Saturday, 29 September 2007

Kerana Kasihan atau Rela Dibuli?

SEMPENA Ramadan yang mulia ini, apa kata jika saya mengajak anda untuk bermuhasabah diri? Apa kata kalau kita sama-sama membincangkan tentang mauduk yang telah lama saya fikirkan iaitu Remaja Lelaki Era Sekarang Kerap Dibuli Remaja Wanita. 'Pedas' tak topik ni?

Sebab pertama topik ini menjadi pilihan saya ialah kerana banyak yang saya lihat tentang fenomena ini berlaku di sekeliling saya. Mungkin dalam bab remaja lelaki mengangkatkan beg temanita mereka boleh dianggap sebagai setakat membantu meringankan beban si temanita ataupun bukti kasih sayang atau kasihan melihat kaum Hawa yang dianggap lemah itu. Ada kalanya, pelik pula melihat pelajar lelaki itu mengangkat beg berwarna-warni (merah jambu, misalnya) lagi mempunyai hiasan kewanitaan ke hulu ke hilir. Namun, bayangkan senario ini. Pelajar lelaki itu baru pulang dari sekolah dengan begnya yang sarat, bagaikan ingin berkhemah. Kemudian, dia perlu menjinjing beg temanitanya pula. Alahai, si temanita tu pula berlenggang kangkung berjalan, kalahkan Ratu Universe. Si lelaki berpeluh-peluh, bagaikan nak terputus urat leher membawa beg yang sama beratnya!

Ada pula pelajar lelaki yang sanggup menyiapkan tugasan sekolah temanitanya, sedangkan dia mempunyai kerja sekolah sendiri. Tak ke buli namanya tu? Si temanita hanya mengeluh: 'Tolonglah I buat kerja sekolah ni. Susahlah... You are so sweet!' Dan, si hero setakat melakukannya demi cinta dan kasihan. Kepada kaum Hawa yang membaca pandangan saya ini, usahlah mengecam saya, terasa atau marah-marah.

Saya memang tidak pernah dibuli sebegini tetapi setakat melihat apa yang berlaku di kalangan teman-teman dan kenalan. Janganlah remaja lelaki itu membiarkan diri mereka sewenang-wenangnya dibuli ataupun menawarkan diri untuk dibuli. Beg tentunya boleh diangkat gadis itu sendiri. Hairan juga apabila ibu bapa meminta remaja mengangkat beg beli-belah ataupun angkat sampah untuk dibuang, ramai yang mengeluh tetapi dalam bab temanita meminta dan memujuk, mudahnya dan sanggupnya mengangkat beg tersebut walaupun tampak janggal lelaki mengangkat beg wanita! Mudah-mudahan, perkara ini dapat kita renungkan bersama.

PENIRUAN ATAU PERCETAKAN TANPA IZIN SPH ADALAH DILARANG.

No comments: