Thursday, 19 December 2013

Bukan mudah gelaran Pelajar Madrasah itu...

Lama rasanya tidak saya kemas kini laman ini.

Mungkin kekurangan idea, ketiadaan masa lapang atau sekadar... malas.

Saya pernah menuntut di Madrasah dan saya juga pernah mengajar di Madrasah; akan saya kongsi pengalaman saya mengajar dalam entri akan datang. Insha Allah.

Tajuk saya pilih di atas tercetus dari seorang pelajar saya, “kau fikir kita budak madrasah ni malaikat pe?” Keluhan beliau di Twitter.

Benar, bila kita berada di sekolah agama, ma’had atau madrasah orang akan memandang kita dengan sebuah pandangan yang tidak mereka pandang pada pelajar sekular atau sekolah pemerintah – mungkin.

Ada yang mungkin memandang bahawa pelajar Madrasah tidaklah boleh lakukan sebarang kesilapan – maksum. Walhal, kita semua ada kekurangannya dan kesilapannya; sama ada Allah menghijabkannya ataupun tidak.

Pasti anda pernah mendengar Hadith yang berbunyi, “setiap anak Adam itu membuat salah. Sebaik-baik pembuat dosa adalah yang bertaubat.”

Tidak semestinya pelajar Madrasah itu lebih baik dari pelajar bukan Madrasah. Ada dikalangan teman saya yang bersekolah di institusi sepenuh masa yang bukan Islam tetapi akhlaknya lebih mulia dari sebahagian pelajar Madrasah.

Namun, itu semua tidaklah boleh dijadikan sebagai sebuah hujjah untuk pelajar Madrasah ‘melindungi’ diri mereka dari kata-kata orang sekeliling. Sebaliknya dan sebaiknya, elakkanlah segala apa yang dapat membawa kepada kata-kata buruk orang. Jagalah imej Madrasah. Janganlah kerana anda seorang, seluruh pelajar Madrasah menerima kutukan yang sama. Maklumlah, ada saja orang yang jenis mata merah dan jenis suka mengata atau ‘stereotype’.

Bersama pelajar menegah saya sewaktu Kem Tarannum Alquran di Kuang.
Kita sebagai Muslim adalah Khalifah di muka bumi Allah. Namun, Allah memilih anda,  saya dan kita ni – pelajar madrasah - untuk menjadi Khalifah yang membimbing umat masa depan.
Pembimbing Masyarakat pada masa akan datang, insha Allah
Satu hari nanti, antara kita mungkin akan berada di hadapan. Facebook, Instagram, Twitter dan sebagainya. Masyarakat di sekeliling melihat kita.

Mahukah kita, bila berada di depan nanti –memberikan ceramah, menyampaikan khutbah, membaca Quran- sedang orang belakang melihat gambar-gambar masa lalu kita. Gambar pergaulan bebas kita, gambar sedang sedang menghisap rokok, gambar tidak menutup aurat, gambar ‘couple Islamic’ dan sebagainya.

Marilah, bersama-bersama, kita bergerak ke arah perubahan dan pembangunan insan yang lebih berakhlak mulia dan berjiwa murni. Selepas membaca rencana ini, remove lah segala gambar-gambar, tweet atau post di Facebook yang kurang sesuai selaku pelajar madrasah

Selalulah juga doakan saudara seagama kita agar kita sesama kita mendapat hidayah Allah. Ayat dari Surah Qasas ada menyebutkan, “Sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) tidak berkuasa memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang engkau kasihi, tetapi Allah jualah yang berkuasa memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya); dan Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang (ada persediaan untuk) mendapat hidayah petunjuk.”

Saya faham, sukar mungkin untuk meninggalkan perkara buruk. Namun, demi Allah dan Rasulullah, yok, jom, marilah, ayuhlah, sama-sama kita fikirkan dan kita berubah.

Ketahuilah, ahli Maksiat itu menganggap dosa ibarat lalat di hidung. Renung-renungkan.

Bakal-bakal pewaris Nabi
Pelajar Madrasah seharusnya menunjukkan akhlak yang terpuji. Berat sebenarnya gelaran ini. Namun, inilah dia ujian yang Allah berikan pada kita.

Masyarakat menganggap kita sebagai ‘malaikat’ kerana kitalah Ulama Pewaris Nabi.

Saya akhiri dengan sebuah analogi, kereta Ferrari yang terlibat dalam kemalangan. Biarpun ia dibetulkan dan dihilangkan kesan kerosakannya sehingga kelihatan seperti baru, namun, orang tetap mengetahui bahawa ia tetap pernah terlibat dalam kemalangan. Wallahu a’lam.

Monday, 3 June 2013

'Party' dengan Ustaz!

Me         : Mak, esok orang nak keluar tau!
Mak       : Gi mana?
Me         : Party ah mak
Mak       : Apa kau cakap?!! Party?!!
Me         : Party dengan Ustaz lah.
*confuse mode*

Di laman-laman sosial milik remaja Islam Singapura, pastinya ramai yang memperkatakan tentang ‘Party’atau acara Zouq Festival 2013 tersebut.

Kecoh! Benar kecoh! Saya di sini, bukanlah hendak menambah kecoh, menghukum ataupun menjadi ‘jurucakap’ bagi mana-mana pihak. #sekadarpandangan ingin dikongsi sama.

Belum pun acara itu berlangsung, sudah pelbagai fitnah, tohmahan, cercaan dan kutukan yang saya lihat di celah-celah ruang Facebook, Twitter dan Instagram.

Saya bukan nak berpihak pada penganjur, Cuma, tidakkah anda rasa ia terlalu cepat untuk diadili? Biarpun, ia tulis, ‘party’ mungkin saja ia bukan party seperti yang dimaksudkan dalam kamus? Saya lebih melihat ia sebagi karnival biasa yang mempunyai kelainan.

Percayalah, saya yakin. Anda berniat baik. Penganjur juga berniat baik. Kita semua inginkan yang terbaik. Namun, cara kita berbeza. Selera kita juga berbeza. Background kita lagilah berbeza.

Renungkanlah ayat yang Allah sebutkan, “Sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa – bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia diantara kamu disisi Allah ialah orang yang paling taqwa diantara kamu. Sesungguhnya Allah Maha mengetahui lagi Maha Mengenal.” Surah Al-Hujurat ayat 13.

Dari itu, raikanlah perbezaan itu. Bukankah Allah telah ciptakan kita dari pelbagai bangsa, suku, jenis, corak dan warna untuk kita saling kenal-mengenali? Bila mana kita kenal, kita akan faham.

Benar, yang kurang baik itu perlu ditegur. Namun, apakah dengan cara melontarkan dan menyebarkan fitnah, tohmahan, cercaan dan kutukan itu kita kira sebagai cara yang terbaik untuk mengubah situasi tersebut?

Kita selalu sangat ambil jalan yang pantas dan pintas bila inginkan sesuatu sedangkan mungkin jalan tersebut bukanlah yang terbaik. 

Ayuh kita tanyakan apakah dengan menunjukkan kemarahan di Facebook akan mendatangkan kesan ataupun membawa perubahan? Saya rasa, ia hanya akan mencemar identiti Remaja Muslim Singapura.

Fikirkanlah sebab mengapa kita pos komen-komen sedemikian rupa. Tajdidkan minda dan niat kita.

Secara peribadi, saya tidak ada masalah dengan pihak penganjur. Saya juga tidak ada masalah dengan yang tidak menyokong acara tersebut. Masing-masing ada points masing-masing. Cuma, it doesn’t meet.

Saya kesal dengan segolongan orang yang tidak mahu bertanya dan terus menghukum.

Kita perlu berhenti mengutuk dan mula membentuk. Cubalah untuk mendidik, bukan mengherdik. Jangan asyik diserang, kalau tidak mahu membantu untuk menerang. Hentikan zulum, hentikan menghukum.

Buat yang sering menyerang dan mengherdik, ayuh, kita muhasabah diri dan kita cari jalan untuk mengubahnya dengan cara yang lebih baik dan lebih diredhai Allah.

Kita mesti fahami realiti kehidupan hari ini dan cari solusi untuk masalah yang kita hadapi bersama-sama.

Apakah Zouq Fest akan diadakan sebegini? Semoga batasan ikhtilat dijaga sebaiknya.
Penganjur hanya mahu menyuluhkan jalan bagi golongan yang ‘tersasar’ dan kita di sini, mengecam dan menghukum seperti ada kunci syurga dan neraka di tangan kita. Kita lebih hiraukan mereka yang ke Zouq dari yang ke Zouk.

Buat penganjur, Syabab SG, ikhlas dari hati syabas saya ucapkan atas segala usaha dalam menarik belia kita hari ini. Semoga Allah memberkati.

Saya malu kerana, selaku seorang Mahasiswa di Timur Tengah, belum ada masa, langkah atau bantuan dapat saya hulurkan seperti anda. Terimalah dan janganlah dipersenda kritikan-kritikan yang secara tidak langsung membina kekuatan untuk terus maju ke hadapan.

Adat dalam berdakwah, ia pasti akan ditentang. Namun, sensitiviti tetap harus dijaga. Penerimaan masyarakat mesti diambil kira. Kutukan itu datang kerana tidak mahu identiti Muslim itu berubah hinggakan ada yang kata, 'Modern Muslims = party'

Jangan terlalu fikir yang kita saja betul. Terangkan sebab, kurangkan fitnah.

Yang terbaik, buatlah acara yang mana ia ibarat Rasulullah hadir bersamanya. Pastinya, malu bukan kalau ada unsur-unsur yang kurang manis dan kurang elok?

Ayuh, 7 Julai nanti, jika berkesempatan, kita turun padang. Kita lihat kondisi dan situasi di sana. Namun, janganlah bila ke sana nanti disebar fitnah merata.

Sekian, semoga kita tergolong dalam orang-orang yang diberi hidayah sepanjang usia, dimatikan dalam husnul khatimah dan diberkati Allah dalam segala urusan.


Saya akhiri kalam saya dengan ayat dari Surah Qasas, “Sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) tidak berkuasa memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang engkau kasihi, tetapi Allah jualah yang berkuasa memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya); dan Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang (ada persediaan untuk) mendapat hidayah petunjuk.”

Tuesday, 21 May 2013

Qari Quran akhir zaman?

Bila terlihat iklan Majlis Tilawah & Tahfiz Al-Quran Kebangsaan Singapura, terdetik pula untuk menulis beberapa perkataan yang selama ini tersimpan di minda.

Semoga perkataan-perkataan yang akan dikongsi nanti adalah yang dapat membuat kita berfikir, cermin diri kita dan membuat perubahan ke arah kebaikan?

Alhamdulillah, rasanya, hari ini di Singapura, ramai Qari-qari baru yang lahir. Semoga semangat sebegini akan berterusan. Syabas!

Saya gembira dengan terlahirnya ramai Qari. 

Namun,  saya rasa, sebelum melahirkan seorang Qari, ada beberapa perkara yang perlu diajar terlebih dahulu ataupun diajar seiringan khususnya akhlak. 

Cubalah yang terbaik untuk mweujudkan 'Akhlak Quran' dalam diri. Ini bukan bermakna Qari sahaja yang perlu berakhlak Quran tetapi seluruh Umat Nabi Muhammad S.A.W. yang membaca Quran. 

Qari, buat yang belum mengetahui, adalah istilah bagi pembaca Quran secara umumnya. Namun, kalau istilah biasa digunakan bermaksud seorang yang mungkin terkenal dengan bacaan tajwidnya yang baik, gaya lenggok dan suara yang lunak dan umpama buluh perindu.

Hafiz bula, mengikut apa yang fahami bermaksud, seorang yang menghafal Quran.

Hari ini, dengan wujudnya laman sosial, kita dapat melihat dengan lebih dekat lagi kehidupan Qari. Saya bukan hendak kata, Qari tidak boleh ada Facebook, atau Twitter, tidak! Cuma, saya mengharap agar dapatlah dijaga 'etika' dan akhlak.

Adakalanya, kecewa dan hampa dengan sebahagian Qari. Suara sedap tapi akhlaknya kurang 'sedap' dipandang terutama sekali di laman-laman sosial. Bergambar dengan yang bukan muhrim secara bebas, membuka aurat, merokok, shisha dan sebagainya. 

Terfikir juga, apakah perlu untuk dipost gambar sebegitu. Ada itu carany untuk menunjukkan anda Qari modern? Atau Qari yang cool? #inisemuakari

Kalaupun ada gambar tersebut, usahlah dan elakkanlah dari meletakkan di Facebook. Cukuplah sekadar menjadi 'tatapan' dan 'kenangan' untuk anda.

Saya juga tidak menafikan, Qari adalah manusia biasa yang buat salah. Namun, itu bukanlah hujah yang kukuh untuk terus bersikap atau berakhlak dengan akhlak yang kurang 'Quran'.

Orang memandang tinggi Qari Quran. Janganlah sampai satu hari nanti, orang mula 'degrade' Qari hanya kerana perbuatan atau akhlak yang kurang.


Semua orang boleh membaca Quran dengan baik jika diajar. Namun, Allah pilih anda untuk ke hadapan. Apabila berapa dihadapan, anda perlulah jaga Quran sebaik-baiknya. 

Mungkin, perlu diadakan anugerah bagi Qari Mithali yang syumul akhlaknya? #twocents :)

Buat Qari yang telah menunjukkan akhlak yang baik, syabas saya ucapkan. Semoga Allah memberikan balas yang setimpal dengan usaha anda dalam memartabatkan kitabnya.

Ala kulli haal, membaca AlQuran memerlukan ROH. Bukan sekadar suara sedap dan tajwid yang baik menjadi ukuran. Bahkan, diri seseorang individu itu secara keseluruhan.


Semoga perkataan-perkataan yang diilham Tuhan ini menjadi pengajaran buat diri saya khususnya dan semua yang membaca. 

Semoga kita serta keturunan kita menjadi Ahli Alquran dan semoga bertambah lagi Quran Quran yang berakhlak Quran.

Wassalaam.



nb: ini baru Qari, belum Hafiz. ;)

Friday, 3 May 2013

"Saya telah RELA diliwat" - Saiful



Melihatkan video sumpahan ini, teringat pada sifat orang Munafik.

Bukan saya nak kata beliau munafiq, cuma... Perbuatan beliau bersumpah mengingatkan saya pada sifat seorang munafik.




Mungkin benar sumpahannya, mungkin juga sumpahannya itu sekadar rekaan. Mana tahu dia Syiah, bersikap 'taqiyah'. Boleh tipu demi 'kebaikan' (kalau bukan keuntungan) atau tipu zahir, batin tidak. Maka urusan ini, kebenaran atau kebatilan kita serahkan pada Allah yang tentu sekali Maha Mengetahui. Kita hanya dapat membuat spekulasi 


"Saya telah diliwat." Agak kurang masuk akal bila statement sebegitu dibuat. Lembik sangat ke lemah sangat si Saiful ni hinggakan diliwat begitu sahaja. Macam makanan, tak boleh nak melawan. 


Liwat ini ibarat jimak dari sudut penerimaannya; seorang lelaki tidak akan diliwat tanpa kerelaan lelaki lain. Seharusnya dia katakan, "saya telah rela diliwat." Like, come on, you can just stop him and run but you didnt because "saya telah rela diliwat". It just doesn't sound right to me. Fallahu taa'la 'alam. 


Pos ini bukanlah pro Anwar Ibrahim. Pos ini juga bukanlah hendak sibuk-sibuk dalam politik Malaysia atau PRU 2013. Cuma, sekadar pandangan saya dari akal pemberian Allah ini. 
Yang kurang dari saya, terangkanlah jangan ditentang.


Anwar Ibrahim, kalaupun benar beliau melakukan perbuatan tersebut, mungkin sahaja beliau bertaubat. Mudah-mudahan diterima taubatnya.
 


Kalaupun benar Anwar pernah melakukan perbuatan terkutuk itu pada Saiful, itu dahulu


Kita perlu ubah mindset kita. Kita mestilah membenci perkara yang dibuat Anwar bukanlah Anwar.


Janganlah kerana sebuah kesalahan itu, kebaikannya dinafikan semua, dibuang dan dilupakan. 

Namun, apakan daya, itulah lumrah manusia.

Ala kulli haal, semoga berjaya buat semua calon bertanding untuk PRU13. 

Saya selaku warganegara Singapura ingin mengucapkan selamat maju jaya buat Malaysia dalam pilihan raya nanti.
Bersatulah dalam membangun Malaysia. Biarpun parti yang anda sokong tidak menang, teruskan semangat bersatu dan membantu. Utamakan ukhuwwah daripada parti.



Terakhir sekali, mudah-mudahan akan ber-anwar (bersinar - B. Arab) dengan cahaya kebenaran. Juga mudah-mudahan, lidah yang menipu akan menjadi saiful (pedang) yang melukai diri sendiri.
 


#sekadarpandangan 

 
Wallahu alam.

Saturday, 13 April 2013

Tapak Nabi bersebelahan Maqam Imam Syafie?


Lama rasanya tidak menulis, rindu sebenarnya. Dari itu, saya teruskan semula blog ini dengan memberikan secubit dari pandangan saya. Yang daif, yang kurang, silakanlah betulkan saya. Yang betul, mungkin tetap ada kurangnya. Jangan pula taassub dengan pandangan saya sedang pandangan yang lain mungkin lebih baik dari saya.

Berkenaan topik di atas ini, bukanlah maksud saya untuk menghina atau menafikan kewujudan 'sejarah' berkenaan Tapak Nabi Muhammad S.A.W. ini. 
Maaf kalau ada yang tersinggung dengan penulisan ini.

Jika anda pernah ke Mesir dan mengunjungi Maqam Imam Syafie R.A. Mungkin anda pernah diajak untuk melihat 'Tapak' Nabi Muhammad. Bila fikirkan dan renungkan... Bukankah Nabi Muhammad kita wafat sebelum kelahiran Imam Syafie. 

Bukan nak ingkar 'sejarah' cuma akal kadang-kadang tak dapat terima benda yang bertentangan dengan logik. Itu tidak bermakna saya ingkar semua yang bertentangan dengan logik.

Kisah Israk dan Mikraj contohnya, kita wajib percaya kerana ia sudahpun dijelaskan dalam Al-Quran dan Sunnah. Janganlah kita sesekali mengkufurinya. 

'Ala kulli haal, saya tidak menghalang orang untuk mempercayainya. Cuma, berpada-padalah. Jangan terlalu ta'assub hingga ada yang sujud dan meraba-raba 'tapak' itu dan melumurnya di badan dengan mempercayai ada keberkatan di situ. 

Akal manusia tidak bodoh, kita boleh berfikir. Akal manusia suka mencari-cari kebenaran. 

Wallahu 'alam.

#sekadarpandangan


Monday, 8 April 2013

Jaga Adab Di Laman Sosial

BERITA HARIAN SG, 23 JANUARI 2013

Rabiul Awal menjelang kini, 
Bulan kelahiran Nabi Habibi, 
Beliaulah Kekasih Ilahi, 
Hadirnya menyinar alam ini.  

Setiap dari kita pasti menyedari bahawa kita sudahpun berada di bulan Rabiul Awal. 

Mana tidaknya, di Facebook, Twitter dan laman sosial yang lainnya pasti kecoh diposkan status dan gambar mengingatkan kita bahawa kita sudahpun berada di bulan Rabiul Awal. 

BERKATA YANG BAIK ATAU BERDIAM  

Segala puji bagi Tuhan yang memberikan kita nikmat teknologi untuk digunakan sebagai mengingatkan sesama kita dan mengajak kepada jalan kebaikan.  

Namun sayangnya, dalam menyambut bulan kelahiran Nabi ini, kita akan melihat sesetengah orang mula memberikan komen yang negatif terhadap sesetengah fahaman hinggakan ada yang sanggup mengambil langkah menyesatkan sesetengah pendapat. Ada pula yang menyindir-nyindir pendapat yang lainnya.  

Teringat saya pesan Nabi Muhammad kita yang diriwayatkan oleh Al-Bukhari, “barangsiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhir maka hendaklah dia berkata yang baik ataupun berdiam.”  

Cuba kita renungkan dan fikirkan semula hadith tersebut, apakah dengan kutukan, hinaan serta sindiran terhadap pendapat sesebuah fahaman itu merupakan sebuah perkataan yang baik? Maka berdiam diri sahajalah.

LAMAN SOSIAL BUKAN RUANG BERDEBAT  

Keadaan sebegitulah yang dapat saya lihat pada hari ini di laman-laman sosial kita. 

Memang benar, kalau nak dikatakan benda yang batil itu perlulah dibetulkan. Namun, janganlah sampai laman sosial menjadi mangsanya. Tolonglah jaga imej agama kita.  

Secara terus terang, bagi saya laman sosial bukanlah ruang yang terbaik untuk berdebat kerana apa yang kita poskan tidak semestinya itu yang difahamkan orang. Mungkin, kita maksudkan sebegini tetapi yang difahamkan adalah sebegitu. Maklumlah, orang mempunyai akal dan daya pemikiran yang berbeza. Namun, tidak semua pemikiran itu salah dan tidak semua pemikiran itu betul. Anda yang menilainya , semoga hidayah Tuhan sentiasa bersama kita.

Jika ingin berbincang tentang sesebuah khilaf itu, duduklah bersama-sama di tempat yang sesuai. Bila diutarakan sesebuah pendapat yang mungkin bertentangan dengan kita, janganlah memaksa orang untuk menerimanya.

Janganlah pula sekadar berpandukan Google atau menjadi tukang copy dan paste tanpa ilmu terhadap apa yang ada di situ. Carilah guru jika ingin benar-benar ingin mengetahui jawapannya seperti firman Allah dalam Surah Al-Anbiya ayat 7, “maka tanyakanlah olehmu kepada ‘ahlaz zikri’ (orang-orang yang berilmu) jika kamu tiada mengetahui.” 

HARMONI SESAMA ISLAM  

Keharmonian. Itulah yang saya rasa kurang pada masyarakat kita. Hari ini, kita ada keharmonian sesama kaum dan keharmonian sesama agama. Namun, di manakah dia keharmonian sesama Islam itu sendiri?  

Mungkin inilah waktunya untuk kita duduk bersama-sama dan membincangkan sesuatu perkara itu dengan fikiran yang lebih terbuka dan bukanlah dengan mengecam sesebuah pendapat itu.  

Ambillah waktu untuk memahami dan mengkaji fahaman yang mungkin berbeza dari kita dan jauhi sikap menghukum.  

Lumrah alam, tidak semua orang akan mempunyai fikiran yang sama. Atau, sama tapi tak serupa. Perbezaan ataupun khilaf dalam sesebuah fahaman itu memang tidak dapat dielakkan. Di dalam Surah An-Nahl ayat 93 juga, ada menyebutkan,”Dan jika Allah mengkehendaki, tentulah Dia menjadikan kamu satu umat (yang bersatu dalam ugama Allah yang satu).”  

Marilah kita, sempena bulan Rabiul Awal ini, belajar untuk lebih mengamalkan sikap toleransi dan menghormati fahaman sesama kita. Usah dikeji dan dicaci walau mungkin sesebuah fahaman itu tidak kita serasi. Jagalah batasan serta sensitiviti dan hidupkan Islam dengan harmoni.

Semoga kedatangan Rabiul Awal mengurniakan kita berkat serta hidayah dari Ilahi.


NB: Rencana telah disunting pihak Berita Harian.