Monday, 14 July 2008

USAH 'CONGKAK' DALAM DUNIA 'ROLLER COASTER'

BERITA HARIAN SG, 14 JULAI 2008

CONGKAK. Apabila saya sebutkan perkataan itu, apa agaknya yang berada di benak fikiran anda?
Jika anda meneka ia adalah filem seram Congkak yang dikatakan 'pecah panggung' pada malam pranonton, ternyata anda salah.
Congkak membawa tiga makna yang berbeza jika anda menyemak Kamus Dewan Edisi Keempat. Salah satu daripadanya dikenalkan dalam filem box-office ini.
Pertama, ia bererti sombong, bongkak dan pongah. Kedua, ia bererti binatang seperti kerang atau lokan. Ketiga, ia bererti sejenis permainan yang menggunakan kayu bujur yang berlubang-lubang dan buah-buahnya diperbuat daripada biji tanah.
Rasanya sudah nyata lagi jelas gambaran mengenai apa yang akan dibualkan pada kali ini iaitu makna yang pertama daripada perkataan congkak itu sendiri.
Sebelum berbincang mengenainya lebih lanjut, ingin saya kemukakan kepada anda tiga soalan.
Pertama sekali, pernahkah anda dihina di atas kekurangan anda? Seperti kekurangan pada kepandaian, kemiskinan dalam kekayaan dan sebagainya.
Kedua pula, pernahkah anda terserempak kenalan anda di jalanan, lalu apabila anda hendak mendekatinya untuk menegur, beliau seakan-akan tidak menoleh ke arah anda?
Jemput orang makan, tanpa memandang wajah anda, ditolaknya dengan nada marah. Atau ingin meminta maaf, dengan wajah yang bungkam, dia memberi gerak seakan-akan dosa kita besar sekali terhadapnya.
Terakhir sekali, pernahkah anda menghulur tangan bersalam dengan seseorang, lalu anda dilihatnya atas bawah, kemudian dibiarkan tangan anda bersalaman dengan angin saja?
Sekiranya jawapan anda terhadap tiga soalan bersenario itu ya, ataupun pernah, saya kira anda telah terjumpa dengan si penyombong atau orang yang congkak.
Saya hairan, mengapa kita manusia ini sering saja menganggap diri kita lebih daripada yang lain? Apa kita lupa pada asal-usul kita?
Sudahkah kita lupa tingginya langit, rendahnya bumi? Beringat-ingatlah.
Ingatlah bahawa nikmat yang Allah beri itu hanya pinjaman sahaja. Hari ini, anda mungkin pandai tetapi congkak. Siapa tahu kalau-kalau kepandaian anda ditarik-Nya?
Hari ini juga, mungkin harta anda makan tak habis. Siapa tahu kalau-kalau hari esok anda kais pagi makan pagi, kais petang makan petang?
Bersyukurlah dengan pinjaman daripada Tuhan.
Untuk senario yang kedua dan ketiga pula, saya jangka ramai yang mungkin pernah mengalaminya. Hairan ya, mengapa congkak benar manusia ni.
Ada yang nampak di jalanan tak beri salam, tak ditegur. Inilah ragam manusia era sekarang.
Ada pula yang apabila nampak terus memalingkan muka dan berjalan dengan muka ditoleh ke tepi sahaja. Nampak sangat kesombongannya. Apa mungkin menegur boleh menjatuhkan status seseorang?
Jauhilah sifat congkak sesama manusia dan berpeganglah pada peribahasa ular yang menyusur akar tidak akan hilang bisanya dan ikutlah resmi padi - semakin berisi semakin tunduk.
Macam kata Sifu M. Nasir dalam lagunya, Apocalypse: 'Hidup di dalam roller coaster, susah dan senang bersilih ganti. Bila-bila boleh naik dan turun.'
Kita tidak akan sentiasa berada di atas. Janganlah kerana sifat angkuh kita nanti, orang lain tidak mahu menolong kita pada hari susah nanti.
Alhamdulillah, sebuah lagi rencana dihasilkan.
Datangnya ilham untuk rencana ini adalah apabila Rauuf menyemak kamus mencari
makna sebenar congkak. Sebelum ini juga, Rauuf ingatkan congkak membawa satu
makna sahaja, yakni seperti yang kita ketahui, alat permainan. Dengan
terhasilnya rencana yang daif ini, Rauuf berharap agar kita dapat menggunakan
perkataan selain sombong dan bongkak dengan congkak. Sekian, salam
muhibbah.

No comments: