Wednesday, 10 October 2007

Perlukah Hiasan Dipakai Satu Badan?

FOTO: Penulis berbaju putih bersama rakan.

RUMAH anda pastinya sudah siap diubah suai ataupun dicat. Maklumlah. Lebaran semakin dekat.
Ramai yang tidak sabar menanti menjelangnya Hari Raya. Lebih-lebih lagi apabila lagu Raya kerap berkumandang di corong radio.
Apabila ditanya mengapakah rumah yang masih cantik dicat tahun lalu harus dibalas cat lain tahun ini, ramai yang kata:
'Eh...tetamu kan ramai...'
Bagaimanapun, topik saya minggu ini bukanlah soal cat-mengecat tetapi pakaian Raya.
Antara lelaki dengan wanita, siapakah yang akan tampak berbeza dan serba berhias dengan munculnya Lebaran?
Sememangnya, kalau dilihat kaum Hawa ni, mereka tentunya akan menghias diri daripada hujung rambut ke hujung kaki. Mereka tidak mahu kalah gaya. Macam nak masuk peraduan ratu cantik. Melihat ragam mereka, pening kepala dibuatnya.
Teringat saya kata-kata guru lama saya: 'Orang perempuan ni macam model tak berbayar!'
Isy! Betul ke begitu?
Memanglah zaman sekarang, selendang, rantai, gelang dan cincin menjadi kemestian sesetengah orang.
Belum masuk bab sepatu dan baju kurung. Ada yang nak berfesyen ala ratu kebaya pelakon Mimpi Manis ataupun bagaikan bintang Bollywood.
Nasib baiklah sanggul sudah tidak lagi diperlukan. Kalau tidak... isy... isy...isy... macam hiasan bergerak.
Bagi kami (kaum Adam), tidak perlu berhias seluruh badan. Yang penting bersongkok - tinggi atau rendah.
Ada yang nak glamor lebih sedikit akan gunakan baju kurung berkerdip-kerdipan. Cincin, kain samping dan capal tak lepas!
Jadi, tidak salahlah kalau saya katakan kaum wanita adalah yang paling banyak berhabisan waktu Lebaran.
Jika mereka dapat menggunakan baju kurung lebih kerap lagi daripada memakai skirt mini ataupun kemeja-T ketat, bukankah lebih elok?
Lebih elok lagi, jika remaja mengambil peluang memanfaatkan nikmat Ramadan untuk menyalurkan derma kepada Tabung Amal Aidilfitri (TAA) atau badan-badan Islam dan masjid.



PETIKAN DARI BERITA HARIAN, 8/10/07

No comments: