Thursday, 11 February 2010

Tiga jenis makanan popular

BERITA HARIAN SG, 9 FEBRUARI 2010

Makanan cemilan berwarna-warni dan jeli pelbagai perisa antara yang disukai ramai

ANDAI anda ke bazar Tahun Baru Cina di Chinatown, antara yang akan menarik perhatian anda pasti barang makanannya yang kecil molek yang dibungkus dalam pelbagai bungkusan berwarna-warni.

Itulah makanan cemil-cemilan dari Taiwan yang semakin popular sejak kebelakangan ini, menurut beberapa pegerai di sana.

Kami mengesan tiga jenis makanan sedemikian - jeli, kekacang dan makanan laut kering.

JELI

Mungkin kita tidak begitu hairan dengan jeli atau mungkin sebahagian daripada kita pula mempunyai pandangan stereotaip bahawa jeli adalah makanan budak-budak.

Tetapi jika anda ke bazar Chinatown, jangan terperanjat kalau melihat ramai orang tua pun membeli dan memakan jeli-jeli ini yang berbau harum.

Para penjaja jeli ini pula cukup pemurah. Hampir setiap pengunjung dipelawa untuk merasa jeli mereka dengan percuma, hingga bersepah bungkusan jeli di lantai, tetapi segera dibersihkan kembali.

Menurut salah seorang penjaja jeli di situ, Encik Ng Chin Kiat, 45 tahun, kedainya menjual jeli dengan pelbagai perisa (sehingga 65 jenis) seperti perisa teh hijau, honey dew, strawberi dan pic yang merupakan perisa paling laris.

KEKACANG

Kekacang yang dijual di sini pula bukan kacang sebarangan tetapi kacang sihat atau healthy nuts.

Ini mungkin yang membuat ramai pengunjung mengerumuni kedai-kedai kacang ini untuk membelinya. Seperti jeli, terdapat lebih 30 jenis kacang yang dijual dan yang paling popular, seperti menurut penjaja, Cik Sharon Ong, 30 tahun, ialah kacang buah labu, kacang bijan dan juga kacang badam.

'Pembeli biasanya beli berkilo-kilo. Kami beri mereka rasa dulu. Kami juga ada kacang 'pelik' seperti yang disalut arang dan kacang perisa wasabe (makanan tradisional Jepun).

'Kami dah jual kekacang ini sejak empat tahun lalu. Dengan harga $3, anda boleh beli 100 gram kacang,' jelas Cik Ong.

MAKANAN LAUT

Melihat luarannya, tidak dapat dipastikan apa cemil-cemilan yang dijual di kedai Encik Lim Chong Kiang, 18 tahun.

Remaja itu memberitahu bahawa makanan dalam bentuk kiub itu sebenarnya adalah makanan laut kering seperti udang, sotong dan ikan. Harganya dalam bungkusan-bungkusan kecil ialah $5 untuk 100 gram.

KUIH-MUIH

Sebagaimana makanan cemil-cemilan ini menarik perhatian pengunjung, begitu juga dengan kuih-muih. Antara yang paling popular tetap kuih tart nanas.

Encik Ong Bee Siong, penyelia sebuah kedai kuih, memberitahu kedainya menjual sekitar 40 jenis kuih dan biskut. Membelek-belek botol-botol kuih di situ, kelihatan beberapa jenis kuih yang berlabel halal Malaysia seperti kuih kacang dan kuih keladi.

Harganya pun menarik. Ada yang serendah $1.30 sebotol atau $5 untuk empat botol.


SUMBER: http://cyberita.asia1.com.sg/mrencana/story/0,6879,158838-1265752740,00.html?

No comments: