BERITA HARIAN SG, 11 MEI 2009
Berkorban apa saja,
harta ataupun nyawa,
itulah kasih mesra,
sejati dan mulia...
MENDENGAR lagu asal P. Ramlee ini yang telah banyak diberi nafas baru yang lebih segar, teringat pula saya akan persembahan yang pernah saya buat di zaman tadika dahulu.
Berkorban apa saja. Itulah antara baitnya yang memberi makna yang cukup mendalam sekali. Jika barangan berharga yang kita miliki seperti telefon bimbit, komputer riba, wang berbukit dan sebagainya tidak sanggup kita korbankan, sanggupkah kita korbankan sesuatu yang lebih berharga seperti nyawa kita? Cuba fikirkan.
Berkorban. Itulah yang akan sama-sama saya bincangkan dengan anda. Bila disebut perkataan 'korban', anda pasti akan teringat kambing-kambing yang menanti masa dikorban sempena Hari Raya Haji bukan? Itulah stereotaip pemikiran kita. Cakap tentang korban, teringat pula kambing korban atau mereka yang mati terkorban.
Walau bagaimanapun, rencana saya kali ini tidak akan menyentuh mengenai Hari Raya Korban tetapi sesuatu yang berkait dengan 'korban' iaitu pengorbanan masa.
Seperti yang kita sedia maklum, sekarang ini ialah musim peperiksaan yang bahangnya sudah terasa.
Anda tentunya maklumi, pengorbanan masa sewaktu musim peperiksaan adalah suatu keperluan sebenarnya.
Hidup seorang pelajar biasanya agak santai walaupun dibebani beberapa tugasan sekolah. Sempat merayap ke sana sini, berehat dan melakukan aktiviti-aktiviti tertentu tetapi apabila musim peperiksaan sudah hampir tiba, masa yang biasanya digunakan untuk bersantai akan 'dirampas' dan 'dicuri'.
Tiada lagi rehat, tiada lagi merayap dan tiada lagi aktiviti luar! Perhatian ditumpukan sepenuhnya kepada peperiksaan.
Mulalah nanti rasa tertekan, kurang tidur, tidak selera makan dan sebagainya. Perasaan menyesal kerana tidak menghadiri kelas kian timbul. Itulah dia hidup sebahagian pelajar termasuk saya sendiri.
Entahlah, perkara ini sebenarnya sukar ditafsirkan. Kadangkala, semangat kita bagaikan hangat-hangat tahi ayam sahaja.
Umpamanya, pada permulaan penggal, kita berazam untuk menjadi lebih baik dengan contohnya, membuat jadual masa, mengulang-kaji pelajaran setiap hari dan sebagainya.
Walau bagaimanapun, 'tahi' yang pada mulanya tadi hangat sudah mula dingin pada pertengahan penggal dan semakin masa berputaran, ianya menjadi semakin dingin. Perkara sebegini seharusnya dijauhi.
Berakit-rakit ke hulu,
berenang-renang ke tepian,
bersakit-sakit dahulu
bersenang-senang kemudian.
Inilah pepatah yang tidak asing lagi. Pepatah itu memang sepadan dengan situasi peperiksaan yang dihadapi. Waktu yang dikorbankan atau dicuri itu boleh dianggap 'sakitnya' manakala 'senangnya' pula ialah apabila melihat kejayaan hasil waktu yang dikorbankan.
Percayalah, kesusahan anda mengorbankan masa berhibur demi peperiksaan akan mendapat kepuasan apabila keputusannya diumumkan nanti.
Dalam mengorbankan masa untuk belajar, janganlah pula dilupa pada keperluan dan kesihatan diri kita. Janganlah kerana terlalu sibuk dengan belajar, kita meninggalkan rutin penting kita seperti makan, tidur dan yang paling utama, solat.
Pengorbanan masa hanyalah satu jalan untuk berjaya. Usaha dan doa juga tidak patut dilupakan. Sehingga di sini, selamat berjuang di medan peperiksaan.
No comments:
Post a Comment