Monday, 10 October 2011

'Adikku' Siti Saleha...

BERITA HARIAN SINGAPURA,
10 OKTOBER 2011

Aaron tercabar berlakon dengan Siti Saleha kerana perbezaan usia

KESERASIAN antara Aaron Aziz dan pasangan televisyennya, Siti Saleha di dalam dua drama popular, Habil dan Qabil dan Nora Elena, memang tidak dapat disangkal.

Mereka dianggap antara pasangan paling ideal, yang menghiasi kaca televisyen.

Namun, kalau ditanya Aaron, dengan selamba pelakon kacak itu menjawab:

'Bagi saya, dia macam adik saya sajalah. Umur dia tu... tengoklah, baru 21 tahun. Saya ni pun dah 35 tahun. Pernah saya beritahu dia, baik panggil saya pak cik sahaja!'

Bapa tiga anak yang dikenali dengan sifat penyayangnya terhadap keluarga walau sesibuk mana pun, juga menganggap wujud cabaran berlakon dengan Siti Saleha kerana perbezaan umur itu.

'Berlakon dengannya sebagai suami isteri dalam Nora Elena semacam satu cabaran bagi saya kerana usianya yang masih muda belia.

'Cuma nasib baiklah, Saleha ni nampak matang orangnya. Maklumlah, sebelum ini saya biasanya berlakon dengan mereka yang lebih mapan dan senior atau sebaya seperti Nasha Aziz, Umie Aida dan Erra Fazira,' ujar Aaron, yang ditemui di Hotel Traders, sebelum acara promosi Habil dan Qabil, anjuran saluran kabel StarHub, Sensasi, di pusat beli-belah City Square.

Aaron kemudian beralih membincangkan tentang Habil dan Qabil, drama serius penuh dengan pergelutan konflik dan dendam yang kini disiarkan di Sensasi.

Di dalam drama itu, beliau membawa watak sebagai Habil, manakala pelakon seberang Tambak, Zed Zaidi, pula sebagai Qabil.

'Di awal cerita ini, saya kelihatan baik sahaja, tetapi sebenarnya tidak kerana berdendam terhadap apa yang orang tua Qabil lakukan.

'Asalnya, Habil bukanlah seorang yang berjaya, tetapi perlahan-lahan menjadi orang senang. Dengan situasinya yang kemudiannya senang, Habil mengambil kesempatan memusnahkan kehidupan Qabil,' cerita Aaron lagi.

Jalan cerita drama ini, yang berpangkalan pada perihal perniagaan, tidak seperti Nora Elena - drama yang dipadankan daripada novel tetapi memiliki jalan cerita yang mudah sahaja.

Aaron yang ditemani isterinya, Diyana Halik, menambah kerana rumitnya plot drama ini, ia payah difahami. Lantaran itu, kesimpulannya, perlulah saksikan setiap episod.

RINDU BERLAKON DI SINGAPURA

Dalam pada itu, Aaron akur amat merindui peluang berlakon di Singapura. Di dalam kesibukannya menerima tawaran yang datang mencurah-curah di Malaysia, beliau akan pastikan saban tahun, masanya terisi dengan idea menyiapkan klip video F&N di sini sempena Hari Raya.

'Waktu itulah, saya dapat mengumpulkan rakan-rakan saya untuk bersama-sama menghasilkan video itu walaupun usaha dan sumbangan kami tidak seberapa. Yang penting, kami dapat berjumpa,' jelas Aaron.

IKHLAS UNTUK BERJAYA

Walaupun Aaron sudah lama berkecimpung dalam bidang lakonan dan tampak berjaya di seberang Tambak, beliau amat merendah hati sewaktu diminta memberikan tip kepada pendatang baru di dalam industri lakonan.

'Saya ni bukanlah sesiapa untuk berikan tip lakonan. Formula atau rahsia ke memang tak ada.

'Bukannya saya ni berjaya sangat. Cuma bagi saya, kita perlu ikhlas dalam bidang inilah. Lakonan tu bagi saya adalah minat yang kemudiannya saya jadikan kerjaya.

'Kalau awak fikir masuk bidang ni senang nak cari kekasih, ke jadi kaya raya, awak dah tersalah masuk industri! Benda tu semua kalau nak dapat, akan dapatlah. Kalau tak, apa nak buat bukan?' jelasnya.

Aaron berpesan yang paling penting sekali seseorang itu tidak boleh melupakan dirinya.

'Ada sebahagian artis yang dulunya biasa-biasa sahaja macam member, tetapi kini berbeza layanannya.

'Bagi saya, senang dapat sesuatu, senang juga hilang dalam industri ini,' katanya yang amat berterima kasih kepada saluran-saluran setempat kerana mencungkil bakat lakonannya.

DUTA TONIK

Baru-baru ini, Aaron sempat mengikat kontrak menjadi duta dan wajah bagi minuman tonik di Malaysia, Drive M7.

Produk ini bakal memasuki pasaran antarabangsa tidak lama lagi dan mempunyai cawangan edaran di Jepun.

Selain itu, Aaron juga sibuk dengan penggambaran drama Jiwa Dan Lara yang sudah pun ditayangkan di TV3 dan masih menjalani penggambaran.

Filem Inggeris beliau, Prince Of The City, juga sedang dalam proses penggambaran.

Habil dan Qabil disiarkan di saluran Sensasi setiap Sabtu dan Ahad, 8.30 malam.

Nota: Penulis mahasiswa Universiti Al-Azhar.

LIMA SOALAN BERSAMA AARON AZIZ:

Kalau anda diberi tawaran berlakon dalam filem Hollywood?
Hangover dan Due Date
Filem klasik kegemaran?
Keluarga 69
Pelakon tempatan yang anda ingin berlakon bersama?
Seri Wahyuni dan Khairudin Shamsuddin
Pelakon dari malaysia pula?
Azean Irdawaty dan Tan Sri Jins Shamsuddin
Pelakon dari Hollywood?
Robert De Niro Jessica Alba dan Tom Cruise
Selebriti yang wajar sekali dicontohi selebriti-selebriti lainnya. Sangat-sangat merendah diri ketika ditemuramah. Semoga Aaron terus berjaya di masa-masa akan datang!

Bancho kecohkan YouTube dengan lenggok Matrep

BEITA HARIAN SINGAPURA,
5 SEPTEMBER 2011

RAMADAN lalu, klip video Bancho The Matrep, yang mempersoal brader-brader yang tidak puasa, begitu popular dilampirkan pada dinding Facebook sebilangan remaja.

Siapakah Bancho, 19 tahun, pelajar politeknik, yang dikenali di laman YouTube dan disebut-sebut ramai yang gemar melungsuri laman perkongsian video itu?

Buat masa ini, Bancho mampu menarik lebih 5,000 pelungsur Internet ke laman YouTube-nya. Di Facebook pula, beliau digemari 20,000 pemilik akaun Facebook.

Ekstra mendekatinya yang enggan mendedahkan identiti dan nama sebenarnya. Hhmmm... nak ikut macam sesetengah artis antarabangsa Hollywood dan YouTube, rupanya!

Apabila ditanya mengapa nama Bancho digunakan, pemuda berkulit sawo matang dan berkaca mata ini berkata: 'Perkataan 'bancho' ni sebenarnya datang dari bahasa Jepun yang bermakna 'melawan untuk kehormatan'. Matrep pula sejenis nama 'pondok'. Ada yang memilih 'apai', 'tupai' dan sebagainya.'

Menurutnya, Oktober ini, genap setahunlah beliau menghiasi laman YouTube dengan klip-klip videonya yang melucukan dan kadangkala mencucuk-cucuk perasaan orang (er... siapa makan cili, dialah yang rasa pedas. Betul bukan?).


'Klip video pertama saya bertajuk How To Be A Matrep. Saya lihat ramai juga yang menonton klip video itu. Justeru, saya rasa lebih bersemangat untuk menghasilkan lebih banyak klip video lain,' ujarnya.

Identitinya yang disorok daripada pengetahuan ramai melalui penggunaan kaca mata hitam itu disamakan seperti selebriti yang menggunakan rambut palsu seperti Miley Cyrus.

'Di dalam klip video, sayalah Bancho The Matrep tetapi di luar, saya adalah orang biasa sahaja. Saya tak akan menggunakan kaca mata hitam walaupun saya memiliki 13 pasang kaca mata! Cuma memandangkan Singapura ini kecil, ada yang mata tajam dan mengesan wajah saya menerusi gigi dan paras rupa saya!' selorohnya lagi.

Namun, penulis tertanya-tanya pula, mengapakah gelaran 'Matrep' menjadi pilihannya sedangkan ia mempunyai konotasi negatif (mat melepak yang tidak berharga)?

Katanya: 'Bagi saya terdapat tiga jenis 'Matrep'. Yang pertama,

mereka yang melepak dan suka buat kacau. Yang kedua, suka duduk bawah blok dan main gitar. Dan yang ketiga pula, mempunyai kelas tersendiri. Dia akan melepak di rumah sendiri atau rumah orang.'

Bagi anda yang belum tahu siapa Bancho dan ingin mendekatinya, apa kata lungsuri laman beralamat www.youtube.com/BanchotheMatrep.

Nota: Penulis mahasiswa Universiti Al-Azhar.

Seorang yang 'gerek' to be with. Had a great laugh with him throughout the interview. Kudos Bancho aka NABIL!

Monday, 28 February 2011

Aksi makhluk asing mempesona

BERITA HARIAN SG, ISNIN 28 FEBRUARI 2011

MEREKA datang dari Lorien. Mereka mempunyai kuasa menakjubkan. Mereka hanya bersembilan dan dikenali dengan angka mereka sahaja. Mereka ialah Lorien Legacies.

Namun, filem I Am Number Four bukan kisah tentang kesemua sembilan makhluk asing. Sebaliknya, ia mengenai makhluk asing yang dikenali sebagai 'Number Four' atau John (Alex Pettyfer).

John dijaga jurulatihnya, Henri (Timothy Olyphant). Henri menjaga John sejak ketiadaan orang tuanya.

Sewaktu di bumi Paradise, satu masalah muncul. John diburu penjahat Mogadorians seperti teman-teman lain.

Sebelum ini, tiga orang di kalangan pasukan Lorien Legacies dibunuh mereka dan John adalah buruan selanjutnya.

Walaupun identitinya cuba disembunyikan, mereka tetap berjaya mengesan John.

Saksikanlah filem yang dipadankan daripada buku tulisan Pittacus Lore.

Filem ini memang menghiburkan. Sepanjang tayangan dua jam, saya langsung tidak terlelap dan kerap rasa 'syiok' menyelubungi sanubari.

Walaupun plot di awal filem ini terasa 'merangkak', sejurus sampai ke klimaks filem, saya terdorong untuk bertanya: 'Apakah aksi selanjutnya?'

Selain aksi menarik, jiwa yang romantik juga terusik dek kisah cinta John dan Sarah (Dianna Agron).

Persoalannya: Bagaimanakah John mampu melarikan diri daripada Mogadorians? Apakah cukup kuasa yang dia miliki sedangkan Henri, jurulatihnya, akhirnya dibunuh?

Saspens demi saspens di dalam I Am Number Four menjadikan filem ini antara yang terbaik di bulan Februari. Ia juga sesuai untuk tontonan seisi keluarga.

Selepas menontonnya, anda terasa bagaikan ingin menjadi sebahagian daripada Lorien Legacies.

Dan, syyy...jangan beritahu orang ya... saya sebenarnya 'Number Seven'!

Tuesday, 22 February 2011

Ayah dicari walau terseksa hati

BERITA HARIAN SG, 21 FEBRUARI 2011

KE hulu ke hilir mencari insan bergelar ayah. Ke sana ke sini meredah hutan bersendirian. Rumah kenalan turut dikunjungi dengan satu misi mencari ayah tercinta.


Inilah secebis kisah di dalam filem Winter's Bone, arahan Debra Granik, yang kini ditayangkan secara eksklusif di pawagam GV Plaza dan GV Cinema Europa Vivocity.

Filem lebih sejam lamanya itu dibintangi Jennifer Lawrence selaku Ree. Ree mempunyai sikap sukar mengalah dan tidak putus asa dalam mencari ayahnya. Ibunya sakit dan adik-adiknya masih kecil dan perlu ditanggung.

Ayah Ree tetap tidak dijumpai walau bagaimana gigih pun dia berusaha. Dia jenis gadis yang enggan mengalah walau dimarah, dihina dan dipukul kenalannya kerana kedegilan ingin terus mencari ayahnya.

Walaupun Ree merayu dan menitiskan air mata, masih tiada siapa yang mengendahkannya. Tangisannya hanya sia-sia sahaja.

Ayah yang dicari-cari ialah pengedar dadah dan kini menghilang tanpa khabar. Tiada seorang pun yang ketahui ke mana perginya si ayah.

Mengapa beliau meninggalkan keluarganya begitu sahaja? Apa pula yang terjadi kepada nasib keluarga itu?

Masihkah Ree dan keluarganya mempunyai peluang bertemu dengan ayahnya sekali lagi? Dan apakah hasrat di hati Ree sehingga dia terus mencari walaupun batinnya terseksa?

Inilah secebis kisah pengorbanan seorang kakak yang berusia 12 tahun kepada keluarganya. Ia mengajar kita tentang kesabaran dan kecekalan kerana air yang dicencang takkan putus.

Sungguhpun begitu, saya tetap terkilan sebab filem yang menempah nama di Festival Filem Sundance ini begitu 'merangkak' pergerakan plotnya.

Mungkin ia memiliki lakon layar baik lagi berkesan tetapi jika anda jenis yang dambakan aksi dan komedi, ini bukan filem untuk anda.

Nilai Tonton : 3/5

Monday, 7 February 2011

Hargai keluarga

BERITA HARIAN SG, 29 JANURARI 2011

RUNGUTAN demi rungutan kedengaran.

'Alah! Keluarga aku tu mengarutlah!'

'Mak bapak aku kuno! Dasar orang kampung!'

Itulah keluhan sebahagian pelajar terhadap orang tua mereka.

Isy! Kalau keluarga anda dianggap mengarut, bukankah anda juga sebahagian daripada keluarga itu?

Kalau emak bapa anda dipanggil 'kuno dan orang kampung', bukankah anda anak si kuno dan orang kampung itu? Fikirkanlah ya.

Sering kali ibu bapa dipersalahkan dan dihumban dengan pelbagai kata-kata yang kurang manis didengar.

Kalau ibu bapa zaman dahululah, dipiat-piat agaknya telinga anak-anak hari ini dan disepak-sepak mukanya. Kurang ajar sangat! Mana boleh ibu bapa sendiri dihina dan dimaki sesuka hati.

Saya mendapat ilham menulis rencana ini apabila melihat banyak sangat perkara yang berlaku di laman-laman rangkaian sosial seperti Facebook, Twitter dan laman-laman blog.

Bertuah juga saya rasanya mempunyai ramai teman di Facebook. Jadi, banyak juga ragam yang dapat saya lihat daripada situ.

IBU BAPA LEBIH BANYAK MAKAN GARAM

'Geram! Kenapalah aku nak ambil lesen motor tak boleh? Bukannya susah sangat. Macam naik basikal saja,' ngomel si teman.

Geram, marah dan benci. Tentu sekali itulah yang dirasakan apabila sesuatu yang kita mahukan tak dapat direalisasikan.

Benar bukan apa yang saya katakan? Iyalah, saya juga dulu pernah muda seperti anda. Maklumlah, hati orang muda ini suka sangat memberontak.

Ibu bapa lebih mengetahui apa yang baik dan apa yang buruk untuk anda. Seperti contoh yang saya berikan tadi, ramai anak bujang kepingin mengambil lesen motor.

Anda baru 18 tahun dan sudah merengek-rengek mahukan lesen motor. Kadangkala, bukannya ibu bapa anda tidak mahu membenarkannya, tetapi mungkin saja belum waktunya.

Iyalah, dengan kemalangan melibatkan penunggang motosikal yang kerap berlaku, termasuk mengakibatkan kematian, tentu sekali ibu bapa anda juga bimbang nasib serupa menimpa.

Mereka bimbang kerana mereka sayangkan anda!

UTAMAKANLAH KELUARGA WALAU ORANG TUA BANYAK 'SPELLING'

'Panas aku duduk kat rumah! Paling-paling orang tua aku banyak spelling!'

Alamak... Ini satu lagi kes - kes asyik 'melekat' dengan kawan sahaja. Di rumah, telefon kawan; di luar dengan kawan; di sekolah pun dengan kawan.

Pendek kata, kalau ada 25 jam sehari, masa itu dihabiskan dengan kawan. Jadi, bilakah waktu anda dengan keluarga?

Kemudian, terdengar pula saya istilah 'abang angkat', 'adik angkat' dan sebagainya.

Adik dan abang kandung sendiri tak terangkat, ini pula nak angkat-angkat orang lain. Isy... isy... isy...

Biar seburuk mana keluarga anda, mereka itu tetap keluarga anda. Mungkin andalah yang bakal merubah nasib mereka.

Apabila anda hendak bergembira, anda mengajak teman. Anda hingga terlalu melebihkan teman hingga untuk berinteraksi bersama keluarga anda pun anda berasa janggal.

Jangan sampai keadaan begitu melarat. Ambillah inisiatif untuk berubah. Ia tidak bermakna menjauhkan diri daripada teman anda tetapi adakan sedikit ruang untuk anda bersama keluarga anda.

Kalaulah anda berada di tempat saya (di Mesir), jauh daripada keluarga, pastinya anda memahami apa yang cuba saya sampaikan.

Bukan sahaja belaian keluarga dirindukan, bahkan teguran dan kekecohan ibu memarahi adik-adik turut menjadi dambaan.

Sekian, salam dari Mesir. Hargailah keluarga anda kerana air dicencang tidak akan putus.

Nota: Penulis kini menuntut di Universiti Al-Azhar, Kahirah, Mesir.

Ringan dan bergaya

BERITA HARIAN SG, 27OGOS2010


Bagasi tahan lama mudah dibawa ke mana-mana

ANDA baru sahaja melangsungkan perkahwinan anda dan merancang untuk berbulan madu ke negara jauh. Atau anda hanya ingin menghabiskan hujung minggu anda dengan berkunjung ke negara seberang tambak atau ke kepulauan berhampiran Singapura untuk bersantai bersama keluarga.

Mungkin juga anda jenis yang lasak, lantas memilih kerjaya yang memerlukan anda bergegas dari satu benua ke benua lain untuk tujuan perniagaan.

Walau apa pun misi anda, soalan paling utama: 'Sudahkah anda menyiapkan segala keperluan anda seperti pasport, ubat-ubatan dan meninjau tempat yang bakal anda lawati itu menerusi buku panduan pelancongan atau risalah dalam talian?'

Mungkin waktu ini anda sedang mencari sebuah bagasi atau beg melancong untuk dibawa ke negara yang anda ingin lawati itu. Tentunya dalam mencari sesebuah bagasi, anda mengutamakan mutu dan daya tahan beg tersebut. Anda juga tidak mahu yang berat-berat.

Sekarang adalah masanya untuk anda memilih bagasi ringan yang tahan lama, diperbuat daripada bahan yang baik serta tidak kurang cantiknya. Antara yang sesuai dengan keperluan masa kini termasuk jenama American Tourister.

Walaupun jenama American Tourister itu sendiri jarang didengari, ia sebenarnya sudah lama bertapak sejak 1933 lagi. Hanya dua tahun lalu, ia memasuki pasaran Singapura. Kalau anda nak tahu, American Tourister ini adalah syarikat bagasi pertama yang menghasilkan iklan televisyen dan melampirkan tanda bagasi (luggage tag) sekali gus.

Jenama ini memang dikenali sebagai mempromosikan beg-beg melancong yang tahan lama. Lihat sahaja iklan televisyen mereka yang pertama. Kelihatan seekor gorila memijak-mijak dan mencampak-campak bagasi itu tetapi ia kekal tidak kemek ataupun rosak.

Rahsia ketahanan beg-beg American Tourister ini terletak pada siri ujian terperinci lagi lasak yang dikenakan ke atas produk-produk yang dihasilkan sebelum proses pengesahan dibuat oleh pihak pengurusan. Beberapa beg secara rambang melalui beberapa ujian sebelum dijual di pasaran.

Pertama, ada 'ujian hempas' di mana beg yang penuh terisi muatan barangan ini dijatuhkan lima kali untuk memeriksa tahap kekuatannya dalam menangani perubahan cuaca yang ekstrem. Kedua, 'ujian sentak' yang melihat beg penuh muatan tadi disentak 5,000 kali untuk memastikan beberapa bahagian beg itu seperti besi pemegangnya itu utuh walau dicampak dan dilambung.

Ketiga, setiap beg tadi melalui 'ujian mangga' di mana mangga pada beg itu dikunci dan dibuka 15,000 kali bagi tujuan keselamatan. Beg itu juga diheret sepanjang 32 kilometer dalam 'ujian roda'. Akhir sekali, 'ujian golek dan guling' di mana beg itu digoncang dalam dram raksasa sebanyak 25 kali untuk memastikan jika ia diuruskan secara kasar, ia tetap tidak rosak.

Jika anda merancang untuk ke pameran Persatuan Ejen-ejen Pelancongan Nasional Singapura (Natas) di Singapore Expo, mulai hari ini, fikirkan juga tentang bagasi yang ingin anda gunakan.

Pada 10 Ogos lalu, Samsonite yang membeli jenama dan sekali gus hak penjualan dan pengedaran American Tourister sejak 1994 muncul dengan dua beg koleksi baru, Manama dan Houston yang menekankan trend mengembara tanpa bebanan beg.

Kata Naib Presiden Samsonite Asia Tenggara, Encik Frantz Braha:

'American Tourister bangga dengan keupayaannya menyediakan bagasi bertaraf dunia bagi memenuhi keperluan masyarakat umum. Produk-produk terkini kami menggabungkan stail, fungsi dan kekuatan beg itu sendiri pada harga berpatutan.'

HOUSTON UNTUK KARYAWAN

Koleksi Houston sesuai untuk karyawan yang sentiasa ke sana ke mari dan memerlukan bagasi yang tampak 'ada kelas' tetapi ringan. Ia diperbuat daripada bahan poliester yang tahan lama serta lasak.

Model bagasi Houston Spinner yang terdapat dalam tiga saiz dan digerakkan dengan empat roda sesuai dibawa ke pejabat atau kunjungan bisnes.

Bagasi tote pula dicipta untuk eksekutif dengan reka hias kontemporari serta ruang berbilang fungsi. Terdapat ruang untuk mengisi komputer riba juga. Bagasi Boston pula adalah beg gantian bagi menampung barangan keperluan kecil-kecilan. Ada juga beg sandang pada bahu di bawah koleksi ini yang memudahkan anda menyelitkan telefon bimbit anda.

MANAMA BEBASKAN MINDA DARIPADA STRES

Koleksi Manama pula menjadikan kembara anda lebih selesa dan mudah sebab ia merupakan bagasi-bagasi ringan yang mudah digerakkan dengan empat roda. Lantas, anda tidak perlu khuatir berat bagasi anda melebihi had yang ditetapkan di lapangan terbang.

Terdapat mangga berkombinasi yang disisipkan pada bagasi koleksi Manama yang datang dalam tiga saiz dan dua warna, merah atau kelabu. Tentunya, koleksi ini membebaskan minda anda daripada belenggu stres di jalanan..

Anda boleh mendapatkan kedua-dua koleksi terbaru Houston dan Manama di Suntec City Tower 1, #02-45 atau Plaza Singapura, #04-04.

Monday, 12 July 2010

Sinaran Sezairi

BERITA HARIAN SG, 5 Jul 2010

Bagi setiap kritikan, ada 20 lagi yang menyokong

SETERIK mentari atau mungkin semendung awan di langit. Bagaikan cuaca, begitu jugalah yang dapat saya nyatakan tentang seorang lagi Idola Singapura ini.

Walaupun sudah dinobatkan sebagai juara, namun masih ada lagi segelintir orang yang meragukan kejuaraannya dan masih mengatakan beliau belum cukup 'ooomph' untuk menjadi seorang Idola Singapura.

Namun, Sezairi Sezali, 23 tahun, akur itulah lumrah dunia anak seni yang perlu dihadapi dengan tenang.

Walaupun sibuk menjalani perkhidmatan negara (NS), minat menyanyi yang sudah tercetus sejak kecil lagi mendorongnya untuk menyulam mimpi menjadi kenyataan.

Baru-baru ini, satu sesi untuk media mendengar lagu-lagu yang dimuatkan dalam album sulung Sezairi, Take Two telah berlangsung di Hotel Pan Pacific. Di situlah, saya bertemu dengannya.

TIADA LAYANAN ISTIMEWA DARIPADA TEMAN-TEMAN NS

Sejurus bergelar Idola Singapura, Sezairi perlu berkhidmat kepada negara. NS merupakan satu lagi tempoh peralihan bagi remaja lelaki. Sezairi tamat tempoh NS-nya pada 2012 nanti.

Apakah beliau mendapat layanan istimewa kerana masuk sahaja NS, beliau telah dikenali ramai sebagai seorang idola?

'Di kem semua sama sahaja! Kita sama-sama botak... lama-lama, kulit jadi gelap sebab terik mentari.

'Justeru itu, saya tidak dapat sebarang layanan yang lain daripada lain. Dan saya pun tidak mahu dilayan secara berlainan hanya kerana saya seorang Idola Singapura. Lagi pun, gelaran itu tidak bermakna saya tidak boleh buat apa yang anggota NS lain perlu lakukan. Saya juga ingin nikmati zaman NS, susah senangnya sebagaimana orang lain,' jelasnya.

Memang ada yang akan berseloroh, menyatakan mereka seakan melihat Idola Singapura berada di atas bukit!

'Geli hati juga apabila sesetengah teman NS saya begitu 'menghormati' saya dan minta teman-teman lain memberi laluan kepada saya!' tambahnya lagi.

ALBUM YANG DITUNGGU

Walaupun sibuk dengan NS, Sezairi tetap mempunyai masa untuk membuat album. Bahkan, menurutnya, sebahagian besar waktunya dihabiskan untuk memerah otak bagi menggubah dan menyiapkan albumnya di studio.

'Album ini terhasil daripada pengaruh muzik saya ketika meningkat usia remaja. Saya juga menerapkan muzik yang ayah saya dengar seperti dendangan Smokey Robinson dan Tracy Chapman. Lagu-lagu seperti Heart of The Matter dari Don Henley dan juga Better Be Home Soon dari Crowded Houses juga ada dimuatkan.

'Ia telah diberi nafas baru yang lebih segar,' ujarnya mengenai album barunya itu.

Nikmat merakam album sendiri begitu dirasakan Sezairi. Apabila sebuah lagu mampu diilhamkan dan kemudian tamat rakaman, itulah kepuasan baginya.

'Sejak dari dulu lagi, saya memang suka menulis lagu dan kawan-kawan saya juga mengharapkan apa yang dulunya saya karang dimasukkan dalam album sulung saya tetapi kita memilih untuk memulakan segalanya bertahap-tahap.

'Inilah kelahiran semula Sezairi. Saya menerapkan unsur-unsur baru dalam penciptaan lagu saya. Saya memperbaiki mutu gubahannya,' katanya lagi.

Take Two turut memuatkan sebuah lagu bahasa Melayu yang dikarang pemenang Projek Rentak tahun lalu, The Lion Story. Namanya ialah Matahari.

'Pertama kali mendengar lagu itu, saya terus jatuh cinta. The Lion Story pun belum lagi menggunakan lagu ini. Tambahan pula, mereka kata mereka berbesar hati jika saya menggunakan hasil ciptaan mereka dalam album saya.

'Saya rasa bernasib baik sebagai seorang pendatang baru, saya dapat bekerjasama dengan orangorang berbakat dan juga pencipta lain. Boleh juga saya pelajari cara bagaimana untuk menghasilkan sesebuah lagu yang menarik perhatian,' tambahnya.

Seperkara lagi, album ini turut memuatkan lagu duet Sezairi dan pesaingnya dalam peringkat akhir Singapore Idol, Sylvia Ratonel. A Woman and A Man merupakan nama lagu yang mewujudkan kesan semberani. Ternyata, mereka juga adalah pasangan duet yang serasi.

Penyokong Sylvia pastinya cukup terkejut dengan usaha label rakaman mengemukakan kededuanya dalam lagu duet. Iyalah. Sesetengah penyokong Sylvia tidak putus-putus mempersoal kemenangan Sezairi yang disangka tidak layak bergelar idola.

LAYAKKAH SEZAIRI?

Kata Sezairi: 'Bagi setiap orang yang katakan saya tidak layak, ada lagi 20 orang yang katakan saya tidak begitu teruk sangat. Kata-kata mereka tidak menjejas semangat saya. Jika kritikan itu merupakan suatu perkara yang boleh saya jadikan iktibar, saya akan ambil. Jika tidak, saya tak rasa ia menjejas mutu persembahan atau semangat saya.'

Kembali pada Take Two, apakah lagu yang dijangka digemari ramai? Pilihan saya, Would She Know? Rentaknya yang agak rancak membuat saya seakan-akan menari bersama.

Secara keseluruhan, jika anda mendengar suara Sezairi sahaja tanpa melihat wajahnya, anda pasti tidak akan terfikir ia adalah nyanyian seorang anak Melayu kerana telonya kedengaran seperti orang Eropah. Selebihnya, saya akan katakan inilah anak Melayu berbakat dengan penguasaan bahasa Inggeris yang baik lagi bertenaga.


TRIVIA

Berdasarkan lagu popular Sezairi, 'Broken', tiga soalan ini diajukan.

Pernahkah anda pecahkan pasu emak?

Oh ya! Ha... ha...! Pernah! Sewaktu saya kecil-kecil dahulu. Saya memang cemerkap. Saya selalu jalan ke stor dan ibu saya tahu kalau saya jalan, saya akan pecahkan barang-barang! Saya pecahkan lebih daripada satu pasu! Ibu saya kool dan tidak suka buat bising. Jadi, beliau tidak marah sangat. Kasihan jugalah dia perlu beli yang baru!

Pernah patah hati atau budak-budak sekarang kata jiwa retak?

Iya, pernah. Ia adalah pengalaman yang baik sebab bagi saya, sesiapa yang pernah melaluinya, pasti melihat kehidupan ini dengan pandangan yang berbeza. Apabila saya patah hati, saya akan karang sebuah lagu.

Kalau ada orang pecahkan atau curi sesuatu yang anda sayangi, bagaimana?

Saya tidak begitu kisah dan percayakan karma. Bagi saya, Tuhan itu sentiasa adil.

'Hadiah Sarah' kepada peminat

BERITA HARIAN SG, 21 Jun 2010

BIARPUN adik kesayangannya telah pergi buat selama-lamanya, juara Anugerah 2009, Sarah Aqilah, tetap tabah dan reda menerima ketentuan-Nya.

Lagu hits-nya, Biar Hati Mencintai, sudah lama bertapak di hati pendengar dan masanya tiba untuk peminat Sarah menikmati lagu-lagu lain daripada album sulungnya.

'Akhirnya, album saya sendiri dengan lagu-lagu saya sendiri!' katanya dengan nada ceria di majlis pelancaran album bertajuk Sarah Aqilah, terbitan Suria Records (SRC) yang berlangsung di Hotel Furama Riverfront baru-baru ini.

Album itu memuatkan 10 lagu, lima daripadanya merupakan versi minus one.

Tatkala mendendangkan Biar Hati Mencintai, Sarah, 26 tahun, berusaha mengawal emosinya. Lagu itu, jelasnya, banyak meninggalkan kesan dalam hidupnya sebab adiknya yang berkobar-kobar menantikan kemunculan lagu itu di corong radio tidak sempat menikmatinya.

Allahyarhamha Shaffadina Jamil, 20 tahun, meninggal dunia selepas diserang sejenis pneumonia yang berpunca daripada kejutan bahan toksik, tujuh hari selepas dimasukkan ke hospital.

Kepiluan itu Sarah benam jauh-jauh dan akhirnya muncul penuh bertenaga, mengusik pengacara, Zan Sofyan, dan peminat-peminatnya termasuk sembilan anggota Kelab Obor, Berita Harian.

TIDAK LAYU DEK KRITIKAN

Baru beberapa bulan lalu, Sarah dikritik tajam oleh anggota KRU, Edry, di dalam program terbitan Najip Ali, PopAgenda. Beliau dikatakan belum bersedia tampil di pentas besar sebagai seorang penghibur.

Adakah Sarah terguris dek komen laser sebegitu?

'Tidak. Kritikan itu sebaliknya membantu Sarah memperbaiki nyanyian dan juga persembahan.

'Apabila Abang Edry katakan begitu, Sarah ambil secara positif komennya dan buktikan Sarah boleh menjadi lebih baik daripada dulu sebab memang prinsip hidup Sarah, kalau orang tu kritik kita, dia nak kita memperbaiki diri.

'Setiap komen negatif yang sampai ke telinga, Sarah ambil secara positif. Tidak sedikit pun berkecil hati,' jawab Sarah dengan wajah tenang dan bibir merahnya menguntum senyum.

ALBUM UNTUK PEMINAT

Masa sembilan bulan diambil Sarah untuk menyiapkan album yang turut dijual di gedung CD seperti Gramaphone dan HMV. Dugaan turut dirasakan kerana pembikinan album itu bertembung juga dengan Ramadan. Jadi, tidak bolehlah meneguk air atau makan apa-apa.

Yang seronoknya bagi beliau ialah album itu mendapat sentuhan komposer, Sharon Paul, yang pernah mencipta lagu Anuar Zain.

Bustamam, jurufoto profesional yang 'mencantikkan' lagi Sarah dalam potret- potret album, pula pernah merakamkan foto Datuk Siti Nurhaliza.

'Pengorbanan tetap ada. Saya perlu kawal pemakanan dan tidak boleh minum air bergas dan makanan berminyak walhal saya dulu memang hantu Coke! Cubalah awak tahan tak makan makanan berminyak selama seminggu. Suara mesti berbeza,' tambahnya memberi tip menjaga suara.

CINTA HATI SARAH

Di dalam membincangkan tentang lagu Jatuh Cinta, ciptaan Pam Yuen dan Mohariz Yaakup, ramai yang ingin tahu sama ada hati Sarah sudah dimiliki?

Beliau tersenyum manja dan tidak mengelak soalan itu.

Sebaliknya, Sarah spontan menjawab mengenai pemuda yang bertakhta di hatinya sejak setahun lalu.

'Ya, saya sudah ada yang punya... dia bukan artis. Dia orang biasa-biasa sahaja. Anak buah pak cik saya.

'Dia pun peminat saya. Orangnya pemalu dan dia dua tahun lebih muda daripada saya. Apabila si pemalu ni mula bersuara dengan kita, tentunya terasa ada keistimewaannya.

'Bagi saya, saya sukakan jejaka yang lemah lembut, menghormati orang lebih tua daripadanya, suka anak-anak kecil dan gentleman!' tambah Sarah.

Namun, apabila diminta menceritakan tentang cinta pertamanya termasuk zaman cinta monyet, Sarah payah memberi jawapan sebab menurutnya, sewaktu zaman bersekolah, tidak terfikir pula untuk menjalin sebarang ikatan cinta.

Maklumlah, beliau sibuk dengan empat kegiatan kokurikular (CCA) semasa menuntut di Sekolah Menengah Teck Whye - bola jaring, bola lantai, tarian dan pancaragam di mana beliau adalah pemain alto-saksafon.

PEMINAT DAN KELUARGALAH SEGALA-GALANYA

Sarah jenis yang menghargai peminat dan melibatkan mereka dalam hobinya iaitu bermain futsal. Jarang kita mendengar artis mengajak peminatnya keluar bermain futsal tetapi itulah yang beliau lakukan dengan pelawaan menerusi laman Facebook.

'Saya akan cuba sedaya upaya berjumpa dengan peminat saya. Tidak kiralah sama ada untuk bermain futsal atau minum kopi bersama. Biasanya, saya akan pilih kumpulan berbeza dan bukan orang yang sama untuk memberikan peluang kepada semua.

'Dan kalau anda nak tahu, emak sayalah yang macam setiausaha saya! Dia rajin periksa akaun Facebook saya untuk beritahu saya berapa ramai peminat saya ada.

'Kalau sebelum Anugerah, saya ada 100 teman sahaja, sekarang dah melambung lebih 3,000 orang! Alhamdulillah,' ujar Sarah.

Begitulah kuasa Anugerah. Apabila disemak akaun Facebooknya, wow!

Semakin naik bilangan teman Sarah, mencecah 4,886 orang. Semoga maju jaya hendaknya.


KENAL-KENAL

  • Tiga benda yang tidak boleh ditinggalkan: Kunci skuter (katanya naik skuter pakai skirt!); telefon bimbit dan lesen memandu.

  • Jika anda sedang buat persembahan menggunakan kasut tinggi tetapi sayangnya, kaki terkehel, apa yang dilakukan? Kata Sarah: 'Saya akan baring terus! Kalau awak terjatuh, baring terus! Macam berlakonlah. Jangan pernah berhenti bila kejadian macam gitu berlaku walaupun jika jatuh dari pentas.'

  • Perkara yang ditakuti: Berada dalam gelap. Justeru, tidak mampu mendengar program Misteri Jam 12. Kalau tidur pun, mesti ada lampu kecil.

  • Ingin duet bersama: Anita Sarawak dan Anuar Zain.

  • Tip jaga badan: Tidak makan nasi langsung. Kalau ke jemputan, hanya makan segenggam nasi. Rajin berlari setiap hari
  • Friday, 25 June 2010

    Glamor sejak zaman 'Cikgu-Cikgu'

    BERITA HARIAN SG, 14 JUN 2010

    GELARAN 'glamor' itu 'melekat' pada deejay Ria 89.7FM, Hafeez Harun, sejak beliau masih menuntut di maktab perguruan Institut Pendidikan Nasional (NIE) lagi.

    Soalan itu mungkin sudah basi memandangkan telah 19 tahun lamanya beliau menjadi deejay. Bagaimanapun, Hafeez sudi berkongsi kisahnya sekali lagi apabila kami bertemu selepas beliau dinobatkan sebagai 'Deejay Paling Popular Ria', baru-baru ini.

    'Saya berada di NIE dan selalu kendalikan konsert, jadi hos sewaktu Hari Guru dan lain-lain acara. Dari situ, teman-teman selalu 'giat' glamorlah... Maka bermulalah gelaran tersebut.

    'Jadi apabila saya kendalikan acara itu dan acara ini, pelajaran saya pula 'tercicir' dan saya hanya sempat belajar di NIE selama tujuh bulan sahaja. Apabila di stesen Ria adakan bengkel, saya sertai bengkel Deejay itu. Tahu-tahu, saya dapat panggilan telefon. Mereka tawarkan saya kerja!' katanya.

    Beliau menyifatkan dunia penyiaran radio dan bidang perguruan lebih kurang sama sebab beliau amat mencintai bahasa dan gemar membaca tentang Som Said dan Dr Ariff Ahmad.

    Baginya, suara merdu penyiar ketika itu, Zakiah Halim, Suharti Ali dan Ibrahim Jamil, bagaikan 'memanggilnya' untuk mendekati bidang deejay.

    Hafeez yang tetap berahsia tentang umurnya terus menceritakan kesukaran beliau sewaktu mula-mula menyertai kerjaya deejay.

    'Biasalah... kalau baru masuk tu, salah tekan butang, dua lagu bertembung jadi satu. Semua deejay akan alami masalah ini. Pernah juga waktu itu, terlupa picit butang off air. Sekali saya ternyanyi, buat malu saja! Lepas tu ada orang tanya saya belum matikan mikrofon ke? Lepas tu, pandai-pandai cover baliklah,' tambahnya sambil tersenyum.

    Beliau menyifatkan cabaran yang dihadapinya kini ialah lebih untuk mengetahui selera anak muda masa kini. Katanya, beliau tidak mampu memberikan apa sahaja yang beliau suka tanpa mengambil kira cita rasa mereka.

    Menjadi deejay juga memberinya peluang menjadi bak penasihat kepada pendengar yang kebingungan kerana payah menurunkan berat badan.

    Hafeez menasihatinya berlari di atas treadmill saban hari selama 30 minit setiap kali. Kepuasannya terasa apabila si pendengar memberi maklum balas bahawa panduan itu diikutinya dan ternyata berhasil!

    Bagaimana pula dengan kenangan pahit menjadi deejay?

    'Yang pahit ialah apabila ada orang mengambil kesempatan untuk menjadikan radio sebagai medan perbalahan dan sindiran. Kita macam blur tak tahu apa yang orang ni cakap pasal orang tu. Rupanya mereka saling menyindir. Itu paling pahit bagi saya!' tambahnya.

    'Ngam' dengan Kak Nita

    Antara Hafeez dengan Kak Nita (Anita Sarawak) a memang bagaikan isi dengan kuku. Walau bergelar 'diva', Kak Nita, jelas Hafeez, adalah seseorang yang menghargai teman.

    'Kadang saya telefon... pernah sekali tu, saya pasang aroma terapi dan kebetulan, dia pun sedang pasang aroma terapi. Macam sehati sejiwa gitu eh?' selorohnya.

    Kak Nita, tambahnya, jenis yang rajin bertanya khabar teman karib dan seisi keluarga mereka. Hafeez pernah membantu menyorong kerusi roda menghantar Kak Nita ke hospital sebelum bintang popular itu berumah tangga dengan Abang Mahathir (suaminya kini).

    'Masa tu, ada Konsert Diva. Sejak peristiwa itu, kami menjadi kawan. Dah 10 tahun kami berkawan. Beliau mengirim kad terima kasih kepada saya,' kata Hafeez, dengan wajah yang ceria.

    Masa depan artis Singapura

    Ditanya mengenai perkembangan dan kebolehan artis setempat, Hafeez menyatakan beliau amat mempercayai potensi juara Anugerah, Sarah Aqilah.

    'Saya nak beritahu awak. Dia boleh pergi jauh dengan suaranya mengikut pasaran yang ada kini. Dia memang bintang yang berpotensi besar sebab dia ada pakej! Kita macam tercari-cari penyanyi wanita di Singapura. Dengan pasaran yang betul, beliau boleh 'meletup' tetapi kita perlu bersabar!' kata Hafeez lagi.


    KENAL-KENAL

  • Hafeez mampu berbual dalam lima bahasa: Inggeris, Melayu, Indonesia, Mandarin dan Tagalog.
  • Kalau 'tersendat' di dalam lif akan relaks...: Tetapi kalau lama sangat, mesti terasa gelisah. Justeru, dia akan menekan sajalah butang lif kemudian bernyanyi-nyanyi sebab suara kedengaran bergema. Suara sedap bergema.
  • Kalau bertugas untuk program 'Misteri Jam 12', kemudian nampak hantu, Hafeez kata dia akan...: Salam sajalah!
  • Wednesday, 16 June 2010

    Pukulan maut

    BERITA HARIAN SG, 10 JUN 2010

    'The Karate Kid' hampiri pencinta karate dengan humor dan aksi lasak

    MELIHAT treler filem The Karate Kid sahaja buat ramai terpaut. Apatah lagi melihatkan gandingan ikon seni pertahankan diri, Jackie Chan, dengan pelakon cilik, Jaden Smith.

    Tentu sekali ramai di luar sana semakin tidak sabar-sabar menunggu tarikh tayangannya.

    Penantian saya bagi filem arahan Harald Zwart ini tidak sedikit pun menghampakan. Jika anda masih belum ketahui, filem ini sebenarnya dibuat semula setelah filem asalnya dihasilkan pada 1984. Ya, lebih 25 tahun lalu.

    Sempat juga saya tonton babak- babak daripada filem asalnya dan secara peribadi saya rasa filem kali ini lebih menarik dengan jalan ceritanya yang tidak meleret, malah lebih segar.

    Berbanding dengan filem asalnya yang dilakonkan di Los Angeles, filem kali ini mengambil tempat di Beijing, China. Pemilihan tempatnya agak tepat kerana ia sekali gus dapat menambahkan elemen humor dan pada waktu yang sama memberi sedikit sebanyak pengetahuan tentang budaya di China. Nama watak-wataknya juga turut diubah.

    Namun, jalan ceritanya tetap serupa seperti filem asalnya. Ia menceritakan tentang kehidupan Dre (Jaden Smith) yang ke Beijing, China bersama ibunya (Taraji P. Henson). Ayahnya meninggal dunia sejak dia kecil lagi.

    Kehidupan Dre benar-benar berubah apabila di Beijing. Keselesaan yang dimilikinya kini hilang. Demi ibunya yang dihantar untuk bekerja di situ, dia terpaksa menelan penderitaan dibuli di perkarangan rumah barunya itu.

    Bermulanya kisah pembulian itu ialah apabila Dre ke taman riadah dan cuba untuk bersosial. Seorang gadis, Meiying (Wenwen Han), yang sedang duduk di taman itu menarik perhatian Dre.

    Apabila Dre cuba bermesra dengan Meiying, datang sekumpulan samseng yang mula membulinya. Dre cuba membuka langkah, namun mereka bukanlah lawan untuknya. Lebih-lebih lagi samseng cilik itu merupakan pelajar Master Li, guru seni pertahanan diri yang teguh dengan tiga prinsip pengajaran iaitu tidak kenal erti kelemahan, kesakitan mahupun belas kasihan.

    Pembulian terhadap Dre semakin menjadi-jadi walau Dre cuba mengelak diri daripada mereka. Siapa sangka seorang tukang baiki kelengkapan dapur akan menjadi penyelamatnya? Mr Han (Jackie Chan) muncul tatkala Dre dikejar samseng itu.

    Mr Han yang kehilangan anak dan isterinya kemudian mengambil Dre sebagai pelajar pertamanya. Melihat keadaan Dre yang sering menjadi mangsa pembulian, Mr Han berjumpa dengan Master Li di perkarangan sekolahnya untuk memberitahu bahawa pelajarnya mencederakan Dre. Sebelum sempat Mr Han keluar, Master Li mengajak Mr Han untuk beradu kehandalan. Permintaannya ditolak. Sebaliknya, Mr Han mempertaruhkan Dre untuk perlawanan itu. Dre yang tidak memahami bahasa Cina itu tidak dapat mengagak apa yang mereka bualkan. Hinggakan setelah keluar, barulah Mr Han menceritakannya.

    Cara Mr Han mengajar anak didiknya bertarung mulanya kelihatan tidak berkesan.

    'Pakai, buka, gantung dan letak di bawah.' Itulah yang sering diulang Dre sebagai langkah persediaan untuk peraduan karate. Namun, di sebaliknya tersirat satu teori cara berkarate.

    Mungkin di kalangan anda sudah mengagak di akhir perlawanan pasti Dre akan menang. Ia memang sesuatu yang dapat dijangka tetapi kesudahannya memang penuh drama. Dapat juga anda saksikan ketabahan dan kecekalan seorang pelajar demi mempertahankan maruahnya.

    Aksi lasak penuh mendebarkan dan juga babak-babak lucu pasti membuat hati anda tergeletek apabila menonton. Lakonan Jaden sebagai watak utama juga tiada kurangnya; sama lucu seperti ayahnya, Will Smith.

    Jackie Chan juga turut membuat anda terpesona. Walau sudah berusia dan meniti usia senja, aksi lasaknya tetap tiada kurangnya. Jackie nampak lebih muda!

    Saksikanlah bagaimana guru ini berjaya mengasuh anak didiknya dalam pertarungan yang juga mengejutkan. Pastinya filem ini penuh dengan kejutan!

    Saturday, 12 June 2010

    Duda 'hot'

    Bukan sombong di Facebook, tidak memilih pengganti Erra

    MR KOOL dan Duda Paling Hot.

    Itulah gelaran yang saya kira 'melekat' benar dengan Yusry Abdul Halim selepas saya bertemu dengannya hampir setengah jam lamanya.

    Banyak perkara yang dikongsinya walau sebelum ini, beliau dikenali sebagai anggota KRU yang paling senyap dan pendiam.

    Yusry, 37 tahun, selesakah dengan jolokan 'Duda Paling Hot' selepas berpisah daripada Erra Fazira?

    'Pada saya, benda tu tak mencerminkan apa-apa. Saya tak pernah menganggap diri saya seorang sebagai duda ke janda ke single atau sebagainya.

    'Saya tak benci atau rasa apa-apa, cuma pandang ringan sajalah, senang kata tak kisah. Kalau awak lihat negara Barat sana, kalau awak ni duda, awak ni single.

    'Pada saya, saya single-lah. Bukan duda. Bukan rendahkan martabat duda atau janda. Tak pula saya rasa geli dengan gelaran tu. Tapi saya rasa semua duda dan janda ni diklasifikasikan sebagai single dan mereka berhak diberi peluang kedua. Kalau dah namanya duda, macam dicap 'tak boleh lagi', gitu!' katanya.

    SIAPA PENGGANTI ERRA?

    'Nak cari pengganti tu memang ada. Saya tak boleh bohong. Ada yang saya cuba-cuba dan mula dating. Tapi saya sibuk dengan kerja. Sampai kadang saya cakap: Kalau you tahan, you tahanlah. Kalau tak, inilah kehidupan saya sekarang ni.

    'Saya benar-benar sibuk dengan kerjaya saya. Itu satu. Kadang-kadang rasa agak rimas apabila ada perhubungan. Yalah... awak nak kena bahagikan antara masa dan kerja kan? Kerja pun banyak, jadi saya rasa agak mengganggulah kalau ada seseorang,' tambahnya.

    Yusry tidak menetapkan sebarang keutamaan dalam memilih pasangan. Kalau dia boleh 'ngam' dengan seorang wanita, itu dikira O.K.

    'Saya bukan jenis yang memilih selebriti sahaja atau jika awak bukan selebriti, saya tak layan. Tiada yang kena mengena dengan kerjaya, penampilan tapi kenalah ambil hati saya. Saya bukannya memilih sangat. Sedap mata memandang, O.K.-lah tu...' jelasnya lagi.

    YUSRY DIAM-DIAM UBI BERISI?

    Kalau anda di luar sana belum kenal dengan si 'Abang Ngah' KRU, beliau ni mempunyai personaliti pendiam.

    Katanya: 'Sebenarnya, itulah bagaimana saya mula dalam dunia seni ini. Memang diam sampaikan kadang nak tengok mata orang pun tak ada konfiden. Tapi sekarang, setelah awak lebih dewasa dan menjadi 'kapten kapal', kadang-kadang, awak kena jadi ketua. Jadi, awak kenalah berenang ikut arus sekali gus kedewasaan itu menjadikan saya seorang yang lebih baik di hadapan orang daripada tempoh masa lalu.'

    Menurutnya, biasanya, beliau dahulu adalah yang paling payah membuka mulut. Kebanyakan masa, interviu media bersama Norman dan Edry.

    Di pentas pula, Yusry susah nak bercakap banyak dan sekadar menyanyi sahaja.

    'Kadang apabila habis lagu, Norman dan Edry sahaja yang cakap. Tapi, setelah masa berlalu dengan saya mengarah, membuat album solo, kenalah cakap,' ujarnya.

    SOMBONG DI FACEBOOK?

    Facebook. Ada sebahagian artis yang dapat kita lihat hampir setiap hari sibuk memberikan maklumat terkini mengenai perkembangan mereka di laman sosial itu tetapi si Yusry ni pula, bukanlah penagih Facebook.

    'Saya ada Facebook tapi saya tak masuk hari-harilah. Saya memang tak 'ketagih' Facebook.

    'Ada jugalah orang yang mengadu saya tak masuk setiap hari. Saya ada bertan-tan kerja nak dilakukan. Jadi, siapa yang faham-faham tu, hantarkanlah pesanan tetapi mereka tidak mengharapkan balasan. Sweet-lah mereka yang buat gitu dan buat saya tersenyum. Kadang-kadang sampai berbulan baru saya kemas kini akaun!' tambahnya.

    Dia akur selebriti sepertinya kadangkala serba salah sebab ramai yang ingin menjadi teman merupakan golongan yang tidak dikenali.

    'Ada selebriti buat akaun peminat dalam Facebook. Ada pula untuk kawan sahaja. Saya tak suka beza-bezakan. Oleh kerana ia merupakan akaun biasa, ia hanya mampu menampung sehingga 5,000 orang saja! Jadi, ada orang yang tak faham bahawa akaun ini batasnya adalah 5,000 orang. Kadang-kadang saya diamkan permintaan peminat, bukan tak nak kawan tapi sebab tak boleh lagi nak terima mereka. Sampaikan ada yang bosan dan hantar mesej, kata yang saya dah hilang seorang peminat... gitu pula,' kata Yusry.

    Justeru, pada anda semua yang belum diterima Yusry sebagai kawan, sabar-sabarlah ya dan faham-fahamlah keadaannya.

    PERKEMBANGAN TERKINI

    Buat masa ini, Yusry sibuk dengan beberapa projek lain. Magika dan Hikayat Merong Mahawangsa (menggunakan bahasa Inggeris bagi separuh dialog-dialognya) adalah yang boleh kita nantikan.

    Khabarnya, filem Hikayat Merong Wangsa ini sudah laku di 25 negara termasuk Britain, Russia dan beberapa negara lagi walaupun hanya menemui anda sekitar September nanti sempena sambutan Hari Raya.

    Bagi yang setakat ingin mendengar suara merdu Yusry, apa kata dapatkan album kompilasi edaran Life Records? Sebanyak 13 buah lagu dan bonus VCD MTV disisipkan dengan lagu-lagu Dr Pakar Cinta, Dekat Pada Mu dan Ucapkanlah. Album ini hanya boleh didapati di Singapura sahaja.

    Thursday, 10 June 2010

    Berkejar-kejaran bersama Putera Parsi

    BERITA HARIAN SG, 3 JUN 2010

    HAMPA atau mungkin bosan kerana filem-filem blockbuster yang anda sering nanti- nantikan akhirnya mengecewakan?

    Tanggapan yang sama tidak harus ada terhadap filem Prince Of Persia: The Sands Of Time ini. Bahkan, suka saya katakan bahawa inilah filem yang patut anda tonton minggu ini!

    Padat dengan aksi yang penuh mendebarkan dan pengembaraan yang tiada hentinya, dua jam di dalam panggung pastinya terasa begitu cepat sekali berlalu.

    Filem arahan Mike Newel ini penuh dengan pengembaraan persis filem Lord Of The Rings, Pirates Of The Caribbean dan Harry Potter.

    Prince Of Persia menampilkan Jake Gyllenhall yang memegang watak sebagai Dastan.

    Dastan merupakan seorang anak yatim piatu yang dipilih keluarga diraja kerana kelasakannya dan ketangkasannya yang dilihat mereka sewaktu meronda-ronda. Bakat Dastan telah dikesan untuk menjadi seorang putera walau dia tiada darah kerabat diraja.

    Raja Parsi yang merupakan ayah angkat Dastan meninggal dunia kerana satu konspirasi. Dastan pula dituduh membunuh ayah angkatnya. Namun, itulah juga masanya si putera bertemu dengan Tamina (Gemma Arterton).

    Dia bertemu dengan Tamina sewaktu menceroboh istana kediaman Tamina. Tamina tidak endahkan ajal bakal menemuinya tetapi hanya badik sakti yang mempunyai kuasa menjadi keutamaannya.

    Pesuruh Tamina diarahnya melarikan jauh-jauh badik itu daripada orang ramai sewaktu Dastan menceroboh kediaman mereka. Sayangnya, kelincahan dan ketangkasan Dastan menggagalkan rancangan melarikan badik itu. Walau bagaimanapun, Dastan tetap tidak mengetahui keajaiban yang ada pada badik itu.

    Pak cik Dastan, Nizam (Ben Kingsley), pula tahu akan keajaiban badik itu. Dastan tidak tahu konspirasi pak ciknya itu, sebaliknya berfikir pak ciknya tidak akan melakukan sebarang tindakan negatif padanya.

    Bermulalah kisah pengembaraan dan kejar-mengejar antara Dastan, Tamina dan juga Nizam.

    Tamina sering meloloskan diri kerana mempunyai satu misi yang dikatakan dapat merubah perutusan bumi atau 'takdir'. Walau sering meloloskan diri, Dastan tetap dapat mengejar Tamina. Nizam pula menggunakan pelbagai cara untuk mendapat badik itu kerana tujuan jahatnya termasuk menggunakan ilmu-ilmu ajaib.

    Terfikir apakah keistimewaan badik itu hinggakan dikejar-kejar? Apa pula nasib mereka? Satu langkah yang bijak dapat merubah 'takdir'. Apakah ia?

    Bahagian terakhirnya penuh dengan elemen saspens dan tidak seperti filem aksi yang lain, Prince Of Persia lebih banyak ciri-ciri menarik yang pasti membuat anda terasa ingin 'diundang' sekali lagi untuk menontonnya.

    Saturday, 5 June 2010

    Hore hore

    BERITA HARIAN SG, 31 MEI 2010

    Abang I bertahan walau tiada niat jadi 'orang radio'

    SUARANYA kedengaran setiap Sabtu dari 6 hingga 10 pagi. Rancangan kendaliannya sentiasa dinanti-nantikan peminat irama klasik Melayu.

    Sejak lima tahun lalu, Hore Hore bergema di ruang udara radio dengan peneraju programnya, Ibrahim Jamil, atau lebih dikenali sebagai IBJ atau Abang I.

    Tahun ini, genap 37 tahun beliau bertugas di stesen radio Warna 94.2FM. Tidak hairanlah apabila beliau menerima Anugerah Pencapaian Cemerlang Sepanjang Hayat sewaktu majlis Anugerah Radio Singapura (SRA) diadakan, beberapa bulan lalu.

    'Saya amat teruja sebab ia bukanlah sesuatu yang saya duga. Sejak Anugerah Radio Singapura diperkenalkan beberapa tahun lalu, saya adalah penerima ketiga anugerah ini.

    'Saya amat menghargainya. Ia membawa pengertian yang besar sekali sebab ia berkaitan dengan penilaian pencapaian dalam kerjaya saya.

    'Ia bagaikan lambang pengiktirifan terhadap segala sumbangan saya bukan sahaja untuk kemajuan diri dalam kerjaya penyiaran saya tetapi juga terhadap segala usaha dan inisiatif selama ini untuk turut memajukan dan memantapkan reputasi Stesen Warna.'

    Begitulah rasa besar hati Ibrahim Jamil sewaktu diwawancara tentang perasaan beliau menerima anugerah berprestij itu.

    Tiada niat jadi 'orang radio'

    Pada awalnya, beliau memang tiada kecenderungan menjadi 'orang radio'. Setelah diberhentikan kerja pada 1972, beliau banyak menghabiskan masanya di laut memancing dan mengail hinggakan nyaris-nyaris mati akbat kolek yang karam.

    'Ayah sayalah yang banyak membantu dalam mencarikan kerja. Macam-macam yang beliau mintakan dan saya hanya tanda tangan setelah beliau mengambil borang, mengisikan butiran dan tampalkan gambar saya.

    'Antara yang beliau ingin saya cuba ialah bekerja di Radio Televisyen Singapura (RTS). Beliau mintakan dua tugas di situ dan kedua-duanya saya dapat,' cerita Abang I.

    Menurut Abang I lagi, setelah tiga bulan bekerja, beliau berasa kekok lantas ingin berhenti. Namun, melihat riak wajah ayahnya yang kecewa dengan hasratnya, beliau terpaksa mengalah dengan kehendaknya dan meneruskan perjuangan di stesen tersebut.

    'Saya cekalkan hati untuk terus bekerja. Di sinilah, titik tolaknya. Saya teruskan belajar dan mendalami segala aspek bidang tugas juruhebah sehinggalah kini menjadi penerbit dan pengacara eksekutif Warna,' katanya lagi.

    Tidak macam suami isteri

    Warna bukan sahaja tempat beliau bekerja, bahkan, di situ jugalah, beliau berjumpa dan berkenalan dengan isterinya yang juga merupakan seorang juruhebah, Suharti Ali.

    Walaupun sudah berkahwin, pasangan deejay ini tetap berlagak profesional hinggakan kawan Abang I pernah mengatakan mereka tidak macam suami isteri.

    'Saya kira dua aspek penting sebelum berkahwin yang dipertimbangkan dengan teliti ialah cabaran dalam pejabat dan di luar.

    'Kalau di dalam pejabat, saya pastikan kita tak libatkan soal peribadi dalam urusan kerja harian. Cabaran dari luar pula lebih hebat. Mana tidaknya? Kita berurusan dengan orang luar. Realitinya, isteri saya ada peminat dan saya pun ada peminat saya sendiri.

    'Bagi mengatasi cabaran ini, kami terpaksa mendisiplinkan diri masing-masing agar bersikap professional. Kami tak mahu campuradukkan tugas dan segala yang berkaitan dengannya dengan hubungan kami. bahkan, sebelum berkahwin lagi, kami sudah berikrar untuk bersikap sedemikian rupa,' sambung Abang I yang telah mendirikan rumah tangga selama 19 tahun.

    Walaupun dari ceritanya, ada yang dengan mudah menyangka pasangan ini seperti tidak begitu mesra, sebenarnya tidak.

    Yang nyata, IBJ sering keluar bersama Suharti pada hujung-hujung minggu seisi keluarga untuk makan di luar. Bahkan, beliau juga tahu yang isterinya gemar menonton filem Indonesia.

    Tidak kedekut ilmu

    Ibrahim Jamil yang sudah berada di industri penyiaran radio sejak daripada zaman piring hitam lagi juga tidak lokek ilmu dalam bidang penyiaran.

    Sempat juga beliau berkongsi tentang bagaimana hendak menjadi seorang DJ yang baik, peralatan yang mereka gunakan, menerangkan fungsi studio serta konti yang mereka ada dan lain-lain lagi. Tentu sekali, tempoh 37 tahun di situ mendewasakan beliau sebagai seorang DJ yang berkaliber.

    Formula kejayaannya?

    'Berusaha sedaya upaya yang termampu dengan mempelajari dan memahami bidang tugas lebih mendalam.

    'Bersedia mengorbankan masa, sanggup balik lambat dan jangan timbulkan anggapan kepada ketua kita yang kita ini adalah seorang pekerja yang sukar untuk ditangani.'


    KENAL-KENAL

    Pelik tetapi benar

  • Abang I jarang sekali makan dengan isterinya, Suharti Ali, di kantin. Katanya: 'Setahun tak sekali.'
  • Di tempat kerja, beliau memanggil Suharti dengan nama 'Suharti', bukan 'sayang' dan bukan 'darling'. Suharti pula memanggilnya IBJ.
  • Pesanan Abang I untuk yang nak jadi DJ

  • Bersedia mengorbankan masa.
  • Suara penting sekali.
  • Kecenderungan dalam bidang seni, bahasa, budaya, muzik dan ehwal semasa.
  • Penguasaan bahasa Melayu yang baik.
  • Daya kreativiti. Bagi yang kurang daya tersebut, asahlah.