tubuh, ia masih dikira aurat. Bayangkan, sewaktu keriuhan berhari raya, tiba-tiba koyak baju yang ketat itu. Tidak malu dibuatnya?

Dalam zaman budaya fusionpolis sekarang ini, memang susah hendak dikatakan lagi. Yang lelaki sudah tidak gemar mengenakan songkok. Mereka lebih selesa berambut panjang dan mewarnakannya.

Iyalah, mungkin harga songkok sudah meningkat. Seperti yang saya katakan tahun lalu, ada yang mengenakan rambut bak penyapu berdiri, burung merak dan sebagainya. Walau apa pun, syabaslah ya kerana masih melestarikan pakaian Melayu di hari-hari Lebaran sebegini.

Ketiga, adab makan. Memang tidak asing lagi. Iyalah, di setiap rumah yang kita kunjung itu, pasti disuruh makan oleh tuan rumah.

Kalau tidak yang berat-berat, kuih-muih pun tetap ada. Itulah dia penyeri atau yang membezakan hari-hari Raya dengan hari-hari yang lainnya selain langsir, permaidani dan dinding yang tampak bercat baru. Berbalik pada adab makan kita. Kuih tart ada, makmur, bantal peluk Saloma pun ada. Aduhai! Teruja dibuatnya. Ditambah pula dengan lemang, rendang ayam. Makin tergoda.

Dalam makan tu, janganlah lupa jaga kebersihan rumah yang dikunjungi ya? Lagi-lagi kalau makan kuih yang berhabuk seperti bantal peluk Saloma. Dalam menyenduk kuah tu, tak payahlah berebut-rebut. Kesian tuan rumah kalau-kalau tertumpah kuahnya di atas meja. Rosak alas meja nanti. Kalau ya pun, jagalah tatatertib sewaktu makan. Tadahlah tangan supaya tidak berkecah makanan tu nanti.

Begitulah adab-adab beraya. Saya yakin ada banyak lagi. Buat waktu ini, hanya ini sahaja yang terilham. Dalam kita berhari raya, buanglah segala ego yang ada.

Ada tu, yang ego tak habis-habis. Kalau dah buat salah tu, mengaku sajalah. Bak pepatah mat salih: 'Let bygones be bygones' ataupun 'buang yang keruh, ambil yang jernih'.

Sudahlah, kesilapan yang lalu, usah diingati lagi. Janganlah bersikap seperti ketam. Nampak orang, pusing tepi dan jalan miring. Akhir kata, saya akhiri rencana kali ini dengan serangkap pantun.

Kalau ada jarum yang patah,
Jangan disimpan dalam peti,
Kalau ada silap dan salah,
Jangan disimpan dalam hati.


Sekian, Selamat Hari Raya. Maaf zahir dan batin.

Monday, 13 October 2008

1,001 NIKMAT

BERITA HARIAN SG, 13 OKTOBER 2008

CUBA anda hirup udara, hela nafas, ucapkan 'Alhamdulillah'.
Alhamdulillah kerana anda masih lagi dapat merasakan nikmat menghirup udara segar. Nikmat itulah yang akan sama-sama saya bincangkan kali ini.
Jika hendak dikatakan tentang nikmat, saya kira senaskhah akhbar juga tidak mencukupi kerana perkataan nikmat itu sendiri membawa skop yang agak luas, baik yang zahir (dapat dilihat dengan mata kasar) mahupun yang batin (tersirat lagi tersembunyi). Lima skop berbeza akan saya bincangkan.

Nikmat Kesihatan
Hari ini, kita masih lagi dapat mengambil nafas dan mempunyai kesihatan yang baik. Kesihatan adalah satu nikmat terpenting dalam kehidupan harian kita. Dengannya, kita dapat bergerak melakukan kerja dengan lancar.

Sebagai contoh, si pelajar dapat bergerak ke sekolah menimba ilmu. Yang dewasa pula dapat melakukan kerja-kerja mereka seperti biasa.

Namun, yang terpenting sekali dengan kesihatan, kita dapat bergerak melakukan amal ibadah.

Jangan pula di Syawal yang mulia ini, kita lupakan kesihatan dek desakan lontong dan beriani dam ya!

Nikmat Syawal
Ramadan telah pun berlalu beberapa hari yang sudah. Kini Syawal, bulan kemenangan setelah sebulan kita menjalani ibadah puasa, menjelma lagi.
Juga, pada Syawal yang mulia ini kita dapat merasakan nikmat daripada-Nya iaitu dengan lengkapnya puasa 30 hari kita sekitar Ramadan.
Amalan ziarah-menziarahi dan bermaaf-maafan juga boleh dianggap nikmat. Ini adalah kerana ia dapat mengeratkan lagi ukhwah atau silaturrahim sesama insan.
Buat sesetengah yang kaki makan, jelmanya Syawal memang nikmat kerana mereka boleh menjalankan tugas bersantap semua makanan kembali bak kata pepatah Inggeris, 'back in action' lah.
Bagi kanak-kanak pula, merekalah yang selebihnya meraikan nikmat Hari Raya ini. Usah ditanya-tanya lagi, tentu sekali duit raya lah! Iya lah, 'ekonomi' mereka semakin hari semakin naik walaupun krisis ekonomi sedang berlaku sekarang ini.

Nikmat Kedamaian
Di Singapura, kita hidup dalam masyarakat majmuk - berlainan bangsa dan agama - tetapi bersatu hati. Nikmat kedamaian memang dapat dilihat di sekitaran kita. Jika hendak dibandingkan di negara-negara lain, memang agak ketara bezanya.
Di sana mereka mengalami bencana-bencana alam seperti ribut taufan, gempa bumi, banjir dan beberapa lagi musibah yang diharap tidak menimpa kita di sini, insya-Allah. Bukan sahaja bencana alam yang ada, tetapi peperangan, perkauman, antiagama juga wujud.

Nikmat Makanan
Anda mahu piza? Anda mahu ayam goreng? Hubungi sahaja talian-talian mereka. Dengan mudah anda boleh mendapatinya. Tetapi, tahukah anda bahawa keadaan penduduk seperti di Afrika tidak seselesa kehidupan kita di sini?
Mereka kekurangan makanan dan zat. Menurut laman Wikipedia, 25,000 orang meninggal dunia akibat kelaparan setiap hari pada 2003.
Inilah hasil laporan Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO), sebuah agensi khusus di bawah naungan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Sungguh malang sekali nasib mereka di sana. Kalau di sini, kita mungkin sering amalkan sikap pembaziran. Contohnya, apabila makanan itu dibeli dan rasanya kurang enak, kita dengan mudah mencampakkannya ke dalam tong sampah.
Kalau makanan itu sudah basi atau tidak boleh lagi dimakan, tidak mengapalah. Jangan pula atas nama berjimat, kita memakan sesuatu yang boleh memudaratkan diri. Itu pun tidak patut!

Nikmat Wang
Saya suka dengan kekata satu iklan: 'Money is not everything but everything in this world needs money'.
Duit memang bukan segala-galanya tetapi segala-galanya di dunia ini memerlukan duit. Ingin ke tandas? Sila bayar 20 sen.
Dengan wang, banyak yang boleh dibeli. Dengan barang yang dibeli itulah, boleh dikira sebagai nikmat kepuasan. Namun begitu, saya rasa nikmat terbesar pada wang adalah dengan menderma.
Nikmatnya bukan hanya dirasa di dunia tetapi juga ganjaran yang dijanjikan Tuhan di akhirat nanti.

Seperti yang dapat kita lihat pada hari ini, pelbagai badan yang memerlukan derma kita. Wasilah menderma juga telah dipelbagaikan seperti mengadakan talian telepol amal, wakaf batu-bata, menjual barangan amal dan lain-lain lagi.
Janganlah dengan wang kita membeli sesuatu yang tidak memberi manfaat pada diri kita tetapi hanya pembaziran.

Demikianlah nikmat, hadiah daripada Ilahi. Syukurilah nikmat yang diberi sebelum ia meninggalkan kita. Moga-moga dengan tanda syukur kita, nikmat atas kita akan ditambahi-Nya lagi. Amin.

Monday, 29 September 2008

Bila sindrom 'alah tak apa...' membawa penyesalan

BERITA HARIAN SG, 29HB SEPTEMBER 2008


PERNAH dengar kata-kata yang kerap terucap di bibir ramai kalau mereka kononnya nak menyejukkan hati sendiri atau diri kita?


'Alah, takpalah...'


Bagi saya, ia adalah singkatan pada keluhan dalam bahasa Melayu yang sebetulnya bermaksud: 'Alahai, tidak mengapalah.' Inti pati daripada dialog inilah yang akan saya bincangkan bersama pada kali ini. Dengan berkata sebegini, ia menandakan perasaan tidak kisah terhadap sesuatu yang berlaku.


Dialog itu adalah satu sikap atau sifat yang sepatutnya kita jauhi. Saya yakin ia sudah menjadi sebahagian atau mungkin hampir sebati dengan diri kita.


Saya sendiri dapat rasakannya dalam diri saya. Namun seberapa daya hendaklah kita cuba elakkan. Jika sikap atau sifat ini diteruskan, ia boleh memberi kesan buruk terhadap diri dan selebihnya semangat kita.


Cuba anda bayangkan tiga keluhan dalam tiga senario berbeza.


Pertama, dalam dewan peperiksaan. Bayangkan, anda hanya tinggal setengah jam untuk menghabiskan kertas tersebut yang anda anggap mudah. Kemudian, anda katakan, 'Alah, takpalah... Kertas ini senang. Lagipun, hanya tinggal beberapa soalan lagi. Tentu sekali boleh dihabiskan dalam masa 10 minit.'


Lalu anda tidur. Apa akibatnya? Usah ditanya, pasti buruk padahnya. Itu sekiranya anda tidur. Siapa tahu kalau-kalau anda hanya dikejutkan pada saat akhir masa tiba untuk menghantar kertas itu kepada guru. Bukankah cari masalah namanya!


Senario kedua pula melibatkan masalah yang agak popular terutamanya di kalangan remaja.


Saya rasa faktor, 'Alah takpalah' yang banyak mendorong kepada gejala sosial masa kini seperti contohnya masalah hamil luar nikah dan merokok. Mungkin yang lelaki akan katakan, 'Alah, takpalah, 'ringan-ringan' saja. You tak sayang I ke?'


Kesannya, ia berkemungkinan besar dapat menghasilkan seorang lagi bayi yang tak berdosa di luar nikah, naudzubillah.


Dalam masalah merokok pula, bayangkan seorang kawan mencabar anda dengan berkata, 'Alah takpalah, sedut sikit-sikit saja.' Anda pula rasa tercabar dan mahu dilihat sebagai kool. Akibatnya nanti, ada kemungkinan sedutan pertama itu akan menyebabkan ketagihan.


Senario terakhir pula dalam konteks berpuasa yang tinggal dua hari saja. Cuba anda bayangkan senario ini. Anda sudah berada di waktu asar. Hanya dua atau tiga jam lagi azan maghrib akan dilaungkan, menandakan waktu berbuka.


Kemudian anda terasa haus yang dahsyat sangat. Apa lagi? Anda terus ke bazar Ramadan. Sejurus melihat air katira bandung, anda terpikat lalu membelinya. Setibanya di rumah, anda lihat air itu, dipusing-pusingnya bungkusan air itu. Lalu, terlintas pula di pemikiran anda, 'Alah takpalah, sikit saja. Bukannya mengenyangkan pun.' Kemudian anda minum.


Aik! Kalau sudah begini, batallah puasa anda! Jangan ya! Puasa tidak bermakna untuk tidak mengenyangkan perut tetapi menahan diri daripada segala nafsu.


Saya rasa sudah terang lagi bersuluh, tak perlulah disuluh-suluh lagi dengan lampu spotlight bahawa sikap atau sifat 'Alah takpalah' itu 'boleh atau tidak boleh dipakai'.


Ia sememangnya sesuatu yang negatif. Ia juga boleh dikatakan sebagai root of all evils ataupun punca kepada segala masalah yang lebih besar.


Sebelum kita menutup tirai Ramadan esok, kita berdoalah agar sifat-sifat negatif sebegini dihindarkan daripada diri kita supaya berjaya di dunia dan akhirat. Amin.

Monday, 22 September 2008

Lebaran Rantauan

BERITA HARIAN SG, 22 SEPTEMBER 2008
BAIT-BAIT lagu M. Nasir, Suatu Hari Di Hari Raya bergema dan menjadi pengubat rindu bagi Saifulhamzi Salleh pada ambang Lebaran.

Suatu hari di Hari Raya...
Kudengar irama yang sungguh indah...
Kucuba mendekati kepada-Nya...
Kira irama itu adalah...
Suara pujian pada Yang Esa...

Begitulah syahdunya bagi Saifulhamzi (Terkanan dalam foto), 16 tahun, bekas pelajar Madrasah Aljunied Al-Islamiah yang menyambung pengajiannya di Institusi Agama Kuwait atau dalam bahasa Arabnya, Maahad Diini Kuwait, buat ketika ini.Beliau adalah antara dua pelajar yang terpilih ke Kuwait menerusi undian di kalangan 10 pelajar terbaik madrasah. Sudah dua tahun Saifulhamzi menuntut di sana.Saya sempat menemuramah beliau sebelum keberangkatannya semula ke Kuwait selama sembilan bulan.

Soalan (S): Apakah perasaan anda dipilih melanjutkan pengajian ke Kuwait? Bukankah ia agak jauh?
Saifulhamzi (SH): Mula-mula tu, saya rasa agak sedih juga kerana niat saya memang hendak meneruskan pengajian sehingga habis di Madrasah Aljunied Al-Islamiah. Tetapi mak dan bapa saya berikan perangsang. Mereka kata di sana juga boleh belajar.


S: O.K. Saiful. Sekarang ni, kita berada dalam bulan Ramadan. Jadi, apa agaknya perbezaan antara sambutan di Kuwait dengan di Singapura?
SH: Kalau di Singapura, kita dapat berbuka dan bersahur dengan keluarga. Ada beraneka lauk-pauk sedap-sedap yang disediakan tetapi di Kuwait pula, keadaannya sama saja setiap hari.
Namun, saya tetap bersyukur. Perbezaannya hanyalah waktu sahurnya. Kita bersahur dengan pelajar asrama lain beramai-ramai sekitar 12 tengah malam (waktu Kuwait). Walaupun lauk-pauknya setiap hari sama, kita tetap enjoy kerana pada setiap waktu berbuka dan sahur, kita dapat bersembang dengan rakan-rakan seasrama. (Gambar asrama ada di bawah).


S: Bagaimana pula suasana Ramadan di Kuwait? Ada lampu lap-lip atau bazar ke?
SH: Suasana Ramadan di sini memang biasa-biasa saja.Tiada lampu lap-lip, apa lagi bazar. Yang ada ataupun yang agak istimewa ialah pada setiap 10 malam terakhir, kami dapati waktu operasi masjid-masjid di Kuwait dilanjutkan daripada malam hingga ke subuh. Mereka berbuat demikian demi menggalak ibadah qiamullail.
Tarawihnya juga berbeza. Mereka tiada sistem bilal, bermakna tiada bacaan doa selepas setiap habisnya tarawih tidak seperti di Singapura. Kalau nak berdoa pun, kita berdoa sendirian.


S: Syawal akan tiba tidak lama lagi. Anda pernah merasakan suasana Hari Raya di sana selama dua kali bukan? Jadi, apa agaknya perbezaannya dengan sambutan di Singapura?
SH: Ia agak berbeza juga. Kalau di Singapura kita sambut Syawal selama sebulan, di Kuwait kita hanya sambut satu hari sahaja iaitu pada 1 Syawal sahaja. Selepas itu, tiada lagi sambutan.

S: Secara peribadi, bagaimana sambutan anda? Ada dengar lagu raya atau makan kuih raya?
SH: Pada kebiasaannya, hari pertama raya itu disambut di Kedutaan Malaysia di Kuwait. Itupun atas undangan mereka. Lagu raya hanya didengar menerusi telefon bimbit. Justeru, lagu Suatu Hari di Hari Raya, nyanyian M. Nasir itu memang cukup memberi kesayuan apabila didengari tatkala berjauhan daripada keluarga.
S: Apakah tiga benda yang anda rindukan ketika berlebaran bersendirian?
SH : Pertama dan terutama sekali mestilah keluarga. Kedua, Singapura dan ketiga... entah ya, tak teringat buat masa ini.

S: Akhir sekali, bagaimana anda berhubung dengan keluarga anda di Singapura? Apa pula ucapan anda sempena Syawal kelak?
SH: Oh, kalau di Kuwait, saya akan menghubungi mereka melalui kamera jaringan. Alhamdulillah, mereka pandai memanfaatkan alat canggih itu.Tentang ucapan, saya sebagai mewakili pelajar Singapura di Kuwait mengucapkan Selamat Hari Raya kepada semua rakyat setempat terutama sekali kedua-dua ibu bapa, abang dan kakak kami.Mohon ampun dan maaf atas segala kesilapan kata-kata dan keterlanjuran tingkah-laku. Mohon juga dihalalkan makan-minum kami. Kami mengharapkan doa restu kalian agar kami berjaya di menara gading.

Semoga pulang nanti dengan segulung ijazah dari Kuwait sana. Amin.

Tuesday, 9 September 2008

Guru bak 'durian' yang manis dan wajar dihargai

BERITA HARIAN SG, 8HB SEPTEMBER 2008

GURU. Perkataan yang sering kita dengar. Malahan, perkataan ini sudah kita kenali sejak kita berada di peringkat prasekolah lagi.
Tiga kenalan sempat saya tanyakan siapakah guru dalam hidup mereka.
Kata Zen:
'Guru adalah seseorang yang wajib dihormati, disanjungi, dihargai dan diingati di atas pengorbanan mereka dan dedikasi mereka ketika mendidik kita menjadi insan yang berilmu serta jerih-payah mereka yang tak kenal erti penat atau jemu ketika mengajar kita.'
Seorang kenalan yang tidak mahu disebutkan namanya berkata: 'Guru adalah seorang guru yang memberi inspirasi kepada murid-muridnya.
'Mereka boleh ketahui waktu susah seperti waktu kita perlukan seorang teman untuk diajak berbual.'
Akhir sekali, teman yang tidak mahu namanya disiarkan di akhbar, berkata: 'Guru adalah salah seorang insan yang memberi kita ilmu untuk kemanfaatan kita bersama di masa yang akan datang.'
'Guru, kau laksana lilin menerangi malam gelita.'
Sering kita dengar sajak-sajak yang mempunyai bait-bait sebegini ataupun seakan-akan begini bukan?
Kenapa agaknya mereka dianggap lilin? Pernahkah anda terfikir?
Kita sedia maklum bahawa bahasa Melayu begitu kaya sekali.
Guru dimetaforakan sebagai lilin kerana ilmunya yang banyak lagi luas membuat hidup pelajar-pelajarnya bersinar yakni, dengan kejayaan.
Tanpa cahaya ilmunya, mungkin kita susah mengecapi kejayaan. Bagi saya pula, guru boleh dianggap sebagai durian. Durinya adalah kemarahannya yang memang kita tidak suka. Namun, isinya, fuyyo!

1 September lalu adalah permulaan kita berpuasa dan Hari Guru.
Seorang guru sekolah lama saya, Cikgu Zul, ketika ditanyakan pendapatnya tentang pemberian hadiah sewaktu Hari Guru, akur apabila pelajarnya menghadiahkannya sesuatu, itu adalah tanda penghargaan mereka.
'Namun, tak perlulah yang mahal-mahal.
'Kami hanya mahukan pelajar yang berjaya dari segi pelajaran dan juga mempunyai akhlak terpuji,' katanya.
Bagi saya, menghargai guru bukan sahaja pada tarikh 1 September. Jangan 'plastik' ya?
Ini bermakna bukan hanya pada tarikh itu kita menunjukkan sayang serta hormat kita kepada mereka.
Saya pernah kehilangan tiga orang guru.
Di saat anda kehilangan mereka, anda rasakan bagai kehilangan sesuatu yang terlalu berharga.
Perasaan ini lebih dirasakan sebak sekiranya guru yang hilang itu adalah guru yang boleh diberi gred A.
Namun apakan daya. Setiap pertemuan pasti ada perpisahan. Sedekahkanlah mereka Al-Fatihah.
Semoga hidup mereka dirahmati dan dimurahkan rezeki daripada Yang Maha Esa. Amin.


"puasa-puasa sebegini, kalau
dapat makan durian....sedap beb! kalau ada yogurt durian, agaknya apa rasa dia
eh?"

Monday, 1 September 2008

USAHA IBARAT KURMA, SEMAKIN DITANAM, KIAN BUAHKAN HASIL

BERITA HARIAN SG, 1 SEPTEMBER 2008

Anak Pak Ali pergi ke kedai,
ke kedai Samad mencari hidangan berbuka;
kalau pembaca bijak dan pandai,
apakah buah yang masyhur di bulan puasa?

KURMA? Tepat sekali! Tepat juga kalau anda meneka bahawa saya akan perkatakan tentang buah kurma.
Tahukah anda bahawa kurma secara saintifik dikenali sebagai Phonex Dactylifera, manakala dalam bahasa Arab pula, ia dipanggil tamar.
Apabila disebut kurma sahaja, pasti kita akan teringat negara Arab Saudi atau orang Arab. Iyalah, apa tidaknya, ia berasal dari situ.
Di sanalah kita boleh dapati pelbagai jenis kurma. Kita juga tidak kurang kurma seperti mereka di sana. Jalanlah di sekitar Arab Street dan Geylang Serai, saya yakin anda akan mendapatinya walaupun bukan di bulan puasa.
Ramadan bermula hari ini. Kalau kita berjalan di sekitar bazar-bazar Ramadan, tentu sekali banyak jenis tamar yang boleh didapati di sana. Lain jenisnya, lain rasanya, lain pula namanya. Ada yang namanya Safawi, Jewel, Ajmal, Safia, Mariami dan banyak lagi.
Sekarang pula sudah ada kurma yang disalut buah walnut dan badam. Belum pula saya temui kurma bersalut coklat. Kalau ada, tentu sedap!
Sememangnya di bulan suci begini kita digalakkan memakannya bagi tenaga puasa sehari kerana kandungan khasiatnya yang tinggi seperti potasium, serat, zat besi dan beberapa lagi khasiatnya yang lain.
Tahukah anda menurut satu sumber yang boleh dipercayai, dengan hanya memakan lima biji kurma sehari, anda boleh memiliki tubuh badan yang sihat! Wow!
Kalau anda berasa malas atau tidak mahu turun ke bazar-bazar Ramadan kerana mungkin tidak mahu lemas dalam lautan manusia, tunggu sajalah di rumah anda.
Ada kemungkinan kurma itu akan 'menziarahi' rumah anda. Yang saya maksudkan ialah apabila penjual kurma amal ini datang ke rumah anda.
Di bulan inilah, boleh kita dapati mereka sibuk datang mengetuk pintu-pintu rumah kita menjual kurma-kurma tersebut.
Kalau tidak mahu dibeli kurma tersebut, tidak mengapalah, tolak sahaja dengan baik.
Pernah saya terdengar cerita penjual yang dimaki hamun apabila si tuan rumah tidak mahu membeli. Penjual pula, janganlah terlalu memaksa tuan rumah. Jangan pula cari kemarahan mereka ya di bulan mulia ini?
Daripada buah kurma kecil itu dapat kita pelajari sesuatu. Kurma itu ibarat usaha kita. Setiap usaha pasti membuahkan hasil.
Begitu juga kurma yang dipenuhi khasiat. Jangan pula usaha kita hanya datang sesekali seperti buah tamar ini yang hanya datang atau popular pada bulan Ramadan. Contohnya, jangan pula anda berusaha pada musim peperiksaan sahaja tetapi tidak pada lain-lain hari, bak kata pepatah bahasa Arab, 'Siapa berusaha, pasti berjaya.'
Dalam kesempatan ini, ingin saya juga maklumkan bahawa madrasah saya juga ada menjual kurma dengan harga $12 sekotak.
Keuntungan daripada penjualannya akan digunakan untuk usaha penyelenggaraan Madrasah Aljunied sendiri.
Untuk keterangan lanjut, sila hubungi Cikgu Ramlah di talian 6391-5970.

Sunday, 24 August 2008

Terima Kasih!!! Bukan setakat ungkapan David Arumugam

BERITA HARIAN SG, 18HB OGOS 2008

LAGU merdu dendangan kumpulan nasyid, Raihan, Syukur, mencetus ilham untuk saya menulis satu lagi rencana.

Ucaplah Alhamdulillah. Syukur kita kepada Allah.

Itulah bait-bait lirik lagu yang indah itu.

Namun, tahukah anda bahawa asal-usul perkataan 'syukur' itu ialah daripada bahasa Arab, syakara yang juga membawa maksud 'terima kasih'.

Kalau sebelum ini, rencana saya mengupas tentang ungkapan maaf, pada kali ini pula saya akan kupaskan lagi satu ungkapan.

Terima kasih, itulah ungkapan atau ucapan yang akan saya sama-sama bincangkan untuk kali ini. Ia bukan setakat anda dengar dilaungkan penyanyi Alleycats, David Arumugam.

Saya rasa ucapan ini agak mudah kita dengarkan, contohnya di stesen-stesen MRT.

Terlupa apa yang diungkapkan? Biar saya ingatkan, 'Untuk keselamatan anda, harap berdiri di belakang garisan kuning. Terima kasih.'

Ucapan terima kasih biasanya digunakan untuk tujuan menunjukkan penghargaan di atas sesuatu yang telah diberikan ataupun pengorbanan, tidak kiralah betapa berat atau ringan, betapa besar atau kecil, baik yang seguni mahupun yang secebis.

Dalam mengucapkannya, janganlah kita rasa terpaksa untuk melakukannya.

Sebaiknya, ucapkan dengan ketulusan hati anda.

Dengan anda mengucap terima kasih, thank you atau dalam bahasa Arab, syukran, ia diharap dapat memberi orang yang anda beri penghargaan perasaan dihargai oleh anda.

Juga, ada kalanya mereka akan berasa ingin membantu dan terus memberikan sesuatu untuk anda selain dapat mengeratkan ukhwah sesama insan.

Ada yang menganggap mengucapkan terima kasih ini sebagai leceh ataupun buang masa. Ada pula yang berkata kalau kita sudah selalu mengucapkannya, boring-lah jadinya.

Entah ya! Saya kurang pasti mengapa. Mungkin jika kita rasa berat untuk mengucapkannya secara lisan, kita boleh saja gunakan kaedah elektronik seperti SMS dan e-mel.

Iyalah, kita sudah berada di abad ke-21. Walau bagaimanapun, bagi saya, cara yang terbaik dan 'gerek' untuk kita menunjukkan penghargaan kita adalah dengan membelanja orang yang membantu kita.

Cakap pasal terhutang budi, teringat pula saya mengenai guru-guru yang mengajar kita sejak kita di bangku sekolah rendah lagi dan yang masih lagi mengajar.

Merekalah yang telah mengajar dan mendidik kita membaca, mengaji, mengira dan bermacam-macam lagi. Saya kira mereka memang patut dihargai dengan ucapan terima kasih atas segala pengorbanan tenaga, waktu dan kesudian mengajar dengan tabah. Terima kasih Cikgu.

Selain mengucap terima kasih pada guru, jangan pula kita lupa ucapkan terima kasih pada orang tua kita yang telah banyak bersusah-payah menjaga kita sejak kita masih bayi lagi.

Mungkin anda dan saya sendiri rasa agak janggal untuk mengucapkan ungkapan tersebut kepada mereka.

Justeru, saya rasa cara terbaik untuk kita mengucapkan terima kasih adalah dengan tidak menimbulkan sebarang masalah buat mereka. Ini juga boleh diambil kira sebagai salah satu wasilah untuk menzahirkan penghargaan kita.

Sekian, terima kasih buat anda yang sudi membaca rencana saya ini dan juga terima kasih buat mereka yang sudi menyokong saya dalam bidang penulisan ini.


Monday, 28 July 2008

SEDANGKAN NABI AMPUNKAN UMAT, APA LAGI KITA...

BERITA HARIAN SG, 28HB JULAI 2008



P RAMLEE, S. Shamsudin, Aziz Sattar dan Roseyatimah.
Cuba teka: Barisan pelakon 'antik' dan legenda ini berlakon dalam filem apa?
Kalau anda katakan Pendekar Bujang Lapok, jawapan anda tepat. 10 markah untuk anda!
Filem yang diterbitkan pada 1959 itu diarah oleh Allahyarham Tan Sri P. Ramlee sendiri dan juga S. Sudarmaji.
Walau bagaimanapun, bukan filem itu yang ingin saya perkatakan kali ini tetapi saya lebih berminat mengupas tentang sebuah lagu yang menjadi penyeri filem tersebut.
Antara bait liriknya berbunyi:
'Wahai cik adik, jangan merajuk, maafkan kami si bujang lapuk...'
Masihkah anda ingat lagi pada bait-bait lagu ini? Lagu yang dinyanyikan mereka bertiga kepada Cik Rose apabila beliau merajuk?
Maaf, itulah tajuk yang akan saya bualkan kali ini.
Jika saya tanyakan kepada anda, bilakah waktu yang anda lazim menyebut perkataan maaf ini, jawapan anda?
Hari Raya? Lagi 10 mata untuk anda!
'Selamat Hari Raya. Maaf Zahir Batin.'
Aik! Jangan salah sangka ya, rencana ini tidak tersalah cetak!
Hairan rasanya ya. Masih ada yang beranggapan bahawa maaf hanya boleh digunakan sewaktu bulan Syawal.
Ada pula yang kata, kalau nak buat salah, buatlah salah sebanyak-banyaknya sekarang. Apabila Syawal menjelang nanti, minta maaf sajalah. Hai, inilah ragam manusia.
Meminta maaf adalah satu perkara yang asas yang seharusnya lahir dalam diri kita sejurus selepas kita membuat satu kesilapan ataupun kesalahan. Ia juga adalah untuk menzahirkan kepada seseorang itu akan kekesalan anda terhadapnya.
Perbuatan salah itu umumnya juga luas dan boleh sahaja berlaku kepada sesiapa pun baik yang kita kenali mahupun tidak. Yang penting, asalkan yang namanya salah, mintalah maaf.
Banyak senario dalam hidup yang memerlukan kita untuk meminta maaf dan ampun. Contohnya apabila anda berjanji dengan teman anda untuk berjumpa di satu lokasi dan pada waktu yang sedemikian. Malangnya, anda gagal menepatinya.
Apa lagi? Mintalah maaf. Senario sebegini boleh dikatakan sering berlaku antara kita.
Jika tidak, masakan ada frasa 'janji Melayu'? Janji yang dimaksudkan adalah janji yang ditetapkan pada sedemikian waktu, lalu bermula atau bertemu setengah jam atau lebih selepas waktu yang ditetapkan.
Juga, apabila mungkin kita mengguris hati seseorang dengan perbuatan kita, terutama sekali hati kedua-dua orang ibu bapa dan guru-guru kita.
Apabila kita telah membuat salah dengan mereka, segeralah pinta kemaafan.
Jangan pula kita terikut-ikut dengan lagu dendangan One Republic, It's Too Late To Apologize atau dalam bahasa Melayunya, 'sudah terlalu lambat untuk meminta maaf'.
Dalam pada itu, saya yakin keberkatan ilmu ada pada keredaan seorang guru. Jika kita terus-menerus melukakan hati mereka tanpa henti, nampak gaya tiadalah keberkatan kita belajar setinggi menara gading pun.
Jangan pula anda katakan 'Bergurau sahaja, Cikgu,' walhal anda melukakannya.
Zahirnya pada guru kita, mungkin kita akan lihat senyuman tetapi batinnya kita tidak tahu. Kemungkinan beliau menangis. Sama juga seperti orang tua kita.
Dengan meminta maaf, biasanya anda akan dapat memperolehi satu ketenangan. Ketenangan yang hati anda sahaja dapat mengerti.
Biasanya, orang yang berperi kemanusiaan akan meminta maaf.
Ini adalah naluri semula jadi manusia. Anda juga boleh dikira sebagai seseorang yang mengambil berat dan gentleman atau nice girl apabila meminta ampun.
Usahlah anda hiraukan mereka yang bersikap defensif hinggakan kemaafan tulus anda ditolak.
Yang terpenting, anda sudah melakukan bahagian anda. Sedangkan Nabi ampunkan umat, apa lagi kita manusia daif?
Apabila keampunan dipinta, cubalah sedaya upaya untuk tidak mengulanginya.
Jangan pula anda lihat seseorang itu baik dan boleh 'dipijak', anda berbuat salah dengannya setiap hari.
Nak minta maaf bagaimana kalau 'si dia' masih diam membatu dan enggan pandang wajah anda?
Boleh gunakan SMS, e-mel atau beranikan diri untuk bersalaman dengannya dan meminta maaf.
Maaf, sorry, afwan (bermakna minta maaf dalam bahasa Arab). Nyatakannya di mana-mana jua. Akhir kalam, ia juga ucapan seikhlasnya daripada saya.

SEDANGKAN NABI AMPUNKAN UMAT, APA LAGI KITA...

BERITA HARIAN SG, 28HB JULAI 2008

P RAMLEE, S. Shamsudin, Aziz Sattar dan Roseyatimah.
Cuba teka: Barisan pelakon 'antik' dan legenda ini berlakon dalam filem apa?
Kalau anda katakan Pendekar Bujang Lapok, jawapan anda tepat. 10 markah untuk anda!
Filem yang diterbitkan pada 1959 itu diarah oleh Allahyarham Tan Sri P. Ramlee sendiri dan juga S. Sudarmaji.
Walau bagaimanapun, bukan filem itu yang ingin saya perkatakan kali ini tetapi saya lebih berminat mengupas tentang sebuah lagu yang menjadi penyeri filem tersebut.
Antara bait liriknya berbunyi:
'Wahai cik adik, jangan merajuk, maafkan kami si bujang lapuk...'
Masihkah anda ingat lagi pada bait-bait lagu ini? Lagu yang dinyanyikan mereka bertiga kepada Cik Rose apabila beliau merajuk?
Maaf, itulah tajuk yang akan saya bualkan kali ini.
Jika saya tanyakan kepada anda, bilakah waktu yang anda lazim menyebut perkataan maaf ini, jawapan anda?
Hari Raya? Lagi 10 mata untuk anda!
'Selamat Hari Raya. Maaf Zahir Batin.'
Aik! Jangan salah sangka ya, rencana ini tidak tersalah cetak!
Hairan rasanya ya. Masih ada yang beranggapan bahawa maaf hanya boleh digunakan sewaktu bulan Syawal.
Ada pula yang kata, kalau nak buat salah, buatlah salah sebanyak-banyaknya sekarang. Apabila Syawal menjelang nanti, minta maaf sajalah. Hai, inilah ragam manusia.
Meminta maaf adalah satu perkara yang asas yang seharusnya lahir dalam diri kita sejurus selepas kita membuat satu kesilapan ataupun kesalahan. Ia juga adalah untuk menzahirkan kepada seseorang itu akan kekesalan anda terhadapnya.
Perbuatan salah itu umumnya juga luas dan boleh sahaja berlaku kepada sesiapa pun baik yang kita kenali mahupun tidak. Yang penting, asalkan yang namanya salah, mintalah maaf.
Banyak senario dalam hidup yang memerlukan kita untuk meminta maaf dan ampun. Contohnya apabila anda berjanji dengan teman anda untuk berjumpa di satu lokasi dan pada waktu yang sedemikian. Malangnya, anda gagal menepatinya.
Apa lagi? Mintalah maaf. Senario sebegini boleh dikatakan sering berlaku antara kita.
Jika tidak, masakan ada frasa 'janji Melayu'? Janji yang dimaksudkan adalah janji yang ditetapkan pada sedemikian waktu, lalu bermula atau bertemu setengah jam atau lebih selepas waktu yang ditetapkan.
Juga, apabila mungkin kita mengguris hati seseorang dengan perbuatan kita, terutama sekali hati kedua-dua orang ibu bapa dan guru-guru kita.
Apabila kita telah membuat salah dengan mereka, segeralah pinta kemaafan.
Jangan pula kita terikut-ikut dengan lagu dendangan One Republic, It's Too Late To Apologize atau dalam bahasa Melayunya, 'sudah terlalu lambat untuk meminta maaf'.
Dalam pada itu, saya yakin keberkatan ilmu ada pada keredaan seorang guru. Jika kita terus-menerus melukakan hati mereka tanpa henti, nampak gaya tiadalah keberkatan kita belajar setinggi menara gading pun.
Jangan pula anda katakan 'Bergurau sahaja, Cikgu,' walhal anda melukakannya.
Zahirnya pada guru kita, mungkin kita akan lihat senyuman tetapi batinnya kita tidak tahu. Kemungkinan beliau menangis. Sama juga seperti orang tua kita.
Dengan meminta maaf, biasanya anda akan dapat memperolehi satu ketenangan. Ketenangan yang hati anda sahaja dapat mengerti.
Biasanya, orang yang berperi kemanusiaan akan meminta maaf.
Ini adalah naluri semula jadi manusia. Anda juga boleh dikira sebagai seseorang yang mengambil berat dan gentleman atau nice girl apabila meminta ampun.
Usahlah anda hiraukan mereka yang bersikap defensif hinggakan kemaafan tulus anda ditolak.
Yang terpenting, anda sudah melakukan bahagian anda. Sedangkan Nabi ampunkan umat, apa lagi kita manusia daif?
Apabila keampunan dipinta, cubalah sedaya upaya untuk tidak mengulanginya.
Jangan pula anda lihat seseorang itu baik dan boleh 'dipijak', anda berbuat salah dengannya setiap hari.
Nak minta maaf bagaimana kalau 'si dia' masih diam membatu dan enggan pandang wajah anda?
Boleh gunakan SMS, e-mel atau beranikan diri untuk bersalaman dengannya dan meminta maaf.
Maaf, sorry, afwan (bermakna minta maaf dalam bahasa Arab). Nyatakannya di mana-mana jua. Akhir kalam, ia juga ucapan seikhlasnya daripada saya.

Monday, 14 July 2008

USAH 'CONGKAK' DALAM DUNIA 'ROLLER COASTER'

BERITA HARIAN SG, 14 JULAI 2008

CONGKAK. Apabila saya sebutkan perkataan itu, apa agaknya yang berada di benak fikiran anda?
Jika anda meneka ia adalah filem seram Congkak yang dikatakan 'pecah panggung' pada malam pranonton, ternyata anda salah.
Congkak membawa tiga makna yang berbeza jika anda menyemak Kamus Dewan Edisi Keempat. Salah satu daripadanya dikenalkan dalam filem box-office ini.
Pertama, ia bererti sombong, bongkak dan pongah. Kedua, ia bererti binatang seperti kerang atau lokan. Ketiga, ia bererti sejenis permainan yang menggunakan kayu bujur yang berlubang-lubang dan buah-buahnya diperbuat daripada biji tanah.
Rasanya sudah nyata lagi jelas gambaran mengenai apa yang akan dibualkan pada kali ini iaitu makna yang pertama daripada perkataan congkak itu sendiri.
Sebelum berbincang mengenainya lebih lanjut, ingin saya kemukakan kepada anda tiga soalan.
Pertama sekali, pernahkah anda dihina di atas kekurangan anda? Seperti kekurangan pada kepandaian, kemiskinan dalam kekayaan dan sebagainya.
Kedua pula, pernahkah anda terserempak kenalan anda di jalanan, lalu apabila anda hendak mendekatinya untuk menegur, beliau seakan-akan tidak menoleh ke arah anda?
Jemput orang makan, tanpa memandang wajah anda, ditolaknya dengan nada marah. Atau ingin meminta maaf, dengan wajah yang bungkam, dia memberi gerak seakan-akan dosa kita besar sekali terhadapnya.
Terakhir sekali, pernahkah anda menghulur tangan bersalam dengan seseorang, lalu anda dilihatnya atas bawah, kemudian dibiarkan tangan anda bersalaman dengan angin saja?
Sekiranya jawapan anda terhadap tiga soalan bersenario itu ya, ataupun pernah, saya kira anda telah terjumpa dengan si penyombong atau orang yang congkak.
Saya hairan, mengapa kita manusia ini sering saja menganggap diri kita lebih daripada yang lain? Apa kita lupa pada asal-usul kita?
Sudahkah kita lupa tingginya langit, rendahnya bumi? Beringat-ingatlah.
Ingatlah bahawa nikmat yang Allah beri itu hanya pinjaman sahaja. Hari ini, anda mungkin pandai tetapi congkak. Siapa tahu kalau-kalau kepandaian anda ditarik-Nya?
Hari ini juga, mungkin harta anda makan tak habis. Siapa tahu kalau-kalau hari esok anda kais pagi makan pagi, kais petang makan petang?
Bersyukurlah dengan pinjaman daripada Tuhan.
Untuk senario yang kedua dan ketiga pula, saya jangka ramai yang mungkin pernah mengalaminya. Hairan ya, mengapa congkak benar manusia ni.
Ada yang nampak di jalanan tak beri salam, tak ditegur. Inilah ragam manusia era sekarang.
Ada pula yang apabila nampak terus memalingkan muka dan berjalan dengan muka ditoleh ke tepi sahaja. Nampak sangat kesombongannya. Apa mungkin menegur boleh menjatuhkan status seseorang?
Jauhilah sifat congkak sesama manusia dan berpeganglah pada peribahasa ular yang menyusur akar tidak akan hilang bisanya dan ikutlah resmi padi - semakin berisi semakin tunduk.
Macam kata Sifu M. Nasir dalam lagunya, Apocalypse: 'Hidup di dalam roller coaster, susah dan senang bersilih ganti. Bila-bila boleh naik dan turun.'
Kita tidak akan sentiasa berada di atas. Janganlah kerana sifat angkuh kita nanti, orang lain tidak mahu menolong kita pada hari susah nanti.
Alhamdulillah, sebuah lagi rencana dihasilkan.
Datangnya ilham untuk rencana ini adalah apabila Rauuf menyemak kamus mencari
makna sebenar congkak. Sebelum ini juga, Rauuf ingatkan congkak membawa satu
makna sahaja, yakni seperti yang kita ketahui, alat permainan. Dengan
terhasilnya rencana yang daif ini, Rauuf berharap agar kita dapat menggunakan
perkataan selain sombong dan bongkak dengan congkak. Sekian, salam
muhibbah.

Monday, 30 June 2008

SELAMATKAN BUMI DENGAN MULAKAN LANGKAH SENDIRI

BERITA HARIAN SG, 30 JUN 2008

SUDAH berminggu lamanya Hari Bumi berlalu pada 5 Jun lalu. Sudahkah kita mula menerapkan sikap sayang dan cinta pada bumi kita ini?
Syabas buat mereka yang sudah mengambil langkah-langkah yang wajar demi menyelamatkan bumi indah ini.
Buat yang belum, apa kata, selepas anda selesai membaca rencana ini, anda terus memulakan langkah-langkah yang akan saya kongsi bersama.
Seperti yang kita sedia maklum, masalah pemanasan sejagat berpunca daripada penghasilan kerap gas karbon dan juga penipisan hutan.
Walau bagaimanapun, kita adalah punca utama gejala pemanasan global ini. Ini adalah kerana, majoriti mereka yang menggerakkan bumi ke arah kemodenan dewasa ini adalah saya, anda dan kita semua.
Akibat daripadanya, iklim bumi semakin hari semakin panas dan menjadi tidak menentu.
Contohnya, kita dapat melihat pada bencana-bencana alam yang semakin kerap berlaku seperti di Myanmar, Sichuan, Columbus dan lain-lain kawasan dan negara.
Walau tidak dapat kita menghalangnya daripada terus berhenti, kita tetap punya langkah bijak yang diharap sedikit-sebanyak dapat memperbaiki keadaan kita seperti sediakala.
Oleh yang demikian, pada kali ini, saya akan berkongsi dengan anda tiga langkah berbeza dan yang sering kita dengari. Saya rasa tidak salah jika ingin berkongsi sama tiga langkah tersebut.
Iyalah, siapa tahu kalau-kalau kita sudah terlupa.
Pertama, penjimatan sumber alam menerusi air. Air yang mungkin sudah digunakan untuk mencuci beras bolehlah kita gunakan untuk menyiram pokok. Air tadahan wuduk juga mungkin boleh digunakan untuk mencuci tandas dan sebagainya. Daripada ia terus terbuang, lebih baik berjimat cermat bukan?
Kedua, kita boleh juga mengitar semula barang-barang yang lama dan yang tidak diperlukan lagi seperti kertas, plastik, kain dan sebagainya.
Saya yakin ada beberapa syarikat seperti Colex yang menyediakan khidmat ala karung guni. Tidak faham apa yang saya cuba maksudkan?
Bukannya apa. Syarikat tersebut ada menyediakan khidmat membeli barangan lama dan terpakai daripada anda.
Secara peribadi, saya rasa langkah ini adalah cukup baik sekali. Daripada terus masuk ke bakul sampah, lebih baik dikitar semula. Tambahan, anda boleh memperoleh wang dengan mudah sekali!
Dengan mengitar semula, ia dapat menjimat sumber asli, memanjangkan tempoh masa untuk tempat pelupusan sampah, mengurangkan gas rumah hijau bagi mengatasi pemanasan sejagat, sekali gus menyelamatkan kehidupan semula jadi kita. Ketiga pula, menjimat tenaga elektrik. Banyak langkah diketahui seperti yang diiklankan Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA).
Contohnya, mengurangkan kuasa hawa dingin kepada 25 darjah Celsius, menukar bol lampu jimat tenaga (gambar atas), menggunakan peti sejuk yang berlabel mesra alam dan pelbagai cara lain.
Jangan pula gara-gara atas nama berjimat, anda terus menutup suis peti sejuk anda seharian. Alamat, busuklah ikan dan ayam dalam peti sejuk itu nanti!
Jangkaan saya, daripada ketiga-tiga langkah tersebut, individulah yang memainkan peranan terpenting dalam mengatasi bersama masalah ini.
Oleh itu, apa lagi? Ayuhlah, mulakan langkah di atas itu sekarang!

Monday, 23 June 2008

Penulis 'Cakap Saja Tau!' luah ilham terpendam

BERITA HARIAN SG, 23HB JUN 2008

By Haryani Ismail

USAH takut dengan kritikan yang dilontarkan oleh orang-orang yang tidak dikenali tentang rencana anda.
Jika rencana atau karya kreatif yang disumbangkan pula belum lagi disiarkan di Berita Harian sehingga makan berbulan atau bertahun lamanya, jangan mudah putus asa.
Jangan juga rasakan diri anda tidak berbakat, lantas anda langsung 'menggantung' pena.
Sebaliknya, bulatkan tekad anda dan anggaplah ini sebagai proses pembelajaran yang akan menguatkan lagi tekad dan disiplin anda untuk jadi seorang penulis muda.
Begitulah kata-kata nasihat yang diluahkan oleh tiga penulis remaja yang pandangannya tersiar secara tetap dalam segmen Cakap Saja Tau! di dalam ruangan Obor.
Mereka yang dimaksudkan ialah pelajar Raffles Institution, Abdul Muhaimin Abdul Rahman, 14 tahun; pelajar Sekolah Menengah Westwood, Nur Fadhlina Miswan, 15 tahun; dan pelajar Madrasah Aljunied Al-Islamiah, Abdul Rauuf Maskhazin, 17 tahun.
Ketiga-tiganya berkongsi pengalaman dan tip penulisan di sesi sembang-sembang penulis remaja yang dianjurkan sempena pelancaran Kelab W.R.I.T.E di bawah naungan Masjid Al-Istiqamah, pada 14 Jun lalu.
Kelab W.R.I.T.E adalah wadah yang menyatukan penulis muda, amatur dan veteran untuk manfaat masyarakat Islam bersama.
Perintis kelab ini ialah Encik Abdul Rahman Basrun, penyunting eksekutif Berita Harian. Penaungnya pula ialah Encik Isa Kamari, sasterawan yang tidak asing lagi di rantau ini dan pemenang Pingat Budaya.
Abdul Rauuf yang mula aktif menulis sejak karyanya tersiar di dalam ruangan X-presi (sebelum ia bertukar menjadi Obor), enam tahun lalu, banyak menggalak teman-teman sebayanya agar tidak gentar dengan kritikan.
'Saya pernah ditegur seorang mak cik yang tidak sukakan rencana tentang telefon bimbit yang saya hasilkan.
'Dalam rencana itu, saya memberikan pandangan saya tentang ibu bapa yang ketinggalan zaman dan tidak mahu anak-anak mereka memiliki telefon bimbit.
'Mak cik itu tidak setuju dengan pandangan saya. Dia kenal wajah saya yang tersiar di akhbar dan setakat ingin beri komen berunsurkan kritikan.
'Saya tidak berkecil hati. Bagi saya, tak kisah apa orang nak kata. Lagi pun, itulah rencana yang amat saya suka kerana ia menimbulkan reaksi pembaca,' jelasnya yang dapat idea menulis di mana-mana termasuk di dalam MRT.
Menurut Abdul Rauuf lagi, sifat mudah kecewa tidak harus ada di dalam diri seorang penulis.
'Kita harus faham tidak semua rencana diterima dan akan disiarkan serta-merta. Ada banyak lagi rencana remaja lain yang dikirimkan. Tentunya, penyelaras ruangan perlu membuat pilihan. Jadi, harus sabar menanti,' tambahnya.
Abdul Muhaimin yang akui lebih fasih dalam bahasa Inggeris berbanding bahasa Melayu pula merasakan sumbangan tetapnya ke Obor, sejak awal tahun ini, banyak membuka pintu untuknya meneroka bidang penulisan.
'Menulis seronok. Kita boleh tulis tentang apa-apa yang berlaku, baik isu global atau dalam negara kita. Kita juga boleh menulis tentang masalah yang menjejas kehidupan kita sebagai remaja.
'Saya juga perlu melakukan kajian dalam beberapa rencana, misalnya tentang makanan genetik.
'Tidak mengapa kalau anda akhirnya tidak jadi seorang penulis. Menulis tetap satu kemahiran berguna, baik untuk siapkan manual atau tugasan tertentu.
'Seperti saya... saya lebih berminat dalam bidang sains. Tentunya, pekerjaan akan datang saya lebih pada bidang sains. Namun, menulis memberi saya kepuasan... lebih-lebih lagi, apabila ada berikan galakan dan respons positif,' tambah Abdul Muhaimin, yang juga berminat dalam bidang mereka permainan komputer.
Nur Fadhlina pula melihat penulisan sebagai satu cara untuknya berkongsi pengalaman dan memperbaiki mutu bahasa.
'Kalau rencana kita disunting penyelaras, kita boleh belajar daripada kesilapan dan cara membaikinya.
'Saya juga suka melancong. Bila saya melancong, saya akan catat pengalaman menarik untuk saya kongsi bersama teman pembaca.
'Ia satu wadah meluahkan perasaan atau memberikan pendapat. Misalnya, sewaktu saya nampak pak cik dan mak cik beli tiket loteri, hati saya tertanya-tanya macam mana perasaan orang muda. Itulah yang saya lahirkan dalam tulisan saya,'katanya.

Alhamdulillah, berlalu sudah hari yang memberikan Rauuf seribu pengalaman. Hari tersebut juga merupakan kali pertama Rauuf berhadapan ke depan dengan orang yang kurang Rauuf kenali untuk memberikan talk, memberi tip-tip dan berkongsi pengalaman menulis yang daif ini sejak dari kecil lagi. Semoga di masa-masa akan datang, akan lebih banyak lagi peluang bagi Rauuf untuk ke hadapan. Amin. =)

Thursday, 12 June 2008

Rugi besar kalau tak tahu jaga masa

BERITA HARIAN SG, 9HB JUN 2008

SELALU kita dengar masa itu emas tapi tahukah anda mengapakah masa itu diibaratkan emas sebenarnya?
Saya akan mengupas maksud di sebalik pepatah dan masa itu sendiri.
Seperti yang kita sedia maklum, harga emas memanglah begitu tinggi. Segram emas boleh mencapai harga sehingga $40. Masa diibaratkan emas bagi saya kerana ia amat berharga.
Oleh sebab itulah, pemakai barang kemas dinasihatkan supaya berwaspada apabila menggunakannya kerana takut akan pencuri yang akan merampasnya lalu menggadaikannya demi nilainya yang tinggi.
Masa juga boleh dicuri sepertimana emas dicuri. Contohnya, ada pada diri kita sendiri. Masa yang dicuri adalah seperti masa lapang yang panjang tidak diisi dengan sebarang kemanfaatan seperti belajar, mengulang kaji, membaca buku dan sebagainya khususnya di musim cuti sekolah sebegini.
Masa berputar setiap detik. Setiap detik yang terlepas itu sememangnya berharga. Ia juga tidak dapat diputarkan kepada masa yang telah berlalu. Kalaulah dapat diputarkan, sudah tentu tidak ada rasa penyesalan yang akan tumbuh atau lahir dari diri kita.
Iyalah, musim peperiksaan sudah pun berlalu dan saya yakin ramai yang sudah mendapat keputusan, bukan? Saya yakin ada segelintir yang mungkin berasa kesal terhadap keputusan yang diperolehi.
Bukannya apa. Kita sering berkata selepas mendapat keputusan yang kurang baik, 'kalaulah aku belajar dengan baik, tidak lalai dalam kelas dan lebih fokus pada apa yang diajarkan guru, sudah tentu aku akan mendapat markah yang lebih cemerlang.'
Sayang sekali, pada ketika itu, masa sudah lama berlalu dan hanya kekesalan yang menyelubungi diri.
Satu pepatah Inggeris yang biasa kita dengar pula ialah 'If you plan to fail, you fail to plan' atau dalam bahasa Melayunya, 'Jika anda gagal untuk merancang, anda merancang untuk gagal'.
Oleh itu, ada baiknya jika kita merancang masa kita. Saya yakin, sepanjang cuti sekolah ini, kebanyakan pelajar mahu enjoy atau menikmati cuti sekolah mereka saja. Setelah hampir lima bulan belajar dan belajar, tentu sekali rehat amat-amat diperlukan.
Walau bagaimanapun, manfaatkan cuti sebulan ini. Janganlah sampai setiap hari keluar enjoy saja, ya? Saya rasa sehari dua untuk waktu belajar sudah memadai bukan?
Demikianlah masa. 'Demi masa, sesungguhnya manusia kerugian.'
Itulah antara bait-bait lagu nasyid Raihan yang dipetik daripada Al-Quran. Manusia yang tidak banyak membuat amal sememangnya akan berada dalam kerugian.
Oleh itu, imbangi masa kita antara perkara duniawi dan ukhrawi semoga hidup diberkati Ilahi.

Monday, 19 May 2008

Untukmu Ibu

BERITA HARIAN SG, 19 MEI 2008

Ibu,
kau ibarat sebatang lilin
yang membakar diri sendiri
menerangi kegelapan liku-liku kehidupanmu
perit jerih tulang temulangmu
menabur bakti tanpa mengenal jemu

maafilah aku
sekiranya
setiap bicara yang kulafazkan
setiap gerak laku yang kupamerkan
melukakan hatimu
mendukakan jiwamu
mengecewakan dirimu


selagi hayat di kandung badan
selagi musim silih-berganti
segala jasa dan pengorbananmu
tetap kukenang
tetap kusanjung
tetap kuhargai




Ibu,
dengan tulus ikhlas hati ini
kupanjatkan doa bahagia
ku untaikan kalung cinta
buatmu yang tersayang
kaulah ratu hatiku
kaulah kota syurgaku
terima kasih atas segalanya


Sajak tulisan Muhammad Fauzi Suliani seorang rakan karib saya.

Monday, 12 May 2008

Sajak: Rintihan Ibu Tanggang

BERITA HARIAN SG, 12 MEI 2008

9 bulan kau dikandungkan
dalam rahimku ke sana ke mari
begitu payah aku rasakan
setelah besar kau membawa diri
bersama isteri tersayang.

Akulah ibu tunggalmu
tanpa bapamu masih berdiri
dibiarkan begitu saja
tanpa simpati.

Aku tua hina
bagaikan sampah kau kata
mengotorkan rumah istanamu.

Benar!
mungkin aku tiada nilai lagi
tidak berguna
tidak menghasilkan apa-apa
tapi kaulah hasilku!
kaulah anakku!

Campaklah aku ke sana
buanglah aku dari sini
agar senang mata kau melihat
tiada lagi yang menyusahkan kau.

Tanggang!
kufikir cerita dongeng belaka
rupanya kaulah tanggangku!

***

Sajak ini telah disiapkan pada 15/12/2007 sebenarnya cuma pada hari ini baru disiarkan di Berita Harian. Idea menulis sajak ini mungkin pada waktu itu ada beberapa berita di akhbar yang kerap menghiasi dadanya memberitakan tentang anak yang enggan menjaga orang tua mereka setelah mereka dewasa. Oleh itu, muncullah 'Rintihan Ibu Tanggang.' Intipati sajak ini sedikit sebanyak adalah luahan ibu kepada si 'Tanggang' itu. Mungkin anda bertanya, kenapa saya gunakan Tanggang? Sebenarnya jika kita sebenarnya peka dengan kisah-kisah melayu anda pasti tahu cerita Tanggang. Oleh itu, saya kira Tangganglah yang terbaik untuk ibunya merintih. Ia juga kerana kita sendiri tahu sifat masyhur Tanggang; derhaka.

Sekian. Terima Kasih.

Monday, 5 May 2008

Duit $1 juta pun boleh habis kalau boros

BERITA HARIAN SG, 5 MEI 2008

DI DALAM hati saya terbetik: 'Tiba-tiba 'dapat' sejuta dolar dalam kad prabayar?'
Begitulah reaksinya selepas membaca laporan tulisan Encik Saini Salleh di Berita Harian pada Rabu, 16 April lalu.
Tiga elemen 'T' langsung muncul di dalam benak - tertarik, tertanya-tanya dan terperanjat beruk!
Iyalah... apabila saya baca dada akhbar tersebut, saya terus tertarik dengan tajuknya iaitu Tiba-tiba dapat $1j dalam kad prabayar.
Sepantas kilat saya terfikir. Menyambung bacaan pendek tersebut, saya semakin tertanya-tanya apa yang terjadi. Oh, rupanya seorang lelaki terkejut kerana kad prabayar yang dibeli dengan nilai $18 didapati menampung $1 juta.
Apabila diselidiki, rupa-rupanya terdapat kerosakan teknikal pada kad prabayar itu dan ia baru dikesan penyedia khidmatnya, StarHub.
Saya tentunya 'terperanjat beruk'. Mengapa? Anda cuba bayangkan, anda diberi $1 juta. Apakah yang akan anda lakukan?
Tiga teman yang sempat saya tanyakan soalan ini memberi jawapan berbeza.
Faris Alfiq berkata: 'Saya akan pergi haji, mengelilingi dunia dan juga berikan kepada orang tua.'
Seorang lagi yang ingin dikenali sebagai Huraira pula berkata dia akan mencuba makanan-makanan yang mahal lagi sedap, membeli pakaian baru dan bersedekah.
Yang ketiga pula, iaitu Fauzi dengan lebih bernas menjawab:
'Wang $495,000 akan aku gunakan untuk beli kereta Lamborghini. $295,000 pula akan aku belikan bermacam permainan PSP, $888 aku beli N95 8GB, $50,000 aku beri orang tua aku dan simpan bakinya.'
Begitulah jawapan mereka. Sedih rasanya, tiada satu yang mahu memberikan wang itu kepada saya. Ha...ha.. ha. Anda bagaimana pula?
Walau apa pun, saya tabik sikap lelaki yang dimaksudkan, Encik Malik Bajuri, atas rasa amanah dan tanggungjawabnya untuk tidak menggunakan sesuatu yang bukan miliknya.
Bagi saya, duit bukan segala-galanya tetapi segala-segalanya perlukan duit. Bukankah begitu?
Iyalah, duit bukan segala-galanya. Ia tidak boleh membeli cinta daripada Ilahi, kebahagiaan dan jauh sekali keamanan!
Walau bagaimanapun segala-galanya di dunia memang memerlukan duit. Tanpa duit, takkanlah ekonomi sekarang bergerak maju?
Lihat sahaja pada hari ini, masakan ke sebahagaian tandas awam memerlukan bayaran 20 sen? Nasib baiklah belum ada kenaikan pada bayarannya. Kalau ada, nampaknya 'melabur' sajalah di rumah! Ha... ha...
Pada kebiasaannya, masa diibaratkan sebagai emas. Namun, apakah metafora yang terbaik untuk kita gunakan bagi duit? Air? Mungkin.
Masa ibarat emas, duit ibarat air untuk pengembara di padang pasir. Anda gambarkan, seorang pengembara yang dahagakan air di padang pasir. Dengan cuaca yang panas lagi terik, hanya airlah yang dapat menghilangkan kehausan tersebut. Sayangnya apabila air tersebut telah diperolehi ia tidak dihargai.
Contohnya, kita. Duit memang sukar hendak didapati walaupun ekonomi sekarang kian membangun.
Dalam masa yang sama, kadar inflasi juga giat meningkat. Walaupun begitu, kita masih tidak lepas daripada sikap membazir apabila kita sudah mendapat wang yang diimpi-impikannya. Mungkin ia sudah sebati dengan diri kita.
Duit memang ibarat air. Cuba anda fikirkan. Anda diberi $100 untuk sehari berbelanja di pusat membeli-belah. Adakah anda rasa mencukupi? Apabila anda melihat sahaja barang yang anda minat, tanpa berlengah, anda akan beli tanpa memikirkan kegunaannya.
Anda melihat kasut jenama terbaru dengan diskaun 50 peratus. Apa lagi? Kauplah. Mara lagi ke hadapan, anda terfikir untuk membeli makanan di restoran ternama. Mengorak lagi langkah, bahkan belum sempat lagi, aduhai, sudah habislah $100 tadi. Kesian. Nampaknya benarlah ya duit itu ibarat air?
Hari ini, duit memang satu keperluan bagi kita. Hari ini juga, pembaziran tidak terlepas daripada diri anda dan juga saya. Bukankah lebihan duit itu wajar digunakan untuk sesuatu yang berfaedah seperti menderma kepada badan-badan yang memerlukan.

Monday, 10 March 2008

LEBIH MUDAH MENASIHATI ORANG BERSABAR DARIPADA SABARKAN DIRI SENDIRI

BERITA HARIAN SG, 10 MAC 2008

SABAR adalah perkataan yang asalnya wujud daripada bahasa Arab.
Jika dirujuk Kamus Dewan Edisi Keempat, ia membawa maksud tidak terburu-buru ataupun tenang.
Sabar.
Itulah topik yang akan saya bincangkan minggu ini.
Selain hadis yang menyatakan 'sabar itu separuh daripada iman, apa lagi rasanya yang boleh dibahaskan tentang sabar ini?'
Kita sering menasihatkan seseorang supaya bersabar apabila orang itu ditimpa musibah, atau ketika dia sedang marah.
Tetapi, adakah kita sendiri mengamalkan sifat sabar itu?
Renungkan senario berikut:
Apabila kita menunggu bas selama hampir setengah jam ataupun bas lambat tidak mengikut jadual seperti biasa.
Kita yang kurang sabar pasti akan menelefon teksi.
Alangkah ruginya!
Duit tambang bas jauh lebih rendah daripada tambang teksi.
Oleh kerana tidak sabar, kita 'kehilangan' berdolar-dolar.
Ingatlah... tambang teksi sekarang ini pun sudah naik.
Selanjutnya, senario yang sering dilihat terutama sekali oleh mereka yang ke seberang tambak melalui kastam Woodlands atau Tuas.
Aduhai... jenuh sekali apabila terpaksa menunggu dan melihat kereta sesama kereta memotong dan memasuki sahaja lane orang lain, terutama sekali pada musim cuti panjang seperti cuti Tahun Baru Cina bulan lalu.
Kalaulah semua orang bersifat sabar, tidak memotong laluan orang lain, tentu sekali jalan raya sepanjang tempat kastam itu tidak sesak! Saya gerenti 50 peratuslah!
Secara keseluruhan, jika anda lihat kedua-dua senario tadi, anda pasti sedar bahawa golongan yang tidak sabar merupakan golongan yang rugi.
Namun biasanya, memang mudah kita menasihati orang lain bersabar sedangkan kita sendiri sukar melakukannya.
Orang paling kuat adalah mereka yang sabar menahan diri daripada kemarahan.
Pernahkah kita bersikap sedemikian? Ayuh kita renungkan bersama.

Monday, 11 February 2008

HELLO PAK CIK... MAK CIK... DULU LAIN, SEKARANG LAIN TAU...

BERITA HARIAN SG, 11 FEBRUARI 2008

TELEFON bimbit kini sudah menjadi suatu kebiasaan dan tidak asing lagi dalam kehidupan seharian kita.
Dahulunya, ramai yang tergila-gilakan telefon bimbit Nokia 2110.

Sekarang pula, sudah ada Nokia N95 8GB yang lebih besar tampungan memorinya, bahkan, turut dijual secara promosi dengan muatan filem Spider-Man 3!

Perbezaan antara telefon bimbit dahulu dengan sekarang memang ketara.

Jika dahulu telefon bimbit berkamera hanya setakat VGA, sekarang sudah ada di pasaran yang mempunyai 5.0 megapiksel dan setahu saya sudah ada yang bermutu lebih daripada itu di Jepun.

Dahulu, kita menggunakan pancaran cahaya inframerah untuk menghantar fail-fail seperti lagu atau gambar kepada rakan kita. Kini, timbul pula kemudahan bluetooth yang pastinya lebih pantas.

Banyak lagi perbezaan dapat kita lihat.

Antara lain, daripada setakat memiliki radio FM kepada alat pemain muzik MP3, dari 0G (Generasi) pada tahun 1945 kepada 4G, dari yang beratnya tidak terkira hinggalah yang seberat 60 gram.

Tidak mustahil untuk kita melihat rekaan-rekaan yang lebih gah lagi canggih di masa-masa akan datang.

Lihat saja sekarang - ada telefon bimbit yang sudah mempunyai Wi-Fi, WAP dan macam-macam lagi . Wow!

Masa memang bergerak pantas dan kepandaian manusia sedikit sebanyak telah merubah dan menyenangkan kehidupan seharian kita.

Dahulu, telefon bimbit memang tidak ada. Tetapi kini di sana sini orang memilikinya.
Jika dahulu mereka yang mempunyai telefon bimbit dianggap sebagai golongan elit dek harga tinggi yang mencecah $600 hingga $1,000, sekarang dengan harga serendah $50, kita sudah boleh memiliki telefon yang bersesuaian dengan mutu dan kelebihannya.

Begitulah perubahan yang dapat kita lihat dengan hadirnya aneka jenama telefon bimbit yang popular ada di pasaran sekarang ini.

Dengan bermacam fungsi dan juga peristilahan teknikal yang ada kini, adakah ia menjadi penyebab mengapa ramai remaja merasakan serba tidak kena kalau tiada telefon bimbit?
Bagi saya, ia memang satu keperluan, bukan untuk bergaya semata.

Kalau tersesat, senang cari teman dengan menghubunginya langsung.

Kalau nak berpesan kepada teman yang sedang sibuk di dewan kuliah, boleh layangkan SMS.

Sesetengah ibu bapa masih lagi menghalang anak-anak mereka daripada menggunakan telefon bimbit. Saya hairan mengapakah ia menjadi punca pertelagahan.

Ada seorang kawan saya menyatakan bahawa orang tuanya menghalangnya memiliki telefon kerana mahu si anak belajar hidup susah seperti mereka.

Ibu bapa itu khuatir anaknya menjadi terlalu kebendaan jika dibelikan telefon bimbit.

Bukannya saya hendak menentang, cuma faham-faham sajalah, zaman sekarang ni dah lain pak cik... mak cik...

Ibu bapa mesti faham. Mereka juga harus sama-sama mengikut arus perubahan dan menyesuaikan diri mereka dalam alaf baru ini.

Tambahan pula, dengan adanya telefon, ibu bapa masih boleh menjejak di manakah anak-anak remaja mereka berada.

Buat remaja yang ada telefon bimbit - malah sering juga tukar telefon baru - kerana tiada masalah atau tentangan daripada ibu bapa, janganlah pula ambil kesempatan ya...

Gunakanlah telefon bimbit anda itu dengan sebaik-baiknya untuk keperluan.

Monday, 21 January 2008

UNTUNGNYA MEREKA YANG MUDAH 'MENGHEMBUS' KATA

BERITA HARIAN SG, 21 JANUARI 2008

JANTUNG berdegup-degup dan berkencang laju. Muka mula merah.
Pernahkah anda rasa begitu? Jika pernah, bermakna anda juga adalah di kalangan mereka yang seperti saya, berdepan dengan masalah gementar di khalayak ramai.
Begitulah sekelumit perasaan yang saya pernah dan masih lagi alami apabila diminta untuk tampil ke hadapan berpidato, membuat persembahan atau apa sahaja yang memerlukan saya untuk berdepan dengan orang ramai.
Kadangkala, saya rasa sudah cukup membuat persiapan untuk berhadapan dengan orang ramai.
Berulang-ulang kali saya berbual di depan cermin sambil mencatat masa saya tetapi hairannya, apabila tiba harinya, perasaannya begitu berbeza sekali.
Pada kebiasaannya, sehari sebelum hari yang dinanti-nanti itu, saya akan paksa diri untuk menjadi berani. Malangnya, pada hari sebenarnya, perasaan itu berubah sama sekali. Daripada berani menjadi takut. Hinggakan sakit perut pun terasa!
'Cabut sajalah atau pura-pura sakit!' kadangkala begitulah kata hati saya. Apakan daya, ikut hati mati!
Jika difikir panjang, buat apalah kita hendak cabut dan berpura-pura sakit? Kita akan tetap dipanggil untuk ke hadapan. Mungkin esok kita boleh berpura-pura sakit tapi lusa? Anda tetap akan datang ke sekolah bukan? Jadi mengapa perlu 'cabut'?
Saya sendiri tidak faham mengapa kita rasa seram dan sangat takut untuk ke depan. Mungkin kita konfiden yang kita akan membuat salah sehingga ditertawa kawan. Mungkin juga kita malu dengan rakan-rakan kita yang melihat kita di hadapan.
Iyalah, apabila kita berada di hadapan terutama di atas pentas, mata-mata akan memandang kita. Gerak-geri kita diperhati atau mungkin sahaja kita takut jatuh dari tangga bak nangka busuk. Gedebuk!
Kadangkala, saya rasa cemburu dengan kawan saya yang mempunyai keberanian untuk berdepan dengan orang ramai. Tapi... entahlah. Mungkin kita belum lagi dikurniakan keberanian seperti sebahagian kawan kita.
Beberapa cara telah saya cuba dan ia tidak begitu berkesan untuk saya. Siapa tahu ia berkesan untuk anda? Antaranya menguasai nafas dengan baik. Iya lah... apabila kita di hadapan, kita menarik nafas bagaikan orang yang sedang berlari tercungap-cu- ngap. Sehinggakan ia menjejas perbualan kita.
Bayangkan, kita perlu menyebut sesuatu perkataan yang panjang. Contohnya, 'ekokardiogram'. Belum sempat kita sebut suku kata yang terakhir, sudah tersekat. Isy... isy... isy...
Bagi saya, yang penting, kita perlu faham dan 'berkawan' dengan teks yang akan kita gunakan. Menghafal, jauh sekali. Ini kerana apabila kita sudah berasa takut, semua yang di ingatan akan 'terbang' dan hafalan yang kita sudah siapkan akan bercampur-aduk. Jadilah rojak.
Pesan saya, sebaiknya, gunakan perkataan yang sering anda gunakan. Bukannya perkataan yang su- sah hanya kerana hendak menunjuk-nunjuk yang anda mempunyai kosa kata yang power!

Tuesday, 8 January 2008

Alhamdulillah

Berita Harian SG, 7 JANUARI 2008

Apabila aku lihat diriku sempurna
keluargaku bahagia
persekitaranku aman sentosa
aku tidak lupa mengucapkan Alhamdulillah.

Alhamdulillah atas nikmat anugerah Ilahi
atas rahmat dicurah buat diri
atas rezeki kurniaan Rabbullizzati
atas kejayaan yang kuraih.

Alhamdulillah kerana tercapai cita-cita
mimpiku menjadi nyata
doaku dimakbulkan Maha Esa.

Alhamdulillah
ungkapan syukur
tanda terima kasihku
kehadrat-Mu

Syukur Alhamdulillah
tidak akan pernah haus
di lidah ini
atas segala pemberian-Mu ya Allah