Masih ada gadis yang impikan mengahwini Kris
SURAT seorang gadis berusia 14 tahun menyentak pemenang American Idol musim kelapan, Kris Allen.
Peminat 'gila' Kris itu menaruh harapan besar terhadap pemuda kacak itu.
Bagaikan tukang tilik yang mabuk asmara, si gadis menulis: 'Saya tahu awak sudah kahwin. Tetapi, apabila saya kelak berumur 18 tahun, mungkin awak akan bercerai dengan isteri awak!'
Si gadis mencoret nombor telefonnya sekali di penghujung surat itu untuk dihubungi Kris.
Apakah reaksi isteri Kris, Katherine, bekas ratu cantik Universiti Arkansas?
'Saya menunjukkan surat itu kepada Katy. Dia ketawa terbahak-bahak membaca luahan hati si gadis!' ujar Kris, menceritakan kisah pelik tetapi benar yang menimpanya kepada Ekstra.
Temu duga bersama Kris yang rendah hati dan ramah berlangsung lancar di Hotel Marina Oriental.
Hati gadis manakah yang tidak terpikat kepada teruna berwajah kacak dan bertutur kata sopan lagi memiliki senyuman menawan.
Tebak saya, mungkin itu merupakan antara faktor yang membuat Katherine tidak mahu menunggu lama untuk mendirikan mahligai bahagia bersama Kris, lulusan Universiti Central Arkansas.
Kris, anak kelahiran Jacksonville, Arkansas, itu baru-baru ini mengadakan konsert berkelananya di Zirca Mega Club.
Menceritakan semula perjalanannya dalam peraduan realiti itu, penyanyi yang popular dengan lagu Heartless dan No Boundaries serta dicalonkan sebagai Artis Muzik Cemerlang di Anugerah People's Choice 2010, berkata: 'Segalanya berlaku dengan sekelip mata. Saya dan abang saya memandu ke lokasi uji bakat American Idol dan barisan mereka yang beratur memang cukup panjang sekali.
'Yang kelakarnya, kami melompat barisan dan berada di hadapan macam-macam orang. Kemudian kami ke auditorium dahulu dan tunggu kira-kira 14 jam sebelum giliran saya sampai. Orang lain di luar kepanasan dengan panahan terik mentari tetapi kami nasib baik sebab berada di dalam auditorium!' tambahnya.
Walaupun agak lama menunggu tetapi penantian itu memang menguntungkan kerana Kris kini mampu berkongsi muziknya dengan ramai orang serata dunia selepas bergelar idola.
Apakah Kris merasakan popularitinya akan terjejas memandangkan beliau bukan lagi bujang?
'Saya tidak rasa begitu. Isteri saya seorang yang selalu memberikan sokongan dan membakar semangat saya dan beliau sentiasa mahukan saya menjadi yang terbaik. Bagi saya, muzik ini tidak kira status sama ada anda berkahwin, bujang atau bercerai sekalipun.
'Kehidupan saya setelah bergelar artis juga berubah. Ada juga yang melayan saya dengan cara berbeza sebelum dan setelah saya mendapat julukan juara American Idol. Ada pula yang tidak pandang saya pun, berbanding sebelumnya,' katanya.
Sebelum interviu diakhiri, Kris dikejutkan dengan soalan media yang memintanya mengulas komen saingannya, Adam Lambert, penyanyi gay yang menganggap Kris jejaka hot yang memenuhi cita rasanya.
'Apalah si Adam tu membebel! Apa awak semua rasa Adam benar-benar akan melakukan sesuatu yang tidak baik kepada saya? Tidaklah, dia setakat bergurau. Dia sebenarnya orang yang baik dan menghormati orang lain,' tambahnya.
KENAL-KENAL
Abang Kris mengatakan Kris macam adik Chris Brown.
No comments:
Post a Comment