
BAJU Raya sudah pun dibeli. Langsir sudah digantung. Lagu-lagu Hari Raya diputarkan di corong-corong radio.
Nampaknya, dalam masa kurang dua minggu lagi, kita akan meninggalkan Ramadan yang mulia dan menyambut Syawal.
Dalam kesibukan menyambut Hari Raya suatu ketika dahulu, mungkin ramai yang sibuk mencari kad-kad Hari Raya untuk dijadikan pengganti diri.
Kad yang dijual di gerai dan kedai bermacam-macam jenis - daripada yang formal hinggalah yang penuh dengan unsur-unsur humor.
Apa sahaja yang anda kehendaki, mudah didapati mengikut cita rasa anda.
Kad berharga 50 sen sahaja sudah memadai untuk mendapatkan reka hias yang cantik di luar dan indah di dalamnya.
Apabila kad itu harganya lebih mahal, bermakna ia lebih besar atau lebih istimewa kerana disisipkan pula dengan cip bunyi-bunyian lagu Hari Raya.
Namun, 'batang hidung' kad nampaknya sudah tidak lagi kelihatan. Ia semakin hilang ditelan zaman dan tidak lagi dianggap istimewa di kalangan remaja masa kini.
Sejak kita melalui kehidupan di alaf baru, kad Raya nampaknya sudah digantikan dengan kad siber atau utusan e-mel Raya.
Ini disifatkan sebagai lebih mudah, murah dan segera dikirimkan selewat-lewat pada pagi Hari Raya.
Ada teman yang berasa lega.
'Tidak perlu nak beli setem atau meninjau-ninjau kad di gerai,' katanya.
Bayangkanlah... berapa ramai kenalan kita yang ingin diutuskan kad tersebut. Lenguh tangan menulis, kontang idea untuk mencoret kata-kata indah.
Justeru, apabila kita gunakan e-mel atau SMS, kita mampu mengirimkannya sekali gus. Tidaklah 'berlubang' poket anda tu!
Bagaimanapun, jika ramai yang bertegas dan berterus-terusan ingin menegakkan pemikiran sebegini, alamat tutuplah perusahaan kad Raya. Hilanglah keseronokan menulis kad-kad Raya dengan pesanan khusus!
Secara peribadi, saya rasa kehilangan apabila kad Raya tidak lagi diterima.
Dah tak dapat saya mencoret pantun yang popular suatu waktu dahulu.
Pecah kaca pecah tong,
habis baca, harap digantung.
Kad Hari Raya juga boleh menjadi bahan hiasan rumah yang menarik.
Ada yang menggantungnya pada tali dan dijadikan hiasan tembok. Ada pula yang menggantungnya pada pokok-pokok hiasan di rumah. Apabila diletakkan lampu lap-lip, ia menjadi lebih berseri pada waktu malam.
Hai... kalau dapat e-mel Raya, tak cantiklah. Apabila dicetak, hanya kelihatan rangkaian teks.
Itu pun selepas membacanya, saya hanya akan menekan butang 'DEL' untuk 'membuang' e-mel tersebut.
Bak kata Mat Salih: No sentimental value. Atau tiada nilai sentimentalnya untuk dijadikan bahan kenang-kenangan.
No comments:
Post a Comment