Tuesday, 23 October 2007

Jangan 'over' bila beraya!

PETIKAN DARI BERITA HARIAN, 22/10/2007

HAI... macam-macam kuih dan juadah Lebaran ada di atas meja.
Kuih tart, makmur, rempeyek. Hhmmm... macam nak makan semua.
Memandang hidangan yang terlalu banyak di atas meja, janganlah pula terburu-buru mengikut nafsu nak makan segalanya, ya?
Mungkin dalam keghairahan remaja beraya, kita tidak sedar ada tuan rumah yang sampai terjeling-jeling menjenguk ruang tamu. Bekas kuih yang baru diisi dah kosong semula ke? Isy... isy... isy... Teruknya!
Saya di sini bukannya nak 'menghentam' atau mengata orang. Ia juga ragam beraya yang saya kira boleh dijadikan aspek cerminan diri.
Kalau dah makan banyak, sakit perut ataupun baju menjadi ketat, siapa yang susah?
Dalam pada itu, jagalah juga pakaian anda agar cantik dipandang mata.
Saya puji remaja Melayu kerana masih sudi berpakaian Melayu pada Hari Raya pertama. Ia menjadi perkara wajib.
Suasananya ibarat berada di kampung nan permai.
Yang pakai songkok, samping dan kebaya. Ewah... ewah... Cantik Cik Abang dan Cik Adik.
Kalaulah ia dijadikan pakaian saban hari, alangkah baiknya. Takkan Melayu hilang di dunia!
Namun begitu, saya sedih melihat sebilangan kecil yang mengenakan tindik, tatu dan berambut ala Trojan, burung merak ataupun penyapu sambil memakai baju kurung! Budaya fusion ke?
Hai, remaja... remaja... Janganlah kerana anda ingin mengikut-ikut trend Barat sampai anda terlupa kita masih ada budaya yang luhur.
Janganlah kita ikut resmi lalang dan membabi buta. Biar kita ada identiti tersendiri.
Di kesempatan ini, saya menyusun 10 jari memohon maaf di atas segala kesilapan dalam saya mencoret pandangan.

Tuesday, 16 October 2007

Erti Lebaran Tahun Ini

Teringat pula saya bait-bait lagu Cahaya Aidilfitri, Black Dog Bone yang saya ubahsuaikan, “Bila tiba hari raya, semua insan bergembira, tetapi bagiku hanya kesedihan di sepanjang peperiksaan.”

Peperiksaan? Itulah dia, sibuk kita hendak beraya, sibuk pula ia menjelma, bak kata orang, “tetamu tak diundang”, alahai, pening kepala dibuatnya. Mana hendak fikirkan peperiksaan, mana hendak fikirkan Lebaran. Sukar sekali rasanya.

Yang peritnya, peperiksaan kali ini adalah kali yang terakhir dan akan menentukan posisi dan sama ada kita akan naik ke peringkat seterusnya atau tidak. Lebih perit lagi, bagi mereka yang bakal menduduki Peperiksaan Peringkat O yang akan bermula 17 Oktober nanti, hari keepat di bulan Syawal. Kasihan mereka. Terpaksa bergelut dalam ‘dilema’ anatara dua.

Bukan sahaja mereka yang bakal menduduki peperiksaan, saya yakin ramai diantara remaja kita yang bakal mendudukinya.

Nampaknya, terpaksalah membawa buku bersama sewaktu berjalan Raya kelak ataupun hanya akan berkurung dan ‘bertapa’ dengan buku-buku demi mencapai markah dan posisi yang tinggi. Yang sudah duduki peperiksaan pula janganlah terlalu gembira di Hari Raya nanti, entah apa akan jadi pada markah kita nanti.

Saya bukan menghalang kehendak untuk beraya tetapi janganlah terlalu ghairah dan lupa akan peperiksaan yang lebih penting. Bukankah kita ada sebulan untuk berhari raya? Selepas peperiksaan nanti, ziarahlah dan kunjungilah mereka-merka yang anda ingin ziarahi dan kunjingi. Untuk peperiksaan yang bakal menjelang, saya ucapkan selamat maju jaya.

Sekian, Minal Aidin Wal Faizin Wal Maqbulin, Maaf Zahir Batin, Salam Lebaran!

Wednesday, 10 October 2007

Perlukah Hiasan Dipakai Satu Badan?

FOTO: Penulis berbaju putih bersama rakan.

RUMAH anda pastinya sudah siap diubah suai ataupun dicat. Maklumlah. Lebaran semakin dekat.
Ramai yang tidak sabar menanti menjelangnya Hari Raya. Lebih-lebih lagi apabila lagu Raya kerap berkumandang di corong radio.
Apabila ditanya mengapakah rumah yang masih cantik dicat tahun lalu harus dibalas cat lain tahun ini, ramai yang kata:
'Eh...tetamu kan ramai...'
Bagaimanapun, topik saya minggu ini bukanlah soal cat-mengecat tetapi pakaian Raya.
Antara lelaki dengan wanita, siapakah yang akan tampak berbeza dan serba berhias dengan munculnya Lebaran?
Sememangnya, kalau dilihat kaum Hawa ni, mereka tentunya akan menghias diri daripada hujung rambut ke hujung kaki. Mereka tidak mahu kalah gaya. Macam nak masuk peraduan ratu cantik. Melihat ragam mereka, pening kepala dibuatnya.
Teringat saya kata-kata guru lama saya: 'Orang perempuan ni macam model tak berbayar!'
Isy! Betul ke begitu?
Memanglah zaman sekarang, selendang, rantai, gelang dan cincin menjadi kemestian sesetengah orang.
Belum masuk bab sepatu dan baju kurung. Ada yang nak berfesyen ala ratu kebaya pelakon Mimpi Manis ataupun bagaikan bintang Bollywood.
Nasib baiklah sanggul sudah tidak lagi diperlukan. Kalau tidak... isy... isy...isy... macam hiasan bergerak.
Bagi kami (kaum Adam), tidak perlu berhias seluruh badan. Yang penting bersongkok - tinggi atau rendah.
Ada yang nak glamor lebih sedikit akan gunakan baju kurung berkerdip-kerdipan. Cincin, kain samping dan capal tak lepas!
Jadi, tidak salahlah kalau saya katakan kaum wanita adalah yang paling banyak berhabisan waktu Lebaran.
Jika mereka dapat menggunakan baju kurung lebih kerap lagi daripada memakai skirt mini ataupun kemeja-T ketat, bukankah lebih elok?
Lebih elok lagi, jika remaja mengambil peluang memanfaatkan nikmat Ramadan untuk menyalurkan derma kepada Tabung Amal Aidilfitri (TAA) atau badan-badan Islam dan masjid.



PETIKAN DARI BERITA HARIAN, 8/10/07

Monday, 1 October 2007

Kad Raya Lebih Miliki Nilai Sentimental



BAJU Raya sudah pun dibeli. Langsir sudah digantung. Lagu-lagu Hari Raya diputarkan di corong-corong radio.
Nampaknya, dalam masa kurang dua minggu lagi, kita akan meninggalkan Ramadan yang mulia dan menyambut Syawal.
Dalam kesibukan menyambut Hari Raya suatu ketika dahulu, mungkin ramai yang sibuk mencari kad-kad Hari Raya untuk dijadikan pengganti diri.
Kad yang dijual di gerai dan kedai bermacam-macam jenis - daripada yang formal hinggalah yang penuh dengan unsur-unsur humor.
Apa sahaja yang anda kehendaki, mudah didapati mengikut cita rasa anda.
Kad berharga 50 sen sahaja sudah memadai untuk mendapatkan reka hias yang cantik di luar dan indah di dalamnya.
Apabila kad itu harganya lebih mahal, bermakna ia lebih besar atau lebih istimewa kerana disisipkan pula dengan cip bunyi-bunyian lagu Hari Raya.
Namun, 'batang hidung' kad nampaknya sudah tidak lagi kelihatan. Ia semakin hilang ditelan zaman dan tidak lagi dianggap istimewa di kalangan remaja masa kini.
Sejak kita melalui kehidupan di alaf baru, kad Raya nampaknya sudah digantikan dengan kad siber atau utusan e-mel Raya.
Ini disifatkan sebagai lebih mudah, murah dan segera dikirimkan selewat-lewat pada pagi Hari Raya.
Ada teman yang berasa lega.
'Tidak perlu nak beli setem atau meninjau-ninjau kad di gerai,' katanya.
Bayangkanlah... berapa ramai kenalan kita yang ingin diutuskan kad tersebut. Lenguh tangan menulis, kontang idea untuk mencoret kata-kata indah.
Justeru, apabila kita gunakan e-mel atau SMS, kita mampu mengirimkannya sekali gus. Tidaklah 'berlubang' poket anda tu!
Bagaimanapun, jika ramai yang bertegas dan berterus-terusan ingin menegakkan pemikiran sebegini, alamat tutuplah perusahaan kad Raya. Hilanglah keseronokan menulis kad-kad Raya dengan pesanan khusus!
Secara peribadi, saya rasa kehilangan apabila kad Raya tidak lagi diterima.
Dah tak dapat saya mencoret pantun yang popular suatu waktu dahulu.
Pecah kaca pecah tong,
habis baca, harap digantung.
Kad Hari Raya juga boleh menjadi bahan hiasan rumah yang menarik.
Ada yang menggantungnya pada tali dan dijadikan hiasan tembok. Ada pula yang menggantungnya pada pokok-pokok hiasan di rumah. Apabila diletakkan lampu lap-lip, ia menjadi lebih berseri pada waktu malam.
Hai... kalau dapat e-mel Raya, tak cantiklah. Apabila dicetak, hanya kelihatan rangkaian teks.
Itu pun selepas membacanya, saya hanya akan menekan butang 'DEL' untuk 'membuang' e-mel tersebut.
Bak kata Mat Salih: No sentimental value. Atau tiada nilai sentimentalnya untuk dijadikan bahan kenang-kenangan.