Monday, 20 October 2008

ADAB BERAYA ANAK MELAYU

BERITA HARIAN SG, 20 OKTOBER 2008

ADAB beraya? Aik, nak beraya pun mesti beradabkah? Mungkin sebahagian rasa agak janggal apabila disebut tentang adab beraya.

Bukannya apa, adab bukanlah penghalang kita untuk beraya. Tradisi Melayu memang penuh dengan adat, kesopanan dan ketertiban. Bukan sahaja Melayu yang menggalak adab baik tetapi selebihnya agama Islam kita sendiri.

Jika difikir-fikir semula, memang agak payah untuk kita bongkar, apa agaknya adab-adab beraya?

Sebenarnya, dalam sedar tak sedar, bulan Syawal ini banyak menggalak kita beradab dan banyak yang kita lakukan adalah adab.

Pertama, memberi salam. Itulah perbuatan yang patut diberi keutamaan apabila kita tiba di rumah kenalan kita baik yang rapat mahupun tidak.

Saya masih teringat satu peristiwa. Sedang saya duduk menikmati juadah di rumah kenalan saya, tiba-tiba saya terdengar seseorang, tanpa memberi salam, bertanya:

'Cik Petom (bukan nama sebenar) ada?' Aik. Mana pergi salamnya? Malukah hendak beri salam atau tak tau sebut? Bukannya susah mana pun memberi salam tu. Assalamualaikum. Susahkah? Tidak mengapalah. Kita bersangka baik. Yang tahu memberi salam pula, jangan tak beri salam ya!

Assalamualaikum atau 'Salam Sejahtera' dalam bahasa Melayunya adalah doa kepada penghuni rumah itu supaya sejahtera hendaknya.

Kedua, daripada soal adab berpakaian. Lelaki dan wanita tidak kira jantina di Lebaran ini pasti mengenakan pakaian Hari Raya.

Pakaian Hari Raya memanglah pakaian yang sopan. Terutama sekali bagi wanita. Iyalah, kurang 'buka sana buka sini'-nya.

Ada anda lihat 'tabung' bergerak? 'Pusat-pusat bertindik'? Kalau nampak pun, mungkin kuranglah ya. Tapi kalau mengenakan pakaian yang ketat dan menampakkan tubuh badan pun buat apa ya?

Selagi menampakkan tubuh badan atau bentuk tubuh, ia masih dikira aurat. Bayangkan, sewaktu keriuhan berhari raya, tiba-tiba koyak baju yang ketat itu. Tidak malu dibuatnya?

Dalam zaman budaya fusionpolis sekarang ini, memang susah hendak dikatakan lagi. Yang lelaki sudah tidak gemar mengenakan songkok. Mereka lebih selesa berambut panjang dan mewarnakannya.

Iyalah, mungkin harga songkok sudah meningkat. Seperti yang saya katakan tahun lalu, ada yang mengenakan rambut bak penyapu berdiri, burung merak dan sebagainya. Walau apa pun, syabaslah ya kerana masih melestarikan pakaian Melayu di hari-hari Lebaran sebegini.

Ketiga, adab makan. Memang tidak asing lagi. Iyalah, di setiap rumah yang kita kunjung itu, pasti disuruh makan oleh tuan rumah.

Kalau tidak yang berat-berat, kuih-muih pun tetap ada. Itulah dia penyeri atau yang membezakan hari-hari Raya dengan hari-hari yang lainnya selain langsir, permaidani dan dinding yang tampak bercat baru. Berbalik pada adab makan kita. Kuih tart ada, makmur, bantal peluk Saloma pun ada. Aduhai! Teruja dibuatnya. Ditambah pula dengan lemang, rendang ayam. Makin tergoda.

Dalam makan tu, janganlah lupa jaga kebersihan rumah yang dikunjungi ya? Lagi-lagi kalau makan kuih yang berhabuk seperti bantal peluk Saloma. Dalam menyenduk kuah tu, tak payahlah berebut-rebut. Kesian tuan rumah kalau-kalau tertumpah kuahnya di atas meja. Rosak alas meja nanti. Kalau ya pun, jagalah tatatertib sewaktu makan. Tadahlah tangan supaya tidak berkecah makanan tu nanti.

Begitulah adab-adab beraya. Saya yakin ada banyak lagi. Buat waktu ini, hanya ini sahaja yang terilham. Dalam kita berhari raya, buanglah segala ego yang ada.

Ada tu, yang ego tak habis-habis. Kalau dah buat salah tu, mengaku sajalah. Bak pepatah mat salih: 'Let bygones be bygones' ataupun 'buang yang keruh, ambil yang jernih'.

Sudahlah, kesilapan yang lalu, usah diingati lagi. Janganlah bersikap seperti ketam. Nampak orang, pusing tepi dan jalan miring. Akhir kata, saya akhiri rencana kali ini dengan serangkap pantun.

Kalau ada jarum yang patah,
Jangan disimpan dalam peti,
Kalau ada silap dan salah,
Jangan disimpan dalam hati.


Sekian, Selamat Hari Raya. Maaf zahir dan batin.

No comments: