Tonton filem lama, buat buku elektronik dan bertarung kemahiran bermain 'game'
Pengaruh media memang diakui besar dalam kehidupan penduduk masa kini. Ia mempengaruhi cara seseorang bekerja, bermain dan menjalani kehidupan. Untuk ketahui mengenai keistimewaan media, ayuh ikuti acara Media Fiesta yang berlangsung dari 5 hingga 27 Mac ini di beberapa lokasi serata pulau seperti Cathay Cineplex, Perpustakaan Daerah Woodlands dan iluma di Bugis. Penulis sambilan ABDUL RAUUF MASKHAZIN melaporkan.
SOALAN yang mungkin terbetik di fikiran anda ketika menaiki kenderaan awam ialah: 'Apakah pengertian sepanduk dengan tertera kekata Media Fiesta?'
Saya yakin tidak semua yang tahu akan matlamat Media Fiesta ini bahkan apabila saya ditugaskan ke sidang Media Fiesta anjuran Penguasa Pembangunan Media (MDA) ini, saya masih tertanya-tanya apakah yang dianggap fiesta bak pesta besar-besaran ini.
Media Fiesta merupakan festival yang berlangsung selama sebulan lamanya mulai 5 Mac ini dan ia diharap dapat mendekati segenap lapisan penduduk.
Dengan festival itu, rakyat akan diberi peluang mengetahui lebih lanjut berkenaan media serta bagaimana ia boleh menjadi wadah untuk pekerjaan, pelajaran dan juga hiburan.
Seramai 75,000 orang menghadiri acara Media Fiesta yang dianjurkan buat kali pertamanya tahun lalu.
Acara itu juga menarik golongan selebriti seperti Adrian Pang, Gurmit Singh, Michelle Chia dan beberapa orang lagi.
Tema festival tersebut pada tahun ini ialah menyambut dan menjelajahi media. Media yang bakal dikongsi dalam acara itu nanti agak menyeluruh. Banyak yang dapat anda raih seperti mengetahui perkembangan industri permainan, sektor animasi, percetakan, televisyen dan banyak lagi.
Anda juga berpeluang turut serta dalam empat acara besar yang mereka anjurkan.
#1 The Spectaculars
Pernah dengar filem Mat Bond atau Sumpah Pontianak? Apa? Tidak? Cuba tanya ibu atau nenek anda. Mereka pasti tahu.
Di TV mungkin kita jarang menonton filem-filem lama tetapi pada 5 dan 6 Mac ini, rebutlah peluang menonton beberapa filem terpilih yang nostalgia lagi ikonik. Bukan sahaja filem Melayu yang ditayangkan.
Ada juga beberapa filem Inggeris dan Cina yang bakal ditayangkan seperti Mambo Girl, Air Hostess, Our Sister Hedy dan Bionic Boy.
Apa yang menarik adalah pemegang watak Cleopatra Wong dalam filem They Call Her... Cleopatra Wong juga dikhabarkan akan hadir bagi tayangan filem di The Cathay Cineplex.
Yang menariknya, tiket filem-filem lama itu akan dijual pada harga $5 sahaja! Jadi, apa ditunggu lagi? Ajaklah seisi keluarga anda menonton bersama!
#2 Enchanted Journey Through The Pages
Anak anda mungkin gemar berbual atau bercerita kepada anda.
Apa kata kalau anda berikan beliau sedikit kelainan? Acara yang akan berlangsung pada 13 dan 14 Mac ini memang sesuai sekali untuk anak anda yang berusia antara sembilan dengan 12 tahun.
Di situ nanti, anak anda akan dapat membuat buku ceritanya sendiri secara elektronik. Canggih bukan?
Bukan itu sahaja, acara ini tidak dikenakan sebarang bayaran. Anda hanya perlu mendaftarkan nama di laman http://golibrary.nlb.gov.sg dan layari segmen BOUNCE.
Jadi, jika anak anda memang gemar menghasilkan kisah fantasi, daftarkan namanya dalam acara yang tidak harus dilepaskan ini.
#3 Quest Of The Unknown
Anda ni memang hebat bermain game? Kalau saya cabar untuk bermain permainan MapleStory, RayCity dan Bejeweled 2, anda sahut cabaran inikah?
Inilah masanya untuk anda menunjukkan bakat anda pada keluarga anda! Mainlah dengan mereka di kafe siber terbesar Singapura iaitu di Colosseum, tingkat 7, Gedung iluma. Kumpulkan ahli keluarga anda dan bertarung di dalam tiga permainan tadi dengan keluarga yang lain dan anda berpeluang memenangi hadiah-hadiah yang menarik.
Sebanyak 100 pendaftar pertama bagi laman www.mediafiesta.sg untuk permainan itu akan menerima cenderahati menarik! Acara ini akan berlangsung pada 12 tengah hari, 21 Mac.
#4 Sounds @ *Scape
Inginkan acara muzik percuma? Ayuhlah ke *Scape Youth Centre 27 Mac ini. Dengan lagu pelbagai genre dihidangkan, anda boleh berpesta di tengah-tengah Orchard Road.
Band-band seperti For This Cycle, Silhouette dan Barricade akan menggamatkan lagi suasana dengan persembahan mereka. Acara ini akan berlangsung dari 5 petang hingga 11 malam.
Selain daripada acara besar-besaran ini, ada juga pameran Media Transformer. Pamerannya memang tidak harus dilepaskan kerana anda pasti akan terpukau dengan alat-alat serba canggih yang bakal dipamerkan.
Contohnya, Key Reader, sebuah buku elektronik rekaan iCell, permainan komputer riba tiga dimensi daripada Miracube dan banyak lagi.
Nampaknya, Mac adalah bulan untuk anda sama-sama raikan kehebatan media.