Monday, 31 December 2007
1,001 PERASAAN DI AMBANG 2008
DALAM masa beberapa jam lagi, kita akan meninggalkan tahun 2007.
1,001 perasaan memenuhi benak. Selamat datang 2008.
Ada yang menyambutnya dengan hiba apabila keputusan peperiksaan yang lalu tidak membawa kejayaan.
Bagaimanapun, pesan saya, usahlah berputus asa. 2008 adalah tahun membina tekad baru agar kegagalan tidak diharungi sekali lagi.
Ada yang seram sejuk melihat sekolah baru. Saya pasti adik-adik di menengah satu ataupun rakan-rakan yang memulakan persekolahan tiga bulan pertama di maktab rendah mahupun yang baru menyertai Institut Pendidikan Teknikal (ITE) akan dilanda rasa tidak sabar bercampur gentar memulakan alam persekolahan baru.
Sememangnya, tatkala berada di sekolah baru, kita akan rasa terasing. Adakalanya, kita terasa seperti rusa masuk kampung - serba tak kena dibuatnya, lebih-lebih lagi jika kita tiada teman.
Teringat saya dahulu ketika bertukar sekolah baru. Sampai saja di sekolah, saya terus bersembunyi di sebelah tandas. Sehinggalah waktu berhimpun bermula! Entah mengapa saya malu-malu kucing, saya pun tidak pasti.
Dalam pada itu, saya pasti ada daripada anda gembira dengan kehadiran teman-teman baru. Senanglah untuk anda memperluas rangkaian kenalan. Kalau dahulu mungkin setakat amati melalui laman Friendster, kini sudah bersua muka.
Bagi yang dilanda perasaan takut kerana akan menghadapi peperiksaan 'besar' pada 2008, usah khuatir.
Dalam mengejar cita-cita anda, janganlah biarkan perasaan malas menguasai diri anda, sebagaimana yang dinasihati Dr AR, pakar yang saya temui minggu lalu.
Lawanlah perasaan negatif. Buatlah penyesuaian diri.
Akhir kata, Selamat Tahun Baru dan perbaharui semangat anda dengan tekad lebih jitu.
Monday, 24 December 2007
APABILA 'WABAK TERKEJUT' MENYERANG
ADAKAH pelajar kini dilanda 'wabak terkejut'? Hhmmm... tidak faham maksud saya? Usah khuatir dan usah takut.
Saya baru sahaja bertemu dengan Dr AR, seorang 'pakar' yang akan membincangkan 'penyakit musiman' ini.
Katanya: 'Wabak terkejut ini adalah penyakit lama yang akan berulang kali menjangkiti pelajar setiap penghujung cuti sekolah Jun ataupun Disember.
'Mangsanya ialah pelajar sekolah rendah, menengah dan maktab rendah.'
Apa gaknya tanda-tanda 'wabak terkejut'?
'Rasa malasnya menjadi-jadi sehingga berat mengangkat kaki ke sekolah,' katanya.
Ooo... begitu rupanya. Saya sendiri memang pernah diserang 'wabak terkejut' ini.
Malasnya bukan main. Memang 'wabak' ini tidak memudaratkan seperti Sars ataupun flu burung, tetapi kalau ia berlarutan, apa nak jadi dengan persekolahan anda?
Dr AR memberitahu saya, 'wabak' ini paling hebat khususnya sekitar Disember kerana tempoh cuti yang lebih panjang.
'Pelajar dah puas bercuti. Mereka terasa bagaikan ingin lalui lagi tempoh 'berbulan madu' itu,' ujar beliau.
Jadi, bagaimana mengatasinya?
Mestilah 'psiko diri' agar berfikiran positif. Tanpa bekalan pelajaran, anda akan dapati diri anda tidak mampu rasa terisi dengan ilmu. Cuba anggap tempoh persekolahan sebagai paling nikmat. Jangan sekali-kali mengabaikan tanggungjawab anda.
Kalau sudah bekerja nanti, 'wabak' lain pula menimpa! Justeru, hargailah tempoh persekolahan anda.
Saturday, 15 December 2007
HAYATI ERTI HARI RAYA KORBAN
BULAN Zulkaedah baru meninggalkan kita, kini kita sudah berada dalam Zulhijah dan selang beberapa hari lagi, kita akan menyambut Hari Raya Korban atau Hari Raya Haji.
Pada 10 Zulhijahlah kita menyambut hari kebesaran umat Islam sedunia, yang pada hari itu berlaku satu sejarah penting iaitu penyembelihan Nabi Ismail as oleh bapanya Nabi Ibrahim as.
Ketika saya tanya tiga rakan mengenai apa yang mereka faham daripada perkataan 'korban', seorang yang bernama Md Zen menjawab 'sanggup melakukan atau mengorbankan apa saja demi mencapai keredaan dan cinta Allah swt'.
Seorang lagi, Hafiz, berkata:
'Berkorban apa saja kepada Dia yang satu.'
Rakan saya yang ketiga, Md Faris, pula menjawab:
'Ia terbahagi kepada dua, satu daripadanya ialah Hari Raya, manakala satu lagi ialah sanggup melakukan apa saja demi seseorang.'
Jika dirujuk kepada Kamus Dewan edisi keempat, ia mempunyai empat makna. Rasanya ketiga-ketiga mereka peka mengenai erti 'korban'.
Korban yang sebaiknya ialah kepada Allah.
Akan tetapi ia berlaku juga pada sesama manusia.
Contohnya, dalam konteks pelajar remaja, mengorbankan waktu untuk menimba ilmu dan mengulang kaji pelajaran, terutama dalam musim peperiksaan.
Berkorban juga termasuk memberikan wang untuk membantu seseorang yang susah.
Begitulah bahasa Melayu kita, indah dan kaya dengan makna. Anehlah jika ada orang Melayu yang tidak mencintai bahasa ibundanya sendiri.
Selamat menyambut Hari Raya Aidiladha!
Tuesday, 11 December 2007
Jangan lupa sekolah apabila duit sudah di tangan
TERBELEK-BELEK halaman akhbar.
Begitulah keadaan sesetengah pelajar. Mereka bukan mencari sebarang laporan menarik.
Sebaliknya, halaman Klassified di akhbar ini menjadi pilihan untuk meneliti kerja kosong yang ditawarkan pelbagai syarikat sempena cuti sekolah.
Ada teman yang ingin menjadi tutor, operator pengeluaran, pembantu gerai dan macam-macam lagi tugas pentadbiran.
Apa yang mereka perlu akur ialah keperluan syarikat itu, kelulusan dan syarat yang ditetapkan.
Saya juga sibuk mencari pekerjaan sambilan.
Bukannya apa. Sebagai golongan muda, remaja kita sentiasa inginkan sesuatu yang baru demi meraih pengalaman.
Ramai berpendapat bahawa ia jauh lebih baik daripada duduk bawah blok melepak sesuka hati.
Ada juga yang berkata mereka ingin bekerja untuk mengumpul wang bagi membeli sesuatu yang baru seperti pakaian terkini bagi mengikut trend.
Tidak kurang pula yang ingin memiliki barangan mewah seperti telefon bimbit.
Jadi, harus bekerja keras dan tidak wajar bebankan ibu bapa.
Apa yang saya dapati ialah niat pelajar bekerja rata-ratanya berunsurkan kebendaan.
Zaman sekarang ni... mereka bagaikan berlawan-lawan dengan teman-teman sedarjah untuk memiliki perkakas sekolah baru yang berjenama.
Kali pertama dapat gaji, aduhai... seronoknya tidak terkata.
Bagaimanapun, saya berharap niat remaja bekerja dapat diperbetulkan.
Tidak salah untuk memenuhi keperluan memiliki barangan yang diidam-idamkan.
Bagaimanapun, diharapkan apabila kita bekerja, kita akan sedar betapa susahnya orang tua kita mencari rezeki.
Kita sekali gus akan sedar betapa pentingnya pelajaran untuk menjamin pekerjaan yang baik.
Kita juga tidak sewajarnya membazir pendapatan kita dengan membeli barangan tidak perlu.
Bekerja tidak semudah yang dibayangkan. Rasanya, belajar itu lebih mudah.
Kepada teman-teman yang sedang bekerja pada waktu cuti ini, berusahalah dengan gigih.
Jangan abaikan tanggungjawab tetapi jangan pula dek seronok bekerja, lupa tentang persekolahan yang belum tamat.
Tanpa pendidikan, bagaimana boleh kita dapat wang daripada pekerjaan?
Friday, 7 December 2007
Azam di sebalik kegagalan anak kita
Berikut adalah Rencana Encik Rahim Sakom yang sedikit sebanyak mengulas tulisan Rauuf dalam ruangan forum yang lalu.
MUNGKIN segelintir sahaja anak Melayu sebaik Natasha Nabila Mohd Nasir dengan agregat tertinggi, 294, dalam Peperiksaan Tamat Sekolah Rendah (PSLE) dan bakal menerima Anugerah Pencapaian Khas Bagi Kecemerlangan dari Yayasan Mendaki.
Sedang pelajar pintar dipuji dan disanjung, usah pula lupakan atau sisihkan pelajar-pelajar yang kurang cemerlang begitu saja.
Dekati mereka... cukup sekadar kata-kata perangsang, terutama daripada ibu bapa.
Sebagai orang tua memang kita impikan keputusan cemerlang untuk anak dalam apa jua peperiksaan demi masa depan mereka, tetapi kita juga harus bersedia menghadapi kenyataan.
Jika ayah atau ibu kecewa dengan keputusan anak sebab bimbangkan masa depan, itu memang wajar, tetapi jika kecewa gara-gara setakat takut 'jatuh air muka' di mata rakan atau jiran, saya rasa ia sama sekali tidak wajar.
Sikap ibu bapa begini nampaknya masih berleluasa.
Jika tidak mana mungkin ada insan yang menimbulkannya sejurus selepas keputusan PSLE diumumkan? Seolah-olah reaksi ibu bapa itu sudah dijangka.
Bagi ibu bapa yang khuatir, usah terlalu terbawa-bawa oleh perasaan sebab perjalanan anak masih jauh lagi. PSLE baru setakat sekolah rendah.Surat dalam ruangan Forum Berita Harian bertajuk
Peperiksaan: Ibu bapa perlu bantu anak terima keputusan (BH, 24 November)
membincangkan dilema ini dengan wajar. Penulis melahirkan simpati terhadap
murid yang kurang baik keputusan peperiksaannya dan pada masa yang sama
mengharapkan ibu bapa pula menerimanya dengan tangan terbuka.
Memang baik jika ibu bapa prihatin terhadap pelajaran anak, malangnya ia kadangkala menimbulkan tekanan. Ibu bapa berasa tertekan apabila mereka membandingkan keputusan anak dengan anak rakan atau anak jiran.
Anehnya, mereka lebih pentingkan 'air muka' daripada menerima hakikat kemampuan anak mereka. 'Kenapa teruk sangat keputusan periksa kau ni huh? Mana nak letak muka aku ni,' inilah kata-kata yang sering kita dengar daripada setengah-setengah ibu bapa selepas mendapati keputusan periksa anak tidak sebagaimana yang diharapkan. Yang menyedihkan, ada yang sanggup menghukum anak atas 'kegagalan' mereka itu. Anak-anak mungkin rasa terguris, terutama mereka yang memang sudah berusaha bersungguh-sungguh.
Kesannya? Ada anak yang patah semangat sedangkan waktu
inilah sokongan ibu bapa amat diperlukan.
Masih ada GCE 'O', GCE 'A' dan diploma dan ijazah. Kadangkala anak mereka late bloomer, hanya menunjukkan kecemerlangan di peringkat menengah atau maktab rendah, malah ada juga yang dapat menapak jauh tanpa ijazah atau diploma.
Baru-baru ini, saya menerima panggilan telefon daripada seorang abang yang membaca pandangan saya tentang 'Mimpi manis anak Melayu'.
Menurut beliau, adiknya juga berjaya menjawat jawatan tinggi walaupun berkelulusan vokasional.
Sekarang adiknya itu ketua jurutera kapal tangki yang belayar ke serata dunia.
'Nak tahu di mana beliau sekarang encik?' katanya. 'Di Manila, terima anugerah kerana khidmatnya.'
Begitulah bangganya seorang abang menceritakan kejayaan adiknya yang tidak melalui laluan menara gading meniti hidup dan kini sudah berjaya bergelar jurutera.
Kita boleh ambil iktibar daripada kisah ini, malah banyak lagi.
Usah biarkan kegagalan awal mematahkan semangat. Beri anak perangsang dan galakan sebab laluan masih jauh lagi.
Monday, 3 December 2007
JANGAN 'FRIENDSTER' JADI 'MONSTER'
FRIENDSTER.
Sebut sahaja perkataan itu, pasti semua remaja tahu tentang rangkaian kenal-kenal ini.
Pelajar di peringkat rendah pun nampaknya sudah pandai menggunakan laman ini yang dikatakan lebih 'mesra remaja' berbanding satu lagi laman popular, Facebook.
Bagaimanapun, saya tidak hairan jika sesetengah ibu bapa masih dilanda kebimbangan dengan menularnya trend berkenal-kenalan melalui Friendster.
Bagaimanapun, jika saya diminta menjelaskan lebih lanjut tentang manfaat laman ini, banyak yang boleh dikongsi.
Pertama, ia merupakan laman untuk kita mengumpul rakan dan taulan kita dari serata dunia.
Ia juga laman yang menduga kreativiti remaja dalam berkongsi maklumat daripada fail muzik, buku yang pernah dibaca hingga kepada filem yang menarik untuk ditonton remaja.
Buat masa ini, saya dapat tahu laman Friendster adalah yang ketiga paling banyak menampung anggota selepas Facebook dan MySpace.
Seramai 50 juta pelungsur serata dunia menganggotainya.
Ada teman yang mungkin seronok membelek daripada satu halaman ke halaman lain.
Membaca profil teman-teman ataupun mereka yang tidak dikenali sahaja menyeronokkan. Apatah lagi, setelah meninjau foto mereka yang boleh dimuat turunkan.
Setiap laman peribadi boleh dihias mengikut cita rasa tersendiri.
Anda juga boleh menghasilkan URL anda sendiri seperti yang saya manfaatkan dalam URL http://profiles.friendster.com/abdulrauuf.
Anda juga boleh menggunakan nama samaran bagi laman tersebut jika anda amat berjaga-jaga tentang privasi anda.
Sesetengah artis memiliki akaun Friendster.
Cuma, usah tertipu. Sebab, adakalanya sesetengah orang yang tidak bertanggungjawab akan menggunakan nama selebriti dengan sengaja untuk memperdaya pelungsur lain, seperti dalam hal juara Anugerah, Aliff Aziz.
Pada masa yang sama, saya juga ingin berpesan kepada remaja agar jangan tersalah pilih teman menerusi Friendster. Pastikan mereka tiada niat jahat untuk merapatkan diri mereka dengan anda.
Jangan pula bertemu dengan teman yang baru dikenali menerusi Friendster seorang diri.
Manalah tahu jika Friendster bertukar menjadi Monster!
Saturday, 24 November 2007
Peperiksaan: Ibu bapa perlu bantu anak terima keputusan
KEPUTUSAN peperiksaan mungkin sudah diperolehi kebanyakan pelajar termasuk mereka yang menduduki Peperiksaan Tamat Sekolah Rendah (PSLE).
Syabas dan tahniah kepada mereka yang meraih keputusan cemerlang. Tentu sekali orang tua anda bangga dengan keputusan anda.
Saya bukannya seorang kaunselor tetapi saya mendapati kadangkala ibu bapa belum benar-benar memahami diri anak mereka yang bergelar pelajar remaja.
Ada ibu bapa yang berasa kecewa dan hampa selain tertekan apabila melihat rakan-rakan mereka yang mempunyai anak yang mendapat markah cemerlang.
Sehingga kadangkala ada ibu bapa yang marah ke atas anak remaja mereka yang kurang berjaya.
Lalu mereka melepaskan kemarahan mereka terhadap anak mereka itu antaranya dengan merotan sehingga meninggalkan bekas di tubuh anak itu.
Bagi ibu bapa saya sendiri, mereka tidak bertindak sedemikian dan saya bersyukur di atas perkara ini.
Apa yang membimbangkan adalah jika ada pelajar yang kurang berjaya ini nekad melakukan perkara-perkara yang buruk akibat hukuman ibu bapa mereka.
Oleh itu adalah baik bagi ibu bapa pandai mengambil hati anak mereka. Saya tahu sebahagian ibu bapa berasa malu dengan keputusan anak mereka.
Namun, mungkin itulah tahap pencapaian yang anak anda mampu lakukan. Usahlah menghina, mengutuk apa lagi mencerca anak anda.
Sebaliknya, teruslah menyayangi mereka dan memberi mereka semangat dan dorongan untuk terus belajar dan berusaha mencapai keputusan lebih baik.
Berilah rangsangan serta sokongan berterusan dan usah berputus asa.
Bagi pelajar yang kurang berjaya pula, saya hanya ingin katakan agar kita tidak mudah putus asa dan terus mencuba.
Monday, 5 November 2007
REMAJA 'PAKAI DREBAR' UNTUK BERLEBARAN
LAUNGAN takbir sudah tiga minggu berlalu. Namun, lagu-lagu Hari Raya masih lagi diselang-selikan dengan lagu-lagu lain setiap hari.
Pendek kata, setiap hari akan kedengaran lagu-lagu raya. Semangat Rayalah katakan...
Suasana Lebaran inilah yang ingin saya bincangkan minggu ini. Di sana-sini kelihatan ramai yang berpakaian Hari Raya bewarna-warni lagi berseri-seri! Teruja semangat saya ingin terus beraya.
Dalam sedar tidak sedar, pernahkah anda melihat bas awam yang dipenuhi dengan mereka yang ingin menziarah dan mengunjung saudara dan rakan mereka? Sudah tentu pernah, bukan?
Ada antara mereka menaiki kenderaan awam, ada pula yang menaiki kenderaan sendiri dan ada pula yang hinggakan sanggup mengupah orang untuk menjadi pemandu mereka ke sana sini.
Kalau bab mengupah ini, mungkin anda akan terfikir - yang mengupah itu pasti orang dewasa. Jika anda mempunyai tanggapan sebegitu, anda ternyata salah!
Tahukah anda, kini remaja yang masih bersekolah pun turut melakukan perkara yang sama?
Memandangkan mereka belum ada lesen memandu, mereka tempah drebar! Pandai betul remaja-remaja tu.
Setahu saya mereka akan berkongsi wang untuk mengupah pemandu dan mereka akan menyewa van atau bas mini dengan pemandunya sekali!
Anggaran bayarannya ialah antara $5 dengan $10 seorang bergantung kepada tempoh perjalanan dan bilangan pelajar yang turut serta.
Sebilangan daripada mereka berkata dengan cara ini, ia lebih menjimatkan!
Selain dapat merapatkan silaturahim sesama rakan dan taulan, mereka juga dapat menjimatkan wang dengan tidak perlu menokok tambah kad ez-link mereka untuk 'meronda' dari satu tempat ke satu tempat yang lain.
Bayangkan, anda ingin pergi ke 10 rumah dalam masa sehari dan anda perlu bertukar-tukar bas dan MRT untuk berkunjung dari satu tempat ke tempat lain. Bukankah banyak tambang yang perlu dibayar?
Silap-silap, kalau kehabisan wang, terpaksa tampung perbelanjaan pengangkutan awam dengan menggunakan duit collection yang baru diperolehi. Isy...isy...isy...tak ke itu menyedihkan?
Oleh itu, apa kata anda di luar sana?
Sempena Syawal yang masih tinggal beberapa hari ini, buat perancangan untuk keluar bersama rakan-rakan.
Bak kata orang, 'Syawal disambut sepanjang sebulan. Maknanya, selepas puasa dijalankan sepanjang sebulan, Hari Raya pun sebulanlah!'
Namun, beringat-ingatlah apabila mendapat duit collection tu. Jangan habiskan semua. Ingat-ingatlah keperluan jangka panjang.
Maklumlah... kita sudah sampai ke hujung tahun. Kalau anda masih bersekolah, senarai buku-buku untuk tahun depan sudah didapati.
Bukankah duit collection tu boleh digunakan untuk beli buku sekolah? Betul tak?
Tuesday, 23 October 2007
Jangan 'over' bila beraya!
HAI... macam-macam kuih dan juadah Lebaran ada di atas meja.
Kuih tart, makmur, rempeyek. Hhmmm... macam nak makan semua.
Memandang hidangan yang terlalu banyak di atas meja, janganlah pula terburu-buru mengikut nafsu nak makan segalanya, ya?
Mungkin dalam keghairahan remaja beraya, kita tidak sedar ada tuan rumah yang sampai terjeling-jeling menjenguk ruang tamu. Bekas kuih yang baru diisi dah kosong semula ke? Isy... isy... isy... Teruknya!
Saya di sini bukannya nak 'menghentam' atau mengata orang. Ia juga ragam beraya yang saya kira boleh dijadikan aspek cerminan diri.
Kalau dah makan banyak, sakit perut ataupun baju menjadi ketat, siapa yang susah?
Dalam pada itu, jagalah juga pakaian anda agar cantik dipandang mata.
Saya puji remaja Melayu kerana masih sudi berpakaian Melayu pada Hari Raya pertama. Ia menjadi perkara wajib.
Suasananya ibarat berada di kampung nan permai.
Yang pakai songkok, samping dan kebaya. Ewah... ewah... Cantik Cik Abang dan Cik Adik.
Kalaulah ia dijadikan pakaian saban hari, alangkah baiknya. Takkan Melayu hilang di dunia!
Namun begitu, saya sedih melihat sebilangan kecil yang mengenakan tindik, tatu dan berambut ala Trojan, burung merak ataupun penyapu sambil memakai baju kurung! Budaya fusion ke?
Hai, remaja... remaja... Janganlah kerana anda ingin mengikut-ikut trend Barat sampai anda terlupa kita masih ada budaya yang luhur.
Janganlah kita ikut resmi lalang dan membabi buta. Biar kita ada identiti tersendiri.
Di kesempatan ini, saya menyusun 10 jari memohon maaf di atas segala kesilapan dalam saya mencoret pandangan.
Tuesday, 16 October 2007
Erti Lebaran Tahun Ini
Peperiksaan? Itulah dia, sibuk kita hendak beraya, sibuk pula ia menjelma, bak kata orang, “tetamu tak diundang”, alahai, pening kepala dibuatnya. Mana hendak fikirkan peperiksaan, mana hendak fikirkan Lebaran. Sukar sekali rasanya.
Yang peritnya, peperiksaan kali ini adalah kali yang terakhir dan akan menentukan posisi dan sama ada kita akan naik ke peringkat seterusnya atau tidak. Lebih perit lagi, bagi mereka yang bakal menduduki Peperiksaan Peringkat O yang akan bermula 17 Oktober nanti, hari keepat di bulan Syawal. Kasihan mereka. Terpaksa bergelut dalam ‘dilema’ anatara dua.
Bukan sahaja mereka yang bakal menduduki peperiksaan, saya yakin ramai diantara remaja kita yang bakal mendudukinya.
Nampaknya, terpaksalah membawa buku bersama sewaktu berjalan Raya kelak ataupun hanya akan berkurung dan ‘bertapa’ dengan buku-buku demi mencapai markah dan posisi yang tinggi. Yang sudah duduki peperiksaan pula janganlah terlalu gembira di Hari Raya nanti, entah apa akan jadi pada markah kita nanti.
Saya bukan menghalang kehendak untuk beraya tetapi janganlah terlalu ghairah dan lupa akan peperiksaan yang lebih penting. Bukankah kita ada sebulan untuk berhari raya? Selepas peperiksaan nanti, ziarahlah dan kunjungilah mereka-merka yang anda ingin ziarahi dan kunjingi. Untuk peperiksaan yang bakal menjelang, saya ucapkan selamat maju jaya.
Sekian, Minal Aidin Wal Faizin Wal Maqbulin, Maaf Zahir Batin, Salam Lebaran!
Wednesday, 10 October 2007
Perlukah Hiasan Dipakai Satu Badan?

RUMAH anda pastinya sudah siap diubah suai ataupun dicat. Maklumlah. Lebaran semakin dekat.
Ramai yang tidak sabar menanti menjelangnya Hari Raya. Lebih-lebih lagi apabila lagu Raya kerap berkumandang di corong radio.
Apabila ditanya mengapakah rumah yang masih cantik dicat tahun lalu harus dibalas cat lain tahun ini, ramai yang kata:
'Eh...tetamu kan ramai...'
Bagaimanapun, topik saya minggu ini bukanlah soal cat-mengecat tetapi pakaian Raya.
Antara lelaki dengan wanita, siapakah yang akan tampak berbeza dan serba berhias dengan munculnya Lebaran?
Sememangnya, kalau dilihat kaum Hawa ni, mereka tentunya akan menghias diri daripada hujung rambut ke hujung kaki. Mereka tidak mahu kalah gaya. Macam nak masuk peraduan ratu cantik. Melihat ragam mereka, pening kepala dibuatnya.
Teringat saya kata-kata guru lama saya: 'Orang perempuan ni macam model tak berbayar!'
Isy! Betul ke begitu?
Memanglah zaman sekarang, selendang, rantai, gelang dan cincin menjadi kemestian sesetengah orang.
Belum masuk bab sepatu dan baju kurung. Ada yang nak berfesyen ala ratu kebaya pelakon Mimpi Manis ataupun bagaikan bintang Bollywood.
Nasib baiklah sanggul sudah tidak lagi diperlukan. Kalau tidak... isy... isy...isy... macam hiasan bergerak.
Bagi kami (kaum Adam), tidak perlu berhias seluruh badan. Yang penting bersongkok - tinggi atau rendah.
Ada yang nak glamor lebih sedikit akan gunakan baju kurung berkerdip-kerdipan. Cincin, kain samping dan capal tak lepas!
Jadi, tidak salahlah kalau saya katakan kaum wanita adalah yang paling banyak berhabisan waktu Lebaran.
Jika mereka dapat menggunakan baju kurung lebih kerap lagi daripada memakai skirt mini ataupun kemeja-T ketat, bukankah lebih elok?
Lebih elok lagi, jika remaja mengambil peluang memanfaatkan nikmat Ramadan untuk menyalurkan derma kepada Tabung Amal Aidilfitri (TAA) atau badan-badan Islam dan masjid.
PETIKAN DARI BERITA HARIAN, 8/10/07
Monday, 1 October 2007
Kad Raya Lebih Miliki Nilai Sentimental

BAJU Raya sudah pun dibeli. Langsir sudah digantung. Lagu-lagu Hari Raya diputarkan di corong-corong radio.
Nampaknya, dalam masa kurang dua minggu lagi, kita akan meninggalkan Ramadan yang mulia dan menyambut Syawal.
Dalam kesibukan menyambut Hari Raya suatu ketika dahulu, mungkin ramai yang sibuk mencari kad-kad Hari Raya untuk dijadikan pengganti diri.
Kad yang dijual di gerai dan kedai bermacam-macam jenis - daripada yang formal hinggalah yang penuh dengan unsur-unsur humor.
Apa sahaja yang anda kehendaki, mudah didapati mengikut cita rasa anda.
Kad berharga 50 sen sahaja sudah memadai untuk mendapatkan reka hias yang cantik di luar dan indah di dalamnya.
Apabila kad itu harganya lebih mahal, bermakna ia lebih besar atau lebih istimewa kerana disisipkan pula dengan cip bunyi-bunyian lagu Hari Raya.
Namun, 'batang hidung' kad nampaknya sudah tidak lagi kelihatan. Ia semakin hilang ditelan zaman dan tidak lagi dianggap istimewa di kalangan remaja masa kini.
Sejak kita melalui kehidupan di alaf baru, kad Raya nampaknya sudah digantikan dengan kad siber atau utusan e-mel Raya.
Ini disifatkan sebagai lebih mudah, murah dan segera dikirimkan selewat-lewat pada pagi Hari Raya.
Ada teman yang berasa lega.
'Tidak perlu nak beli setem atau meninjau-ninjau kad di gerai,' katanya.
Bayangkanlah... berapa ramai kenalan kita yang ingin diutuskan kad tersebut. Lenguh tangan menulis, kontang idea untuk mencoret kata-kata indah.
Justeru, apabila kita gunakan e-mel atau SMS, kita mampu mengirimkannya sekali gus. Tidaklah 'berlubang' poket anda tu!
Bagaimanapun, jika ramai yang bertegas dan berterus-terusan ingin menegakkan pemikiran sebegini, alamat tutuplah perusahaan kad Raya. Hilanglah keseronokan menulis kad-kad Raya dengan pesanan khusus!
Secara peribadi, saya rasa kehilangan apabila kad Raya tidak lagi diterima.
Dah tak dapat saya mencoret pantun yang popular suatu waktu dahulu.
Pecah kaca pecah tong,
habis baca, harap digantung.
Kad Hari Raya juga boleh menjadi bahan hiasan rumah yang menarik.
Ada yang menggantungnya pada tali dan dijadikan hiasan tembok. Ada pula yang menggantungnya pada pokok-pokok hiasan di rumah. Apabila diletakkan lampu lap-lip, ia menjadi lebih berseri pada waktu malam.
Hai... kalau dapat e-mel Raya, tak cantiklah. Apabila dicetak, hanya kelihatan rangkaian teks.
Itu pun selepas membacanya, saya hanya akan menekan butang 'DEL' untuk 'membuang' e-mel tersebut.
Bak kata Mat Salih: No sentimental value. Atau tiada nilai sentimentalnya untuk dijadikan bahan kenang-kenangan.
Saturday, 29 September 2007
Usah terlalu ghairah sehingga lupa ibadah

'Mari-mari... mari-mari... Adik, kakak, abang, mak cik, pak cik, tengok sini, murah-murah! Tiga $1... mari-mari.'
Kalau anda ke bazar serata Singapura, pastinya akan ketemu keadaan seperti ini.
Ruang bazar sesak, lorong-lorongnya terhimpit dek lautan manusia yang berkunjung ke sana untuk ditenggelami suasana perayaan. Rasanya, macam ikan sardin dalam tin!
Keadaan sebegitu pun... masih ramai yang datang berkunjung.
Geylang - itulah tempat yang pastinya sibuk setiap Ramadan.
Ada yang datang hanya untuk membeli daging dendeng, ayam percik, burger Ramly ataupun kebab.
Jika sebelum ini, saya mengajak anda bermuhasabah diri tentang adakah remaja lelaki dibuli, kali ini, saya nak menyentuh soal puasa pula.
Bazar yang turut menjual langsir, perabot dan barangan hiasan rumah menjadi lokasi paling popular selepas waktu berbuka. Macam tak sah rasanya kalau tidak menggerakkan kaki ke sana.
Sebelum waktu berbuka, bazar sudah pun sesak dengan mereka yang membeli berplastik-plastik makanan.
Ada kalanya, rambang mata juga melihat roti john yang panas-panas digoreng, sup tulang yang pedas serta air katirah yang lemak manis.
Pernahkah anda menghadapi senario di mana anda terasa bagaikan nak 'angkut' sahaja hidangan di setiap gerai kerana kebingungan dan nak merasa semua?
Ya, begitulah kesan nafsu makan yang tidak terkawal.
Bayangkan betapa saratnya perut selepas berbuka. Macam dicucuk-cucuk senaknya!
Apabila perut dah senak, nak bersolat pun macam lembap.
Mulalah malas dan terasa nak tergelimpang atas tilam sahaja selepas itu.
Kalau diikutkan mata yang layu dan keadaan yang persis ular sawa kekenyangan, agak-agaknya solat tarawih ke mana, diri kita ke mana.
Sebagai remaja yang masih muda belia, sewajarnya rebutlah peluang untuk mengumpul pahala dengan mendirikan solat tarawih.
Jangan pula seperti ustaz-ustaz berpesan:
'Lailatul-Qadr jadi Lailatul-Bazar pula...'
Semakin jauh kita meninggalkan Ramadan, semakin jauh pula kita daripada mengerjakan ibadah.
Sambil-sambil membeli-belah dan ghairah untuk berlebaran, diharapkan remaja tidak melupakan tuntutan agama.
Kerana Kasihan atau Rela Dibuli?
Sebab pertama topik ini menjadi pilihan saya ialah kerana banyak yang saya lihat tentang fenomena ini berlaku di sekeliling saya. Mungkin dalam bab remaja lelaki mengangkatkan beg temanita mereka boleh dianggap sebagai setakat membantu meringankan beban si temanita ataupun bukti kasih sayang atau kasihan melihat kaum Hawa yang dianggap lemah itu. Ada kalanya, pelik pula melihat pelajar lelaki itu mengangkat beg berwarna-warni (merah jambu, misalnya) lagi mempunyai hiasan kewanitaan ke hulu ke hilir. Namun, bayangkan senario ini. Pelajar lelaki itu baru pulang dari sekolah dengan begnya yang sarat, bagaikan ingin berkhemah. Kemudian, dia perlu menjinjing beg temanitanya pula. Alahai, si temanita tu pula berlenggang kangkung berjalan, kalahkan Ratu Universe. Si lelaki berpeluh-peluh, bagaikan nak terputus urat leher membawa beg yang sama beratnya!
Ada pula pelajar lelaki yang sanggup menyiapkan tugasan sekolah temanitanya, sedangkan dia mempunyai kerja sekolah sendiri. Tak ke buli namanya tu? Si temanita hanya mengeluh: 'Tolonglah I buat kerja sekolah ni. Susahlah... You are so sweet!' Dan, si hero setakat melakukannya demi cinta dan kasihan. Kepada kaum Hawa yang membaca pandangan saya ini, usahlah mengecam saya, terasa atau marah-marah.
Saya memang tidak pernah dibuli sebegini tetapi setakat melihat apa yang berlaku di kalangan teman-teman dan kenalan. Janganlah remaja lelaki itu membiarkan diri mereka sewenang-wenangnya dibuli ataupun menawarkan diri untuk dibuli. Beg tentunya boleh diangkat gadis itu sendiri. Hairan juga apabila ibu bapa meminta remaja mengangkat beg beli-belah ataupun angkat sampah untuk dibuang, ramai yang mengeluh tetapi dalam bab temanita meminta dan memujuk, mudahnya dan sanggupnya mengangkat beg tersebut walaupun tampak janggal lelaki mengangkat beg wanita! Mudah-mudahan, perkara ini dapat kita renungkan bersama.
PENIRUAN ATAU PERCETAKAN TANPA IZIN SPH ADALAH DILARANG.