Monday, 28 September 2009

Salahkah beraya SMS sebagai pengganti diri?

BERITA HARIAN SINGAPURA, 28HB SEPTEMBER 2009

KUDUSKANLAH
kemaafan,
tuluskan keampunan,
di hari mulia ini
sucikan diri.

Amboi amboi amboi! Bukan main lagi eh Pak Long ber-dancing. Mak Yam pula, eh eh... Sempat tarik suara! Kalah Siti Nurhaliza! (Macam mak cik-mak cik pula saya buka bicara rencana kali ini! Ha... Ha...)

Sudah-sudah... Berehat dululah Pak Long dan Mak Yam eh. Duduklah sambil minum air dan menikmati kuih Raya ni. Rauuf ada cerita ni. Ahh.... Kali ini, sempena Hari Rayalah kan, Rauuf nak cerita pasal kemaafan. Dah terlanjur dengar Mak Yam nyanyi lagu Nazam Lebaran tadi tu, yang sentuh tentang kemaafan, rasanya nak juga berbual-bual sikitlah pasal adat maaf-bermaafan.

Silap dan salah. Itulah yang menjadi kebiasaan kita yang bergelar insan lakukan. Silap dan salah langkah juga tidak butuhkan sesuatu yang lain jika tidak yang bernama kemaafan.
Kemaafan. Ia bukanlah suatu perkataan yang asing bagi kita. Bahkan, pada musim-musim perayaan sebegini, sering sahaja dilafazkan perkataan itu dalam kita kunjungmengunjungi dari rumah ke rumah. Tak ke gitu Mak Yam?

Rauuf sempat bertanya kepada dua kenalan Rauuf tentang pandangan mereka mengenai kelaziman memohon maaf menerusi alat teknologi canggih seperti telefon bimbit, e-mel, laman Facebook dan lain-lain berbanding dengan dilakukan secara bersemuka atau bak kata Orang Putih, face-to-face. Nak tahu apa kata mereka?

Teman yang pertama ni namanya Norhaslina Taib. Umurnya 26 tahun. Pangkat kakaklah ni bagi Rauuf. Pak Long tau apa dia cakap? Dia kata:
'Ini semua berbalik pada tujuan meminta maaf. Yang pasti nak buang yang keruh dan ambil yang jernih. Jadi, apa saja yang dapat menuju ke matlamat itu, rasanya dah okay-lah tu. Minta maaf menerusi SMS - hati tu biarlah ikhlas. Jangan main forward saja SMS orang lain. Kalau boleh, karanglah kata-kata anda sendiri. Kalau sempat jumpa face-to-face, minta maaflah lagi baik.'

Betul juga kata si Kak Lina ni ya Mak Yam? Jangan main forward sahaja SMS. Ini tidak, balik-balik setiap tahun SMS yang sama juga dia hantar. Tak apalah, sekurangkurangnya ada juga tanda ingatan, kan?

Seterusnya, saya mewawancara seorang lagi kakak. Namanya Nur Hanisah Salleh, 19 tahun. Khabarnya:
'Meminta maaf secara faceto-face lebih okay daripada pakai alat teknologi. Tapi kan, apabila berjumpa tu dan nak minta maaf, paiseh-lah. Jadi, pakai alat teknologi macam lebih selesa gitu.
'Walaupun ada sesetengah orang cakap minta maaf menerusi SMS macam tak ikhlas sangat, bagi akak itu terpulang pada individulah. Mungkin untuk orang yang kita hormati, kita minta maaflah depandepan. Untuk kawan-kawan pula, dah biasa SMS, bukan? SMS sajalah. Kalau untuk teman istimewa pula, kemaafan akan dipohon menerusi SMS dan juga secara peribadi. Ha... Ha... Yelah, pada hari pertama mungkin SMS saja. Lepas hari pertama nanti, barulah berjumpa dan minta maaf lagi. Takkan hari pertama Raya, dah nak jumpa kan?'

Pak Long? Kenapa terkejut? Oh... Sebab dia minta maaf dua kali tu ke? Tulah, Rauuf pun hairan juga. Agaknya, banyaklah tu salah dia dengan mata air dia tu kan? Sebab tu sampai dua kali minta maaf. Hmmm... asal mereka bahagialah, Pak Long.

Meminta maaf pada hari Lebaran memanglah suatu kebiasaan bagi kita di sini. Bahkan, tatkala takbir Aidilfitri mula berkumandang di corong-corong radio, berbondong-bondong mesej Lebaran diterima. Naik rimas Pak Long! Pelbagai jenis SMS yang Rauuf terima. Pantun moden, syair, lawak jenaka dan macam-macam lagi. Terima kasihlah Rauuf ucapkan buat semua kenalan atas tanda ingatan anda.

Menghantar SMS, e-mel dan pesanan melalui Facebook memang jauh lebih mudah daripada berbual secara terang-terangan. Anda hanya perlu menaip sahaja SMS anda. Namun, persoalannya di sini adakah apa yang tertera di skrin telefon bimbit atau komputer itu sama dengan apa yang tersemat di hati? Juga, adakah suara hati memohon ampun seiring dengan lisan yang mengucapkan? Renungkanlah.

Kita manusia hina tidak tersilap daripada noda dengan Tuhan juga insan. Jika kita tersilap langkah dengan Tuhan, pasti ada pelbagai jalan untuk kita memohon ampun seperti bermunajat dan bertaubat. Namun, jika kita tersilap langkah dengan manusia, adakah hati manusia akan memaafkan kita dengan mudahnya seperti mulianya hati Rasulullah saw? Fikirkanlah.
Tidak kira kecil atau besar, tua atau muda, berpangkat atau tidak, kita sesama kita pasti ada melakukan salah. Dan mudah-mudahan dibuang yang keruh dan diambil yang jernih. Juga, dibuang jarum yang patah agar tidak disimpan di dalam peti. Setulus kalbu saya, seiring jari tersusun, ingin saya memohon maaf andai saya tersilap atau terkasar bicara kata selama saya berada dalam arena penulisan ini.

Bermaafanlah sesama kita supaya kita tidak menyesal nanti apabila sudah terlambat masanya untuk kita memintanya. Alah teman-teman, bak kata Timbaland atau One Republic dalam lagu mereka, Apologize. Iyalah, bayangkan anda berada di posisi Ijal (Fauzie Laily) dalam drama Pinggiran Ramadan apabila bapanya, Pak Wahab ( J.A. Halim), meninggal dunia. Dia sudah merancang untuk meminta maaf daripada bapanya sewaktu Syawal. Namun, apa kan daya, belum sempat meminta maaf, bapanya sudah pulang ke pangkuan Ilahi. Jadi, beringatlah. Jika kita ada terbuat salah, janganlah ditunggu Syawal baru hendak meminta maaf, takut-takut nanti tak sempat sampaikan nangis pun tidak berlagu lagi.

Pak Long! Mak Yam! Apasal dah terlentok ni? Kata nak dengar cerita Rauuf? Oh... Bab menyanyi dan menari bukan main ligat lagi eh! Gasing pun kalah. Apabila dengar benda ilmiah sikit, siang-siang dah goal... Ni dah kes kena minta maaf tau! Dan... Kasi duit collection lebih sikit. He... He... Selamat Hari Raya!

Wednesday, 16 September 2009

Corat-coret lebaran

Hari mulia, hari bahagia dan hari untuk tambah pahala dan duit raya


SABAN minggu, dalam kesibukan mereka menuntut ilmu, baik di universiti atau di madrasah, mereka akan menajamkan pena mereka untuk menyumbang kepada ruangan Obor.


Memandangkan Isnin depan, Obor akan bercuti sehari kerana tiada terbitan akhbar menyusuli sambutan Lebaran dan cuti umum bagi warga kerja Berita Harian, kami mengambil kesempatan menyusun 10 jari memohon maaf di atas segala kesilapan kami sepanjang terbitan rencana-rencana untuk pelajar.


Selamat Hari Raya kepada pelajar-pelajar sekalian meskipun ujiannya lebih pada persiapan untuk peperiksaan akhir tahun.


Di ambang Syawal, ikuti coretan humor penulis-penulis Obor mengenai pengertian Hari Raya daripada kaca mata mereka.


SITI NUR IDA MOHD ALI, 22 tahun, mahasiswa tahun kedua Universiti Nasional Singapura (NUS)


Hari Raya adalah hari...: Kemenangan bagi mereka yang berpuasa untuk menghargai rezeki dan mengingati golongan yang kekurangan. Jadi pada siapa yang sengaja 'buka puasa', faham-faham sajalah. Adakah awak juga layak meraikannya? Jangan marah...

Kuih raya paling 'meletup': Corn Crunch Honey Milo yang kami sekeluarga siapkan kerana rasanya memang mmm... melazatkan! Lagi-lagi ia disaluti madu dan serbuk Milo!
Kuih raya paling ketinggalan zaman: Bantal peluk Saloma. Kuih tat sudah lalui perubahan dengan intinya diubah daripada nanas kepada strawberi, blueberry dan lain- lain tetapi bantal peluk Saloma gitu juga. Masih terisi dengan inti kurma.


Lagu raya tidak boleh 'angkat' (atau kata orang sekarang, tidak boleh angss...): Musafir Di Aidilfitri kerana lagunya cukup mendayu. Saya terkenangkan orang tersayang yang sudah pulang ke rahmatullah, lantas menghargai mereka yang masih di samping saya.

Ucapan untuk pembaca Obor: Hari Raya adalah satu kemenangan bagi umat sedunia. Justeru raikannya dengan penuh sederhana. Mohon maaf seandainya saya terkasar bahasa sewaktu mewawancara. Akhir sekali, terus menyokong halaman ini. Kalau bukan kita, siapa lagi?


NOORKIAH MOHD HASHIM, 22 tahun, mahasiswa tahun ketiga Universiti Teknologi Nanyang (NTU)


Hari Raya adalah hari untuk...: Collection!!! Kalau tak dapat 'ronda' dan kumpul duit di semua rumah pun tidak mengapa. Yang penting, abah saya tetap memberikan saya zakatnya walau saya sudah tua-bangka!


Setiap lebaran, gerenti ada...: Rumah yang 'banjir'! Apabila dah beratur untuk meminta maaf dengan mama dan abah, belum sempat menyusun kata, air mata dah bercucuran macam paip air yang sentiasa terbuka!


Setiap lebaran, saya rindukan...: 'Serunding putih' Tok Mak (nenek). Kalau tiada 'serunding putih', tak sah! Saya akan banjiri pinggan saya dengan hidangan ini. 'Bayar niat' betul!
Lagu raya paling 'best': Anugerah Aidilfitri, yang didendangkan Siti Nurhaliza. Ia mengingatkan kita agar sentiasa mensyukuri nikmat dan kesempatan meraikan Syawal. Lagi pun, lagunya catchy. Macam nak buka langkah menari sampai pagi!


NUR SYIFAA' HUSSIN, 21 tahun, mahasiswa tahun terakhir Universiti Malaya


Hari Raya adalah hari untuk...: Apa lagi kalau bukan collect duit raya? Saya masih sekolah apa? Masih layak terima kalau ada yang sudi memberi!


Ia juga hari untuk saya order mak cik dan emak saya untuk masak apa saja masakan kegemaran saya. Ada ketupat, nasi minyak, ayam Portugis...Yang pelik-pelik semua mereka layankan. Ia juga hari untuk saya minta maaf di atas dosa yang terkumpul selama setahun.
Kuih raya paling 'meletup': Chocolate Chip, yang saya buat sendiri! (eh... eh... masuk bakul, angkat sendiri!) Tapi, ia 'sedap gila'. Nak tempah tahun depan?


Kuih raya paling buang current dan ketinggalan 'kereta api': Suji sebab sampai sekarang, tiada yang berani mengubahnya dengan menyisipkan chocolate chip atau strawberi. Mungkin, saya akan usahakan untuk tambah pendapatan saya tahun depan! Kata, 'otak niaga'!
Lagu raya paling menyedihkan: Cahaya Aidilfitri, dendangan Jatt Ali dan Black Dog Bone. Siapakah yang sudi menghulurkan simpati kepada nasibku ini?


Alahai, saya pernah dengar ada orang tarik suara nyanyi lagu ni. Cuma ia memilukan bukan kerana liriknya tetapi terkesan seakan si empunya diri bagaikan nak terbuang air besar! Jangan marah, ya...


Ucapan untuk pembaca Obor: Selamat menjalani malam- malam terakhir Ramadan. Moga dipertemukan dengan Lailatul Qadar. Halalkan segala yang termakan atau terminum. Manalah tahu, dalam bergurau, saya tersindir, tertegur atau buat bermacam-macam 'ter' lagi... Isy... tak sengaja tu. Dah namanya 'ter'.


MUHAMMAD HAFIZ SALLEH, 21 tahun, mahasiswa tahun pertama NUS


Hari Raya adalah hari untuk ...: Kita semua bergembira selepas sebulan 'merehatkan' perut kita. Meminta maaf dan memikirkan berapa banyak dosa yang kita buat, juga suatu kewajipan. Sejak umur dah bertambah, saya tak fikir lagi soal duit raya walaupun ada yang kata, muka saya masih macam pelajar menengah empat! Maknanya masih ada chance-lah tu!


Hidangan raya yang melecehkan: Kuih tat sebab ia boleh terselit di celah-celah gigi! Wajik dan dodol juga sebab selain terselit pada gigi dan 'bergetah', tak sesuai dengan cita rasa sekarang. Tanya budak-budak sekarang. Tak tahu pun macam mana wajah si wajik!

Lagu raya paling 'power': Salam Dunia, dendangan M. Nasir sebab seni katanya amat bermakna dan global sekali!


Lagu raya paling merapik: Ewa-Ewa Hari Raya. Dahlah cakap pasal kain langsir ela-ela, nenek rambut putih dan si datuk pula berjanggut merah! Ia lagu untuk budak-budaklah. Bayangkan kalau datuk kita betul-betul pelihara janggut merah! Tak ke havoc namanya tu?

NURUL HANNAH MOHD AMRAN, 19 tahun, mahasiswa tahun pertama NUS


Hari Raya adalah hari untuk: Saya naikkan berat badan saya yang asyik-asyik tak 'naik'! Walaupun makan saya boleh tahan, setiap kali beraya, saya jadi sasaran orang-orang yang nak 'sihatkan' saya. Macam-macam kuih dan lauk-pauk mereka hidangkan!


Kuih raya yang buat saya puas hati...: Kuih tat eksklusif buatan emak saya! Emak memang tak lokek bab mengisi inti. Tekstur tatnya jauh lebih lembut. Saya cuma makan kuih tat emak saja!
Kuih raya 'minta ampun': Makmur. Tak tahulah. Asal saya makan saja, mesti terkena cirit-birit! Lagi pun, kuih ni antara yang paling leceh sebab perlu menyepit permukaannya!


Santapan halwa telinga di pagi raya: Lagu raya Indra Shahril, Selamat Hari Raya. Sebab ia disisipkan dengan nama-nama Pochong, Mamat, Johnny dan Muthusamy. Teringat zaman saya kanak-kanak beraya dengan sepupu dan teman-teman.


ABDUL RAUUF MASKHAZIN, 18 tahun, pelajar Madrasah Aljunied Al-Islamiah


Hari Raya adalah hari untuk...: Kumpul duit! Saya harap Kak Yani, Kak Syifaa' Kak Hannah, Kak Ida, Kak Kiah dan Abang Hafiz...jangan lupa zakat untuk saya, ya? Saya akan 'serang' rumah anda. Lagi pun, tahun depan, saya merancang melanjutkan pengajian ke luar negara selesai pengajian di madrasah. Tak tahulah kalau ada orang Arab yang simpati nak beri zakat!
Kuih raya paling 'meletup': Bantal peluk Saloma. 'Syurga dunia' betul bila masuk dalam mulut. Er... tak ada ke kuih bantal peluk Siti Nurhaliza?


Kuih paling tak rok: Kuih berwarna-warni tetapi hanya gaulan tepung dan mentega saja. Kuih ni, saya panggil biskut 'boleh telan'.


Lagu raya paling diminati: Bulan Kedamaian. Ia antara lagu-lagu raya Siti Nurhaliza yang melambak-lambak yang saya minati. Ia paling menusuk kalbu kerana unsur dakwah dan rentak Arabnya.


Ucapan untuk pembaca Obor: Salam Lebaran. Semoga segala amalan di bulan Ramadan diberkati. Kalau saya tersindir teman-teman dalam rencana saya, saya minta maaf setulus hati saya. Jadikan Syawal bulan bermaafan.

Monday, 24 August 2009

Terlajak kereta boleh 'gostan' tapi...

BERITA HARIAN SG, 24 OGOS 2009

MIM, wau, lam, wau dan ta. Apa bunyinya ya?

Lama tidak saya belajar Bahasa Jawi. Kalau tidak silap saya, bunyinya 'mulut' bukan?

Kalau bunyinya begitu, itulah yang sebenarnya saya maksudkan.

Ingat lagi tak pepatah yang berbunyi: 'Kerana pulut, santan binasa, kerana mulut, badan binasa.'

Apa? Tak ingat? Kasihan guru bahasa Melayu anda.

Mulut. Cubalah anda teka apakah yang akan saya perkatakan kali ini?

Makan? Salah.

Puasa? Cuba lagi.

Kemudian apa?

Ahh... Kali ini saya akan berbicara tentang apa yang dikeluarkan daripada mulut. Bukanlah muntah atau air liur tetapi perbualan atau percakapan.

Kerana mulut, mulalah kita beramah mesra dengan orang. Kerana mulut juga, pahala kita boleh berlipat ganda banyaknya.

Sayangnya... kerana mulut juga, bertepek-tepek dosa kita. Aduhai.

Bertutur atau bercakap sememangnya mudah.

Iyalah, bagaikan air!

Paip rumah anda tu, kalau tidak dimatikan, tentu sekali akan terus mengalir bukan?

Samalah dengan mulut kita, boleh sahaja 'jalan terus' tanpa henti-henti.

Namun, adakah apa yang kita selalu cakapkan itu benar-benar menggembirakan hati pendengarnya? Atau apakah setiap kalimah yang terkeluar daripada mulut kita menghiris hati seseorang?

Cuba fikirkan.

Ada satu pepatah lama berkenaan terlajak perahu yang saya 'barukan' dan berbunyi begini:

'Terlajak kereta masih boleh 'gostan' lagi tetapi terlajak kata, buruk padahnya. (Maaf Cikgu Ariff ya? Saya sengaja gunakan bahasa begitu untuk menarik minat pelajar.)

Apa yang dikatakan pepatah itu memang benar sekali tiada keraguan padanya. Iyalah, apa yang sudah keluar daripada mulut sememangnya sukar untuk ditarik semula.

Agaknya, sebab itulah keluar kekata, 'takkan dah ludah, nak jilat semula'.

Kita beralih pula kepada senario sekolah. Masih lagi ingat dialog sebegini di kelas-kelas anda?

'Kamu semua tak tahu diamkah?' atau mungkin 'Saya mahu seorang sahaja yang berbual dalam kelas. Sama ada saya atau kamu.'

Anda, para pelajar semua, perasan tak apabila guru kita sedang berbual, kita juga akan turut berbual sama?

Tetapi apabila dia marah dan kemudian berkata: 'Awak hendak cakap sangatkan? Cepatlah cakap,' kita akan diam.

Hairankan?

Tapi itulah sebenarnya yang berlaku hari demi hari di sekolah.

Rasa-rasa saya, guru kita ni semua mesti menggunakan reverse psychology atau psikologi terbalik.

Bercakap memang mudah. Apa yang anda mahu cakapkan anda boleh lakukan.

Cakap sajalah suka hati anda. Tiada yang menghalang.

Cuma... Apabila hendak bercakap tu, tengok-tengoklah waktunya.

Takkanlah sewaktu Imam sedang berkhutbah, kita hendak bercakap pula? Ustaz saya bilang, gugur tau pahala orang yang bercakap sewaktu berlangsungnya khutbah Jumaat. Sia-sia sahaja.

Bulan Ramadan baru sahaja bermula.

Mengapa tidak kita cuba mengawal diri kita daripada mengatakan sesuatu yang kurang atau langsung tiada faedahnya?

Cubalah kita mempraktikkan sebegitu. Mudah-mudahan tidaklah kita mengeluarkan kata-kata yang tidak bermanfaat.

Kalau kata-kata maki hamun, cacian dan kutukan menjadi 'zikir' hampir setiap hari, mengapa tidak kita cuba kurangkan? (Mungkin ada yang kritik perkataan 'kurangkan' dalam penggunaan ayat saya tadi. Saya gunakan 'kurangkan' kerana agak mustahillah kalau seseorang yang suka maki tiba-tiba esoknya terus berhenti. Bukankah kita perlu masa untuk berubah?)

Mulut kita memang nakal.

Rasanyalah, kalau ada mesin yang boleh kira dah berapa banyak perkataan yang hanya mendatangkan dosa kita keluarkan daripada mulut.

Mengumpat kadangkala tu sudah jadi semacam hobi bagi sesetengah orang tetapi cuba anda fikirkan apakah agaknya perasaan seseorang yang menjadi mangsa umpatan itu?

Apabila anda menghina seseorang pula, cubalah anda fikir apakah diri anda terlalu sempurna?

Apabila anda membuka aib seseorang, cubalah anda bayangkan apakah anda mahu satu hari nanti, aib anda diperlihat kepada orang ramai?

Tentu sekali anda tidak mahu kerana memalukan bukan?

Jadi, selagi nikmat mulut dan suara yang masih boleh terkeluar itu diberi Allah, jagalah ia dengan sebaiknya.

Rasanya sekian sahaja rencana saya kali ini. Pesanan saya, makan boleh sebarang makan, cakap jangan sebarang cakap. Cakap yang terbaik sekali tentulah memuji keagungan Ilahi. Salam Ramadan, seikhlas hati.

Monday, 17 August 2009

Zoom... jenguk warga Singa berpesta

BERITA HARIAN SG, 17 OGOS 2009

44 TAHUN. Itulah usia Singapura. Pulau titik merah berjiwa besar ini. Selamat Hari Jadi Singapura!

Baru seminggu yang lalu berakhirnya Hari Kebangsaan yang diraikan seluruh Singapura. Tak begitu?

Kali ini saya akan membawa anda menaiki permaidani ajaib saya bagi meninjau apakah sambutan yang diraikan pada 9 Ogos lalu oleh sebahagian rakyat Singapura dan apa pula harapan mereka?

Apa ditunggu lagi? Yuk, naik permaidani ajaib saya! ZOOM ZOOM alaka ZOOM!

Dari jauh, saya lihat Mak Joyah bukan main lagi! Berjoget macam nak patah pinggang! Encik Mutu pun tak nak kalah, sempat buka set karaokenya mendendangkan lagu-lagu rakyat. Bukannya salah pun. Iyalah, setahun sekali acara sebegini disambut. Janganlah malu Encik Mutu, saya dari permaidani ajaib saya nampak tau!

Saya lihat dari atas. Ada yang sanggup duduk berjam-jam di sekitar Esplanade hanya untuk menyaksikan bunga api yang meletup-letup kurang dari sejam lamanya. Wah! Ada pula yang bersantai-santai di pantai... Ramai betul orang!

Sempat saya jenguk-jenguk rakan-rakan saya di luar sana dan bertanyakan mereka tentang cara mereka menyambut Hari Kebangsaan serta apa yang mereka banggakan menjadi rakyat Singapura.

Faris Alfiq, pelajar Maktab Rendah Jurong, berkata:

'Biasanya, saya menyambut Hari Kebangsaan dengan bersantai-santai sahaja di rumah.

'Apabila perarakan disiarkan di televisyen, saya akan menonton dengan keluarga saya. Ini secara tidak langsung dapat mengeratkan hubungan kekeluargaan antara kita.

'Saya amat kagum dengan titik merah yang kini sudah 'membesar' di mata dunia. Kekaguman ini sekali gus membuat saya rasa bangga menjadi rakyat Singapura.

'Ucapan saya sempena ulang tahun Singapura yang ke-44 ialah semoga ia akan terus makmur.'

Seorang lagi yang sempat saya temu ramah ialah Nurul Farhana dari Madrasah Wak Tanjong Al-Islamiah.

Ketika ditanya, beliau menjawab:

'Saya menyambut Hari Kebangsaan dengan mengadakan sesi makan malam dan melihat bunga api bersama keluarga.

'Harapan saya agar Singapura terus maju dan rakyatnya terus bahagia di samping satu sama lain. Saya bangga menjadi anak watan Singapura kerana sikap pemerintah yang prihatin kepada rakyatnya dan kerana Singapura merupakan antara negara termaju walaupun saiznya kecil.'

Melihat percikan warna-warni bunga api, menyaksikan perarakan di pelantar Marina Bay, bersantai di tepian pantai, berkaraoke lagu-lagu rakyat...Wah! Bermacam-macam aktiviti dilakukan, ya? Anda pula bagaimana? Buat apa? Ada yang menangis membaca ikrar tak? Aduhai! Emo betul!

Singapura kini berusia 44 tahun dan tujuh hari. Negara kita semakin dewasa dan ekonomi semakin pesat. Alhamdulillah. Sudah seronok menyambutnya, ingin ditanyakan sedikit beberapa perkara.

Selama kita berada di Singapura ini, apakah sumbangan kita kepada negara? Adakah kita jenis bak kata orang Cina: Bohcap? Cuba anda fikirkan.

Sempena ulang tahun negara kita ini, satu perkara yang saya rasa perlu kita lakukan ialah mensyukuri nikmat yang kita perolehi. Nikmat yang dimaksudkan ialah nikmat rezeki daripada Tuhan dan juga keamanan.

Secara ringkasnya, bagi nikmat rezeki, saya katakan pada anda, walaupun kita susah di Singapura, pemerintah tetap akan memberi bantuan seperti menyediakan peluang pekerjaan dan sebagainya.

Bagi nikmat keamanan pula, kita patut lebih bersyukur kerana kita dijaga rapi oleh pasukan pertahanan awam dan tentera kita yang begitu gigih melaksanakan tanggungjawab.

Kalau anda peka dengan warta dunia, pasti anda perasan bahawa banyak negara dilanda kekacauan. Bahkan, beberapa negara jiran kita juga sering mengalami kekacauan.

Masa demi masa, kita semakin tua... begitu jugalah Singapura. Kalau keadaan manusia semakin meningkat usia, ia kelihatan agak uzur dan tidak bermaya tetapi perkara ini berlawanan sekali dengan Singapura!

Anda perasan tak? Semakin tua negara kita, semakin cantik dan berseri-seri dengan bangunan beraneka bentuk moden dan unik.

Semoga kita akan sentiasa hidup dalam kedamaian dan semoga Singapura akan terus berada di persada dunia.

Sekian. Selamat Hari Jadi Singapura!

Monday, 3 August 2009

Dalam meraih kelebihan kemerdekaan, jangan dilupa yang kekurangan

BERITA HARIAN SG, 3 OGOS 2009

'HAI mak cik, awat dok pasang langsir merah? Pak cik pula awat dok cat dinding rumah merah? Serba-serbi merah na..' Ha... ha... ha... Berbahasa Kelantan pula saya kali ni ya? Entah betul, entah tidak.

Apa khabar saudara-saudari pembaca sekalian? Harap-harap sihatlah ya. Macam mana pula dengan persiapan Hari Kebangsaan? Ada yang pasang langsir merah? Ada yang cat dinding rumah merah? Wah! Berkobar-kobar hendak menyambut Hari Kebangsaan! Bukan main lagi!

44 tahun. Itulah usia Singapura menjelang 9 Ogos nanti. Pada hari itulah nanti, ramai yang akan berpesta bersuka-ria menyambut Hari Kebangsaan.

Dalam kita bergembira, pasti ada yang berduka. Isy, macam lirik lagu raya pula. Tapi ada benarnya bait-bait lirik itu. Ada di antara kita sering leka ataupun sengaja buat tak endah dengan segolongan orang Singapura sendiri. Ke mana perginya, pegangan 'Marilah kita bersatu...' yang kita nyanyikan saban tahun? Ke mana pula hilangnya ikrar, 'We, the citizen of Singapore pledges ourselves as one united people...'?

Adakah ia sekadar pemanis mulut setiap 9 Ogos? Cuba renungkan.

Golongan yang saya maksudkan ialah mereka yang serba serbi kekurangan. Kekurangan bukanlah dari segi harta tetapi dari segi anggota zahir. Ada yang ada mata tetapi tidak dapat melihat. Ada yang ada telinga tetapi tidak dapat mendengar. Ada pula yang ada kaki tetapi tidak segerak langkah pun yang dapat dibuat. Manusia oh manusia, tidak terlepas daripada cacat-celanya.

Cuba kita bayangkan diri kita berada di tempat mereka. Tentu sekali sukar bukan? Pernahkah kita mensyukuri nikmat kesempurnaan yang diberi-Nya? Bayangkan esok pagi, anda bangun dan pandangan anda gelap. Bayangkan, anda tidak dapat lagi mendengar laungan azan. Bayangkan juga, anda tidak mampu bergerak mengorak langkah ke masjid. Naudzubillah.

Bukanlah niat saya hendak mematikan kegembiraan anda dalam menyambut Hari Ulang Tahun Kemerdekaan Singapura tetapi saya sekadar ingin mengingatkan bahawa dalam kita bersuka-ria nanti, janganlah dilupa pada golongan kurang upaya ini.

Golongan sebegini juga sering ditertawa dan dicemuh ramai. Gerak-geri mereka memang ada kalanya menggeletek hati tetapi itu tidak bermakna mereka boleh diperbodohkan. Walaupun kita lihat ada di antara mereka yang kurang sifat malu, janganlah sampai anda ambil kesempatan daripada mereka. Hormatilah mereka seadanya.

Janganlah pula anda memperanaktirikan warga Singapura seperti mereka. Manusia semuanya serupa. Apa yang membezakan kita hanyalah iman dan takwa kepada-Nya.

Saya hairan dengan sesetengah pihak yang tidak mengendahkan golongan sebegini. Katanya, mereka tidak membawa hasil untuk masyarakat. Katanya juga, mereka buat malu kita sahaja. Katanya lagi, ekonomi takkan berganjak kalau hendak dibantu golongan sebegini.

Aduhai. Busuk sangatkah mereka? Saya rasa, kalau hendak dibandingkan golongan kurang upaya dengan remaja yang tak tentu arah di luar sana, golongan kurang upaya inilah yang lebih banyak membawa hasil kepada Singapura.

Sekurang-kurangnya, mereka boleh mengharumkan nama negara di dalam bidang sukan bagi golongan seperti mereka.

Saya memuji langkah pemerintah Singapura menyediakan kemudahan bagi golongan sebegini seperti mengadakan lif di setiap tingkat flat serta mempermudahkan mereka untuk menaiki bas dan MRT. Restoran KFC juga jika tidak silap saya, ada mengambil beberapa golongan istimewa ini untuk menjadi pelayan. Syabas saya ucapkan!

Semoga 9 Ogos nanti, ikatan sesama anak watan kita akan lebih kukuh dan kita akan kekal bersatu dan maju! Sekian. Selamat Hari Kebangsaan ke-44!

Tuesday, 21 July 2009

Dilema remaja - kad prabayar atau bil langsung?

BERITA HARIAN SG, 20 JULAI 2009

DILEMA demi dilema membelenggu kehidupan mereka. Mereka bukan dilanda dilema kerana bercinta. Tetapi kerana telefon bimbit, bil telefon dan kad prabayar.
Misalnya, yang terdengar dek telinga ini termasuk:
'Kalau gunakan bil boleh dapat telefon bimbit percuma tapi untuk kad prabayar, tak dapat apa-apa tapi bil kalau melambung macam mana, eh?
'Mungkin tak melambunglah, kan ada penggilan keluar percuma dan SMS tanpa had. Kalau melambung pun, takkan sampai beribu. Lepas tu kalau tak cukup duit nak bayar bil macam- mana ni? Eh nak pakai bil ke kad prabayar ni? Kad prabayar tentunya leceh! Bila habis kena tambah nilai lagi. Bil pula jalan terus.'
Mungkin inilah antara dialog orang yang sedang dilema. Dilema mahu memilih antara bil dan kad prabayar.
Tidak dapat dinafikan lagi, memang banyak sangat tawaran yang ada waktu ini lebih-lebih lagi dengan kehadiran jualan murah yang masih lagi berlangsung.
Bukan sahaja kedai-kedai di pusat membeli-belah yang ada jualan murah, syarikat- syarikat penyedia khidmat seperti SingTel, StarHub dan M1 juga tidak mahu ketinggalan dalam memberikan khidmat yang terbaik bagi penggunanya.
Pelbagai tawaran yang diberikan seperti telefon bimbit percumalah, komputer riba percumalah, alat pemain MP3-lah dan macam-macam lagi.
Membaca dialog tadi, saya rasa anda sudah pasti dapat meneka apa yang akan dibualkan rencana kali ini. Bil atau kad prabayar? Sewaktu cuti sekolah Jun lalu, sempat saya mewawancara dua pelajar tentang yang manakah mereka rasa lebih baik digunakan.
Seorang pelajar Sekolah Menengah Pasir Ris yang juga merupakan pengguna kad prabayar, Muhammad Nabil Amsyar, 15 tahun, berkata:
'Dengan menggunakan kad prabayar, saya boleh mengagak dan mengawasi penggunaan saya. Juga, saya boleh periksa berapa banyak baki dah tinggal dalam kad prabayar saya.
'Kalau pakai bil, takut nanti bila dapat bil sekali tengok, dah melambung. Bagi saya, kalau nak pakai bil bolehlah tapi perlu pandai kawal penggunaan.'
Seorang lagi pelajar yang juga merupakan pengguna kad prabayar, Siti Azura, berkata:
'Saya tak pakai bil sebab emak saya tak izinkan dan lagi pun kalau pakai kad prabayar ni memang jimat gila.'
Beliau yang merupakan pelajar Sekolah Northlight dan berusia 14 tahun menyambung perbualannya.
'Kalau nak pakai bil, saya takut nanti melambung pula. Lagi pun saya dah lama juga guna kad prabayar. Saya kumpul duit sendiri. Biasanya satu kad prabayar itu boleh tahan dalam masa seminggu. Hobi saya memang suka SMS atau telefon kawan-kawan saya, lagi-lagi bila boring tak ada kerja.'
Saya pernah menggunakan kad prabayar dan saya memang setuju apabila ada yang kata ia menjimatkan. Iyalah, satu kad prabayar yang berharga lebih kurang $18 itu boleh digunakan selama sebulan lebih. Mana tak jimat namanya tu?
Cuma yang hairannya, Siti Azura yang saya wawancara itu 'menop-up' (ini bukan bahasa baru ya dik, ini bahasa salah, sekadar nak sedapkan bunyi)... sebenarnya menokok kad prabayarnya seminggu sekali.
Bukankah lebih baik ambil bil? Kadar bayaran bil sebulan mungkin sekitar $30 berpatutan dengan cara penggunaan kita. Tidakkah anda rasa penggunaan bil lebih sesuai baginya?
Dalam menggunakan bil itu, jangan buat macam esok tiada hari untuk berbual. Saya masih ingat lagi sewaktu di peringkat rendah ketika saya mula-mula gunakan bil.
Dalam masa sebulan, bil saya sampaikan melambung hingga ke $200!
Bukankah membazir namanya tu? Kalau disimpan duit itu tadi, boleh buat belanja yang lebih bermanfaat!
Bila jumlahnya dah tinggi, saya pun apa lagi? Sembunyikanlah. Tapi lama-kelamaan diketahui juga oleh ibu saya.
Katanya, benda yang busuk kalau disimpan tetap akan diketahui juga. Bukan saya bangga atas kesilapan yang dilakukan tetapi sekadar menjadi iktibar buat semua pembaca agar tidak mengikuti jejak langkah negatif saya itu.
Jadi, kad prabayar atau bil? Itu sebenarnya terpulang pada anda.
Kalau ditanyakan pada saya, bagi yang ingin lebih penjimatan dan pengguna telefon bimbit peringkat asas, saranan saya gunakan kad prabayar kerana anda dapat belajar mengawal kewangan anda dari situ.
Kemudian mungkin setelah penggunaan anda agak mantap, bolehlah langsung maju ke bil. Yang terpenting, cuba elakkan daripada pembaziran.
Daripada dibazirkan duit untuk sesuatu yang kurang manfaat, lebih baik didermakan sahaja wang itu.

Monday, 6 July 2009

Selagi stok masih ada, berbelanjalah asal sedang-sedang saja


BERITA HARIAN SG, 6 JULAI 2009

'I nak yang itu!'
'I nak yang ini!'
'Ini pun cantik, bolehlah!'

AGAK-AGAK anda, di mana anda boleh dengar dialog sebegini? Di pasar Geylang? Hmmm... Mungkin. Di kedai kopi? Boleh juga. Di tandas awam? Takkanlah. 'Bedek' namanya tu.
Bukan pasar Geylang yang saya mahu perkatakan. Bukan juga kedai kopi yang ingin dibicarakan. Jauh sekali, ingin saya membincangkan tentang tandas awam. Yang saya cuba maksudkan di sini ialah... Ragam orang di pusat-pusat membeli-belah.
Saya beri anda tiga perkataan: jualan, murah dan diskaun. 'Tidaaak!'
Berdrama pula Rauuf kali ini.
Jualan murah dan diskaun. Itulah yang akan saya bincangkan kali ini. Saya yakin anda semua sudah mengetahuinya. Kalau yang tidak tahu lagi itu, Jualan Raksasa Singapura (GSS) sedang berlangsung hingga 26 Julai ini. Jadi, apa lagi ditunggu? Jom shopping!
Nanti dulu! Sebelum anda shopping, apa kata anda baca rencana saya dulu? Boleh?
Nampak yang itu cantik, nampak yang ini lebih cantik, ke sudut yang sana pula: 'Ya Allah! Cantiknya!'
Mungkin itulah antara ragam sebahagian golongan kaki shopping. Nak pilih kadangkala punyalah susah, dilema dibuatnya. Dah cantik itu satu hal, murah pula tu. Mana tidak si kaki-kaki berbelanja ni naik 'gila' dibuatnya? Dah gila, 'buta' pula itu.
Buta? Jangan terperanjat. Buta yang saya cuba maksudkan di sini ialah tidak tahu apakah barangan yang diperlukan dan yang dimahukan.
Kerana tidak tahu yang mana satu perlu dan yang mana satu mahu, mata pun dibutakan dengan barangan murah dan cantik, jadi apa lagi?
Tanpa berfikir panjang terus membeli. Maaflah kalau istilah 'buta' yang saya gunakan ini agak kasar. Saya pun ada kalanya buta juga. Cakap saja pandai. He... He...
Jadi, apakah itu kemahuan dan apa pula keperluan? Menurut fahaman saya yang daif ini, kemahuan lebih bersifat keinginan seperti budak-budak tadika kata: 'Saya nak gula-gula.'
Keperluan pula menurut saya ialah sesuatu perkara yang mesti ada.
Kalau tiada mungkin boleh memudaratkan diri. Contohnya, orang yang sakit, pasti perlukan ubat bukan? Dapat bezakan?
Baiklah, berbalik pada topik shopping kita kali ini. Bagaimanakah dapat kita bezakan antara 'perlu' dan 'mahu'? Saya beri anda dua senario: anda cuba teka ya?
Pertama, mungkin anda adalah penggemar beg. Di rumah anda ada beg yang pelbagai jenis dan jenama. Kemudian anda nampak sebuah beg baru di pusat membeli-belah dan harganya pula memang diskaun habis! Anda apa lagi? Tanpa berfikir panjang, terus membeli.
Kedua pula, anda hanya ada dua beg. Satu kecil dan satu lagi besar. Kemudian beg besar anda koyak dan beg tersebut merupakan beg anda untuk dibawa ke sekolah. Dengan itu, anda pun beli barulah.
Jadi, sudah dapat anda teka yang mana satu perlu dan mahu? Senario pertama merupakan kemahuan. Iyalah, anda mempunyai banyak beg tetapi anda tetap membelinya kerana anda mahu. Inilah namanya 'dibutakan' dengan diskaun dan jualan murah.
Senario kedua merupakan keperluan. Iyalah, beg anda sudah koyak. Jadi, agak munasabah kalau dibeli baru.
Mahu dan perlu. Dua perkataan yang hampir sama maknanya. Sebelum anda membeli sesebuah barangan, fikirkan dahulu kepentingannya, barulah dibeli. Dalam membeli itu, janganlah sampai besar pasak dari tiang, besar sendal dari gelegar ya?
Ada pula kes yang saya dengar ingin menunjuk-menunjuk dengan pembeliannya. Adalah hamba Allah ni kata: 'Aku beli baju dari butik dekat seberang. Tak kisahlah harganya. Baju di Geylang murah dan tiada mutunya. Entah-entah pakai sekali dah koyak.'
Isy... isy...isy... Bukan main sombong! Jangan pula gajah berak besar, anda pun nak berak besar... 'Buasir' jawabnya! Berbelanjalah mengikut tahap pendapatan anda. Yang penting, jangan boros!
Diskaun dan jualan murah adalah satu bonus bagi yang ingin berbelanja. Maklumlah diskaun boleh diperolehi sehingga 80 peratus. Tak dapat disalahkan kalau terbuta dengannya.
Baru beberapa minggu lalu, sempat saya ke pameran teknologi maklumat, PC Show. Barangan di sana memang agak murah berbanding harga biasa. Hairannya, walaupun sesak dengan berbondong-bondong orang, ramai yang pulang dengan barangan di kanan dan kiri mereka. Mungkin murah sangatlah tu. Jadi, saya kira, manfaatkan jualan murah ini selagi 'stok masih ada...'
Baiklah, tamat sudah rencana saya. Anda nak berbelanja? Pergilah... Ingat-ingat... Kalau nak berbelanja, ingat-ingat jangan buta dan ingat-ingatlah rencana saya!

Monday, 29 June 2009

Sleeq terkenang kisah klasik dan 'ClassiQ' yang menyentuh hati

BERITA HARIAN SG, 29 JUN 2009

by Muhammad Hafiz Salleh & Abdul Rauuf Maskhazin

KALAU Syarif (Sleeq) merayu kepada si jelita 'Pilihlah aku... jadi pacarmu,' temannya, Alyph pula menyeru supaya anda 'Pilihlah aku... jadi teman di Simpang Bedok.'
Begitulah kelakarnya duo remaja, Sleeq, yang baru melancarkan album terbaru mereka, ClassiQ, ketika ditemui selepas menghadiri sidang akhbar Kelab Obor, baru-baru ini.
Mereka diminta melengkapkan frasa daripada salah sebuah lagu terkenal mereka, Pilihlah Aku.
Menyentuh tentang ClassiQ yang memuatkan 13 keratan lagu (sembilan daripadanya berbahasa Melayu dan empat lagi dalam bahasa Inggeris), Syarif berkata:
'Kami mengeluarkan album klasik ini untuk sasaran golongan yang lebih matang. Kami cuba mengekalkan identiti Sleeq di samping bermain dengan genre-genre muzik yang lain.
'Kami harus membuat banyak kajian dan mendapati prosesnya amat sukar,' ujar Syarif ketika mengulas mengenai kelainan yang ada pada album terbarunya itu.
Alyph pula mendedahkan apabila mereka menerbitkan lagu mereka sendiri, mereka mahu lagu itu bertahan bukan untuk satu atau dua tahun, tetapi mereka memastikan ia tetap malar segar sekurang-kurangnya lima hingga enam tahun.
Pengarah Serantau Labels of Love, Cik Jihan Jauhar, yang menguruskan Sleeq menyifatkan kumpulan itu sendiri unik kerana mereka bukan saja menyanyi tetapi memiliki daya kreativiti yang tinggi.
'Mereka ada keserasian untuk merakam lagu bersama-sama dan memiliki cita rasa yang sama walaupun adalah dua individu berbeza,' katanya lagi.
Apabila menyentuh mengenai perkara 'klasik' yang masih dilakukannya hingga ke hari ini, Syarif mengaku bahawa dia masih menyimpan patung miniatur seperti wira, Batman dan Power Rangers.
Alyph pula masih menyimpan kereta Tamiya dan permainan Digimon. Namun, dia mendedahkan bahawa dia tidak menyukai versi terbaru permainan itu.
Selain menyanyi, duo daripada Politeknik Temasek ini juga mempunyai bakat-bakat lain.
Alyph suka melukis sebab itu dia mengambil kursus reka bentuk produk. Syarif pula gemar bermain badminton dan kini melakukannya sebagai hobi.
Alyph dan Syarif kelihatan begitu seronok melayan soalan-soalan wartawan cilik yang menghadiri sidang akhbar bagi peraduan mencipta surat khabar Kelab Obor, 24/7, yang diadakan selama 24 jam hingga keesokan harinya.
Ketika diminta mengulas mengenai soalan-soalan yang ditanya pelajar, Syarif mendedahkan bahawa sesi itulah peluang keemasan untuk pelajar tampil bertanya dan tidak hanya menonton persembahan mereka.
Kesemua soalan yang diajukan, jelas mereka, amat menarik dan ada juga soalan yang tidak dapat mereka jangkakan. Misalnya, pernah nampak hantu dan apa akan berlaku kalau ada gadis 'melamar' Syarif.
Namun, ditanya soalan mana yang disukai, kedua-duanya berkata bahawa ia merupakan kebijaksanaan membuat pilihan - sama ada mereka akan menerima tawaran kerja yang baik atau tawaran merakam album.
Namun, jauh dari menjawab dengan bernas soalan-soalan serius, Sleeq juga pantas menjawab soalan-soalan merapik dan lucu.
Kalau terperangkap dalam lif, apa yang akan dilakukannya?
Jawab Alyph: 'Saya akan gunakan telefon bimbit saya untuk menghubungi seberapa ramai kenalan yang boleh.
'Bahkan, jika berkesempatan, saya akan cuba memaksa membuka pintu lif atau memecahkan bahagian atas lif sepertimana yang dilakukan di dalam filem-filem ala Superman.'
Dengar khabar, awak berdua ni takut pada cicak. Betul ke?
'Saya memang takut sekali dengan binatang seperti cicak! Pernah sekali semasa rakaman, saya nampak seekor cicak.
'Apa lagi, kita berdua terus lari! Pernah juga kami di dapur di mana kelihatan cicak. Seram to the max-lah!
'Sebelum masuk dapur kita pijak-pijak dulu lantai, macam nak takut-takutkan cicak. Jadi, bila jejakkan kaki dalam dapur, cicak dah tiada. Ooi... selamat!' ujar Syarif.
Namun, di sebalik nada jenaka ini, apabila ditanya apakah gadis yang 'Cun Saja' (seperti nama lagu popular mereka) bagi mereka, Syarif menambah dia lebih menyukai gadis yang boleh menjadi dirinya sendiri.
'Saya juga suka gadis yang pembersih dan senang diajak berbual dan tidak terlalu pendiam,' jelasnya.
Alyph pula meminati gadis yang 'street smart' (bijak dalam hala-tuju kehidupan) dan juga mempunyai cita-cita dan visi dalam hidup.
Tetapi, yang amat mustahak bagi Alyph ialah cinta sejati kerana dia mahukan gadis yang bukan sahaja mencintainya buat setahun dua tetapi buat selama-lamaya, walaupun raut wajahnya berubah!
Hhmmm.... begitu 'klasik' pengertian cinta Alyph.
Kepada mereka, diucapkan 'Selamat Maju Jaya.'

Bila Robot Buat kelakar

BERITA HARIAN SG, 29 JUNE 2009


BAYANGKAN kalau robot kuning menyala yang bersedia membaham mangsa menangis 'berbaldi-baldi air mata' kerana tuannya bakal meninggalkannya.
Tak ke kelakar namanya? Transformers: Revenge of the Fallen 'memancing' bermacam jenis respons dari media antarabangsa dan setempat. Ada yang, malahan memberinya reviu paling teruk - setengah bintang dari sejumlah lima bintang penilaian.
Teruk sangat ke filem ini? Bagi saya, filem ini agak memeningkan jika anda bukan penggemar siri Transformers. Terlalu banyak istilah robot dan bermacam jenis robot menyakitkan kepala saya.
Bagaimanapun, kalau saya kupas filem ini dari segi tema kekeluargaan dan kehidupan remaja, ia menyentuh tentang apa yang menjadi dambaan seorang belia, Sam.
Sam inginkan kebebasan dari kedua ibu bapanya dan rakan baiknya, Bumblebee (sebuah robot). Lantaran itu, dia meneruskan pengajiannya ke East College dalam bidang kaji bintang.
Bagaimanapun, hasrat itu tidak berkekalan apabila puak Decepticons (robot jahat), musuh Autobots (robot baik) menyerang bumi.
Sebelum ke East College, Sam sempat memberikan kekasihnya, Mikaela pecahan besi Allspark yang merupakan sejenis alat yang dapat menghidupkan sesuatu benda itu menjadi robot.
Mikaela kemudian menyimpannya di peti besi di tempat kerjanya. Tanpa disedari Mikaela, Wheelie yang merupakan robot perisik Decepticons, cuba mencurinya. Langkahnya membuka peti besi itu telah menarik perhatian Mikaela sehinggakan dia ditangkap.
Decepticons mula menyerang bumi. Sam yang baru masuk kolej tidak dapat menumpukan perhatiannya dalam dewan belajar. Di mindanya mula bermain tulisan simbol Cybertronian yang dia sendiri tidak mengerti.
Sebelum sempat meminta tolong untuk mengetahui apa yang dimaksudkan pada simbol Cybertronian itu, Sam diculik pihak Decepticons. Robot Optimus Prime dari Autobots menolong Sam dan menyuruhnya untuk bersembunyi. Malangnya, Opimus terkorban. Sam tidak dapat berbuat apa.
Apakah kesudahan filem ini? Tontonilah filem ini kalau anda gemarkan aksi. Ada beberapa watak lucu termasuk ibu Sam yang terlebih ghairah dan teman sekamar Sam yang mata keranjang tetapi penakut.

Monday, 15 June 2009

RETAK MENANTI BELAH KALAU TIADA KEPERCAYAAN

BERITA HARIAN SG, 15 JUN 2009

Percayalah
kasihmu lama tersulam
di ruang paling dalam
terlalu jauh tak terselam

ALAMAK! Balik-balik lirik Siti Nurhaliza juga si Abdul Rauuf ni ambil. Mungkin itu kata-kata pertama yang terlintas di fikiran anda.

Terlebih dahulu, maafkan saya kalau anda bosan kerana saya asyik menggunakan lirik daripada lagu diva kita, Datuk Siti Nurhaliza. Bukannya apa, minat saya tu hanya satu, Kak Siti.
Lagi satu sebab saya rasa kebanyakan lagunya boleh dijadikan bahan bersembang.

Perkataan 'percaya' bermakna mengakui akan benarnya sesuatu. Tolonglah percayakan makna yang saya berikan tadi kerana saya ada buktinya.
Dan buktinya ialah Kamus Dewan Edisi Keempat.

Sebelum saya meneruskan rencana kali ini, ingin saya kemukakan tiga soalan buat anda.
Percayakah anda saya orangnya rendah dan berbadan gempal? Percayakah anda saya seorang ayah kepada dua anak? Percayakah anda saya seorang jutawan?

Kalau anda percayakan kata-kata ini, anda memang lurus bendul dan boleh diajak merompak! He... he... gurau sahaja.

Perkara ini mengingatkan saya akan babak filem Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, Do Re Mi, ketika P. Ramlee dan Mariani mahu melangsaikan hutang mereka dengan menipu orang kampung.

Si isteri beritahu si suami mati, si suami pula beritahu si isteri mati. Last-last, dua-dua mati! Orang kampung pula lurus bendul betul! Pergilah cari bukti dahulu.

Percaya dan bukti. Ia seakan satu pasangan sejati yang sukar dipisahkan. Contohnya, sepasang kekasih.
Si wanita tidak percaya akan cinta kekasihnya padanya lalu beliau minta dibuktikan.
Maka si jejaka pula membelikan sebuah barangan yang dapat mencairkan hati si temanitanya. Barangan itulah menjadi bukti bagi cinta mereka.

Kepercayaan tidak terhad kepada hubungan kekasih sahaja, bahkan ia merupakan unsur penting terutama sekali bagi hubungan anak dengan ibu bapa serta hubungan persahabatan dan tidak lupa juga hubungan suami isteri.

Sebuah rencana berbahasa Inggeris, tulisan Haikal Jamari dalam makalah Nadi, terbitan Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), edisi Januari hingga Mac 2009, bertajuk Trust Me! telah menarik minat saya dalam penggunaan teori kepercayaan.

Haikal mengatakan bahawa kepercayaan ini ibarat bank. Tanpa percaya kepada bank itu ibarat mengeluarkan wang anda.
Jika anda sering membuat seseorang itu hilang kepercayaan, ia sama seperti anda sering mengeluarkan wang dari bank anda.
Jika perkara itu berlarutan, nampak gaya habislah wang anda di bank dan jadi muflislah anda nanti! Bagi masalah kepercayaan pula, orang-orang yang biasanya mempercayakan anda akan mula hilang kepercayaan terhadap anda.

Perasaan hampa biasanya akan menyusul selepas kepercayaan itu hilang, lebih-lebih lagi jika sesebuah hubungan itu begitu akrab sekali. Tiga contoh akan saya berikan.

Pertama, hubungan ibu tunggal dengan anak. Adalah menjadi harapan seorang ibu untuk anaknya menjadi yang terbaik.
Sayangnya, anak itu melakukan sesuatu yang tidak pernah terduga akal seperti mungkin mengadakan hubungan seks sehingga terlahirnya anak luar nikah dan sebagainya. Tak ke hampa perasaan ibu itu?

Contoh selanjutnya pula hubungan suami isteri. Si isteri mempercayai suaminya sepenuhnya. Suami pula memberitahu bahawa beliau akan ke luar negara kerana ada tugas outstation.
Tup...tup... Si isteri dapat tahu suaminya ke Batam ataupun ke Thailand untuk kahwin lari! Tak ke hancur hati isteri tersebut?

Terakhir sekali, hubungan persahabatan. Contohnya, dua rakan baik. Seorang menghisap rokok dan seorang lagi menasihatinya untuk berhenti.
Kawan yang merokok itu mula-mula berhenti atas nasihat kawan baiknya dan yang merokok itu pula berjanji.
Sekali dalam diam, yang merokok itu kembali menghisap rokok dan kawan yang menasihat itu pula ternampak secara tidak sengaja. Tak ke pudar rasa kepercayaan itu?

Saya rasalah, pudarnya sesebuah kepercayaan itu adalah permulaan kepada kerenggangan perhubungan. Hilangnya rasa kepercayaan akan membuat hubungan itu semakin renggang dan terus renggang.

Oleh yang demikian, jagalah rasa kepercayaan sesama kita agar pertalian ukhwah akan terus terjalin mesra.

Percayalah, ini rencana, saya yang tulis. Tak percaya? Hmmmm... macam mana hendak dibuktikan ya? Tanya pengelola Obor?

Monday, 1 June 2009

Mencari cinta sejati lagi abadi

BERITA HARIAN SG, 1 JUN 2009

CINTA itu boleh diumpamakan bagai makan sambal belacan... walau pedas hingga mengalir air mata, pasti mahu dimakan jua...'

Isy! Menyanyi pula saya. Itulah lagu yang dinyanyikan oleh kumpulan Alleycats (Terima Kasih!) yang berjudul Cinta Sambal Belacan.

Datuk Siti Nurhaliza pula ada kata yang disampaikannya menerusi dendangan lagunya Cahaya Cinta.

'Ia adalah takdir-Nya bukan kerana harta itulah citra cahaya cinta.'

Walau bagaimanapun, kata Abdul Rauuf (sayalah tu...), cinta itu terbahagi kepada beberapa skop yang berbeza seperti cinta pada Pencipta Alam ini, Rasul-Nya, ibu-bapa, saudara, rakan taulan dan yang lain-lain.

Namun bagi rencana saya kali ini, saya akan mengutarakan pendapat berkenaan perbezaan antara cinta kita terhadap Ilahi dan 'mata air' ataupun kekasih.

Untuk membincangkan tentang hal ini, saya membahagikan topik ini kepada dua cabang iaitu masa dan pemberian.

MASA

Telefon berjam-jam, keluar dari pagi hingga ke malam. Itulah sikap ataupun sifat sebahagian daripada kita apabila dilamun cinta.

Ah! Indahnya! Pasti ada yang rasa macam, 'Dunia ini Ana yang punya!' Agaknya kalau boleh, mahu saja berhimpit macam belangkas 24 jam. Er... belangkas pun saya tak rasa begitu! Isy... Ewah... ewah... Bukan main! (macam Mak Bedah pula saya berbual.)

Sayangnya, terhadap Tuhan yang menciptakan kita lagi memberikan rezeki dan kesenangan untuk kita pula, kita tak pandai mensyukuri pemberiannya.

Solat bagaikan nak tak nak sahaja ataupun umpama melepaskan batuk di tangga. Ada pula yang beri alasan, sibuk bekerja, bersekolah dan sebagainya.

Secara perbandingan pula, jika bersama mata air, waktu yang sekejapan itu mahu sahaja anda hentikan selama-lamanya supaya ia tidak bergerak dan agar anda dapat bersama kekasih anda lebih lama lagi tanpa waktu mencemburui. Bekerja dan bersekolah, katanya boleh ambil cuti. Cuba fikirkan.

PEMBERIAN

'You nak gelang?'

'Ambillah rantai ini. Terimalah pemberian I.'

'Nanti hari jadi you, I belikan handphone tercanggih dan terbaru tu ya?'

Wah. Inilah dialog-dialog yang sering dapat dilihat menerusi sinetron ataupun drama. Perkara ini bukan setakat lakonan, ya? Bahkan, ia sebuah realiti. Tak kiralah, berapa mahalkah barangan itu, asalkan dapat menggembirakan hati kekasih, anda on saja.

Namun, berbeza pula keadaannya dalam senario berikut ini.

'Pihak kami masih kekurangan sejumlah $100,000 lagi. Kami mengharap belas ihsan para jemaah agar dapat menderma demi kemaslahatan kita bersama.'

Ini pula dialog ataupun iklan yang kita sedia maklumi di masjid-masjid. Apabila dengar iklan sebegitu, di benak kita akan terfikir, 'Kenapa mesti aku yang derma? Bukankah ramai lagi masyarakat Islam yang ada? Lagi pun, aku nak tunggu Ramadanlah. Kalau menderma pasti pahala aku berganda-ganda lipatannya.'

Kalau semua amalan hendak ditunggu Ramadan, aduhai... kasihan pihak masjid ya? Nampaknya, bulan-bulan lain nanti suramlah. Tak ada tenaga elektrik!

Justeru, pembaca sekalian, tujuan saya menulis rencana ini adalah supaya isinya dapat dimanfaat bersama. Kasih dan cinta Tuhan dengan kasih dan cintanya insan berbeza. Jika kita cintakan bunga, ia akan layu. Cintakan manusia pula, ia akan pergi. Namun, cinta kita pada Ilahi - itulah cinta yang hakiki kerana Dia kekal abadi.

Remaja biasanya sering dikaitkan dengan cinta sehingga terkeluar pula jolokan 'cinta monyet'.

Anda takkan pernah tahu, berapa kekalnya cinta anda dengan pasangan anda.

Orang tua-tua kata, sedangkan anak sungai pun berubah, inikan pula hati manusia. Justeru, sedang anda ni menimba ilmu dan masih 'budak baru belajar', cuba renung-renungkanlah, ya?

Monday, 11 May 2009

Bersakit Dahulu, Bersenang Kemudian

BERITA HARIAN SG, 11 MEI 2009

Berkorban apa saja,
harta ataupun nyawa,
itulah kasih mesra,
sejati dan mulia...

MENDENGAR lagu asal P. Ramlee ini yang telah banyak diberi nafas baru yang lebih segar, teringat pula saya akan persembahan yang pernah saya buat di zaman tadika dahulu.
Berkorban apa saja. Itulah antara baitnya yang memberi makna yang cukup mendalam sekali. Jika barangan berharga yang kita miliki seperti telefon bimbit, komputer riba, wang berbukit dan sebagainya tidak sanggup kita korbankan, sanggupkah kita korbankan sesuatu yang lebih berharga seperti nyawa kita? Cuba fikirkan.
Berkorban. Itulah yang akan sama-sama saya bincangkan dengan anda. Bila disebut perkataan 'korban', anda pasti akan teringat kambing-kambing yang menanti masa dikorban sempena Hari Raya Haji bukan? Itulah stereotaip pemikiran kita. Cakap tentang korban, teringat pula kambing korban atau mereka yang mati terkorban.
Walau bagaimanapun, rencana saya kali ini tidak akan menyentuh mengenai Hari Raya Korban tetapi sesuatu yang berkait dengan 'korban' iaitu pengorbanan masa.
Seperti yang kita sedia maklum, sekarang ini ialah musim peperiksaan yang bahangnya sudah terasa.
Anda tentunya maklumi, pengorbanan masa sewaktu musim peperiksaan adalah suatu keperluan sebenarnya.
Hidup seorang pelajar biasanya agak santai walaupun dibebani beberapa tugasan sekolah. Sempat merayap ke sana sini, berehat dan melakukan aktiviti-aktiviti tertentu tetapi apabila musim peperiksaan sudah hampir tiba, masa yang biasanya digunakan untuk bersantai akan 'dirampas' dan 'dicuri'.
Tiada lagi rehat, tiada lagi merayap dan tiada lagi aktiviti luar! Perhatian ditumpukan sepenuhnya kepada peperiksaan.
Mulalah nanti rasa tertekan, kurang tidur, tidak selera makan dan sebagainya. Perasaan menyesal kerana tidak menghadiri kelas kian timbul. Itulah dia hidup sebahagian pelajar termasuk saya sendiri.
Entahlah, perkara ini sebenarnya sukar ditafsirkan. Kadangkala, semangat kita bagaikan hangat-hangat tahi ayam sahaja.
Umpamanya, pada permulaan penggal, kita berazam untuk menjadi lebih baik dengan contohnya, membuat jadual masa, mengulang-kaji pelajaran setiap hari dan sebagainya.
Walau bagaimanapun, 'tahi' yang pada mulanya tadi hangat sudah mula dingin pada pertengahan penggal dan semakin masa berputaran, ianya menjadi semakin dingin. Perkara sebegini seharusnya dijauhi.

Berakit-rakit ke hulu,
berenang-renang ke tepian,
bersakit-sakit dahulu
bersenang-senang kemudian.

Inilah pepatah yang tidak asing lagi. Pepatah itu memang sepadan dengan situasi peperiksaan yang dihadapi. Waktu yang dikorbankan atau dicuri itu boleh dianggap 'sakitnya' manakala 'senangnya' pula ialah apabila melihat kejayaan hasil waktu yang dikorbankan.
Percayalah, kesusahan anda mengorbankan masa berhibur demi peperiksaan akan mendapat kepuasan apabila keputusannya diumumkan nanti.
Dalam mengorbankan masa untuk belajar, janganlah pula dilupa pada keperluan dan kesihatan diri kita. Janganlah kerana terlalu sibuk dengan belajar, kita meninggalkan rutin penting kita seperti makan, tidur dan yang paling utama, solat.
Pengorbanan masa hanyalah satu jalan untuk berjaya. Usaha dan doa juga tidak patut dilupakan. Sehingga di sini, selamat berjuang di medan peperiksaan.

Monday, 20 April 2009

PEMBAHAS PERTAMA TETAP 'POWER'

BERITA HARIAN SG, 20 APRIL 2009

ANDAIAN yang selalu dirasakan di gelanggang perbahasan ialah pembahas terbaik sesebuah kumpulan tentunya yang ketiga atau yang keempat.

Namun, pengadil tetap bahas Piala Berita Harian 2009, Cik Asnida Daud, merasakan dinamika sesebuah kumpulan tidak harus diketepikan dan setiap pasukan wajar mengetengahkan pembahas yang baik lagi berkesan di peringkat awal, iaitu menerusi pembahas pertamanya.

'Jangan tunggu sampai pembahas ketiga dan pembahas keempat, baru nak 'keluarkan' hujah-hujah yang bernas lagi meyakinkan. Mulakan dengan pembahas pertama, diperkukuh melalui pembahas kedua, ketiga dan penggulung,' jelas Cik Asnida.

Nur Amaliah Abdul Jamal dari Sekolah Perempuan Tanjong Katong (TKGS) dan Ziyad Ahmad Bagharib dari Sekolah Victoria (VS) adalah contoh dua pembahas 'pembuka tirai' kumpulan masing- masing yang menampakkan ketenangan dan kespontanan berhujah.

'Walau tidak diperlukan mencelah atau membidas, mereka relaks dan tetap meyakinkan pengadil dengan cara penyampaian yang lancar lagi isi yang padat,' ujar Cik Asnida.

Nur Amaliah, 15 tahun, menitiskan air mata gembira apabila TKGS diumumkan sebagai sekolah terakhir ke peringkat separuh akhir.

'Masa memang suntuk. Kami hanya ada masa berlatih sewaktu rehat. Apabila TKGS kalah dengan Sekolah Menengah Perempuan Cedar, kami rasa macam dah tak ada harapan. Tetapi, apabila nama sekolah kami diumumkan sebagai antara yang layak ke pusingan selanjutnya, saya gembira sampaikan menangis!' katanya yang berterima kasih dengan bimbingan guru-gurunya, Cik Norashikin Sapri dan Encik Mohamed Zain Mohamed.

Apa lagi yang menarik tentang pasukan TKGS? Selain pekikan penyokongnya yang membuat seisi dewan bergema, pasukan ini juga menampilkan penggulung perbahasan, Muslihah Mujtabah, yang boleh menyanyi.

Lagu apa yang dinyanyikannya sambil berbahas Sabtu lalu? Bangau oh bangau! Er... apabila bertanding dengan Sekolah Victoria minggu depan, nak menyanyi juga ke?


SJI TIDAK MARA

BERITA HARIAN SG, 20 APRIL 2009

KECEWA memang kecewa apabila gelaran juara bahas yang direbutnya tahun lalu dan beberapa kali sebelum ini nampaknya 'terlepas' ke tangan sekolah lain.

Bagaimanapun, pembahas St Joseph's Institution (SJI) tetap menerimanya sebagai adat pertandingan apabila mereka gagal dipilih untuk mara ke peringkat separuh akhir bahas Piala Berita Harian 2009, Sabtu ini.

Penggulung pasukan SJI, Mikhail Abdul Rashid, 16 tahun, berkata:

'Mulanya memang kecewa tetapi saya tak rasa kerana kami tidak mara, maka ia masalah besar. Sebab, kami ke sini untuk menimba pengetahuan. Kami yakin kami berusaha memberikan yang terbaik.

'Sedikit pun, saya tidak melihat bahawa kami gagal. Proses ini adalah sebagai batu loncatan untuk kami mengetahui lebih lanjut tentang dunia perbahasan.'

Mikhail akur persiapan untuk perbahasan tersebut memberi tekanan kepadanya dan teman-teman.

'Saya mengucapkan terima kasih, khususnya kepada guru-guru pembimbing kami yang mengorbankan masa dan tenaga demi kebaikan kami. Terima kasih juga kepada Berita Harian kerana peluang yang diberikan untuk pelajar-pelajar seperti kami berjinak-jinak dalam arena perdebatan.

'Saya payah menetapkan jangkaan siapa yang akan menjulang piala bahas kelak. Cuma, selepas bersaing dengan mereka, saya kira srikandi Sekolah Perempuan Raffles (RGS) memang berkebolehan,' jelasnya.

Guru pembimbing SJI, Cik Fauziah Hussein, turut yakin RGS yang menampakkan kespontanan berpidato di peringkat saringan, kemungkinan besar akan membolot piala juara bahas 2009. (HARAP MAKLUM BAHAWA MAKLUMAT YANG DICETAK SEWAKTU 20 APRIL DI BH ADALAH TIDAK TEPAT. INI BERPUNCA DARIPADA KESALAHFAHAMAN PENULIS DENGAN CIK FAUZIAH. BELIAU SEBENARNYA TIDAK MERASAKN ADIL UNTUK MENILAI SESIAPA YANG AKAN MARA KERANA TIDAK DAPAT MELIHAT KESEMUA PEMBAHAS BERBAHAS. NAMUN BELIAU RASA BAHAWA YANG BERKEBOLEHAN IALAH PASUKAN DARI VS DAN RGS.)

Beliau juga dapati murid- muridnya sibuk dengan pelbagai aktiviti di samping berdepan dengan kesuntukan masa dan topik kegawatan ekonomi yang 'berat'.

'Namun, saya akui ia bukan alasan semata. Mungkin proses persiapan pelajar menjadi antara faktor mereka tidak mampu sehebat kumpulan lain. Lagi pun, ini pengalaman pertama mereka berbahas. Justeru, masih ada rasa gementar, gugup dan tertekan.

'Bagaimanapun, SJI tidak akan menjadikan kekalahan di peringkat suku akhir sebagai hambatan untuk sertai lagi medan perbahasan tahun depan. Kalau ada peluang, kami sedia bertanding tahun depan,' jelas Cik Fauziah.

Walau bagaimanapun, syabas kepada pembahas SJI kerana menyahut cabaran penganjur untuk menampilkan lebih ramai anak watan di gelanggang bahas.

Monday, 13 April 2009

ADA BAGAI 'RAJA LELONG' DAN ADA PULA YANG MERINTIH

BERITA HARIAN SG, 13 APRIL 2009

BAGAIKAN tukang lelong bazar di Geylang Serai yang secara ironi melaung-laungkan nama kawasan membeli-belah Orchard Road dengan lantang.
'Ochat Road! Ochat Road!'
Begitulah sebutan pelajar Madrasah Aljunied Al-Islamiah, Muhammad Nuriman Zulkifli, yang mencuit hati penonton ketika diminta berpidato tentang 'Orchard Road Masih Kurang Cantik'.
Sebagai penutup tirai sesi saringan bahas Piala Berita Harian 2009, Muhammad Nuriman, 16 tahun, benar-benar menyentak mereka yang dalam lamunan atau hampir terlelap dek buaian udara petang.
'Saya bukannya biasa pergi Orchard Road. Apabila dapat topik tersebut, saya nak cakap apa pun, tak tahu.
'Nak cakap tentang bangunan pencakar langit di Orchard Road, terlupa. Hai... penat-penat fikir agaknya Kelab Obor uji kami tentang politik atau isu globalisasi, rupanya Orchard Road! Tak sangka ada topik ringan... er... saya pun terpaksa merapik!' jelas pelajar gempal yang dinobatkan sebagai pemidato 'Kelakar Gila'.
Muhammad Nuriman menyifatkan dirinya sebagai seseorang yang kaya humor dan selalu buat kelakar di sekolah.
'Saya buat suara menengking di pentas, konon nak buat muka serius. Penonton pula ketawa terbahak-bahak!
'Tetapi. Alhamdulillah. Saya tak pulang dengan tangan kosong. Walaupun Madrasah Aljunied tewas, ada juga kenangan yang kami bawa pulang,' jelasnya.
Tahun ini, Kelab Obor, selaku penganjur, turut mengenalkan Anugerah Pemidato 'Ada Gaya' yang diraih pelajar Sekolah Menengah Anderson, Zakrie Abdul Manap.
Zakrie yang mengupas mauduk 'Pemerintahan Beraja Sudah Lapuk' begitu bergaya berbahas dengan lenggok tangan mencekak pinggang, bagaikan lagak raja-raja atau orang-orang kenamaan di dewan Parlimen.
Namun, seperti tahun lalu, ada juga pelajar yang tidak dapat menahan tekanan dibelenggu topik sukar sehingga menitiskan air mata selepas tamat berhujah.
Jika tahun lalu, topik 'Dunia Kini Menghadapi Ancaman Kekurangan Beras', menyebabkan seorang pelajar menangis, tahun ini topik kontroversial, 'Homoseksualiti Penyakit Mental' pula merupakan bebanan besar bagi pelajar Sekolah Menengah Evergreen, Muhammad Hadi Sapiie.
'Bila dapat tajuk ini, saya tidak terfikir langsung apa nak diucapkan. Minda saya terhenti dan kosong. Saya kerap ingat tentang agama Islam melarang homoseksualiti. Itu saja.
'Ia memang topik di luar jangkaan saya. Tetapi mungkin kalau topik ini diberikan terlebih awal seperti dalam format bahas, saya yakin kami ada masa dan bahan untuk mengupasnya,' katanya.
Sungguhpun begitu, kami selaku penganjur mengucapkan syabas kepada Muhammad Hadi kerana memberanikan diri tampil bertanding.
Yang penting, semangat untuk mencuba. Belum cuba, belum tahu.

Monday, 6 April 2009

DEMI BUMIKU

BERITA HARIAN SG, 6 APRIL 2009

"Usah alpakan misi mesra alam"

GELAP, malap dan kelam.
Itulah tiga perkataan yang dapat saya ungkapkan tatkala melihat kawasan sekitar Esplanade bagi sambutan Earth Hour ataupun Sejam Untuk Dunia berlangsung pada 28 Mac lalu.
Suasananya memang cukup menarik sekali. Perbezaan memang agak ketara walaupun tidak kesemua lampu yang dimatikan. Cuba anda lihat gambar-gambar yang saya sisipkan. Maaf ya, mutu gambar tidak begitu memuaskan.
Secara terus terang saya beritahu anda bahawa saya sendiri terpegun melihat kegelapan yang jarang-jarang sekali dapat dirasakan. Iyalah, jika selalunya kita lihat kawasan di sana bercahaya gah terang tetapi demi menyambut acara sedunia Earth Hour Singapura yang merupakan antara 82 negara juga tidak ketinggalan turut serta dalam sambutan itu dengan mematikan lampu selama sejam.
Sekadar makluman anda, sambutan sulung Earth Hour bermula di Sydney, Australia. Menurut laman Wikipedia, acara ini difokuskan kepada pengurangan pembebasan karbon, seterusnya mengurangkan kos elektrik secara keseluruhan.
Soalnya sekarang, K.I.T.A.
Saya tanya anda dan diri saya sendiri. Apakah yang kita lakukan demi menyelamatkan bumi indah kita ini? Apakah kita sedang menuju ke arah menyelamatkannya ataupun sebaliknya? Dan, apakah yang dapat dilakukan bersama?
Walaupun saya pernah menulis rencana dengan tajuk Selamatkan Bumi Dengan Mulakan Langkah Sendiri tahun lalu sambil berkongsi tiga cara menyelamatkannnya, saya rasa perlu bagi saya mengingatkan diri kita sekali lagi.
Iyalah, manusia kerap kali alpa. Walau bagaimanapun, kali ini, saya sekali lagi akan membongkar dua cara yang berbeza lagi mendalam untuk kita bersama-sama menyelamatkan bumi kita.
Pertama sekali, langkah 3R. Saya rasa anda pasti tahu mengenainya iaitu, Reuse, Recycle and Reduce.
Pernah dengar bunyi hon di kolong rumah anda? Saya yakin anda pernah mendengarnya di samping teriakan: 'Karung guni! Surat khabar lama!'
Walaupun terdapat sebahagian daripada kita yang menganggap kerja mereka agak remeh, namun saya rasa mereka patut diberi penghargaan. Ini disebabkan tugas mereka menyelamatkan bumi.
Mereka sanggup membanting tulang dengan mengambil barangan lama seperti surat khabar lama, alat elektronik lama dan barangan yang tidak dipakai pengguna lagi.
Sebahagian daripada barangan yang mereka kumpul itu sebenarnya digunakan semula. Oleh sebab itulah, ada sebahagian buku atau kertas foolscap disertakan dengan label '100% Recycle Paper' (100% Kertas Kitar Semula).
Jadi, jangan lupa ya? Sokong bahan-bahan yang dikitar semula. Buanglah sikap ego anda.
Selain itu, kita digalakkan juga menggunakan bateri yang boleh dicas semula atau lebih dikenali sebagai rechargeable battery, daripada kita gunakan bateri yang dipakai buang. Ini adalah kerana ia lebih mesra alam dan sekali gus dapat sedikit sebanyak membantu kita menjimat.
BYOBD. Jangan salah sangka ya! Saya tidak salah taip! Takkan anda tak pernah lihat perkataan- perkataan ini?
Alah... Bring Your Own Bag Day (Bawa Beg Anda Sendiri), setiap Rabu pertama bagi setiap bulan.
BYOBD ini dimulakan sejak 18 April 2007 dan sehingga kini, usahanya masih lagi diteruskan.
Selain pasar raya NTUC FairPrice, Sheng Shiong, Cold Storage dan lain-lain yang mengusahakan pengurangan plastik dengan menganjurkan program BYOBD ini, ada juga syarikat telekomunikasi seperti SingTel yang memulakan langkah mesra alam mereka dengan mengurangkan penggunaan kertas.
Mereka mengenalkan bil maya, SingTel MyBill. Anda hanya perlu menyemak akaun bil anda menerusi Internet. Dunia sudah canggihlah katakan. Sungguh MENJIMATKAN, sungguh Wow!
Kedua pula, tutup suis apabila tidak menggunakannya. Perkara ini pernah saya utarakan dalam rencana tahun lalu. Namun begitu, saya rasa ada lagi yang perlu saya tambah demi maslahat bersama. Contohnya, sikap pemilik-pemilik kedai ternama.
Seperti yang kita sedia maklum, kedai-kedai di pusat membeli-belah di Singapura biasanya ditutup pada 10 malam.
Walaupun sudah ditutup, mereka masih lagi menggunakan tenaga elektrik seperti mengunakan lampu hiasan kedai, skrin komputer yang masih lagi terpancar, lampu papan iklan dan banyak lagi.
Mungkin dah namanya 'Sejam Untuk Bumi'. Jadi saya rasa mungkin langkah yang dibuat hanyalah sejam sahaja. Ini sungguh tidak patut. Lainlah kalau ada keperluannya seperti alat kamera litar atau CCTV. Takkan atas nama penjimatan sanggup korbankan keselamatan?
Masalah penggunaan elektrik berlebihan bukan sahaja tertumpu pada pemilik kedai, bahkan kita juga turut menghadapi masalah yang sama.
'Panas!!! Mana alat hawa dingin?'
'Alamak! Sejuknya cuaca pagi ini. Tidak mengapa, nasib baik ada air panas. Kalau tidak, tak mandilah saya ke sekolah!'
Siapa makan cili terasa pedas! Selalukan dengar dialog sebegini? Ha... Ha... Jangan takut, bukan anda seorang, saya pun begitu.
Kedua-dua dialog ini sebenarnya memerlukan kepintaran dan kebijaksanaan kita sewaktu menggunakannya. Contohnya jika cuaca terlalu panas agak munasabah untuk kita menggunakan alat hawa dingin. Takkanlah waktu hujan di malam hari anda masih lagi mahu menggunakannnya?
Mati keraslah anda esok! Begitu juga dengan penggunaan alat pemanas air. Takkanlah di waktu tengah hari anda mahu menggunakannya? Sudahlah cuaca panas, air pun mahu panaskah? Renungkanlah.
Pepatah Inggeris yang popular pernah menyatakan: 'Prevention is better than cure' atau terjemahannya, 'Pencegahan adalah lebih baik dari pemulihan'.
Sebelum terlambat, marilah kita bersama-sama memainkan peranan kita sebagai penduduk bumi.
Dengan setiap individu memainkan peranannya sendiri, sudah pasti ada kesannya bak kata pepatah, 'sedikit-sedikit, lama-lama jadi bukit.'

Sunday, 29 March 2009

Usah biarkan budaya tiru membiak

BERITA HARIAN SG, 26HB MAC 2009
Oleh Haryani Ismail.

Lima cara rangsang idea kreatif

TEMPOH HARI, saya keluar makan dengan teman saya yang merupakan seorang pensyarah di sebuah institusi pengajian tinggi.
Teman saya mengadu dan mengeluh: 'Alahai, Yani... apa nak jadi dengan budak-budak sekarang ini? Nak kerja senang saja. Tak nak pakai otak. Kerjanya meniru saja. Diambilnya bulat-bulat dari laman Wikipedia. Tak ke I melenting? Zaman kita di NUS dulu, kita rajin pergi perpustakaan. Macam-macam buku kita pinjam. Kemudian kita 'bertapa' dalam perpustakaan. Seronok betul buat kajian. Sekurang-kurangnya, kita berusaha dan pengetahuan kita pun semakin meluas. Mereka ni... ambil laman Wikipedia, yang entah betul faktanya ke tidak. Bingit betullah!'
Saya tersenyum mendengar bebelan si teman sambil kami makan ikan filet dan ayam panas, sebahang hati si teman. Bab tiru-meniru ni bukanlah perkara ganjil dalam dunia pelajar atau alam pekerjaan.
Copycats? They survive, they get thumbs-up (Si kaki tiru ni bertahan lama, mereka dapat pujian). Begitulah kata-kata sinis seorang teman yang bertugas di sebuah pejabat periklanan, mengenangkan beberapa membernya yang sampai sekarang pun masih enggan menghargai idea sendiri dan dilanda keresahan kerana pesaing.
Sekejap-sekejap tanya: 'Ah... awak dah tengok pelan promosi produk X tak? Kita pun patut buat macam tu!' Bagi saya, kalau dua produk sudah ketengahkan taktik promosi yang sama, orang yang sama dan idea yang sama, alamat si pengguna pun naik bosan.
Justeru, usahalah untuk ketengahkan sesuatu yang lain daripada lain. Dalam ekonomi gawat ini, lega hati pelanggan kalau dapat beli produk bernilai tambah. Berbaloi, kata orang tu!
Minggu ini, saya nak berbual tentang budaya tiru-meniru di dalam situasi sekolah agar pelajar tidak menjadikannya sebagai suatu kebiasaan sehingga tidak digunakan sepenuhnya minda untuk lakar pelan-pelan kreatif.
Ingat, kreativiti itulah sumber paling berharga. Bak kata orang tidak usahlah kita jadi klon (tiru biak) orang lain atau 'klon' kerja orang. Budaya tiru-meniru bulat-bulat ini, usah dibiarkan membiak. Hargailah, Tuhan beri kita minda. Gunakan untuk berfikir sejenak cara paling kreatif melaksanakan sesuatu projek atau tugasan.
Kalau nak cedok teladan daripada teman, cedok strateginya tetapi janganlah tiru idea-ideanya bulat-bulat. Ubah suailah. Kata orang, jadilah macam kaum Jepun. Mereka suka meniru tetapi tidaklah bulat-bulat mengangkut idea. Mereka akan berikan pembaharuan pada sesuatu produk yang sedia ada dengan kajian terperinci.
Apa yang membezakan seorang pelajar 'Gred A' daripada pelajar gred-gred lain ialah usaha gigih, inisiatif dan kreativiti, ujar teman saya yang telah lebih 15 tahun mengajar di sekolah menengah.
Saya sempat menyatakan kepadanya, asal sahaja guru yang memarkahkan projek itu orang sepertinya yang menghargai idea-idea luar daripada lingkungan kekotak minda. Bukan apa... masa saya di sekolah dulu, ada juga guru yang masih mengamalkan teknik old school mereka sampaikan pelajar dibendung dan akhirnya tiada beza antara pelajar A dengan pelajar B. Siapa yang pandai menghafal dan 'memuntahkan' segalanya, dialah yang berada di depan.
Justeru, apa yang harus dilakukan untuk elakkan budaya tiru-meniru ini membiak?
Berikut ada lima cara untuk pelajar galakkan kreativiti dan mengikis keinginan meniru dalam dirinya. Mana tahu usaha ini boleh menjadi bahan sesuai untuk projek sekolah anda kelak? Tidak sukar untuk jadi kreatif, asal sahaja minda dan hati anda terbuka untuk belajar dan berikan minda anda ruang untuk 'bergimnastik' seketika.
1) Jangan Ke Mana-Mana Tanpa Telefon Bimbit, Pita Rakaman Digital Atau Kamera
Idea akan datang sepanjang perjalanan anda. Tidak semestinya buku nota (seperti kami golongan wartawan) menjadi teman untuk anda catatkan segalanya.
Apa sahaja yang menarik, baik papan tanda, ragam orang mahupun tempat-tempat dengan khidmat menarik boleh dijadikan subjek untuk anda rakamkan dalam kamera atau telefon bimbit anda.
Seandainya, terdengar perbualan menarik, jadi macam perisik peribadi. Rakamkan perbualan itu tanpa orang itu mengetahuinya. Dalam hal ini, saya tabik kesungguhan seorang penulis remaja saya, Abdul Rauuf Maskhazin. Berbanding tulisan komentar teman-teman lain, Rauuf mengambil inisiatif dengan merakam foto-fotonya sendiri yang dijadikan bahan perbincangan. Malahan, dengar khabar, Rauuf pun ada peminatnya sendiri. Selain mak cik dan gadis-gadis, penerbit kreatif seperti Najip Ali pernah memberitahu saya, ada kelainan pada penulisan Rauuf.
2) Yahoo! Bila 'Google' Jadi Kebiasaan... Idea datang mencurah-curah
Teman saya yang memang kaya dengan idea gila-gila, Arlina Arshad (kini wartawan agensi berita AFP di Jakarta, Indonesia) memang 'kaki Google'. Er.... maksud saya, dia banyak memanfaatkan laman enjin pencarian seperti Google untuk cari idea.
Apa sahaja yang terlintas di fikirannya akan ditaip dalam ruang pencari enjin tersebut. Kalau anda tidak suka enjin Google, gunakan Yahoo! Misalnya, pencarian kekata youth (belia) pada Google sahaja memberikan saya beberapa maklumat terkini yang menarik tentang belia serata dunia.
Belia Ghana digalak supaya tidak melakukan seks sebelum perkahwinan. Pemerintah Perancis bimbang tentang kadar pengangguran belia negara ini. Di Amerika Syarikat, Akademi Belia Bandar dibentuk khusus untuk peminat besbol.
3) Gunakan Kertas Lekat 'Post-It' Untuk Tampal Idea-Idea Anda
Berselerak pun berseleraklah. Seorang teman penuh dengan kertas lekat Post-It yang dilampirkan pada papan tanda kayunya. Katanya, biar idea segar tak lupa. Selepas tampal sekitar 20 idea untuk bangunkan satu projek, cuba fikirkan kaitan antara setiap lampiran idea.
4) Sebagaimana Anda Tidak Mahu Idea Anda Ditolak, Jangan Tolak Idea Orang
Kalau kita bertugas dalam sebuah pasukan, rangkaian idea individu A, B, C dan D akan menjadi lebih 'umph' kalau mereka bekerjasama menyatukan idea-idea itu.
Jangan ambil mudah, biar si ketua sahaja buat keputusan atau bertelagah untuk tampilkan idea siapa yang harus digunakan. Semua itu membuang masa dan bak 'menutup pintu' pada kreativiti. Kalau idea itu kurang baik, cuba bangunkan bersama-sama.
5) Buka Mata, Telinga dan Mulut. Gerakkan Jari-Jemari
Dalam seseorang berusaha tidak meniru idea orang, sesuatu yang penting ialah mendapatkan maklum balas ramai.
Sesuatu idea itu akan menjadi lebih baik jika anda mengetengahkannya secara terbuka dan ia dapat dibincangkan bersama.
Musyawarah - itulah perkara yang selalu dikatakan sebagai faktor penting dalam komunikasi tetapi sering dilupakan manusia apabila masing-masing ingin menegakkan kebenaran diri sendiri atau cakap mudahnya, ego. Sekarang ni pun, dah zaman canggih. SMS atau Facebook sajalah kalau nak dapatkan pandangan teman atau kenalan anda.

Monday, 23 March 2009

USAH RASA 'TERIKAT'

BERITA HARIAN SG, 23 MAC 2009

"Undang-undang selamatkan kita daripada kelekaan, penyakit dan kemalangan"

APABILA saya sebut sahaja perkataan 'undang- undang' untuk rencana saya kali ini, mungkin sebahagian daripada anda akan terfikir bahawa rencana saya kali ini lebih serius. Nanti dahulu! Baca dahulu, barulah menilai.
Undang-undang atau peraturan merupakan perkataan yang paling dibenci terutama oleh penentang dan pemberontak.
Rencana saya kali ini akan membongkar lima undang-undang di Singapura.
Saya akan menggunakan R bagi mengetengahkan reaksi sesetengah orang yang degil, manakala K pula adalah gambaran 'kaca mata' saya.

Merokok
R: Mengapa pula tidak boleh? Saya dah cukup 18 tahunlah! Dah bagus saya tak hisap rokok melanggari undang-undang menghisap rokok di bawah umur.
K: Merokok. Suatu perkara yang menjadi kebiasaan sebilangan remaja, bahkan sudah menjadi bak gula-gula saja.
Di ceruk mana pun anda cari, pasti ada yang menghembus sana-sini. Senang diperolehi, senang juga diracuni. Kalau sayalah, saya tak hisap rokok.
Justeru, saya akan hanya ambil duit nota saya, kemudian gulung-gulung dan letakkan tembakau di dalamnya. Jadilah rokok duit!
Itulah dia. Setiap kali anda menghisap rokok, ia boleh diibaratkan seperti 'membakar' duit anda. Kenapa mesti membazir? Lebih baik berikan duit anda itu kepada saya.
Sudahlah membazir, anda pula bagaikan membuat tempahan maut lebih awal. Bukan saya sahaja yang akan membebel tentang perkara ini.
Ramai lagi pakar yang sudah menjelaskan kesan-kesan buruknya terhadap diri. Bagi saya, sendiri buat, sendirilah tanggung. Penat nak cerita panjang.

Membawa telefon bimbit ke sekolah
R: Cikgu ni betullah... tak understanding langsung! Fikiran masih fikiran zaman batu. Orang sekarang dah maju, bukan macam dia. Agaknya dia cemburu sebab zaman dahulu tiada telefon bimbit ke?
Kalau saya tak bayar duit yuran baru tahu! Ini sekolah untuk pelajar, bukan untuk guru-guru. Kita yang berhak membuat undang-undang!
K: Reaksi begini memang benar-benar berlaku tetapi kita harus ingat, larangan guru sebenarnya bersebab bukan kerana mereka 'gila kuasa'.
Pertama, mungkin mereka mahu elakkan kes kecurian di sekolah. Iyalah, seandainya anda membawa telefon bimbit terkini lagi canggih ke sekolah, kemudian ada rakan anda yang 'mata merah' melihatnya. Alamat, lesaplah barang mahal anda tu.
Jika dia tidak dapat membelinya, ada kemungkinan besar, tergerak hatinya mencuri. Berjaga-jagalah.
Kedua, walaupun anda letakkan telefon bimbit anda dalam nada gegaran, setiap kali menerima pesanan ringkas (SMS), tentunya tergerak untuk memeriksanya, bukan?
Aik! Saya ni berbual macam berpengalaman sahaja. He... he... he... Telefon ini kadangkala lebih melekakan anda sewaktu sedang khusyuk belajar. Asyik nak melayan bunyi 'tet-totnya' saja!

Makan dan minum dalam pengangkutan awam
R: Yang dilarang hanyalah burger, roti sandwic, singgam dan air dalam bekas. Maknanya... mi, nasi dan air dalam tin, bolehlah ya?
K: Aik! Kalau kes macam ini, orang kata, 'Faham-fahamlah!'
Takkanlah pihak pengangkutan tersebut hendak menulis satu senarai larangan? Kalau ditulis pun, saya rasa pasti tidak cukup. Cuba anda lihat rekaan grafik yang saya buat dan andaikan seandainya senarai panjang berjela perlu dipasang.
Kalau dah termaktub larangan memakan, maknanya segala perkara yang bersangkut-paut dengan memakan dilarang.
Tidak munasabah jika anda hendak setiap larangan dibentangkan secara terperinci.
Takkan sudah tulis teh, hendak dipersoalkan lagi teh apa - panas atau sejuk dan sebagainya?

Memberi makan haiwan liar di taman
R: Kasihan monyet-monyet itu. Agaknya sudah berapa lama tidak diberi makan? Zalim betul! Lihat sajalah, bila saya beri pisang sahaja, banyak yang berkerumun!
K: Kasihankan haiwan dalam bab ini satu perkara. Seperkara yang lain, kasihanilah pengguna taman yang lain.
Bukannya apa. Jika haiwan itu sudah dibiasakan dengan diberi makanan oleh manusia, satu hari nanti mereka akan menyerang manusia kerana menganggap bahawa setiap manusia pasti ada makanan untuk mereka.
Selain itu, pernahkah anda nampak monyet yang selepas memakan sesuatu akan membuang bekasnya dalam tong sampah? Kalau ada sekalipun, mungkin ia sudah dilatih.
Haiwan sebegitu tidak mempunyai akal untuk berfikir. Mereka tidak tahu menilai apa yang bersih dan apa yang tidak. Dengan memberi makan kepada mereka, kita sekali gus membuat taman itu kotor.

Menyeberang sebarangan
R: 'Lari!!! Lambatlah trafik ini, saya dah tak tahan lagi nak ke tandas!'
Rasanya, itulah yang sedang bermain di fikiran seorang wanita. Isy... Kalau anda ingin tahu, gambar ini sempat saya rakam sewaktu hendak menyeberang jalan. Terperanjat melihatnya, datang pula ilham untuk menulis. He... he... he!
K: Apa gunanya lampu trafik jika tidak dipatuhi bukan? Tidak dapat dinafikan bahawa ada kalanya kita agak bosan menunggu warna lampu trafik bertukar hijau kerana jangka masanya yang agak lama tetapi ini semua demi keselamatan anda.
Tanpa lampu trafik, jalan raya kita tidak akan bersistem dan akan membuat kesesakan di sana sini.
Ketika saya memetik gambar ini, jalan raya ketika itu agak sibuk. Kalau lengang daripada kenderaan mungkin bolehlah diterima walau tetap bersalah. Rasanya, si gadis ini mungkin ada insurans sebab itu tidak takut mati, ya?
Itulah sedikit peraturan yang saya sempat kongsi bersama. Ada satu pepatah Arab yang pernah saya dengar berbunyi begini.
'Perkara yang paling disukai manusia ialah apa yang dilarang.' Benar kata pepatah itu.
Manusia selalu mahu dilihat kool dan mahu orang melihat mereka dengan laungan ekspresi 'Wow!'
Pokoknya, dalam dunia ini, kita tidak pernah terlepas daripada undang-undang.
Di mana sahaja kita pergi, ia pasti ada. Undang-undang juga tidak terbatas dari segi duniawi. Ada juga yang namanya undang-undang ukhrawi iaitu peraturan pemilik alam ini.
Undang-undang agama seharusnya diutamakan selayaknya. Namun, undang-undang seperti itulah yang kerap manusia alpakan.
Mungkin ada baiknya jika undang-undang yang saya reka seperti larangan bercumbuan itu diadakan di minda kita supaya tidak lekang dalam fikiran kita sesuatu kewajipan.
Sehingga di sini, jaga diri anda dan patuhilah undang-undang.

Monday, 9 March 2009

BALASAN MENANTI SI PENCURI

BERITA HARIAN SG, 9HB MAC 2009

EKONOMI kita semakin hari semakin gawat. Syarikat-syarikat tidak kira kecil mahupun besar terpaksa ditutup. Dalam keadaan gawatnya ekonomi sebegini, pemilik kedai juga tidak mahu melepaskan peluang untuk menaikkan harga barangan.
Dalam kemelesetan ekonomi ini juga, kita tidak harus lupa pada pencuri. Berjaga-jagalah. Rencana saya kali ini akan mengatakan tentang pencuri dan mencuri.
Jika dirujuk pada Kamus Dewan Edisi Keempat, perkataan 'mencuri' membawa maksud mengambil kepunyaan orang tidak dengan kebenarannya atau memaling.
'Pencuri' pula merupakan orang yang mencuri atau memaling barang tersebut.
Jika saya tanya anda, di manakah tempat yang anda rasa selalu terjadi masalah kecurian, apakah jawapan anda? Tempat yang sesak? Ya, tepat sekali.
Dalam keadaan sesak, pencuri-pencuri biasanya memulakan 'tugas' mereka. Mereka akan merenung dari jauh, memperhatikan anda, melihat gerak-geri anda dan akhir sekali membuat semacam satu sasaran untuk mencuri barang anda.
Sebab mencuri banyak sebenarnya. Ada di antara mereka yang mencuri kerana tidak berkemampuan untuk membeli barang yang dicurinya. Mungkin harganya terlalu tinggi untuk dibeli atau mungkin 'terpikat' dengan kecantikan barang tersebut.
Ada juga yang mencuri dengan sebab mahu dilihat kool. Perkara ini biasanya didapati berlaku di kedai-kedai runcit dan penjenayah kes itu biasanya remaja.
Apa yang dimaksudkan kool di sini ialah mereka ini akan merasakan semacam satu 'nikmat' iaitu terlepas daripada mata jurujual. Mereka akan membuat rumusan bahawa mereka hebat dan jurujual itu kurang pintar dalam menangani kes jenayah mencuri. Dunia... dunia... ada-ada saja!
Satu lagi sebab mengapa adanya kecurian ialah melepaskan geram. Iyalah mungkin barangnya sudah hilang dicuri kemudian beliau merasakan bahawa dengan mencuri balik barang orang lain akan dapat menebus rasa marahnya atau dapat melepaskan geramnya atau paling tidak dapat menenangkan dan meredakan dirinya. Ingatlah, balasan kita tidak akan pernah adil berbanding balasan Tuhan.
Baru-baru ini, ada kes kecurian terjadi pada ke atas saya. Aduhai! Geram betul! Hairanlah, bukannya ada emas atau perak pun di dalam beg saya itu. Yang ada hanyalah buku-buku sekolah, nota-nota dan alat tulis saya. Itu pun jadi bagi mereka. Mungkin boleh saya tambah sebab mengapa mencuri. Rasanya, pencuri itu mahu belajar. Kasihan ya?
Buat pencuri-pencuri yang mungkin terbuka hatinya untuk membaca rencana saya kali ini, hentikanlah perbuatan hina anda.
Mungkin di sesebuah tempat yang anda mencuri itu tidak dilengkapi dengan teknologi canggih seperti kamera televisyen litar tertutup (CCTV), tetapi ingatlah di atas sana ada yang lebih berkuasa dan mampu 'merakam' dengan lebih jelas aksi anda berbanding CCTV di dunia ini. Jika sekalian makhluk tidak melihat, yang di atas sana sentiasa memperhatikan anda. Ingat ya?
Tidak dapat disalahkan ada kalanya barang kita dicuri disebabkan kecuaian dan kelalaian kita menjaga barang tersebut. Iyalah, mungkin kita rasakan tempat itu selamat bagi kita meletak barang kita seperti dalam kes saya.
Sebelum ini saya ada mengatakan tentang keadaan sesak selalunya menjadi lokasi terjadinya kes kecurian tetapi ingat ada kalanya ia boleh terjadi di tempat-tempat yang kita tidak akan pernah terfikir seperti di masjid.
Pesan saya, berwaspadalah. Jangan jadi macam saya. Kalau sampai sudah dicuri barang anda, terima sajalah dengan takdir-Nya. Mungkin sudah suratan dan yang terpenting sekali, bagi setiap yang berlaku, pasti ada hikmahnya.
Saya berharap agar hasil tulisan saya yang daif ini dapat 'mencuri' hati pencuri dan 'bakal' pencuri agar menghentikan perbuatan terkutuk dan sia-sia mereka itu. Anda juga tidak pernah mahu barangan anda dicuri bukan?

Monday, 23 February 2009

USAH GUGAT KETENANGAN

BERITA HARIAN SG, 23 FEBRUARI 2009

Masjid bukan tempat suka-suka tebar tabiat buruk

MINGGU ini, saya akan bincangkan adab-adab di masjid tetapi sebelum itu, tahukah anda, apakah makna perkataan tersebut?
Masjid ialah perkataan bahasa Arab dan menurut Kamus Dewan Edisi Keempat ia membawa maksud bangunan khas tempat umat Islam melakukan solat Jumaat dan ibadah-ibadah lain.
Walaupun anda tidak bersekolah di madrasah, saya yakin anda pasti diajar tentang adab-adab di masjid. Adab-adab yang akan saya perkatakan dalam rencana ini lebih berkait dengan rutin harian kita sewaktu di masjid.
Ada di antara adab-adabnya mungkin belum pernah ditegur pihak masjid dan ada pula sudah disentuh pegawai masjid sehingga berbuih mulut mereka. Sebenarnya terdapat bermacam-macam adab berkaitan dengan masjid. Sekiranya hendak diperkatakan semua, senaskhah akhbar mungkin tidak mencukupi. Lima adab akan saya bincangkan secara ringkas.

Merokok
Seperti yang kita sedia maklum, larangan merokok sekarang sudah diperluas sehinggakan di dalam lif, tempat membeli-belah tanpa hawa dingin, panggung wayang dan juga beberapa kawasan lagi turut diletakkan di bawah kawasan larangan bermula 1 Januari lalu. Namun begitu, belum ada lagi saya dengar larangan merokok di kawasan masjid.
Seperti yang kita maklumi, kawasan masjid adalah kawasan yang bersih lagi suci. Kawasan itu juga merupakan tempat paling tenang bagi kita menghambakan diri pada-Nya. Namun begitu, apabila asap-asap rokok yang berbau itu terbang dan menerawang ke dalam kawasan masjid, adakah kita akan menjadi tenang? Pasti ada yang rasa mual ataupun mabuk apabila bau itu menusuk hidung.
Mungkin juga wajar bagi pihak masjid mengadakan saman $200 seperti dikenakan Agensi Alam Sekitaran Kebangsaan (NEA). Hasil daripada pungutan itu mungkin boleh sahaja didermakan bagi dana pembangunan masjid. Bukankah idea yang baik?

Meletak kenderaan
Walaupun ruangan Obor ini khusus untuk remaja, namun saya yakin ada sebahagian ibu bapa yang sudi membaca rencana saya. Oleh demikian, perbincangan yang kedua ini memang dikhususkan buat orang dewasa yang mempunyai kenderaan.
Pihak masjid sering memberi notis meletakkan kenderaan di kawasan yang disediakan. Namun, masalah ini kerap kali berlaku tanpa henti, bahkan sehingga hari ini. Ada yang meletak kereta di hadapan kereta lain sehingga menghalang kereta lain untuk keluar. Ada pula yang bagaikan 'meminta' disaman sahaja.
Selesai beribadah di masjid, semahunya kita berasa tenang. Saya tanya anda, mahukah anda disaman selepas menunaikan solat Jumaat atau solat Hari Raya? Mahukah anda dihon kereta lain kerana anda tidak meletak kereta dengan betul sehingga dicaci? Tentu sekali tidak bukan? Jadi, kayakanlah diri dengan bersikap timbang rasa.

Menukar nada deringan telefon bimbit
Ketiga, matikan telefon bimbit atau letakkan dalam mode gegaran ataupun senyap. Langkah ini diharap tidak memberi sebarang gangguan kepada jemaah lain sewaktu mengabdi diri pada Tuhan di masjid.
Pada suatu hari, sedang saya mendengar khutbah Jumaat, tiba-tiba saya terdengar pula suara kucing mengiau. Saya lihat di keliling saya, tiada pula gerangan kucing itu... Rupa-rupanya di tepi saya. Ingatkan jemaah itu menculik kucing, padahal itulah bunyi telefon bimbitnya. Isy... Isy...isy...

Menutup aurat
Seperti yang dimaklumi, sewaktu di kawasan masjid, kita dikehendaki menutup aurat. Menutup aurat tidak bererti menutup kawasan-kawasan yang dikira aurat sahaja tetapi pakaian yang ketat dan baju yang 'tidak cukup kain' juga dikira sebagai pakaian yang tidak menutup aurat.
Menutup aurat juga tidak bermakna sewaktu sedang beribadah sahaja tetapi sebaiknya sepanjang dalam kawasan masjid. Ini tidak. Ada yang saya lihat selesai sahaja solat Jumaat, dengan sepantas kilat terus membuka kain pelikat. Terlihat pula lutut-lutut dan kaki-kaki yang berbulu!
Persoalannya di sini, mengapa harus dibuka segera kain pelikat itu? Tidakkah bangga dengan budaya kita? Kalau tidak mahu mengenakan kain pelikat, gunakanlah sahaja seluar panjang atau seluar berukuran tiga suku. Yang terpenting sekali, tutup aurat anda.


Menggunakan tandas
Terakhir dan perkara yang kelima yang akan dibincangkan ialah mengenai tandas. Tempat itu sering dikunjungi sewaktu kita hendak 'melabur' bukan? Masalahnya, ada pengguna yang malas ataupun tak kuasa hendak mengepam lubang jamban itu.
Ada kalanya rasa terkejut melihat 'makhluk-makhluk' di dalam lubang jamban itu sehinggakan perut yang berasa sakit hendak 'melabur' itu tersentak dan 'hilang selera' hendak membuang.
Aduhai, nampaknya semakin banyak kes penyakit batu karang jika perkara sebegini kerap berlaku.
Contoh tandas terbaik yang boleh saya berikan di sini ialah tandas Lapangan Terbang Changi. Tidak dapat dinafikan kebersihan tandas di situ dikawal rapi.
Bukan hendak membandingkan antara tandas masjid dan tandas di Lapangan Terbang Changi. Bukan juga hendak menyoal sama ada pihak masjid melakukan tugas dengan baik ataupun tidak.
Soalnya di sini, kita semua sebagai warga ataupun jemaah masjid, hendaklah sama-sama menggunakan harta benda masjid secara cermat dan bersama-sama menjaga kebersihan masjid.
Dengan terbitnya rencana kali ini, saya berharap agar kita akan lebih sedar akan peri pentingnya sikap toleransi dan timbang rasa sesama kita di masjid.