Monday, 3 June 2013

'Party' dengan Ustaz!

Me         : Mak, esok orang nak keluar tau!
Mak       : Gi mana?
Me         : Party ah mak
Mak       : Apa kau cakap?!! Party?!!
Me         : Party dengan Ustaz lah.
*confuse mode*

Di laman-laman sosial milik remaja Islam Singapura, pastinya ramai yang memperkatakan tentang ‘Party’atau acara Zouq Festival 2013 tersebut.

Kecoh! Benar kecoh! Saya di sini, bukanlah hendak menambah kecoh, menghukum ataupun menjadi ‘jurucakap’ bagi mana-mana pihak. #sekadarpandangan ingin dikongsi sama.

Belum pun acara itu berlangsung, sudah pelbagai fitnah, tohmahan, cercaan dan kutukan yang saya lihat di celah-celah ruang Facebook, Twitter dan Instagram.

Saya bukan nak berpihak pada penganjur, Cuma, tidakkah anda rasa ia terlalu cepat untuk diadili? Biarpun, ia tulis, ‘party’ mungkin saja ia bukan party seperti yang dimaksudkan dalam kamus? Saya lebih melihat ia sebagi karnival biasa yang mempunyai kelainan.

Percayalah, saya yakin. Anda berniat baik. Penganjur juga berniat baik. Kita semua inginkan yang terbaik. Namun, cara kita berbeza. Selera kita juga berbeza. Background kita lagilah berbeza.

Renungkanlah ayat yang Allah sebutkan, “Sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa – bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia diantara kamu disisi Allah ialah orang yang paling taqwa diantara kamu. Sesungguhnya Allah Maha mengetahui lagi Maha Mengenal.” Surah Al-Hujurat ayat 13.

Dari itu, raikanlah perbezaan itu. Bukankah Allah telah ciptakan kita dari pelbagai bangsa, suku, jenis, corak dan warna untuk kita saling kenal-mengenali? Bila mana kita kenal, kita akan faham.

Benar, yang kurang baik itu perlu ditegur. Namun, apakah dengan cara melontarkan dan menyebarkan fitnah, tohmahan, cercaan dan kutukan itu kita kira sebagai cara yang terbaik untuk mengubah situasi tersebut?

Kita selalu sangat ambil jalan yang pantas dan pintas bila inginkan sesuatu sedangkan mungkin jalan tersebut bukanlah yang terbaik. 

Ayuh kita tanyakan apakah dengan menunjukkan kemarahan di Facebook akan mendatangkan kesan ataupun membawa perubahan? Saya rasa, ia hanya akan mencemar identiti Remaja Muslim Singapura.

Fikirkanlah sebab mengapa kita pos komen-komen sedemikian rupa. Tajdidkan minda dan niat kita.

Secara peribadi, saya tidak ada masalah dengan pihak penganjur. Saya juga tidak ada masalah dengan yang tidak menyokong acara tersebut. Masing-masing ada points masing-masing. Cuma, it doesn’t meet.

Saya kesal dengan segolongan orang yang tidak mahu bertanya dan terus menghukum.

Kita perlu berhenti mengutuk dan mula membentuk. Cubalah untuk mendidik, bukan mengherdik. Jangan asyik diserang, kalau tidak mahu membantu untuk menerang. Hentikan zulum, hentikan menghukum.

Buat yang sering menyerang dan mengherdik, ayuh, kita muhasabah diri dan kita cari jalan untuk mengubahnya dengan cara yang lebih baik dan lebih diredhai Allah.

Kita mesti fahami realiti kehidupan hari ini dan cari solusi untuk masalah yang kita hadapi bersama-sama.

Apakah Zouq Fest akan diadakan sebegini? Semoga batasan ikhtilat dijaga sebaiknya.
Penganjur hanya mahu menyuluhkan jalan bagi golongan yang ‘tersasar’ dan kita di sini, mengecam dan menghukum seperti ada kunci syurga dan neraka di tangan kita. Kita lebih hiraukan mereka yang ke Zouq dari yang ke Zouk.

Buat penganjur, Syabab SG, ikhlas dari hati syabas saya ucapkan atas segala usaha dalam menarik belia kita hari ini. Semoga Allah memberkati.

Saya malu kerana, selaku seorang Mahasiswa di Timur Tengah, belum ada masa, langkah atau bantuan dapat saya hulurkan seperti anda. Terimalah dan janganlah dipersenda kritikan-kritikan yang secara tidak langsung membina kekuatan untuk terus maju ke hadapan.

Adat dalam berdakwah, ia pasti akan ditentang. Namun, sensitiviti tetap harus dijaga. Penerimaan masyarakat mesti diambil kira. Kutukan itu datang kerana tidak mahu identiti Muslim itu berubah hinggakan ada yang kata, 'Modern Muslims = party'

Jangan terlalu fikir yang kita saja betul. Terangkan sebab, kurangkan fitnah.

Yang terbaik, buatlah acara yang mana ia ibarat Rasulullah hadir bersamanya. Pastinya, malu bukan kalau ada unsur-unsur yang kurang manis dan kurang elok?

Ayuh, 7 Julai nanti, jika berkesempatan, kita turun padang. Kita lihat kondisi dan situasi di sana. Namun, janganlah bila ke sana nanti disebar fitnah merata.

Sekian, semoga kita tergolong dalam orang-orang yang diberi hidayah sepanjang usia, dimatikan dalam husnul khatimah dan diberkati Allah dalam segala urusan.


Saya akhiri kalam saya dengan ayat dari Surah Qasas, “Sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) tidak berkuasa memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang engkau kasihi, tetapi Allah jualah yang berkuasa memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya); dan Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang (ada persediaan untuk) mendapat hidayah petunjuk.”

Tuesday, 21 May 2013

Qari Quran akhir zaman?

Bila terlihat iklan Majlis Tilawah & Tahfiz Al-Quran Kebangsaan Singapura, terdetik pula untuk menulis beberapa perkataan yang selama ini tersimpan di minda.

Semoga perkataan-perkataan yang akan dikongsi nanti adalah yang dapat membuat kita berfikir, cermin diri kita dan membuat perubahan ke arah kebaikan?

Alhamdulillah, rasanya, hari ini di Singapura, ramai Qari-qari baru yang lahir. Semoga semangat sebegini akan berterusan. Syabas!

Saya gembira dengan terlahirnya ramai Qari. 

Namun,  saya rasa, sebelum melahirkan seorang Qari, ada beberapa perkara yang perlu diajar terlebih dahulu ataupun diajar seiringan khususnya akhlak. 

Cubalah yang terbaik untuk mweujudkan 'Akhlak Quran' dalam diri. Ini bukan bermakna Qari sahaja yang perlu berakhlak Quran tetapi seluruh Umat Nabi Muhammad S.A.W. yang membaca Quran. 

Qari, buat yang belum mengetahui, adalah istilah bagi pembaca Quran secara umumnya. Namun, kalau istilah biasa digunakan bermaksud seorang yang mungkin terkenal dengan bacaan tajwidnya yang baik, gaya lenggok dan suara yang lunak dan umpama buluh perindu.

Hafiz bula, mengikut apa yang fahami bermaksud, seorang yang menghafal Quran.

Hari ini, dengan wujudnya laman sosial, kita dapat melihat dengan lebih dekat lagi kehidupan Qari. Saya bukan hendak kata, Qari tidak boleh ada Facebook, atau Twitter, tidak! Cuma, saya mengharap agar dapatlah dijaga 'etika' dan akhlak.

Adakalanya, kecewa dan hampa dengan sebahagian Qari. Suara sedap tapi akhlaknya kurang 'sedap' dipandang terutama sekali di laman-laman sosial. Bergambar dengan yang bukan muhrim secara bebas, membuka aurat, merokok, shisha dan sebagainya. 

Terfikir juga, apakah perlu untuk dipost gambar sebegitu. Ada itu carany untuk menunjukkan anda Qari modern? Atau Qari yang cool? #inisemuakari

Kalaupun ada gambar tersebut, usahlah dan elakkanlah dari meletakkan di Facebook. Cukuplah sekadar menjadi 'tatapan' dan 'kenangan' untuk anda.

Saya juga tidak menafikan, Qari adalah manusia biasa yang buat salah. Namun, itu bukanlah hujah yang kukuh untuk terus bersikap atau berakhlak dengan akhlak yang kurang 'Quran'.

Orang memandang tinggi Qari Quran. Janganlah sampai satu hari nanti, orang mula 'degrade' Qari hanya kerana perbuatan atau akhlak yang kurang.


Semua orang boleh membaca Quran dengan baik jika diajar. Namun, Allah pilih anda untuk ke hadapan. Apabila berapa dihadapan, anda perlulah jaga Quran sebaik-baiknya. 

Mungkin, perlu diadakan anugerah bagi Qari Mithali yang syumul akhlaknya? #twocents :)

Buat Qari yang telah menunjukkan akhlak yang baik, syabas saya ucapkan. Semoga Allah memberikan balas yang setimpal dengan usaha anda dalam memartabatkan kitabnya.

Ala kulli haal, membaca AlQuran memerlukan ROH. Bukan sekadar suara sedap dan tajwid yang baik menjadi ukuran. Bahkan, diri seseorang individu itu secara keseluruhan.


Semoga perkataan-perkataan yang diilham Tuhan ini menjadi pengajaran buat diri saya khususnya dan semua yang membaca. 

Semoga kita serta keturunan kita menjadi Ahli Alquran dan semoga bertambah lagi Quran Quran yang berakhlak Quran.

Wassalaam.



nb: ini baru Qari, belum Hafiz. ;)

Friday, 3 May 2013

"Saya telah RELA diliwat" - Saiful



Melihatkan video sumpahan ini, teringat pada sifat orang Munafik.

Bukan saya nak kata beliau munafiq, cuma... Perbuatan beliau bersumpah mengingatkan saya pada sifat seorang munafik.




Mungkin benar sumpahannya, mungkin juga sumpahannya itu sekadar rekaan. Mana tahu dia Syiah, bersikap 'taqiyah'. Boleh tipu demi 'kebaikan' (kalau bukan keuntungan) atau tipu zahir, batin tidak. Maka urusan ini, kebenaran atau kebatilan kita serahkan pada Allah yang tentu sekali Maha Mengetahui. Kita hanya dapat membuat spekulasi 


"Saya telah diliwat." Agak kurang masuk akal bila statement sebegitu dibuat. Lembik sangat ke lemah sangat si Saiful ni hinggakan diliwat begitu sahaja. Macam makanan, tak boleh nak melawan. 


Liwat ini ibarat jimak dari sudut penerimaannya; seorang lelaki tidak akan diliwat tanpa kerelaan lelaki lain. Seharusnya dia katakan, "saya telah rela diliwat." Like, come on, you can just stop him and run but you didnt because "saya telah rela diliwat". It just doesn't sound right to me. Fallahu taa'la 'alam. 


Pos ini bukanlah pro Anwar Ibrahim. Pos ini juga bukanlah hendak sibuk-sibuk dalam politik Malaysia atau PRU 2013. Cuma, sekadar pandangan saya dari akal pemberian Allah ini. 
Yang kurang dari saya, terangkanlah jangan ditentang.


Anwar Ibrahim, kalaupun benar beliau melakukan perbuatan tersebut, mungkin sahaja beliau bertaubat. Mudah-mudahan diterima taubatnya.
 


Kalaupun benar Anwar pernah melakukan perbuatan terkutuk itu pada Saiful, itu dahulu


Kita perlu ubah mindset kita. Kita mestilah membenci perkara yang dibuat Anwar bukanlah Anwar.


Janganlah kerana sebuah kesalahan itu, kebaikannya dinafikan semua, dibuang dan dilupakan. 

Namun, apakan daya, itulah lumrah manusia.

Ala kulli haal, semoga berjaya buat semua calon bertanding untuk PRU13. 

Saya selaku warganegara Singapura ingin mengucapkan selamat maju jaya buat Malaysia dalam pilihan raya nanti.
Bersatulah dalam membangun Malaysia. Biarpun parti yang anda sokong tidak menang, teruskan semangat bersatu dan membantu. Utamakan ukhuwwah daripada parti.



Terakhir sekali, mudah-mudahan akan ber-anwar (bersinar - B. Arab) dengan cahaya kebenaran. Juga mudah-mudahan, lidah yang menipu akan menjadi saiful (pedang) yang melukai diri sendiri.
 


#sekadarpandangan 

 
Wallahu alam.

Saturday, 13 April 2013

Tapak Nabi bersebelahan Maqam Imam Syafie?


Lama rasanya tidak menulis, rindu sebenarnya. Dari itu, saya teruskan semula blog ini dengan memberikan secubit dari pandangan saya. Yang daif, yang kurang, silakanlah betulkan saya. Yang betul, mungkin tetap ada kurangnya. Jangan pula taassub dengan pandangan saya sedang pandangan yang lain mungkin lebih baik dari saya.

Berkenaan topik di atas ini, bukanlah maksud saya untuk menghina atau menafikan kewujudan 'sejarah' berkenaan Tapak Nabi Muhammad S.A.W. ini. 
Maaf kalau ada yang tersinggung dengan penulisan ini.

Jika anda pernah ke Mesir dan mengunjungi Maqam Imam Syafie R.A. Mungkin anda pernah diajak untuk melihat 'Tapak' Nabi Muhammad. Bila fikirkan dan renungkan... Bukankah Nabi Muhammad kita wafat sebelum kelahiran Imam Syafie. 

Bukan nak ingkar 'sejarah' cuma akal kadang-kadang tak dapat terima benda yang bertentangan dengan logik. Itu tidak bermakna saya ingkar semua yang bertentangan dengan logik.

Kisah Israk dan Mikraj contohnya, kita wajib percaya kerana ia sudahpun dijelaskan dalam Al-Quran dan Sunnah. Janganlah kita sesekali mengkufurinya. 

'Ala kulli haal, saya tidak menghalang orang untuk mempercayainya. Cuma, berpada-padalah. Jangan terlalu ta'assub hingga ada yang sujud dan meraba-raba 'tapak' itu dan melumurnya di badan dengan mempercayai ada keberkatan di situ. 

Akal manusia tidak bodoh, kita boleh berfikir. Akal manusia suka mencari-cari kebenaran. 

Wallahu 'alam.

#sekadarpandangan


Monday, 8 April 2013

Jaga Adab Di Laman Sosial

BERITA HARIAN SG, 23 JANUARI 2013

Rabiul Awal menjelang kini, 
Bulan kelahiran Nabi Habibi, 
Beliaulah Kekasih Ilahi, 
Hadirnya menyinar alam ini.  

Setiap dari kita pasti menyedari bahawa kita sudahpun berada di bulan Rabiul Awal. 

Mana tidaknya, di Facebook, Twitter dan laman sosial yang lainnya pasti kecoh diposkan status dan gambar mengingatkan kita bahawa kita sudahpun berada di bulan Rabiul Awal. 

BERKATA YANG BAIK ATAU BERDIAM  

Segala puji bagi Tuhan yang memberikan kita nikmat teknologi untuk digunakan sebagai mengingatkan sesama kita dan mengajak kepada jalan kebaikan.  

Namun sayangnya, dalam menyambut bulan kelahiran Nabi ini, kita akan melihat sesetengah orang mula memberikan komen yang negatif terhadap sesetengah fahaman hinggakan ada yang sanggup mengambil langkah menyesatkan sesetengah pendapat. Ada pula yang menyindir-nyindir pendapat yang lainnya.  

Teringat saya pesan Nabi Muhammad kita yang diriwayatkan oleh Al-Bukhari, “barangsiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhir maka hendaklah dia berkata yang baik ataupun berdiam.”  

Cuba kita renungkan dan fikirkan semula hadith tersebut, apakah dengan kutukan, hinaan serta sindiran terhadap pendapat sesebuah fahaman itu merupakan sebuah perkataan yang baik? Maka berdiam diri sahajalah.

LAMAN SOSIAL BUKAN RUANG BERDEBAT  

Keadaan sebegitulah yang dapat saya lihat pada hari ini di laman-laman sosial kita. 

Memang benar, kalau nak dikatakan benda yang batil itu perlulah dibetulkan. Namun, janganlah sampai laman sosial menjadi mangsanya. Tolonglah jaga imej agama kita.  

Secara terus terang, bagi saya laman sosial bukanlah ruang yang terbaik untuk berdebat kerana apa yang kita poskan tidak semestinya itu yang difahamkan orang. Mungkin, kita maksudkan sebegini tetapi yang difahamkan adalah sebegitu. Maklumlah, orang mempunyai akal dan daya pemikiran yang berbeza. Namun, tidak semua pemikiran itu salah dan tidak semua pemikiran itu betul. Anda yang menilainya , semoga hidayah Tuhan sentiasa bersama kita.

Jika ingin berbincang tentang sesebuah khilaf itu, duduklah bersama-sama di tempat yang sesuai. Bila diutarakan sesebuah pendapat yang mungkin bertentangan dengan kita, janganlah memaksa orang untuk menerimanya.

Janganlah pula sekadar berpandukan Google atau menjadi tukang copy dan paste tanpa ilmu terhadap apa yang ada di situ. Carilah guru jika ingin benar-benar ingin mengetahui jawapannya seperti firman Allah dalam Surah Al-Anbiya ayat 7, “maka tanyakanlah olehmu kepada ‘ahlaz zikri’ (orang-orang yang berilmu) jika kamu tiada mengetahui.” 

HARMONI SESAMA ISLAM  

Keharmonian. Itulah yang saya rasa kurang pada masyarakat kita. Hari ini, kita ada keharmonian sesama kaum dan keharmonian sesama agama. Namun, di manakah dia keharmonian sesama Islam itu sendiri?  

Mungkin inilah waktunya untuk kita duduk bersama-sama dan membincangkan sesuatu perkara itu dengan fikiran yang lebih terbuka dan bukanlah dengan mengecam sesebuah pendapat itu.  

Ambillah waktu untuk memahami dan mengkaji fahaman yang mungkin berbeza dari kita dan jauhi sikap menghukum.  

Lumrah alam, tidak semua orang akan mempunyai fikiran yang sama. Atau, sama tapi tak serupa. Perbezaan ataupun khilaf dalam sesebuah fahaman itu memang tidak dapat dielakkan. Di dalam Surah An-Nahl ayat 93 juga, ada menyebutkan,”Dan jika Allah mengkehendaki, tentulah Dia menjadikan kamu satu umat (yang bersatu dalam ugama Allah yang satu).”  

Marilah kita, sempena bulan Rabiul Awal ini, belajar untuk lebih mengamalkan sikap toleransi dan menghormati fahaman sesama kita. Usah dikeji dan dicaci walau mungkin sesebuah fahaman itu tidak kita serasi. Jagalah batasan serta sensitiviti dan hidupkan Islam dengan harmoni.

Semoga kedatangan Rabiul Awal mengurniakan kita berkat serta hidayah dari Ilahi.


NB: Rencana telah disunting pihak Berita Harian.

Monday, 10 October 2011

'Adikku' Siti Saleha...

BERITA HARIAN SINGAPURA,
10 OKTOBER 2011

Aaron tercabar berlakon dengan Siti Saleha kerana perbezaan usia

KESERASIAN antara Aaron Aziz dan pasangan televisyennya, Siti Saleha di dalam dua drama popular, Habil dan Qabil dan Nora Elena, memang tidak dapat disangkal.

Mereka dianggap antara pasangan paling ideal, yang menghiasi kaca televisyen.

Namun, kalau ditanya Aaron, dengan selamba pelakon kacak itu menjawab:

'Bagi saya, dia macam adik saya sajalah. Umur dia tu... tengoklah, baru 21 tahun. Saya ni pun dah 35 tahun. Pernah saya beritahu dia, baik panggil saya pak cik sahaja!'

Bapa tiga anak yang dikenali dengan sifat penyayangnya terhadap keluarga walau sesibuk mana pun, juga menganggap wujud cabaran berlakon dengan Siti Saleha kerana perbezaan umur itu.

'Berlakon dengannya sebagai suami isteri dalam Nora Elena semacam satu cabaran bagi saya kerana usianya yang masih muda belia.

'Cuma nasib baiklah, Saleha ni nampak matang orangnya. Maklumlah, sebelum ini saya biasanya berlakon dengan mereka yang lebih mapan dan senior atau sebaya seperti Nasha Aziz, Umie Aida dan Erra Fazira,' ujar Aaron, yang ditemui di Hotel Traders, sebelum acara promosi Habil dan Qabil, anjuran saluran kabel StarHub, Sensasi, di pusat beli-belah City Square.

Aaron kemudian beralih membincangkan tentang Habil dan Qabil, drama serius penuh dengan pergelutan konflik dan dendam yang kini disiarkan di Sensasi.

Di dalam drama itu, beliau membawa watak sebagai Habil, manakala pelakon seberang Tambak, Zed Zaidi, pula sebagai Qabil.

'Di awal cerita ini, saya kelihatan baik sahaja, tetapi sebenarnya tidak kerana berdendam terhadap apa yang orang tua Qabil lakukan.

'Asalnya, Habil bukanlah seorang yang berjaya, tetapi perlahan-lahan menjadi orang senang. Dengan situasinya yang kemudiannya senang, Habil mengambil kesempatan memusnahkan kehidupan Qabil,' cerita Aaron lagi.

Jalan cerita drama ini, yang berpangkalan pada perihal perniagaan, tidak seperti Nora Elena - drama yang dipadankan daripada novel tetapi memiliki jalan cerita yang mudah sahaja.

Aaron yang ditemani isterinya, Diyana Halik, menambah kerana rumitnya plot drama ini, ia payah difahami. Lantaran itu, kesimpulannya, perlulah saksikan setiap episod.

RINDU BERLAKON DI SINGAPURA

Dalam pada itu, Aaron akur amat merindui peluang berlakon di Singapura. Di dalam kesibukannya menerima tawaran yang datang mencurah-curah di Malaysia, beliau akan pastikan saban tahun, masanya terisi dengan idea menyiapkan klip video F&N di sini sempena Hari Raya.

'Waktu itulah, saya dapat mengumpulkan rakan-rakan saya untuk bersama-sama menghasilkan video itu walaupun usaha dan sumbangan kami tidak seberapa. Yang penting, kami dapat berjumpa,' jelas Aaron.

IKHLAS UNTUK BERJAYA

Walaupun Aaron sudah lama berkecimpung dalam bidang lakonan dan tampak berjaya di seberang Tambak, beliau amat merendah hati sewaktu diminta memberikan tip kepada pendatang baru di dalam industri lakonan.

'Saya ni bukanlah sesiapa untuk berikan tip lakonan. Formula atau rahsia ke memang tak ada.

'Bukannya saya ni berjaya sangat. Cuma bagi saya, kita perlu ikhlas dalam bidang inilah. Lakonan tu bagi saya adalah minat yang kemudiannya saya jadikan kerjaya.

'Kalau awak fikir masuk bidang ni senang nak cari kekasih, ke jadi kaya raya, awak dah tersalah masuk industri! Benda tu semua kalau nak dapat, akan dapatlah. Kalau tak, apa nak buat bukan?' jelasnya.

Aaron berpesan yang paling penting sekali seseorang itu tidak boleh melupakan dirinya.

'Ada sebahagian artis yang dulunya biasa-biasa sahaja macam member, tetapi kini berbeza layanannya.

'Bagi saya, senang dapat sesuatu, senang juga hilang dalam industri ini,' katanya yang amat berterima kasih kepada saluran-saluran setempat kerana mencungkil bakat lakonannya.

DUTA TONIK

Baru-baru ini, Aaron sempat mengikat kontrak menjadi duta dan wajah bagi minuman tonik di Malaysia, Drive M7.

Produk ini bakal memasuki pasaran antarabangsa tidak lama lagi dan mempunyai cawangan edaran di Jepun.

Selain itu, Aaron juga sibuk dengan penggambaran drama Jiwa Dan Lara yang sudah pun ditayangkan di TV3 dan masih menjalani penggambaran.

Filem Inggeris beliau, Prince Of The City, juga sedang dalam proses penggambaran.

Habil dan Qabil disiarkan di saluran Sensasi setiap Sabtu dan Ahad, 8.30 malam.

Nota: Penulis mahasiswa Universiti Al-Azhar.

LIMA SOALAN BERSAMA AARON AZIZ:

Kalau anda diberi tawaran berlakon dalam filem Hollywood?
Hangover dan Due Date
Filem klasik kegemaran?
Keluarga 69
Pelakon tempatan yang anda ingin berlakon bersama?
Seri Wahyuni dan Khairudin Shamsuddin
Pelakon dari malaysia pula?
Azean Irdawaty dan Tan Sri Jins Shamsuddin
Pelakon dari Hollywood?
Robert De Niro Jessica Alba dan Tom Cruise
Selebriti yang wajar sekali dicontohi selebriti-selebriti lainnya. Sangat-sangat merendah diri ketika ditemuramah. Semoga Aaron terus berjaya di masa-masa akan datang!

Bancho kecohkan YouTube dengan lenggok Matrep

BEITA HARIAN SINGAPURA,
5 SEPTEMBER 2011

RAMADAN lalu, klip video Bancho The Matrep, yang mempersoal brader-brader yang tidak puasa, begitu popular dilampirkan pada dinding Facebook sebilangan remaja.

Siapakah Bancho, 19 tahun, pelajar politeknik, yang dikenali di laman YouTube dan disebut-sebut ramai yang gemar melungsuri laman perkongsian video itu?

Buat masa ini, Bancho mampu menarik lebih 5,000 pelungsur Internet ke laman YouTube-nya. Di Facebook pula, beliau digemari 20,000 pemilik akaun Facebook.

Ekstra mendekatinya yang enggan mendedahkan identiti dan nama sebenarnya. Hhmmm... nak ikut macam sesetengah artis antarabangsa Hollywood dan YouTube, rupanya!

Apabila ditanya mengapa nama Bancho digunakan, pemuda berkulit sawo matang dan berkaca mata ini berkata: 'Perkataan 'bancho' ni sebenarnya datang dari bahasa Jepun yang bermakna 'melawan untuk kehormatan'. Matrep pula sejenis nama 'pondok'. Ada yang memilih 'apai', 'tupai' dan sebagainya.'

Menurutnya, Oktober ini, genap setahunlah beliau menghiasi laman YouTube dengan klip-klip videonya yang melucukan dan kadangkala mencucuk-cucuk perasaan orang (er... siapa makan cili, dialah yang rasa pedas. Betul bukan?).


'Klip video pertama saya bertajuk How To Be A Matrep. Saya lihat ramai juga yang menonton klip video itu. Justeru, saya rasa lebih bersemangat untuk menghasilkan lebih banyak klip video lain,' ujarnya.

Identitinya yang disorok daripada pengetahuan ramai melalui penggunaan kaca mata hitam itu disamakan seperti selebriti yang menggunakan rambut palsu seperti Miley Cyrus.

'Di dalam klip video, sayalah Bancho The Matrep tetapi di luar, saya adalah orang biasa sahaja. Saya tak akan menggunakan kaca mata hitam walaupun saya memiliki 13 pasang kaca mata! Cuma memandangkan Singapura ini kecil, ada yang mata tajam dan mengesan wajah saya menerusi gigi dan paras rupa saya!' selorohnya lagi.

Namun, penulis tertanya-tanya pula, mengapakah gelaran 'Matrep' menjadi pilihannya sedangkan ia mempunyai konotasi negatif (mat melepak yang tidak berharga)?

Katanya: 'Bagi saya terdapat tiga jenis 'Matrep'. Yang pertama,

mereka yang melepak dan suka buat kacau. Yang kedua, suka duduk bawah blok dan main gitar. Dan yang ketiga pula, mempunyai kelas tersendiri. Dia akan melepak di rumah sendiri atau rumah orang.'

Bagi anda yang belum tahu siapa Bancho dan ingin mendekatinya, apa kata lungsuri laman beralamat www.youtube.com/BanchotheMatrep.

Nota: Penulis mahasiswa Universiti Al-Azhar.

Seorang yang 'gerek' to be with. Had a great laugh with him throughout the interview. Kudos Bancho aka NABIL!

Monday, 28 February 2011

Aksi makhluk asing mempesona

BERITA HARIAN SG, ISNIN 28 FEBRUARI 2011

MEREKA datang dari Lorien. Mereka mempunyai kuasa menakjubkan. Mereka hanya bersembilan dan dikenali dengan angka mereka sahaja. Mereka ialah Lorien Legacies.

Namun, filem I Am Number Four bukan kisah tentang kesemua sembilan makhluk asing. Sebaliknya, ia mengenai makhluk asing yang dikenali sebagai 'Number Four' atau John (Alex Pettyfer).

John dijaga jurulatihnya, Henri (Timothy Olyphant). Henri menjaga John sejak ketiadaan orang tuanya.

Sewaktu di bumi Paradise, satu masalah muncul. John diburu penjahat Mogadorians seperti teman-teman lain.

Sebelum ini, tiga orang di kalangan pasukan Lorien Legacies dibunuh mereka dan John adalah buruan selanjutnya.

Walaupun identitinya cuba disembunyikan, mereka tetap berjaya mengesan John.

Saksikanlah filem yang dipadankan daripada buku tulisan Pittacus Lore.

Filem ini memang menghiburkan. Sepanjang tayangan dua jam, saya langsung tidak terlelap dan kerap rasa 'syiok' menyelubungi sanubari.

Walaupun plot di awal filem ini terasa 'merangkak', sejurus sampai ke klimaks filem, saya terdorong untuk bertanya: 'Apakah aksi selanjutnya?'

Selain aksi menarik, jiwa yang romantik juga terusik dek kisah cinta John dan Sarah (Dianna Agron).

Persoalannya: Bagaimanakah John mampu melarikan diri daripada Mogadorians? Apakah cukup kuasa yang dia miliki sedangkan Henri, jurulatihnya, akhirnya dibunuh?

Saspens demi saspens di dalam I Am Number Four menjadikan filem ini antara yang terbaik di bulan Februari. Ia juga sesuai untuk tontonan seisi keluarga.

Selepas menontonnya, anda terasa bagaikan ingin menjadi sebahagian daripada Lorien Legacies.

Dan, syyy...jangan beritahu orang ya... saya sebenarnya 'Number Seven'!

Tuesday, 22 February 2011

Ayah dicari walau terseksa hati

BERITA HARIAN SG, 21 FEBRUARI 2011

KE hulu ke hilir mencari insan bergelar ayah. Ke sana ke sini meredah hutan bersendirian. Rumah kenalan turut dikunjungi dengan satu misi mencari ayah tercinta.


Inilah secebis kisah di dalam filem Winter's Bone, arahan Debra Granik, yang kini ditayangkan secara eksklusif di pawagam GV Plaza dan GV Cinema Europa Vivocity.

Filem lebih sejam lamanya itu dibintangi Jennifer Lawrence selaku Ree. Ree mempunyai sikap sukar mengalah dan tidak putus asa dalam mencari ayahnya. Ibunya sakit dan adik-adiknya masih kecil dan perlu ditanggung.

Ayah Ree tetap tidak dijumpai walau bagaimana gigih pun dia berusaha. Dia jenis gadis yang enggan mengalah walau dimarah, dihina dan dipukul kenalannya kerana kedegilan ingin terus mencari ayahnya.

Walaupun Ree merayu dan menitiskan air mata, masih tiada siapa yang mengendahkannya. Tangisannya hanya sia-sia sahaja.

Ayah yang dicari-cari ialah pengedar dadah dan kini menghilang tanpa khabar. Tiada seorang pun yang ketahui ke mana perginya si ayah.

Mengapa beliau meninggalkan keluarganya begitu sahaja? Apa pula yang terjadi kepada nasib keluarga itu?

Masihkah Ree dan keluarganya mempunyai peluang bertemu dengan ayahnya sekali lagi? Dan apakah hasrat di hati Ree sehingga dia terus mencari walaupun batinnya terseksa?

Inilah secebis kisah pengorbanan seorang kakak yang berusia 12 tahun kepada keluarganya. Ia mengajar kita tentang kesabaran dan kecekalan kerana air yang dicencang takkan putus.

Sungguhpun begitu, saya tetap terkilan sebab filem yang menempah nama di Festival Filem Sundance ini begitu 'merangkak' pergerakan plotnya.

Mungkin ia memiliki lakon layar baik lagi berkesan tetapi jika anda jenis yang dambakan aksi dan komedi, ini bukan filem untuk anda.

Nilai Tonton : 3/5

Monday, 7 February 2011

Hargai keluarga

BERITA HARIAN SG, 29 JANURARI 2011

RUNGUTAN demi rungutan kedengaran.

'Alah! Keluarga aku tu mengarutlah!'

'Mak bapak aku kuno! Dasar orang kampung!'

Itulah keluhan sebahagian pelajar terhadap orang tua mereka.

Isy! Kalau keluarga anda dianggap mengarut, bukankah anda juga sebahagian daripada keluarga itu?

Kalau emak bapa anda dipanggil 'kuno dan orang kampung', bukankah anda anak si kuno dan orang kampung itu? Fikirkanlah ya.

Sering kali ibu bapa dipersalahkan dan dihumban dengan pelbagai kata-kata yang kurang manis didengar.

Kalau ibu bapa zaman dahululah, dipiat-piat agaknya telinga anak-anak hari ini dan disepak-sepak mukanya. Kurang ajar sangat! Mana boleh ibu bapa sendiri dihina dan dimaki sesuka hati.

Saya mendapat ilham menulis rencana ini apabila melihat banyak sangat perkara yang berlaku di laman-laman rangkaian sosial seperti Facebook, Twitter dan laman-laman blog.

Bertuah juga saya rasanya mempunyai ramai teman di Facebook. Jadi, banyak juga ragam yang dapat saya lihat daripada situ.

IBU BAPA LEBIH BANYAK MAKAN GARAM

'Geram! Kenapalah aku nak ambil lesen motor tak boleh? Bukannya susah sangat. Macam naik basikal saja,' ngomel si teman.

Geram, marah dan benci. Tentu sekali itulah yang dirasakan apabila sesuatu yang kita mahukan tak dapat direalisasikan.

Benar bukan apa yang saya katakan? Iyalah, saya juga dulu pernah muda seperti anda. Maklumlah, hati orang muda ini suka sangat memberontak.

Ibu bapa lebih mengetahui apa yang baik dan apa yang buruk untuk anda. Seperti contoh yang saya berikan tadi, ramai anak bujang kepingin mengambil lesen motor.

Anda baru 18 tahun dan sudah merengek-rengek mahukan lesen motor. Kadangkala, bukannya ibu bapa anda tidak mahu membenarkannya, tetapi mungkin saja belum waktunya.

Iyalah, dengan kemalangan melibatkan penunggang motosikal yang kerap berlaku, termasuk mengakibatkan kematian, tentu sekali ibu bapa anda juga bimbang nasib serupa menimpa.

Mereka bimbang kerana mereka sayangkan anda!

UTAMAKANLAH KELUARGA WALAU ORANG TUA BANYAK 'SPELLING'

'Panas aku duduk kat rumah! Paling-paling orang tua aku banyak spelling!'

Alamak... Ini satu lagi kes - kes asyik 'melekat' dengan kawan sahaja. Di rumah, telefon kawan; di luar dengan kawan; di sekolah pun dengan kawan.

Pendek kata, kalau ada 25 jam sehari, masa itu dihabiskan dengan kawan. Jadi, bilakah waktu anda dengan keluarga?

Kemudian, terdengar pula saya istilah 'abang angkat', 'adik angkat' dan sebagainya.

Adik dan abang kandung sendiri tak terangkat, ini pula nak angkat-angkat orang lain. Isy... isy... isy...

Biar seburuk mana keluarga anda, mereka itu tetap keluarga anda. Mungkin andalah yang bakal merubah nasib mereka.

Apabila anda hendak bergembira, anda mengajak teman. Anda hingga terlalu melebihkan teman hingga untuk berinteraksi bersama keluarga anda pun anda berasa janggal.

Jangan sampai keadaan begitu melarat. Ambillah inisiatif untuk berubah. Ia tidak bermakna menjauhkan diri daripada teman anda tetapi adakan sedikit ruang untuk anda bersama keluarga anda.

Kalaulah anda berada di tempat saya (di Mesir), jauh daripada keluarga, pastinya anda memahami apa yang cuba saya sampaikan.

Bukan sahaja belaian keluarga dirindukan, bahkan teguran dan kekecohan ibu memarahi adik-adik turut menjadi dambaan.

Sekian, salam dari Mesir. Hargailah keluarga anda kerana air dicencang tidak akan putus.

Nota: Penulis kini menuntut di Universiti Al-Azhar, Kahirah, Mesir.

Ringan dan bergaya

BERITA HARIAN SG, 27OGOS2010


Bagasi tahan lama mudah dibawa ke mana-mana

ANDA baru sahaja melangsungkan perkahwinan anda dan merancang untuk berbulan madu ke negara jauh. Atau anda hanya ingin menghabiskan hujung minggu anda dengan berkunjung ke negara seberang tambak atau ke kepulauan berhampiran Singapura untuk bersantai bersama keluarga.

Mungkin juga anda jenis yang lasak, lantas memilih kerjaya yang memerlukan anda bergegas dari satu benua ke benua lain untuk tujuan perniagaan.

Walau apa pun misi anda, soalan paling utama: 'Sudahkah anda menyiapkan segala keperluan anda seperti pasport, ubat-ubatan dan meninjau tempat yang bakal anda lawati itu menerusi buku panduan pelancongan atau risalah dalam talian?'

Mungkin waktu ini anda sedang mencari sebuah bagasi atau beg melancong untuk dibawa ke negara yang anda ingin lawati itu. Tentunya dalam mencari sesebuah bagasi, anda mengutamakan mutu dan daya tahan beg tersebut. Anda juga tidak mahu yang berat-berat.

Sekarang adalah masanya untuk anda memilih bagasi ringan yang tahan lama, diperbuat daripada bahan yang baik serta tidak kurang cantiknya. Antara yang sesuai dengan keperluan masa kini termasuk jenama American Tourister.

Walaupun jenama American Tourister itu sendiri jarang didengari, ia sebenarnya sudah lama bertapak sejak 1933 lagi. Hanya dua tahun lalu, ia memasuki pasaran Singapura. Kalau anda nak tahu, American Tourister ini adalah syarikat bagasi pertama yang menghasilkan iklan televisyen dan melampirkan tanda bagasi (luggage tag) sekali gus.

Jenama ini memang dikenali sebagai mempromosikan beg-beg melancong yang tahan lama. Lihat sahaja iklan televisyen mereka yang pertama. Kelihatan seekor gorila memijak-mijak dan mencampak-campak bagasi itu tetapi ia kekal tidak kemek ataupun rosak.

Rahsia ketahanan beg-beg American Tourister ini terletak pada siri ujian terperinci lagi lasak yang dikenakan ke atas produk-produk yang dihasilkan sebelum proses pengesahan dibuat oleh pihak pengurusan. Beberapa beg secara rambang melalui beberapa ujian sebelum dijual di pasaran.

Pertama, ada 'ujian hempas' di mana beg yang penuh terisi muatan barangan ini dijatuhkan lima kali untuk memeriksa tahap kekuatannya dalam menangani perubahan cuaca yang ekstrem. Kedua, 'ujian sentak' yang melihat beg penuh muatan tadi disentak 5,000 kali untuk memastikan beberapa bahagian beg itu seperti besi pemegangnya itu utuh walau dicampak dan dilambung.

Ketiga, setiap beg tadi melalui 'ujian mangga' di mana mangga pada beg itu dikunci dan dibuka 15,000 kali bagi tujuan keselamatan. Beg itu juga diheret sepanjang 32 kilometer dalam 'ujian roda'. Akhir sekali, 'ujian golek dan guling' di mana beg itu digoncang dalam dram raksasa sebanyak 25 kali untuk memastikan jika ia diuruskan secara kasar, ia tetap tidak rosak.

Jika anda merancang untuk ke pameran Persatuan Ejen-ejen Pelancongan Nasional Singapura (Natas) di Singapore Expo, mulai hari ini, fikirkan juga tentang bagasi yang ingin anda gunakan.

Pada 10 Ogos lalu, Samsonite yang membeli jenama dan sekali gus hak penjualan dan pengedaran American Tourister sejak 1994 muncul dengan dua beg koleksi baru, Manama dan Houston yang menekankan trend mengembara tanpa bebanan beg.

Kata Naib Presiden Samsonite Asia Tenggara, Encik Frantz Braha:

'American Tourister bangga dengan keupayaannya menyediakan bagasi bertaraf dunia bagi memenuhi keperluan masyarakat umum. Produk-produk terkini kami menggabungkan stail, fungsi dan kekuatan beg itu sendiri pada harga berpatutan.'

HOUSTON UNTUK KARYAWAN

Koleksi Houston sesuai untuk karyawan yang sentiasa ke sana ke mari dan memerlukan bagasi yang tampak 'ada kelas' tetapi ringan. Ia diperbuat daripada bahan poliester yang tahan lama serta lasak.

Model bagasi Houston Spinner yang terdapat dalam tiga saiz dan digerakkan dengan empat roda sesuai dibawa ke pejabat atau kunjungan bisnes.

Bagasi tote pula dicipta untuk eksekutif dengan reka hias kontemporari serta ruang berbilang fungsi. Terdapat ruang untuk mengisi komputer riba juga. Bagasi Boston pula adalah beg gantian bagi menampung barangan keperluan kecil-kecilan. Ada juga beg sandang pada bahu di bawah koleksi ini yang memudahkan anda menyelitkan telefon bimbit anda.

MANAMA BEBASKAN MINDA DARIPADA STRES

Koleksi Manama pula menjadikan kembara anda lebih selesa dan mudah sebab ia merupakan bagasi-bagasi ringan yang mudah digerakkan dengan empat roda. Lantas, anda tidak perlu khuatir berat bagasi anda melebihi had yang ditetapkan di lapangan terbang.

Terdapat mangga berkombinasi yang disisipkan pada bagasi koleksi Manama yang datang dalam tiga saiz dan dua warna, merah atau kelabu. Tentunya, koleksi ini membebaskan minda anda daripada belenggu stres di jalanan..

Anda boleh mendapatkan kedua-dua koleksi terbaru Houston dan Manama di Suntec City Tower 1, #02-45 atau Plaza Singapura, #04-04.