Saturday, 30 January 2010

Putri filem seram

BERITA HARIAN SG, 25 JANUARI 2010

Bekas tauke nasi lemak berjaya ke Hollywood dan kian sukses selepas 'dijodohkan' dengan David Teoh

SIAPA kata kalau anda tidak ada latar belakang dalam bidang lakonan, anda tidak boleh menjadi seorang bintang filem? Sebenarnya, itu semua bergantung pada bakat yang dimiliki seperti seorang pendatang baru dalam industri lakonan, Putri Mardiana Zainal Abidin, 29 tahun.

Beliau telah membuktikan bahawa tanpa adanya sebarang latar belakang pun, beliau tetap boleh menjadi seorang pelakon yang berjaya.

Yang terpenting sekali, anda ada bakat dan minat mendalam terhadap sesuatu perkara itu.

Sebagaimana yang dikongsi dengan saya ketika bertemu selepas sidang media anggota Kelab Obor dengan barisan pelakon Santau di pawagam Eng Wah Suntec:

'Sebenarnya, kalau anda ingin tahu, bidang lakonan merupakan satu impian saya. Saya dah lama impikan bidang ini sejak saya sekolah lagi. Dulu-dulu mana ada uji bakat sana sini? Jadi, saya berdiam saja dan membiarkan minat saya macam gitu.

'Tahun lepas merupakan satu tahun yang bertuah buat saya. Saya dapat tawaran dari Kementerian Pelancongan Malaysia dan mereka hantar saya ke Hollywood untuk bertanding di sana. Kemudian saya jumpa 'jodoh' pula dengan penerbit Metrowealth Movies, David Teoh.'

Menurut Putri yang mula dikenal ramai di Malaysia sejak kemunculannya sebagai Nina, isteri yang dirasuki dalam Santau, beliau belum dikenali sewaktu dihantar ke Hollywood.

'Uji bakat dijalankan di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak. Ramai jugalah yang masuk pertandingan itu dan saya berjaya ke peringkat akhir di Istana Budaya, Kuala Lumpur,' ceritanya lagi.

Apabila ditanya tentang perasaannya dipilih mewakili Malaysia ke Road To Hollywood, beliau menjawab:

'Saya rasa macam wow, oh Tuhan! Hollywood... tak sangkanya! Saya ni hanya pendatang baru dan tak dapat nak digambarkan perasaan saya tu macam mana.

'Sewaktu di situ, saya perlu membuat persembahan di hadapan orang-orang filem yang terbilang seperti penerbit Titanic, Armageddon, pengarah-pengarah filem... memang ia merupakan penghormatan bagi saya.'

Santau, dalam pada itu merupakan sebuah filem seram yang meluaskan lagi pintu rezekinya. Putri memainkan watak sebagai Nina yang disantau jirannya, seorang teman baik suaminya yang iri hati dan dengki dengan kejayaan orang lain. Kebetulan, nama timang-timangan Putri juga Nina.

'Itu sebab Abang Zack (pengarah Santau, Azhari Zain) terkejut. Apabila saya beritahu nama saya Nina, dia lari belakang langsir... agaknya macam kebetulanlah nama saya sama dengan nama watak filem itu,' jelas Putri lagi.

Dalam filem itu, beliau bergandingan dengan Esma Daniel sebagai suaminya.

Apabila ditanyakan Esma tentang kebolehan Putri berlakon, pelakon kacak itu berkata Putri memang seorang pelakon yang diberi bakat semula jadi. Biasanya pelakon baru perlukan pengalaman tetapi beliau tidak.

'Kita hanya perlu berikan beliau sedikit tunjuk ajar dan beliau dah boleh dan berlakon dengan baik. Saya amat senang bekerja dengannya dan kami memang memiliki keserasian yang dipanggil chemistry,' ujar Esma.

Selepas kejayaan filem tersebut, Putri, ibu tunggal tiga anak itu menerima lebih banyak tawaran yang datang dari syarikat Metrowealth sendiri, TV3 dan juga Astro.

'Di TV3, anda dapat saksikan saya dalam rancangan Jangan Tegur Lagi setiap Khamis, 9.30 malam. Ia adalah sebuah lagi kisah seram dan anda dapat menyaksikan saya menjadi hantu. Saya nak buat sedikit pembetulanlah, orang ingat dalam filem Santau saya menjadi hantu dan orang tanyalah, kenapa saya jadi hantu lagi. Sebenarnya, dalam Santau, saya bukanlah hantu tetapi saya mangsa santau. Saya tak naklah kalau nanti orang ingat saya ni 'Ratu Hantu' kan!' jelasnya tertawa.

Putri pernah memenangi pingat emas bagi kategori lakonan terbuka serta pingat perak untuk kategori jurucakap contoh sewaktu Kejohanan Dunia Pementasan Seni (WCOPA) 2009 di Los Angles.

Mengimbas balik penglibatannya dalam Santau, beliau selamba menyatakan 'David Teoh agaknya 'gila' jugalah sebab tawarkan saya berlakon filem dulu sebelum drama!'

Namun, kalau tak kerana David, beliau akur tentunya rezekinya tidak melimpah-ruah kini.

Apa betulkah sebelum menjadi pelakon, Putri merupakan tauke nasi lemak?

'Ya, saya berniaga nasi lemak sebanyak 30 hingga 40 paket sehari. Saya suka masak. Jadi, apa salahnya kalau jual nasi lemak untuk menampung perbelanjaan saya? Rezeki halal,' tambahnya lagi, tanpa berselindung.

Doa saya semoga Putri menjadi seorang pelakon yang bersinar di persada dunia hiburan dengan kemunculan Santau.

Tuesday, 26 January 2010

Tidak kering gusi

BERITA HARIAN SG, 25 JANUARI 2010

APAKAH reaksi saya selepas selasai menonton The Spy Next Door? Saya ketawa terbahak-bahak atau kata anak muda hari ini filem ini memang 'kekek gila'!

Filem arahan Brian Levant ini menceritakan tentang Bob (Jackie Chan) yang mahukan kebebasan dalam hidup. Lantas, beliau membuat keputusan untuk berhenti menjadi perisik. Beliau juga mempunyai seorang kekasih, Gillian (Amber Valetta). Suami Gillian meninggalkannya. Anak-anak Gillian pula membenci Bob. Walau bagaimanapun, mereka terpaksa duduk serumah dengan Bob apabila ibu mereka meninggalkan rumah buat beberapa hari.

Bob yang sudah berhenti dari pekerjaannya dipanggil semula untuk meneruskan khidmatnya apabila seorang penjenayah Russia yang dikehendaki terlepas daripada genggaman polis. Hero yang kini melakukan tugas sebagai penjaga kanak-kanak itu cuba menyembunyikan identitinya sebagai seorang perisik.

Bagaimanapun, keadaan memaksa beliau untuk memberitahu. Salah seorang anak Gillian, Ian (Will Shadley) telah tersilap memuatturunkan butiran rahsia yang mengakibatkan penjenayah Russia tersebut tahu tempat kediaman mereka. Bermulalah suatu masalah dan aksi hebat.


Monday, 18 January 2010

Rumitnya Cinta Tiga Segi

BERITA HARIAN SG, 18 jANUARI 2010

ANDA sudah dewasa dan berasa janggal untuk berbual dengan orang tua anda tetapi ingin sesuatu yang boleh dijadikan topik bersembang?

Tontonlah filem It's Complicated. Filem ini memang sesuai sekali untuk anda sekeluarga.

Filem arahan Nancy Meyers ini menceritakan tentang kehidupan Jane (Meryl Streep). Jane merupakan bekas isteri Jake (Alec Baldwin). Beliau sudah dapat menerima hakikat kehidupan tanpa kehadiran Jake yang meninggalkannya demi wanita lain yang lebih muda.

Jane telah membesarkan anak-anak mereka sehingga dewasa. Sewaktu hari tamat pengajian anak mereka, Jake yang telah bertahun meninggalkan Jane muncul semula. Mereka kemudian menjalin hubungan semula bahkan semakin 'intim' apabila makan malam bersama. Jake yang masih beristeri tidak menghiraukan isteri mudanya yang dahulunya dikejar-kejar.

Pada masa yang sama, Jane, ibu tunggal berjaya yang merupakan usahawan kedai roti, bertemu pula dengan Adam (Steve Martin) yang dalam proses perceraian. Entah bagaimana, mereka boleh saling terpikat. Cuma, masalahnya, siapa pula pilihan Jane? Adam atau Jake? Rumit bukan?

Gegar Sukma!

BERITA HARIAN SG, 16 JANUARI 2010

SAY Shava Shava! Salaam Namaste! Haa... Jangan terperanjat. Anda tidak tersilap akhbar. Cuma... Saya tiba-tiba ada mood pula nak jadi orang Hindustan!

Mungkin anda tertanya-tanya kenapa agaknya dengan saya ya? Apa hantu Bollywood dah masuk dalam badan sayakah? Nehi!

Saya baru sahaja menonton pementasan yang diberi nama The Merchants Of Bollywood! Suatu pementasan Bollywood yang paling gah pernah saya lihat ketika ini.

Pementasan muzikal yang telah disaksikan dua juta penonton serata dunia itu menceritakan tentang kehidupan Ayesha (Carol Furtado) dan juga datuknya, Shantilal (Chander Khanna).

Ayesha sudah bosan dengan tarian klasik India dan mahukan sesuatu yang baru dan mahu ke Bollywood. Hasratnya itu dihalang datuknya. Beliau tetap merealisasikan dan meninggalkan rumahnya di Rajasthan dan menjadi seorang yang berjaya dalam industri perfileman setelah melangkahkan kaki ke Bollywood. Kalau anda ingin tahu kesudahannya, anda mesti tonton dan saksikan sendiri serta nikmati keindahan budaya Bollywood itu sendiri.

Sempat saya menemuramah Carol Furtado yang memegang watak utama dalam pementasan ini dan bertanyakannya tentang penglibatannya dalam pementasan ini.

Katanya: 'Saya memang telah lama meminati bidang tarian bahkan sejak kecil lagi, saya sudah mula menari. Saya hanya mula menari secara profesional sejak 10 tahun lalu. Melibatkan diri dalam pementasan ini bukanlah sesuatu yang mudah. Anda perlu sering menukar baju, menjaga masa dan tenaga. Maklumlah, setiap tariannya cukup bertenaga. Ini semua boleh saya katakan sebagai cabaran dalam pementasan ini.'

Apabila ditanyakan tip yang membawa pada kejayaannya membawa watak dengan baik, Carol yang berahsia tentang umurnya memberitahu:

'Saya hanya menjaga stamina saya. Saya telah cuba untuk tidak tercungap-cungap sewaktu saya diberi dialog selepas tarian.'

Menurut Carol yang meminati Michael Jackson, watak yang diberikannya ada persamaan dengan kehidupan sebenarnya. Orang tuanya turut melarang beliau dari menari dan ia mengambil masa yang lama untuk membuat mereka percaya tentang kebolehan Carol.

Pementasan yang berlangsung hingga esok di Teater Esplanade itu memang gilang-gemilang dan gah dengan warna! Bukan itu sahaja. Mereka, bahkan, kreatif benar dalam menghias pentas itu sendiri dan juga pakaiannya!

Baju yang bermanik dan berkilauan jangan cakaplah, bergemerlapan di atas pentas! Ada babak yang bagaikan Power Rangers, ada pula yang bagaikan High School Musical, tidak lupa juga ada babak memandu kereta di atas pentas itu. Selama hampir dua jam ia dipentaskan, kaki anda pasti akan tergerak-gerak mengikut irama dan mahu sahaja menari bersama! Koreografi mereka juga cukup hebat sekali.

Penonton nyatanya memang terhibur dengan pementasan yang mula dipentaskan di Australia itu. Ada yang berdansa dari awal mulanya persembahan itu hingga ia menutup tirai. Mungkin terlalu kuat pengaruh muzik yang dimainkan. Mana taknya? Lagu-lagu yang popular daripada filem-filem Bollywood yang hit dan yang tidak asing lagi seperti dari filem Khabi Kushi Khabie Gham, Salaam Namaste, Kal Ho Na Ho dan bermacam lagi! Tarian yang rancak lagi ligat pasti membuat anda terpesona.

Mereka tidaklah membuat pementasan itu dalam bahasa mereka tetapi bahasa Inggeris. Jadi, buat anda yang ingin menonton The Merchants Of Bollywood, jangan khuatir, anda pasti memahaminya. Sewaktu menontonnya di Teater Esplanade, penontonnya juga bukan dari kaum India sahaja bahkan orang-orang Eropah juga turut hadir sama!

Salah seorang peminat setia Bollywood yang turut hadir bagi pementasan yang hanya ingin dikenali sebagai Cik Khairunnisa, 19 tahun, yang datang dari kawasan timur Singapura berkata:

'Memandangkan saya ni peminat setia Bollywood sejak dulu lagi, tentulah persembahan secara langsung ini lebih menyeronokkan dan cukup memuaskan daripadan menontonnya di TV. Saya amat gemarkan tariannya yang cukup memukau dan mempesonakan! Keseluruhan acara itu memang cukup memberangsangkan tetapi yang paling gerek sekali ialah apabila lagu-lagu kegemaran saya dari cerita-cerita popular turut dialunkan. Rasa macam nak nyanyi sama!'

Pastinya bukan Cik Khairunnisa sahaja yang berpuas hati dengan persembahan itu.

Menurut penganjur, tiket-tiket sudah 75 peratus terjual sejak Selasa lalu. Dan tinggal lagi dua hari sahaja untuk anda membelinya.

Tiket-tiket berharga antara $38 dengan $158 boleh perolehi di kaunter Sistic. Anda nak Dhoom Macahale? Anda nak Shava Shava? Ayuhlah! Cepat dapatkan tiket anda sebelum terlewat!

Sunday, 3 January 2010

Nikmat Sokongan

BERITA HARIAN SG, 31 DISEMBER 2009

Membangkit semangat dengan kata-kata indah dan nyalaan motivasi

North, south, east, west
purple purple is the best!
go purple, go purple, go purple, goooo!!!

HAI... dah nak dekat akhir tahun ni, teringat pula saya sewaktu masih lagi berada di sekolah lama saya iaitu Madrasah Al-Irsyad Al-Islamiah.

Iyalah, teringat sewaktu memasuki salah satu telematch dalam acara Hari Sukan beberapa tahun lalu. Waktu itu saya masih lagi di peringkat rendah, budak-budak 'hingus' lagi dan saya merupakan anggota kumpulan yang diberi nama mengikut warnanya iaitu Ungu.

Sorakan merupakan satu cara untuk kita menunjukkan sokongan. Tak ke begitu? Kalau tidak, takkanlah anda sorak sekuat-kuat alam sewaktu ada Hari Sukan ataupun apabila ada satu persembahan daripada selebriti tersayang anda?

Bukankah pekikan histeria anda itu menunjukkan sokongan anda? Kalau tidak, yang anda terpekik-pekau tu kenapa ya? Perlukan bantuan doktor? He... he... he...

Sokongan. Itulah yang menjadi bahan perbualan pilihan saya kali ini. Kalau tadi saya sudah beritahu anda bahawa sorakan merupakan salah satu daripada cara menyokong, kini, saya akan berkongsi dua lagi cara untuk anda menyokong tetapi sebelum itu, mari kita semak kamus! Masanya untuk dirujuk lagi kepada Kamus Dewan Edisi Keempat!

'Sokong' membawa maksud tiang yang dipasang untuk menyangga sesuatu manakala sokongan pula mempunyai dua maksud iaitu sesuatu yang dijadikan sokong atau yang kedua, perbuatan menyatakan persetujuan dan memberi perangsang dengan atau tanpa bantuan kebendaan. Begitulah maknanya.

Baiklah, seperti yang dijanjikan tadi, saya akan bincangkan dua lagi cara untuk memberikan sokongan.

Apa dia?

Yang pertama sekali, membeli produk yang diminati. Anda minat novel Twilight? Atau New Moon? Atau mungkin siri Harry Potter?

Rasa-rasa sayalah pasti ada segelintir di luar sana yang sanggup membeli dan mengumpul kesemua sirinya. Kenapa ya agaknya? Salah satu sebab mungkin kerana minat membaca dan ingin memperbaiki penggunaan bahasa. Tahukah anda secara tidak langsung, ia menunjukkan betapa anda sudi memberikan sokongan buat penulis novel tersebut.

Sokongan menerusi pembelian produk juga tidak terhad kepada buku sahaja, cakera padat, produk kecantikan dan apa pun jua yang kita beli secara tidak langsung menunjukkan sokongan. Dan, buat anda yang bergelar pelajar, jangan lupalah sokongi pihak Berita Harian dalam penerbitan tabloid GenG dan i³. Beritahulah guru anda untuk melangganinya ya? (He... he... Sempat buat promosi.)

Selain daripada membeli sesebuah produk ataupun bersorak, anda juga boleh memberi nasihat. Sempat juga saya mewawancara dua rakan berkenaan memberi sokongan. Saya beri mereka senario berbeza untuk mereka selesaikan sekiranya rakan mereka menghadapi masalah dan bagaimana cara mereka berikan sokongan.

Senario pertama, gagal peperiksaan. Bersama saya ialah Muhammad Safwan Sofruddin, 17 tahun.

Apabila diminta jawapannya tentang bagaimana dia menunjukkan sokongan terhadap rakannya yang gagal peperiksaan, dia menjawab: 'Mula-mula saya akan ingatkan dia tentang kejayaannya yang lalu. Kemudian tanyakannya macam mana boleh berjaya sebelum itu.

'Jadi, saya akan nasihatkan dia untuk lakukan sepertimana yang dia buat dulu dan menyuruhnya bersabar. Beritahulah dia hidup kita ni macam roda. Sekejap di atas dan sekejap di bawah tapi kita kena berusaha sebaik mungkin baru boleh berjaya,' katanya.

Senario kedua pula ialah putus cinta. Nak tahu apa jawapan seorang lagi yang saya wawancara?

Faris Alfiq, 18 tahun, berkata:

'Saya akan beritahu langsung kepadanya: So what kalau dah putus cinta? Hidup mesti jalan terus. Kan masih muda lagi?

'Banyak lagi benda yang boleh diterokai. Tak perlulah nak nangis-nangis dalam bilik sampai tak keluar makan semua. Tak bermanfaat! Kalau dah putus, putuslah. Kalau duduk dalam bilik seorang diri kemudian nangis tak henti-henti, bukannya boleh pasangan itu datang semula. Mana tahu bekas anda tu dah ada pengganti? Anda pula tercegat menangis! Jadi, bermanfaatkah nak nangis-nangis ni semua?'

Wah! Bagus jawapan anda ya Faris. Saya suka!

Begitulah keadaannya. Kata-kata perangsang juga memainkan peranan dalam memberi sokongan. Sebab itulah ada kalanya kita perlukan bantuan kaunselor dalam memberi kita nasihat.

Tiga cara sudah saya kongsi bersama-sama anda. Mana tahu anda ada cara lain untuk memberi sokongan kepada yang memerlukan.

Dengan terlabuhnya tirai 2009 hari ini, saya mengharapkan 2010 yang lebih indah untuk anda.

Semoga anda akan saling menyokong teman, anggota keluarga ataupun sanak-saudara dalam sebarang usaha murni yang membangkitkan semangat.

Selamat Tahun Baru.

Friday, 1 January 2010

'Say Cheese'... Cis! Jangan tak senyum ya?

BERITA HARIAN SG, 28 DISEMBER 2009

MENJELING mata menjeling. Kemudian, mata bertentang mata, senyuman mula terukir di bibir, meleret hingga ke pipi. Dia membalas senyumanku.

Wajahnya yang ayu dengan lesung pipitnya membuat hatiku lebih terpaut. Perlahan-lahan, jari-jemariku mula mendekati jari-jemarinya. Disentuh tangannya yang lembut bak sutera.

'Bidadari Syurga!' betik hatiku. Tiba-tiba dari jauh aku terdengar suara yang kukenal melaungkan suara harimaunya, 'HARAM OI!!' 'Kantoi! Alamak, mak aku.'

Ha... Ha... Untuk makluman semua, cerita itu tiada kena-mengena dengan yang hidup mahupun yang tiada. Sekadar ingin menambah garam dan gula ke dalam rencana saya kali ini. Kalau benar-benar terjadi seperti di perenggan pertama itu tadi, mungkin, secara kebetulan sahaja.

Meleret pula berbual kali ini. Tebaklah kalau pembaca bijak bestari, apakah yang akan dibincangkan kali ini?

Jelingan dan tentangan mata? Salah. Senyum? Tepat sekali!

Kalau kita lihat pada Kamus Dewan Edisi Keempat, ia membawa pada dua maksud.

Pertama sekali, gerak bibir yang ternaik pada hujungnya yang membayangkan rasa suka tanpa mengeluarkan suara.

Yang kedua pula, menggerakkan bibir hingga ternaik sedikit hujungnya bagi membayangkan rasa suka tanpa mengeluarkan suara.

Rata-rata maknanya hampir sama dalam kegunaannya, iaitu untuk menunjukkan rasa suka tetapi bagi saya, senyuman itu bukan sahaja boleh digunakan dalam keadaan gembira sahaja. Kalau tidak, takkanlah ada yang namanya senyum kambing, senyum sindir dan beberapa kekata lagi. Tak gitu?

Anda tahu senyum? Cuba senyum sikit. Nampakkanlah gigi tu sikit. Sikit lagi boleh? Wah! Cantik gigi emas mak cik! He... He...

Daripada senyuman itu sendiri, kita dapat mengenal peribadi seseorang itu. Adakalanya, kita juga dapat mengecam sama ada senyuman yang diukirnya ikhlas ataupun dipaksa.

Senyum. Adakalanya kita senyum salah. Tak senyum pun salah. Iyalah, apabila kita tidak senyum, orang kata kita hidung tinggi tetapi apabila kita asyik senyum sahaja mereka kata kita gila pula. Susahkan?

Membuat orang senyum memang mudah. Ada yang diberi makan akan tersenyum. Ada yang apabila dapat benda yang percuma akan lebih tersenyum. Saya pula apabila melihat 'si dia' akan tersenyum. (Ya Allah! Cepatkanlah 1 Januari! He... he...)

Anda pernah senyum dengan orang yang anda tidak kenali? Apakah reaksi mereka agaknya ya? Saya pernah.

Ada tu yang membalas balik senyuman saya. Ada pula yang menonong sahaja buat tak tahu. Yang tidak kenal kalau tidak balas senyuman kita, tak rasa sangatlah tapi kalau yang kenal kemudian tidak balas senyuman kita, agaknya berat sangat bibirnya ya?

Paling memalukan ialah apabila di hadapan orang ramai kemudian kita ukirkan senyuman dan mereka buat don't know sahaja. Daripada hendak berbuat amal sedikit dah nanti terngumpat sebab dia tak balas senyuman kita. Aduhai!

Sempat juga saya menemuramah beberapa pelajar berkenaan tajuk ini. Nak tahu apa kata mereka?

Faris Adam, 14 tahun, berkata: 'Apabila melihat orang tersenyum, ia bagaikan satu penawar sedih. Apabila kita muram, orang akan ingat kita stres.

'Bagi saya, kalau nak buat orang senyum senang. Buat kelakar sahajalah. Yang terpenting sekali ialah senyuman itu mesti datang dari hati.'

Seorang lagi pelajar, Nur Fitriah, juga 14 tahun, apabila ditanyakan pendapatnya, menjawab:

'Dengan senyuman itu, kita akan tampak lebih mesra dan orang pun akan lebih mendekati kita. Untuk membuat orang senyum, ada banyak cara dan lain orang mempunyai cara-caranya tersendiri.

'Ada orang akan tersenyum apabila dengar lawak. Ada pula tersenyum apabila diberikan teka-teki atau perkara yang mereka sukai.'

Terakhir sekali, Siti Nasuha, 15 tahun. Apa pula pandangannya ya? 'Senyuman itu sedekah. Ia memberi penampilan yang positif bagi seseorang,' menurutnya, ringkas.

Benarlah kata mereka. Bagi saya sendiri, senyum merupakan sifat lahiriah manusia. Semua orang pasti boleh tersenyum tidak kira yang tua, muda, lemah atau perkasa.

Tak percaya? Cubalah lihat di album-album gambar. Pasti akan ada gambar mereka yang tersenyum.

Sebab itulah, agaknya direka kamera yang mempunyai smile shutter ya? Sejauh ini, pernah anda terdengar kamera yang ada angry shutter atau sad shutter? Tidakkan?

Nak senyum atau tidak, itu terpulanglah kepada anda. Sebaik-baik senyuman tentunya yang lahir dari hati. Senyumlah kerana ia sunnah Nabi dan janganlah tersalah gunakan senyuman seperti perenggan pertama rencana ini ya?

Daripada itu, kalau anda sebagai pembaca terserempak dengan saya, janganlah lupa senyum.

Saya akhiri rencana kali ini dengan satu persoalan, rasa-rasa andalah, apakah perbezaan antara senyum dengan tersengih ya? Cheese!

Monday, 28 December 2009

Siapa bakal digelar Ma'wa Idol kali ini?

BERITA MINGGU SG, 27 DISEMBER 2009

BERDEGAP-DEGUP jantung mereka. Mungkin itulah perasaan setiap peserta yang ingin bergelar Ma'wa Idol.

Tidak. Saya tidak tersalah.

Bukan saya ditugas menulis tentang Singapore Idol yang kemuncaknya bergema di Stadium Tertutup Singapura malam ini.

Sebaliknya, dalam kehangatan melihat siapa pula yang akan ditabalkan sebagai Idola Singapura, rumah kebajikan Darul Ma'wa juga mencari Ma'wa Idol-nya yang ketiga.

Peringkat akhir peraduan ini akan berlangsung di pekarangan rumah di Still Road itu pada 2 petang, Sabtu depan.

Ma'wa Idol bukanlah sesuatu yang baru, tetapi ia sudah bermula sejak 2007 lagi.

Tujuannya sama seperti Singapore Idol iaitu mencari seorang penyanyi yang hebat di kalangan penghuni rumah kendalian Jamiyah itu.

Yang mungkin saya rasa berbeza sedikit ialah sistem pemarkahan mereka. Juga, juara boleh bertanding semula dua tahun selepas kejuaraan mereka manakala tahun selepas kejuaraan mereka itu, mereka diberikan peranan menjadi mentor.

Untuk merebut gelaran Ma'wa Idol ini lebih sukar kerana mereka tidak menggunakan sistem undian kecuali di peringkat akhir. Jadi, semua keputusan setiap pusingan berada di tangan pengadil.

Peserta-pesertanya yang terdiri daripada para penghuni Darul Ma'wa sendiri dipecahkan kepada dua kategori - junior (pelajar peringkat rendah) dan senior (pelajar peringkat menengah). Pengadil mereka juga bukanlah calang-calang orang, termasuk beberapa penyanyi Singapura yang turut diundang seperti Wawan, Zaibaktian, Fyno dan Nana.

Daripada sejumlah 67 peserta yang memasuki pertandingan itu, hanya 25 orang layak ke pusingan suku akhir. Dan mereka yang berjaya untuk ke peringkat suku akhir turut diberi kelas-kelas vokal bagi memantapkan mutu suara mereka.

Setiap peserta juga menerima piala pusingan yang ditaja oleh kumpulan penyedia khidmat pengiring pengantin, Team Impetus.

Bak kata orang, 'kecil-kecil cili padi'. Walaupun pertandingan kecil, hadiah yang menanti juara tetap lumayan.

Juara Ma'wa Idol yang pertama, Taufiq A. Rahman, misalnya berpeluang merakamkan sebuah lagu di studio Luncai Emas milik M. Nasir.

Piala pusingan dan perkakas elektronik juga menanti pemenang.

Hadiah yang lebih menarik itu ternyata menarik minat para penghuni Darul Ma'wa, bahkan, juara dua tahun lalu, Nuraini Kannu, 15 tahun, pelajar Sekolah Menengah Telok Kurau, turut mencuba nasibnya sekali lagi.

'Selain tertarik dengan hadiah, saya juga ingin merebut peluang keemasan ini. Bagi saya, sewaktu saya memasuki pertandingan ini dua tahun lalu, suara saya macam kartun! Jadi, saya nak berikan satu kelainan kali ini,' kata Nuraini.

Peserta, dalam pada itu, bukan sahaja dapat mengasah bakat menyanyi. Selebihnya, mereka dipupuk dengan nilai-nilai murni yang memberi mereka keyakinan tinggi dan membuat mereka lebih berdisiplin.

Rahsul Bahshar, 12 tahun, pelajar Sekolah Rendah Telok Kurau, pula berkata: 'Inilah kali pertama saya memasuki pertandingan adu bakat sebegini. Memang gementar rasanya apabila berada di atas pentas.

'Saya masuk sebab nak tunjuk kebolehan saya menyanyi. Daripada pertandingan ini, saya dapat pelajari kepentingan disiplin.'

Seorang lagi peserta, Muhammad Mahathir Kannu, 14 tahun, pelajar Sekolah Menengah Broadrick, berkata: 'Pertandingan ini buat saya lebih yakin diri. Saya juga kini memiliki gaya penampilan di pentas atau showmanship. Saya memang suka sangat menyanyi dan sewaktu pertandingan peringkat lalu, saya mendendangkan lagu Spider, Rela Ku Pujuk.

Muhammad Mahathir, adik kepada Nuraini, menambah: 'Walaupun kakak saya pernah menjadi juara, saya rasa saya boleh mengalahkannya. Kelas vokal turut membantu tapi saya perlu terus berlatih.'

Sunday, 27 December 2009

Dunia khayalan yang realistik


BERITA HARIAN SG, 21NOVEMBER 2009

ANDA sudah penat berada di permukaan bumi ini dan mahukan sesuatu yang berbeza? Mengapa tidak anda mengembara ke Planet Pandora bersama-sama Avatar dan juga kaum Na'vi?

Avatar - inilah filem yang dinanti-nantikan menjelang 2010. Apakah 'avatar' itu, sedangkan ia sering terpampang pada skrin komputer si pencinta setia permainan komputer?

Dalam filem ini, ia merupakan ciptaan saintifik dengan kemudahan teknologi yang membentuk manusia menjadi seperti manusia tetapi lebih tinggi dengan badan berwarna biru, telinga yang lebih panjang juga ekor seperti cicak di belakangnya.

Avatar ini juga adalah sebuah rekaan untuk hidup bersama-sama dengan kaum Na'vi berbekal sebuah misi.

Secara umum, filem ini menceritakan tentang Jake (Sam Worthington) yang dipilih untuk menjalani program Avatar. Grace (Sigourney Weaver) meragukan kebolehan Jake yang menggantikan tempat abangnya yang telah meninggal dunia dan sepatutnya menyertai program Avatar ini.

Grace merupakan mentor Jake dalam program itu. Mereka tinggal di dua alam - alam dunia yang biasa dan alam kehidupan Na'vi.

Di Pandora pula, Jake bertemu dengan Neytiri (Zoe Saldana) yang merupakan kaum Na'vi asli di planet itu. Jake ditangkap keluarga Neytiri kerana kekhuatiran keluarganya akan niat Jake untuk merosakkan keharmonian kehidupan mereka. Bagaimanapun, ibu Neytiri berasa bahawa Jake tidak seperti yang mereka jangkakan. Jake kemudian diajar kaum Neytiri tentang cara kehidupan mereka di situ yang merangkumi bahasa dan budaya Na'vi itu sendiri.

Seperti dalam filem-filem lain, Neytiri dan Jake mula jatuh hati dan tidak bertepuk sebelah tangan.

Apabila Jake dan Grace gagal berbincang dengan kaum Na'vi, Colonel Miles (Stephen Lang) mula berang kerana merasakan misinya menghantar mereka berada di ambang kegagalan.

Beliau kemudian mengarah askarnya untuk menyerang Pandora. Alam yang serba indah itu kemudian hancur setelah dimusnah jentera-jentera dan jet-jet berteknologi tinggi. Kesunyian dan keindahan Pandora ranap dan musnah. Neytiri berasa cukup hampa dengan Jake kerana tidak memberitahunya tentang rancangan yang akan terjadi itu.

Ingin tahu misi sebenar mereka menawan Pandora sehingga menghantar Jake dan Grace? Dan dapatkah Pandora diselamatkan daripada kehancuran Colonel Miles yang tiada belas simpati? Bagaimana pula kesudahan kisah cinta Neytiri dan Jake?

Semuanya dapat anda ketahui bila anda menonton Avatar di pawagam. Filem lebih dua setengah jam ini memang tidak membosankan dengan aksi yang sarat lagi hebat.

Apabila anda menonton filem tiga dimensi (3D) ini, anda terasa seakan benar-benar dibawa ke alam Planet Pandora. Anda terpesona dengan setiap ciptaan yang bergemerlapan di layar. Tumbuhan dan binatangnya jauh beza. Ia memang filem yang sesuai untuk pengamat biologi dan ekologi. Anda pasti berasa tidak putus-putus ingin mengetahui terus apakah binatang-binatang dan tumbuhan yang bakal muncul satu persatu.

Grafik yang menarik dan kelihatan lebih hidup membuat anda seperti mengembara bersama-sama dengan Avatar dan kaum Na'vi itu sendiri.

Syabas kepada James Cameron, pengarah Titanic kerana sekali lagi membawa penonton 'tenggelam' dalam dunia khayalannya yang realistik.

Friday, 25 December 2009

Juara niaga

BERITA HARIAN SG, 21 DISEMBER 2009

Belia gerakkan kereta sorong barangan Krismas untuk orang ramai


PERNAHKAH anda nampak sekumpulan pelajar melakukan perniagaan mereka sendiri di Causeway Point beberapa bulan lalu?

Sambil menimba pengalaman, mereka juga merupakan peserta Cabaran Kereta Sorong Kebangsaan, satu inisiatif murni Politeknik Republic dalam menggalak pelajar memupuk semangat usahawan.

Peraduan ini bertujuan memberikan pendedahan dan kemahiran kepada peserta untuk menceburi bidang perniagaan.

Ini merupakan kali ketiga acara sebegini diadakan.

Diminta mengulas tentang peraduan ini, wakil penganjur, Encik Leslie Sim, berkata, peraduan tahun ini menawarkan kelainan.

'Antara yang ditambah ialah penggunaan tema. Kali ini, terdapat lima tema iaitu warisan, kebangsaan (apa yang unik bagi sesebuah negara), Hari Krismas, mesra alam dan peralatan rumah.

'Selain itu, ada juga anugerah baru yang diberi nama Khidmat Pelanggan Terbaik,' katanya.

Seramai 85 peserta dari 15 sekolah serata Singapura telah menyertai acara yang dikenalkan sejak 2007.

Setiap kumpulan dinilai mengikut beberapa kriteria seperti bagaimana mereka mendekati pelanggan, pengetahuan tentang produk yang dijual, imej yang baik, memanfaatkan sepenuhnya peluang jualan dan juga gerak tubuh dalam mendekati pelanggan.

Daripada lima kriteria tersebut, Sekolah Menengah Jurongville telah berjaya memikat hati pengadil sehingga dinobatkan sebagai juara bagi acara tersebut.

Bukan setakat gelaran juara sahaja yang mereka dapat bahkan mereka juga menerima Anugerah Pilihan Penonton, di mana pelanggan telah mengundi mereka bagi melayakkan diri untuk mendapat anugerah tersebut.

Ketika dihubungi, ketua kumpulan tersebut, Muhammad Al-Hafiz Hosni yang juga ketua pancaragam di sekolahnya berkata:

'Kumpulan kami telah menjual arca belon yang harganya tidak melebihi $5. Belon itu telah dibentuk menjadi bunga, watak Elmo dari Sesame Street dan macam-macam lagi mengikut tema yang telah kami pilih iaitu Krismas. Kami memilih tema tersebut kerana kami percaya bahawa memintal belon itu memberi kebahagiaan dan Krismas juga membawa simbol kebahagiaan.

'Setelah menjalani acara ini, banyak sebenarnya yang dapat diraih, baik dalam peraduan ini mahupun program pendidikan usahawan.

'Saya berasa lebih berkeyakinan diri di depan khalayak ramai, tidak senang putus asa, menghormati pembeli dan juga sesama kami.'

Mereka, jelasnya, juga mempelajari cara merancang perniagaan, melakar strategi dan banyak lagi kemahiran.

Muhammad Al-Hafiz yang bercita-cita untuk menjadi seorang pereka hias dalaman menambah kumpulannya mendapat idea tentang cara membuat arca belon itu selepas diajar guru-guru mereka untuk membentuknya dengan pintalan kreatif.

'Saya juga turut mempelajari kemahiran memintal belon ini di laman YouTube. Banyak sokongan dan dorongan sebenarnya diberi kepada kami oleh guru, ibu bapa dan juga teman-teman.

'Dari itu saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada sekolah kami kerana memberikan kami peluang, tidak lupa juga guru-guru seperti Cik Lim, Encik Tan, Encik Wong dan Cik Yee serta ibu bapa kami yang memahami kami apabila pulang lewat dari sekolah,' katanya lagi.

Nyatanya, penyertaan Muhammad Al-Hafiz yang meminati kartun Spongebob membawa tuah bagi kumpulannya.

Mereka sekumpulan memang tidak menjangkakan kemenangan, bahkan, menurut beliau apabila mereka mendapat keputusan, mereka menangis kegembiraan kerana merasakan usaha mereka berbaloi.

Encik Sim yang merupakan pengurus kanan perniagaan di Politeknik Republic, dalam pada itu, menyatakan bahawa peserta tahun ini jauh lebih baik daripada tahun lalu.

'Mereka lebih berdaya saing dan juga inovatif serta kreatif dalam mencipta atau mengubah suai sesuatu produk itu,' ujarnya.

Apabila diminta memberi komen tentang kemenangan Sekolah Menengah Jurongville pula, beliau menambah:

'Antara yang dapat dilihat dari sekolah itu ialah mereka sering bekerjasama dan bersatu hati dalam perniagaan mereka. Itu merupakan antara faktor yang memikat hati pengadil sebenarnya,' katanya lagi.

Peraduan perniagaan sebegini seharusnya digalakkan sejak kecil lagi, bahkan, sebolehnya dimulakan dari alam tadika lagi kerana ia membantu dalam pemahaman matematik secara tidak langsung.

Apa pun, syabas buat Sekolah Menengah Jurongville atas kejayaan mereka!

Monday, 21 December 2009

Nikmat bikin filem

BERITA HARIAN SG, 21 DISEMBER 2009

Pelajar Singapura atasi 'karyawan' media lain dalam peraduan serantau

HANYA karyawan televisyen saja yang pandai buat video? Nanti dulu. Jangan terlalu mengongkong pemikiran anda. Tahukah anda bahawa ada di antara pelajar yang berusia 10 hingga 15 tahun juga berkebolehan sepertimana orang-orang di stesen televisyen?

Peraduan anjuran Panasonic yang diberi nama Kids Witness News (KWN) berjaya mencungkil bakat-bakat muda-mudi dalam pembikinan video. Mereka diminta merakam video selama lima minit mengikut tema 'Negaraku, Budayaku' atau 'Sukanku dan Alam Sekitar'.

Membuat video memang bukan sesuatu yang mudah. Anda harus pandai bermain dengan tetikus anda. Apa yang saya rasa paling sukar dalam membuat video ialah anda perlu membuat pelbagai suntingan.

Takkanlah nak sisipkan babak di mana kelihatan air liur anda meleleh atau anda sedang bersin? Lainlah kalau anda menyiapkan video adegan- adegan yang tidak mahu dilihat atau bloopers!

Saya berkesempatan menemui para pemenang KWN di Auditorium STI, Capital Tower, baru-baru ini.

Lebih menggembirakan apabila saya mendapat tahu bahawa pasukan Sekolah Menengah Jurong juga ditabalkan sebagai juara serantau KWN, menyaingi pasukan-pasukan dari Malaysia, Indonesia, New Zealand, Vietnam, Thailand dan Australia.

Pemenang Anugerah Pembikin Filem Muda, Ian Goh, 10 tahun, murid Sekolah Rendah Pasir Ris, berkata:

'Saya memang telah bekerja keras. Kami mengambil masa selama tiga hingga empat bulan. Sebab nak elakkan daripada bertembung dengan peperiksaan, kami habiskan video ini sebelum peperiksaan. Proses menyiapkan video ini memang menyeronokkan sebab saya dapat belajar cara menyunting video. Saya terperanjat apabila menang anugerah ini. Apa pun, saya nak ucapkan terima kasih kepada guru saya, Encik Faiz dan Cik Bavani.'

Pemenang Penyampai Terbaik, Janet Catherine Stalin, pelajar Sekolah Menengah Canberra, 15 tahun, pula menambah:

'Membuat video memang mencabar terutama bab mencari idea. Sewaktu pembikinan video itu terdapat sedikit masalah dan kami sekumpulan memang cukup tertekan.

'Mujurlah ada guru kami, Dr Nizam. Beliau sering membuat kami tersenyum lebar dan ketawa di saat kami sedang murung. Sesuatu yang berharga yang saya kira kami sekumpulan pelajari daripada peraduan ini ialah untuk tidak berputus asa. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada anggota kumpulan saya dan juga Dr Nizam.'

Kumpulan Janet menghasilkan video mengenai perlumbaan F1. Video tersebut menyingkap kisah belakang tabir perlumbaan itu, bagaimana satu kumpulan itu terpilih sebagai pemenang, memahami perlumbaan F1 secara asas dan pelbagai aspek lain yang bersangkutan dengannya.

Guru aktiviti kokurikular (CCA) mereka, Dr Mohammad Nizam Abdul Kadir, yang turut dipilih sebagai pemenang kategori Anugerah Pemudah Acara Terbaik, mengulas:

'Daripada acara sebegini, saya dapat lebih mengenali pelajar-pelajar saya. Guru biasanya mengajar di hadapan dan tidak tahu perihal seseorang pelajar secara mendalam tetapi bagi saya, sekarang ini, saya lebih mengenali anak didik saya.'

Guru CCA yang mempunyai ijazah kedoktoran dalam bidang teknologi maklumat itu menambah:

'Sewaktu pembikinan video ini, memang ada masalah yang agak rumit. Pelajar saya semua seperti berputus asa. Ada juga yang menangis. Saya telah memberikan mereka kata-kata perangsang dan akhirnya mereka tidak lagi berputus asa.

'Bagi guru-guru yang belum menyertakan pelajar mereka dalam KWN ini, saya syorkan anda melibatkan mereka dalam kembara yang menyeronokkan ini kerana anda dapat mengenal hati budi pelajar anda.'

Pasukan Sekolah Menengah Jurong cukup bertuah. Mereka telah pun diundi daripada 47 penyertaan dan terpilih sebagai pemenang klip video terbaik.

Klip video mengenai basikal lipat menyentuh manfaat penggunaan basikal lipat dan bagaimana ia mesra alam.

Mereka terbukti inovatif kerana setelah mewakili Singapura dalam peraduan KWN peringkat serantau, kemenangan tetap jatuh di tangan mereka.

Mereka juga akan disertakan dalam Peraduan Sejagat KWN Grand Prix 2010.

Syabas kepada Choo Yi Xuan, 14 tahun, Abdul Aziz Ishak, 15 tahun, Nurul Huda, 14 tahun, Tiara M Hamarian, 15 tahun, dan Nurdiyanah Atiqah, 14 tahun.

Mereka dibimbing Encik Lam Chee Leong. Keistimewaan klip video ini ialah ia berupaya menyampaikan isu basikal mesra alam ini dalam sudut infohiburan - daripada seorang pengguna MRT menceritakan tentang pengalamannya, ia langsung menjurus ke arah keprihatinan awam tentang pencemaran.


SENARAI PEMENANG

Peringkat Singapura

*******************

Penerbitan Terbaik: Sekolah Menengah Jurong

Kandungan Pendidikan Terbaik: Sekolah Menengah Jurong

Kesan Suara Terbaik: Sekolah Menengah Canberra

Suntingan Terbaik: Sekolah Menengah Jurong

Penyampai Terbaik: Sekolah Menengah Canberra

Anugerah Pembikin Filem Muda: Ian Goh, pelajar Sekolah Rendah Pasir Ris

Anugerah Pemudah Acara Terbaik: Dr Mohammad Nizam Abdul Kadir, Sekolah Menengah Canberra

Peringkat Serantau

*******************

Juara Serantau: Singapura

Skrip Terbaik: Australia

Konsep Terbaik: Malaysia

Videografi Terbaik: Vietnam

Suntingan Terbaik: Indonesia

Bunyian Terbaik: Thailand

Penyampai Terbaik: New Zealand

Thursday, 17 December 2009

Mencipta lagu dengan PSP

BERITA HARIAN SG, 14 DISEMBER 2009

INGIN mencipta rentak muzik sendiri tetapi tidak tahu atau sukar memainkan alat muzik? Jangan putus asa! Beaterator, permainan PSP penyelamatnya.

Beaterator berupaya meniru alat muzik sejagat seperti gitar, dram, piano dan banyak lagi. Mungkin anda tertanya-tanya bagaimanakah pula dengan tempo, kord dan nadanya - apakah ia boleh diubah sepertimana alat-alat muzik yang sebenar diubah? Jangan takut. Semuanya boleh dilakukan.

Permainan yang diterbitkan oleh Timbaland yang popular dengan lagu Apologize dikatakan boleh meniru hampir 99 peratus gaya alat muzik sebenar.

Pada mulanya saya bermain permainan ini, ia agak rumit dan mengelirukan tapi setelah beberapa kali mencuba, barulah saya dapati ia senang untuk dimainkan. Boleh ketagih tau main permainan ni! Saya ada juga cuba-cuba juga untuk mencipta rentak tetapi tidak menjadi-jadi. Lain pula bunyinya.

Permainan ini mempunyai dua peringkat - asas dan lanjutan. Bagi peringkat asas, ada bantuan cetak irama - anda hanya perlu ikut dan sambungkan. Bagi peringkat lanjutan pula, anda harus mulakan segalanya dari asas.

Permainan ini amat sesuai untuk pencinta muzik dan penggubah lagu kerana potensinya yang besar.

Nampaknya, tidak lama lagi kuranglah orang beli alat-alat muzik sebab sudah ada Beaterator. Permainan ini adalah yang pertama kali dikeluarkan syarikat pembikin permainan.

Mana tahu kalau-kalau sambutan hangat diberikan, maka ada pula permainan susulan, Beatarator 2 yang akan memasukkan sekali bunyian alat muzik Melayu seperti gambus, gong dan kompang.

Bagaimana Timbaland? Datanglah ke Singapura atau Malaysia... terapkanlah khazanah kami ke dalam permainan anda itu. -- Oleh ABDUL RAUUF MASKHAZIN

Monday, 14 December 2009

Jangan cuba-cuba

BERITA HARIAN SG, 14 DISEMBER 2009

Cap orang, gila kuasa dan lupa diri bukan caranya, brader...

Jangan... cuba...merayu lagi
takkan kuulangi bertemu denganmu
jangan... cuba...menggoda lagi
Takkan kuulangi bercinta denganmu

EWAH... ewah! Ramlah Ram pula kali ini! Dah lama tak tulis ruangan ini, berdangdut pula saya kali ini. He... he... Rasa-rasanya apa pula nak dijadikan bahan bual kali ini ya?

Cara bagaimana nak bercinta? Atau macam mana cara terbaik untuk menggoda? Isy! Tidaklah. Takkanlah saya sejahat itu.

Baiklah, sebab tak nak buang masa dan ruang rencana, saya bilanglah ya. Rencana kali ini akan membincangkan tentang perkataan 'jangan' dan apa yang bersangkut-paut dengannya.

Mungkin datangnya inspirasi bila melihat banyak filem yang menggunakan perkataan 'jangan' sebagai tajuknya seperti Jangan Pandang Belakang, Jangan Pandang Belakang Congkak, Bohsia Jangan Pilih Jalan Hitam dan lain-lain lagi.

Dengan itu, tercetuslah pula ilham untuk saya menggunakan perkataan 'jangan' sebagai bahan perbualan kali ini. Telah saya keluarkan tiga pecahan untuk dibicarakan. Siapa tahu boleh jadi tajuk filem Ahmad Idham ke, Yusof Haslam ke, Steven Spielberg ke... (Alahai...berangan sajalah, Rauuf. Yang penting ada aspirasi tinggi. He... he...)

#1: Jangan Cap Orang

'Tatu? Alah ni mesti kes budak terbiarlah tu...' atau... 'Eh, mudanya mak dia! Confirm anak luar nikah yang dia sedang pimpin...' atau 'Budak ni memang 'penyangak' dekat sekolah. Aku rasalah memang dia yang curi barang kau!'

Kalaulah anda ada fikiran sebegitu, saya terus terang katakan dengan anda: 'Siapalah anda nak cap orang? Bagus sangatkah diri anda?'

Lumrahnya, kita sering mengecap orang sembarangan. Saya juga tidak terkecuali. Apabila ada tatu saja, mesti orang jahat. Apabila pimpin anak dan ibunya muda saja, gerenti anak luar nikah. Apabila buat jahat sekali saja, dalam hati dikatakan orang itu selalu akan buat jahat.

Sebenarnya, siapalah kita untuk menghitung orang sembarangan? Hitungilah diri anda sebelum anda dihitung. Siapa tahu mereka telah berubah dan insaf setelah peristiwa hitam itu terjadi? Siapa juga tahu kalau-kalau setelah mereka berubah, keadaan mereka akan lebih baik daripada kita?

JANGAN GILA KUASA

'Buat itu!' 'Buat ini!' 'Lepas dah habis yang itu, habiskan yang ini pula.' Tekalah dialog siapa? Bos? Betullah tu agaknya.

Ahhh... Jangan gila kuasa! Ingatlah, sebelum anda jadi bos, anda mungkin seorang kuli. Kalau pun bos anda pernah membuli anda, takkanlah nak balas yang serupa seperti yang diperlakukan terhadap diri anda sendiri suatu masa dahulu? Apakah perasaan anda bila mana anda dibuli? Terasa kecil bukan diri anda?

Bukan sahaja orang dewasa yang boleh gila kuasa seperti bos, guru dan lainnya. Pelajar juga boleh gila kuasa! Aik! Ada ke? Adalah. Ketua pelajar sebagai contoh atau pengawas. Mentang-mentang dia ketua, macam-macam dia boleh arahkan. Kadang tu, apabila tak nak buat nanti dia katakan, 'Kalau kau tak nak buat, aku bilang cikgu!' Isy... Ni dah masuk kes ugut ni. Tak gitu?

Apa pun, anda sebenarnya patut mensyukuri nikmat kelebihan anda yang dikurniakan Ilahi sehingga mendapat tempat yang lebih tinggi daripada yang lainnya. Janganlah gila kuasa. Sedarlah, jika anda yang berkuasa, ada yang lebih berkuasa daripada anda. Keadilan dan kesaksamaan patutlah diserapkan dalam diri anda. Barulah nanti disayangi ramai. Boleh?

JANGAN LUPA ILAHI

'Ho! Ho! Ho! Aku kaya!!! Duit aku makan sepuluh keturunan pun tak habis!'

Aik bang, konfiden nampak? Ha... ha... Ingat tak, 'kun fayakun' atau '(Bila Allah kata) jadi, maka jadilah'? Janganlah konfiden sangat sampai kata sepuluh keturunan makan pun tak habis. Siapa tahu kalau-kalau harta anda dicurikah? Atau anda jatuh mufliskah? Ingatlah Tuhan. Syukurilah nikmatnya.

Sebahagian daripada kita yang bila senang lupa pada Tuhan tetapi apabila susah barulah nak dicari Tuhan. Ini bukanlah direka-reka tetapi kebenaran. Apabila kita sihat, kita seakan lupa pada Tuhan. Agaknya, ada hikmahlah apabila penyakit diciptakan. Iyalah, apabila kita sakit saja, berkali-kali kita sebut nama Tuhan.

Dalam kita tidak perasan, kita ada juga waktu lapang walaupun ada kalanya sibuk dengan tugasan seharian. Sewaktu dalam perjalanan ke tempat kerja ataupun ke sekolah, berzikirlah. Sekurang-kurangnya, dapat juga pahalakan? Senangkan nak dapat pahala sebenarnya?

Sebenarnya banyak lagi perkara yang boleh dimasukkan dalam kategori 'jangan'. Kerana keterbatasan ruang dan ilham yang belum sampai, lain kali sajalah saya sambung ya? Dari itu, saya akhiri dengan serangkap lagu yang saya karang mengikut rentak lagu Selamat Jalan Romeo di awal rencana tadi.

Jangan cap orang sembarangan
Mahukah anda dicap macam tin longan?
Jangan gila... jangan gila kuasa.
Nanti ramai tidaklah suka pada anda.
Jangan lupa pada Ilahi Rabbi.
Ajal kita entah bila datang nanti.

Monday, 7 December 2009

Serangan zombi menjadi-jadi

BERITA HARIAN SG, 7 DISEMBER 2009

INGAT lagi filem Zombi Kampung Pisang? Sekarang ini, ada versi Inggeris pula. Bukanlah diterjemah bahasanya atau ada sari kata tetapi ia menceritakan tentang zombi. Watak dan jalan ceritanya berbeza sekali.

Zombieland adalah filem arahan Ruben Fleischer yang mengambil masa sekitar sejam setengah. Jalan ceritanya mudah sekali dan dipenuhi dengan unsur komedi yang akan membuat anda tidak kering gusi!

Tak ke kelakar apabila melihat si zombi mematahkan tulang manusia dan membuatnya kelihatan macam sup tulang di Beach Road sampai disedut sumsumnya?

Nasihat saya: Kalau anda hendak makan bertih jagung, jangan lupa beli air sekali. Takut-takut apabila anda terperanjat nanti terbegik pula!

Aksinya juga banyak yang memeranjatkan. Bayangkan sewaktu anda di tandas, tiba-tiba zombi muncul di bawah pintu. Tak ke terperanjat beruk dibuatnya?

Secara ringkasnya, ia menceritakan tentang kehidupan Jesse Eisenberg sebagai Columbus yang menyangka bahawa dia seorang sahaja yang terselamat daripada cengkaman zombi.

Dia turut berkongsi sama undang-undang supaya tidak menjadi zombi dan juga untuk mengelakkan diri daripada zombi kerana apabila zombi itu gigit sahaja, yang lain akan menjadi zombi!

Columbus mahu pulang ke Columbus, Ohio untuk mengetahui khabar ibu bapanya - apakah mereka masih hidup atau tidak. Malangnya, dia terjebak dalam kemalangan dan berjumpa pula dengan Tallahassee (Woody Harrelson). Dia mengagak itu adalah zombi tetapi Tallahassee adalah manusia juga.

Mereka berdua singgah ke sebuah kedai sewaktu perjalanan mereka dan bertemu dengan adik beradik penipu iaitu Wichita (Emma Stone), kakak kepada Littel Rock (Abigail Breslin).

Mereka berdua memang kaki penipu sehinggakan kereta yang Columbus dan Tallahassee naiki dirampas beberapa kali. Mereka berempat kemudian bertambah akrab.

Kemudian, mereka ke rumah Bill Murray untuk berehat setelah lama perjalanan. Keesokan harinya pula, Wichita membawa Little Rock ke taman tema Pacific Playland di mana zombi dikatakan tidak wujud di situ.

Columbus dan Tallahassee ditinggalkan tanpa disedari. Columbus yang mula jatuh hati dengan Wichita tidak mahu berjauhan dengannya.

Di Pacific Playland itu pula, memang tiada zombi kerana taman bertema itu gelap. Namun, setelah adik beradik penipu itu menggerakkan kesemua permainan di situ, ia menjadi tarikan kepada zombi-zombi yang tertarik pada cahaya di taman bertema itu.

Apakah nasib Wichita dan Little Rock? Adakah dua jejaka tersebut sanggup menyelamatkan mereka walaupun dikelentong banyak kali? Ingin tahu? Jangan lupa menyaksikan filem yang memang baik untuk anda yang terlalu stres kerana banyak adegan komedi!

Mula tidak rela, selepas itu suka

BERITA HARIAN SG, 7 DISEMBER 2009

BAGAIKAN tidak percaya apabila nama pasukan mereka diumumkan. Maklumlah, pada awalnya, mereka seakan terasa dipaksa menghadiri kem tersebut.

Begitulah gelagat empat sekawan dari Sekolah Menengah Fuhua, Nadinatul Naqiah Azman, Nur Diyanah Azmi, Siti Nasuha Abdul Karim dan Syahirunnisa Mahadi, kesemuanya 15 tahun, di hari terakhir Kem Obor.

Bagaimanapun, nasib tentunya menyebelahi pasukan yang begitu ghairah dan bersemangat sepanjang sesi tiga hari itu.

Mereka dinobatkan sebagai naib juara dengan Siti Nasuha terpilih sebagai Editor Terbaik kerana kerancakannya bersuara dan berkongsi tentang konsep laporan pasukannya.

Berikut adalah sekilas interviu saya bersama mereka.

Soalan (S): Apa pendapat anda tentang acara ini, ya? Syahirunnisa, sila jawab.

Syahirunnisa (SY): Kem Obor memang menyeronokkan! Saya dapat buat ramai kawan-kawan baru.

S: Apa pula agaknya cabarannya?

SY: Kami sekumpulan tinggal di kawasan Jurong tetapi disebabkan waktu singkat, kami tidak boleh berjumpa untuk berbincang tentang peraduan ini tetapi dengan kemudahan teknologi, kami menggunakan MSN untuk berhubung.

S: Nadinatul, dengar cerita mula-mula kumpulan anda tak mahu hadirkan diri? Betul ke?

Nadinatul (N): Betul. Sebenarnya kami macam seram gitu. Lagi pun, kami memang jenis yang kurang gemar berkawan atau tidak sosial sangat. Tapi kawan kami cakap best. Jadi, pergi ajelah.

S: Apa pendapat anda tentang Body Worlds?

N: Saya seorang pelajar Biologi. Jadi, lawatan itu memang bermakna dan kami dapat juga tahu anggota badan dengan lebih mendalam dan bagaimana ia diawet.

S: Nasuha, apa yang awak pelajari daripada kem ini?

Siti Nasuha (SN): Oh, bagi saya, kalau dah ditetapkan satu tugasan untuk kita, janganlah tukar-tukar peranan. Kekalkan sajalah peranan yang ditetapkan. Saya belajar bagaimana untuk bersama-sama bersatu dalam melakukan sesuatu tugas dan supaya tidak terlalu panik kalau ada masalah.

S: Khabarnya ada masalah sewaktu pembikinan akhbar. Ada gaduh-gaduh? Betul ke?

SN: Memang sewaktu itu kami ada masalah teknikal. Ada bahan untuk akhbar itu lesap. Jadi, kami dah mula panik. Tapi, Alhamdulillah, dapat diselesaikan. Kalau gaduh-gaduh tu, tak sampailah tumbuk-tumbuk atau tarik rambut. Kami cuma tak berapa setuju dengan sesetengah perkara tetapi ia dapat diselesaikan apabila tujuan kami semua sama iaitu untuk memenangi peraduan ini.

S: Diyanah, selain daripada membawa pulang hadiah, apa lagi yang lebih penting yang anda bawa?

Nur Diyanah (ND): Yang lebih penting ialah belajar bagaimana hendak menjadi kreatif dan bersabar jika ada masalah. Lihat dari satu sudut yang positif dan jadilah seseorang yang berfikiran positif walaupun dalam masalah.

S: Terakhir sekali, nak ucapkan terima kasih buat sesiapa?

ND: O.K. kami nak ucapkan terima kasih buat guru kami iaitu Cikgu Rohana Ismail dan juga Cikgu Faizal Jasman. Tidak lupa juga keluarga kami dan diri kami sendiri.

Dibuang Jangan

BERITA HARIAN SG, 7 NOVEMBER 2009

'ANDA nak pokok? 'Saya' nak beri anda ni. Betul. Ini bukan kelentong. Tapi, 'saya' ada permintaan sedikit. Itu pun kalau anda dapat tunaikan. Anda boleh dapat pokok di Indonesia. Anda rasa jauh sangat?

'Tak perlu khuatir. Anda boleh melihatnya di Internet. Jadi, apa lagi yang ditunggu? Takkan tunggu bulan jadi biru? Bolehlah ya, tunaikan permintaan 'saya'?'

Agak-agak anda siapakah 'saya' yang merayu-rayu tadi ya? Bukan saya tetapi 'saya'. Mungkin anda sudah bingung sekarang kan? Tak mengapa.

'Saya' yang dimasudkan di sini ialah... telefon bimbit. Telefon bimbit boleh dikitar semula? Tak meletupkah? Jawapannya ada di rencana ini.

Dalam era serba moden ini, bukan sahaja botol-botol plastik, gelas atau surat khabar sahaja yang boleh dikitar semula. Bahkan dengan adanya teknologi canggih, segala yang akal kita rasa pelik juga dapat direalisasikan. Umpamanya syarikat telefon bimbit Nokia.

Nokia adalah sebuah jenama yang boleh saya katakan sebagai prihatin terhadap alam. Mereka mengambil langkah untuk mengitar semula telefon-telefon bimbit. Langkah ini dimulakan pada 1997 secara global di United Kingdom dan Sweden tetapi ia hanya bermula di Singapura tiga tahun selepas itu, iaitu pada 2000.

Bagi penduduk Singapura khususnya, anda boleh 'menderma' telefon-telefon bimbit anda di kesemua Pusat Jagaan Nokia. Langkah ini tidak diterhadkan kepada telefon jenama Nokia sahaja bahkan jenama yang lain juga boleh dikitar semula di sana. Begitulah murah hatinya Nokia.

Selain dari ke pusat jagaan ini, anda juga boleh ke kempen-kempen yang mereka adakan di mana di sana nanti ada kios kitaran semula Nokia untuk mengitar semula telefon-telefon terpakai.

Di kios itu nanti, anda hanya perlu memberitahu butiran diri anda. Nama anda akan diambil sebagai nama pokok yang akan ditanam di Indonesia. Untuk melihat pokok anda itu pula, anda boleh ke laman Google Earth selang beberapa minggu selepas itu.

Dari kios itu sendiri atau Pusat Jagaan Nokia, telefon bimbit itu akan dibawa ke firma kitar semula TES-AMM di mana proses pemisahan dan penghancuran telefon bimbit dilakukan.

Banyak proses dilakukan bagi mengitar semula barangan itu seperti memisahkan setiap bahagian dan bahan seperti plastik, besi, bahan bersalut emas dan sebagainya agar ia tidak meletup sewaktu proses penghancuran dan mengumpulkan bahan salutan emas sehingga menjadi bebuku emas. Bahan plastik pula berubah menjadi peralatan rumah.

Untuk mengitar semula, anda tidak perlu mengitar kesuluruhan telefon bimbit. Iyalah, mungkin anda mahu simpan telefon bimbit anda kerana ia bernilai sentimental bagi anda.

Jadi, kalau bateri anda tidak boleh digunakan lagi, bolehlah anda mengitarnya. Kesimpulannya, anda boleh mengitar bahagian apa pun jua yang anda mahukan seperti bateri, penutup telefon, kibod dan lain-lain lagi. Telefon bimbit yang rosak juga boleh dikitar semula. Jadi, dari telefon bimbit anda terperap sahaja di dalam peti bertahun-tahun lamanya, apa kata anda mulakan langkah untuk mengitar semula? Jadi apa tunggu lagi? Jom ke Pusat Jagaan Nokia sekarang juga!


TAHUKAH ANDA?

  • Antara 50,000 hingga 80,000 bahagian emas daripada telefon bimbit mampu dijadikan sebuku emas.

  • Sekitar 85 negara dilibatkan dalam usaha Nokia mengitar semula telefon bimbit.

  • Bahagian plastik telefon bimbit dijadikan jerami bagi tujuan pergudangan.

  • Bahagian besi kelulinya pula digunakan untuk pelbagai produk seperti cerek air, ketuhar, bingkai basikal dan macam-macam lagi.

  • Nokia menggunakan 25 peratus tenaga hijau dan menjimatkan lagi 3.5 peratus tenaga antara tahun 2003 hingga 2005.
  • Wednesday, 2 December 2009

    Cinta lokomotif jadi paparan pengajaran

    BERITA HARIAN SG, 2 DISEMBER 2009

    Anak dan bapa cipta kisah kereta api dan teman-teman untuk sebar mesej kerjasama

    KEMBARA sebuah kereta api di atas trek yang berliku. Kerjasama masyarakat sekeliling dan persahabatan yang terjalin.

    Inilah yang menjadi teras kisah kereta api popular, Thomas & Friends, sebuah siri televisyen dan pementasan kanak-kanak yang dipadankan daripada buku-buku cereka The Railway Series, karya Rev Wilbert Awdry dan anaknya, Christopher Awdry.

    Apa yang menarik ialah siri ini yang menjadi kegemaran kanak-kanak dan remaja diusahakan oleh pasangan bapa dan anak untuk meneruskan legasi mengenai sistem rel dan enjin-enjinnya di kepulauan Sodor.

    Terdapat 41 buku dalam siri ini, dengan jilid pertamanya diterbitkan pada 1945. Sebanyak 26 jilid ditulis oleh Rev Awdry, manakala 14 lagi jilid diusahakan Christopher. Dua tahun lalu, Christopher muncul dengan karyanya yang ke-15 iaitu Thomas and Victoria.

    Hampir kesemua kisah yang dicoretkan dalam siri ini berdasarkan kisah sebenar.

    Wilbert ialah pengamat dan penggemar rel yang sejati. Justeru, beliau memastikan kisah-kisah yang dicoretkannya adalah serealistik mungkin. Watak- watak enjin dalam bukunya juga berdasarkan pengetahuannya mengenai dunia lokomotif, dengan beberapa contoh dipetik daripada pengalaman menaiki kereta api mengelilingi Britain.

    Mendiang Wilbert pernah menceritakan tentang cinta pandang pertamanya terhadap kereta api. Menurutnya:

    'Bapa saya dilahirkan di Hampshire dan seperti saya ialah pencinta sistem kereta api. Memandangkan kami dibesarkan dalam suasana desa, kami beruntung mempunyai beberapa teman yang tugasnya juga adalah menjaga rel kereta api.

    'Saya mengingati saat-saat manis tidak dapat tidur pada waktu malam. Saya dan adik saya, George, akan baring di atas katil sambil mendengar bunyi enjin kereta api.

    'Saya kemudian bertemu jodoh dengan Margaret Wale, seorang guru yang saya temui di Palestin. Hanya selepas kami berpindah ke Birmingham dan Christopher pula dilahirkan, maka kisah- kisah pertama Railway Series tercipta. Saya ingat ketika itu Christopher terkena campak dan saya pula sibuk berkarya,' katanya.

    Kerana minat yang mendalam terhadap kereta api, Wilbert mencipta enjin kereta api daripada kayu untuk Christopher. Enjin itu dipanggil Thomas.

    Karya pertama mengenai Thomas, yang dipanggil The Three Railway Engines, kemudian diterbitkan pada Mei 1945. Ini disusuli dengan kisah Thomas The Tank Engine dan hampir saban tahun, ada sahaja buku baru yang dihasilkan Wilbert.

    Sedang beliau berkarya, beliau juga ghairah menyiapkan model-model kereta api dan peta-peta rel yang dipamerkan serata Britain. Beliau juga terlibat dalam beberapa projek pemuliharaan sistem rel.

    Dua tahun sebelum pemergian Wilbert, seorang penulis dan wartawan penyiar, Brian Sibley, telah menerbitkan kisah riwayat tokoh sastera rel terkenal. Buku itu diberi nama Thomas the Tank Engine Man.

    Wilbert diberi anugerah kepujian New York pada 1996 dan meninggal dunia pada usia 85 tahun pada 1997.

    PERJUANGAN DITERUSKAN ANAK

    Sejak usia remaja lagi, Christopher telah mula menulis rencana mengenai pemuliharaan sistem rel dan treknya. Beliau hanya mengarang beberapa kisah mengenai Thomas untuk bacaan anaknya, Richard, tetapi bukan untuk diterbitkan.

    Hanya selepas dipujuk bapanya, barulah Christopher memberanikan diri menerbitkan buku Really Useful Engines.

    Buku terakhirnya, New Little Engine, mengisahkan tentang sistem rel rekaan, Skarloey, yang persis struktur sistem rel Talyllyn di Wales.

    BILA KARYA SASTERA DIPENTASKAN

    Namun, yang paling menggembirakan bagi Christopher kini tentunya apabila melihat watak ciptaan bapanya itu menebarkan sayapnya ke pentas pementasan.

    Mulai Jumaat ini, satu pementasan Thomas & Friends Live! On Stage: A Circus Comes To Town akan dipentaskan di Stadium Tertutup Singapura.

    Saya berkesempatan menemui dua pelakonnya, Brendan Melafonte, yang menjayakan watak pemandu kereta api, dan Greg Pearl, yang membawa watak Sir Topham Hatt atau The Fat Controller.

    Kata Greg ketika ditemui di Hotel Grand Mercure Roxy:

    'Bagi saya, pementasan ini bagaikan satu persembahan rok untuk kanak- kanak.'

    Beliau, bagaimanapun, menjelaskan bahawa sewaktu kecil, beliau lebih melihat watak Harold, si helikopter, sebagai idolanya kerana helikopter itu cukup istimewa dan tidak akan tersangkut pada landasan kereta api.

    Bagi Brendan, idolanya ialah James, kereta api merah.

    'Sewaktu kecil, saya memang sukakan warna merah dan nombor lima. Secara kebetulan, James berwarna merah dan bernombor lima!

    'Namun, apabila dewasa dan melibatkan diri dalam pementasan ini, saya lebih sukakan Thomas kerana lagaknya yang keletah dan mencuit hati,' tambahnya.

    Pementasan ini dijangka menarik minat bukan saja kanak-kanak, malah orang dewasa yang diharap terhibur dengan lagu-lagu ceria yang dipaparkan.

    Selebihnya, seperti dalam karya The Railway Series, ada pesanan mengenai kerjasama, persahabatan dan cara terbaik menghurai masalah.

    Nota: Tiket-tiket untuk pementasan 4 petang (Ahad); 4.30 petang (Jumaat dan Sabtu); 7 malam (Sabtu) dan 11 pagi (Ahad) berharga $38, $48 dan $68 dijual di kaunter Sistic.

    Monday, 30 November 2009

    Kejutan manis

    BERITA HARIAN SG, 30 NOVEMBER 2009

    Cedar tidak menjangka rebut gelaran juara

    WAJAH penuh kegelisahan dan kekecewaan jelas terpampang, sedang mereka menanti pengumuman Juara Kem Obor dibuat.

    Ada yang menunduk sayu. Ada pula menatap skrin telefon bimbit.

    Sangka pasukan Sekolah Menengah Perempuan Cedar, harapan untuk mereka menjulang piala Obor tipis.

    Namun, pengumuman yang dibuat koresponden Berita Harian, Encik Farid Hamzah, petang Rabu lalu, mengejutkan empat gadis ini

    'Betul ke? Bukan main-main?' Kedengaran Irene Cyrena, 16 tahun tertanya-tanya.

    Mereka ketawa sehingga terkesan titisan air mata gembira ketika dipanggil ke tepi pentas untuk menerima hadiah berupa iPod Shuffle, baucar buku Popular dan piala Juara Kem Obor daripada penyelaras Obor, Cik Haryani Ismail.

    Nur Fitriah Zakiah Misnal, 14 tahun, yang awalnya kelihatan khusyuk menatap skrin telefon bimbitnya, sempat memberitahu Cik Haryani:

    'Saya baru sahaja lakar SMS, nak minta maaf dengan Cikgu Mahani. Cikgu, kami minta maaf banyak-banyak kalau kecewakan Cikgu. Nampaknya ada pasukan lebih baik. Kami dah mencuba... Selepas itu, nama sekolah kami diumumkan. Kami terkejut!'

    Nur Fitriah Zakiah dan Irene Cyrena berganding bahu dengan dua lagi teman mereka, Noor Aqilah Noor Azlan, 14 tahun, dan Hana Puteri Kurnianta, 16 tahun, di dalam pertandingan yang dihadiri sekitar 108 pelajar.

    Ini merupakan kali kedua Sekolah Menengah Perempuan Cedar merebut gelaran juara. Kali pertama ialah sewaktu kem kedua diadakan pada November 2006.

    Apa yang mungkin membuatkan pasukan ini terkejut kerana kemenangan mereka ialah kerana mereka tidak memenangi kategori individu, iaitu 'Editor Terbaik', 'Penyunting Terbaik', 'Wartawan Terbaik' dan 'Jurufoto Terbaik' - sesuatu yang biasanya menjadi tradisi dan faktor kejayaan beberapa sekolah di kem-kem sudah.

    Namun, panelis pengadil yang terdiri daripada Cik Haryani dan wartawan infografik, Cik Nur Amanina Ismail, dibantu wartawan infografik eksekutif, Encik Mohd Samad Afandie dan Editor SUTRA, Cik Hasleen Bachik, sebulat suara memilih akhbar kumpulan ini yang diberi nama iCedar sebagai juara.

    'Kami memilih enam suratkhabar yang menarik dan kami tampal pada dinding bilik sidang. Kami bayangkan kalau akhbar ini dijual di pasaran, yang mana akan laku dulu. Ternyata, daya tarikan akhbar iCedar menyerlah kerana reka hiasnya kemas, foto yang digunakan juga besar, jelas dan menarik, ditambah dengan nama akhbar yang disusun vertikal, berbanding nama akhbar pasukan lain yang diletakkan mendatar,' jelas Cik Haryani.

    Apabila ditanyakan tentang perasaan pasukannya apabila diumumkan sebagai pemenang, Nur Fitriah Zakiah, berkata:

    'Tentu sekali kami rasa gembira tetapi terkejut juga sebab kami memang tidak menyangka kami akan menang. Kami juga tidak mempunyai banyak persiapan bahkan kami diberitahu oleh guru kami lewat tentang kem ini.

    'Lagi pun, kami lihat banyak kumpulan lain yang lebih baik dan begitu on gigih membuat persiapan terperinci.'

    Bagi Irene Cyrena, kem selama tiga hari itu memang agak memenatkan sebab saban hari, sembilan jam lamanya dihabiskan di auditorium News Centre, Toa Payoh North, atau dalam perjalanan menjejak berita di Pusat Sains Singapura.

    'Tetapi demi ilmu, tidak mengapalah,' katanya tersenyum.

    Apabila disentuh tentang ilmu, Hana Puteri pula mencelah: 'Di Kem Obor, kami dapat menimba banyak ilmu pengetahuan terutama sekali dalam bidang media atau penghasilan akhbar .

    'Kami juga tahu bagaimana suratkhabar itu diproses dan yang penting sekali saya dapat memperbaiki lagi penggunaan bahasa Melayu saya,' ujar Hana Puteri sambil tersenyum.

    Saya juga diberitahu ada pertelingkahan di antara mereka berlaku sewaktu menyiapkan akhbar ini. Betul ke?

    'Memang ada. Ia berlaku sewaktu kami sibuk memilih foto. Dah banyak sangat foto. Jadi, masing-masing ada pilihan tersendiri.

    'Walaupun dalam keadaan begitu, kami tahu yang kami tetap perlu memilih satu sahaja foto. Lantaran itu, kami menyemak kelebihan dan kekurangan setiap foto. Akhirnya, pilihan sepakat dibuat,' tambah Irene Cyrena lagi.

    Senyap saja Noor Aqilah? Soalan untuk anda pula ya? Selama tiga hari ni, mesti ada satu acara yang anda suka. Boleh beritahu kami?

    'O.K. saya suka sidang akhbar bersama naib juara Anugerah 2009, Kunjung Whitaker. Beliau memang pandai bergaul dengan kita.

    'Lagi pun, ini merupakan kali pertama saya mewawancara Kunjung dan bukannya selalu kami dapat interviu selebriti. Apabila nak interviu beliau tu, rasa gementar sangat,' jawab Noor Aqilah, ringkas.

    Ucapan tidak terhingga mereka kepada Cikgu Mahani Ahmad kerana mewakilkan mereka ke kem itu. Jutaan penghargaan juga kepada anggota keluarga mereka yang memahami situasi apabila mereka pulang lewat ke rumah dek tuntutan tugasan kem.

    Nota: Interviu dengan naib juara Kem Obor dan pemenang tempat ketiga akan disiarkan minggu depan.

    Tuesday, 24 November 2009

    Ingin Datang Lagi

    BERITA HARIAN SG, 24 NOVEMBER 2009

    Melenggang hai melenggang
    dengan tari lenggang,
    kalau baik hati nanti
    orang pun sayang.
    Dari KLIA ke negeri Pahang,singgah sekejap
    di Kuala Lumpur...

    EWAH! Gembira rasa hati saya dapat ke Pahang. Yalah, mana tidaknya? Walaupun tidak dapat ke Kuala Lipis, tempat kelahiran Siti Nurhaliza (penyanyi idola saya), dapat 'bau-bau' Pahang pun jadilah.

    Saya antara lima pelawat dari Singapura yang dijemput pihak Persatuan Homestay Malaysia dan Pelancongan Malaysia bagi acara homestay atau tinggal dengan keluarga angkat di rumah mereka di Pahang.

    Selain pelawat dari Singapura, yang lain adalah dari Phuket, Bangkok dan Medan.

    Hati saya sungguh teruja saat berangkat mulai 8.30 pagi dari

    Kuala Lumpur ke Pahang. Perjalanan kami mengambil masa empat jam. Meskipun jauh, kehijauan alam semula jadi di sekeliling membuat saya cukup berasa santai hingga tertidur.

    Kami tiba di Homestay Kampung Baru Salong dekat Pekan, Pahang, sekitar 1 petang. Riuh dan kecoh! Kami disambut macam pengantin kerana ada paluan kompang yang berdentam-dentum memecah kesunyian kampung itu.

    Kehausan kami dilegakan apabila orang-orang kampung menghidangkan kami dengan air kelapa yang segar dan baru dipetik. Dahlah sejuk, sedap pula tu.

    Jamuan tengah hari di Dewan Mempelas sungguh lazat sekali. Ada ikan patin goreng, itik masak lemak, sayur-sayuran dan sambal belacan.

    Selepas menjamu selera kami diberi keluarga angkat masing-masing. Di rumah merekalah kami akan bermalam. Menurut seorang datuk angkat saya, Encik Abdul Malek, yang lebih dikenali sebagai Cu Dolah, terdapat sebanyak 100 buah rumah di kampung itu dan sekitar 300 penduduk. Sempat juga saya beramah mesra dengannya. Ikutkan hati, macam ingin tinggal seminggu dua di sana, tetapi tiada kesempatan.

    TASIK CINI

    Kami kemudian diajak ke Tasik Cini. Di situ khabarnya ada naga, tetapi mungkin cerita dongeng semata. Saya tidak nampak pun!

    Kami semua diajak menaiki bot mengelilingi tasik itu. Pem

    andangannya memang luas dengan pohon-pohon hijau dan bukit-bukau serta angin yang bertiup perlahan. Terpesona saya dibuatnya.

    Di situ juga terdapat Lubang Ular di mana ada ular besar yang dikatakan keluar dari situ.

    Kami kemudian ke Tanjung Puput yang mengambil masa perjalanan sekitar sejam. Tempat ini merupakan kediaman orang asli Jakun. Apabila disebut orang asli, seperkara yang timbul dalam fikiran saya ialah 'cawat'. Tetapi jangkaan saya meleset. Mereka berpakaian biasa saja seperti kita.


    Dari Tanjung Puput, kami kembali ke kampung keluarga angkat kami. Malam itu kami dihiburkan dengan persembahan nasyid dan lagu-lagu zaman Sanisah Huri. Saya turut diajak menari tarian orang asli. Mudah sekali tarian mereka. Anda hanya perlu pusing keliling sahaja.

    Sambil menikmati persembahan, kami diberi makan ayam percik dan nasi goreng. Semua pelawat dari tiga negara turut diminta membuat persembahan. Kira-kira jam 12 tengah malam barulah kami pulang ke rumah homestay masing-masing. Mulanya saya ingat ingin pakai kain pelekat seperti orang kampung, tetapi apabila fikir kalau nanti lipas atau cicak masuk ke dalam kain, saya ubah fikiran.

    SEDIH

    Esok harinya sebaik saja matahari timbul, kami bersiap-siap untuk meninggalkan kampung itu. Sedih rasanya. Kalaulah ada kesempatan ke Pahang lagi, memang ingin saya ke sana.

    Sempat saya berbual dengan Encik Zainal Abidin Ibrahim yang bertanggungjawab menguruskan homestay kami.

    'Di sini biasanya kami ada banyak aktiviti yang dilakukan bersama-sama orang kampung seperti bersukan, konsert dan barbeku. Kami juga ada guest house untuk mereka yang segan tinggal bersama pemilik rumah. Harganya sekitar RM50 ($20.50) sahaja.'

    Seorang ibu yang juga mengendali sebuah rumah homestay, Cik Fauziah Ahmad, berkata: 'Homestay ini bagus untuk penduduk di sini kerana kita pun akan mendapat pendapatan.

    Mula-mula, program ni memang tak selesa, tapi selepas dah lama, rasa macam biasa. Saya memang dah ramai sangat anak angkat menerusi program ini dah tak terkira. Saya dah anggap mereka macam saudara saya sendiri.'

    Pada pagi Sabtu itu, kami bersarapan dengan keluarga angkat kami di Dewan Mempelas.

    Sebelum berangkat ke Kuala Lumpur, kami singgah ke Pusat Tenun Pahang yang terletak berdekatan dengan Dewan Mempelas.

    Untuk mereka yang ingin maklumat lanjut mengenai homestay di Malaysia, sila ke laman web www.motour.gov.my

    Nota: Penulis, 18 tahun, ialah pelajar Madrasah Aljunied Al-Islamiah.

    APA HARUS DIBAWA

    Lima benda yang harus dibawa sewaktu homestay

  • Ubat pencegah serangga supaya serangga tidak mendekati.
  • Baju dan seluar panjang agar tidak digigit nyamuk.
  • Mi segera sekiranya anda tinggal di guest house dan tiada makanan apabila kelaparan.
  • Sabun jika tidak mahu kongsi dengan tuan rumah.
  • Lilin atau lampu suluh jika anda hendak keluar malam.

  • Persiapan mental

  • Tempat yang dilawati mungkin banyak nyamuk.
  • Cuaca panas dan tiada alat hawa dingin.
  • Bersiap sedia mandi pagi dengan air sejuk kerana tiada alat pemanas air.