RUNGUTAN demi rungutan kedengaran.
'Alah! Keluarga aku tu mengarutlah!'
'Mak bapak aku kuno! Dasar orang kampung!'
Itulah keluhan sebahagian pelajar terhadap orang tua mereka.
Isy! Kalau keluarga anda dianggap mengarut, bukankah anda juga sebahagian daripada keluarga itu?
Kalau emak bapa anda dipanggil 'kuno dan orang kampung', bukankah anda anak si kuno dan orang kampung itu? Fikirkanlah ya.
Sering kali ibu bapa dipersalahkan dan dihumban dengan pelbagai kata-kata yang kurang manis didengar.
Kalau ibu bapa zaman dahululah, dipiat-piat agaknya telinga anak-anak hari ini dan disepak-sepak mukanya. Kurang ajar sangat! Mana boleh ibu bapa sendiri dihina dan dimaki sesuka hati.
Saya mendapat ilham menulis rencana ini apabila melihat banyak sangat perkara yang berlaku di laman-laman rangkaian sosial seperti Facebook, Twitter dan laman-laman blog.
Bertuah juga saya rasanya mempunyai ramai teman di Facebook. Jadi, banyak juga ragam yang dapat saya lihat daripada situ.
IBU BAPA LEBIH BANYAK MAKAN GARAM
'Geram! Kenapalah aku nak ambil lesen motor tak boleh? Bukannya susah sangat. Macam naik basikal saja,' ngomel si teman.
Geram, marah dan benci. Tentu sekali itulah yang dirasakan apabila sesuatu yang kita mahukan tak dapat direalisasikan.
Benar bukan apa yang saya katakan? Iyalah, saya juga dulu pernah muda seperti anda. Maklumlah, hati orang muda ini suka sangat memberontak.
Ibu bapa lebih mengetahui apa yang baik dan apa yang buruk untuk anda. Seperti contoh yang saya berikan tadi, ramai anak bujang kepingin mengambil lesen motor.
Anda baru 18 tahun dan sudah merengek-rengek mahukan lesen motor. Kadangkala, bukannya ibu bapa anda tidak mahu membenarkannya, tetapi mungkin saja belum waktunya.
Iyalah, dengan kemalangan melibatkan penunggang motosikal yang kerap berlaku, termasuk mengakibatkan kematian, tentu sekali ibu bapa anda juga bimbang nasib serupa menimpa.
Mereka bimbang kerana mereka sayangkan anda!
UTAMAKANLAH KELUARGA WALAU ORANG TUA BANYAK 'SPELLING'
'Panas aku duduk kat rumah! Paling-paling orang tua aku banyak spelling!'
Alamak... Ini satu lagi kes - kes asyik 'melekat' dengan kawan sahaja. Di rumah, telefon kawan; di luar dengan kawan; di sekolah pun dengan kawan.
Pendek kata, kalau ada 25 jam sehari, masa itu dihabiskan dengan kawan. Jadi, bilakah waktu anda dengan keluarga?
Kemudian, terdengar pula saya istilah 'abang angkat', 'adik angkat' dan sebagainya.
Adik dan abang kandung sendiri tak terangkat, ini pula nak angkat-angkat orang lain. Isy... isy... isy...
Biar seburuk mana keluarga anda, mereka itu tetap keluarga anda. Mungkin andalah yang bakal merubah nasib mereka.
Apabila anda hendak bergembira, anda mengajak teman. Anda hingga terlalu melebihkan teman hingga untuk berinteraksi bersama keluarga anda pun anda berasa janggal.
Jangan sampai keadaan begitu melarat. Ambillah inisiatif untuk berubah. Ia tidak bermakna menjauhkan diri daripada teman anda tetapi adakan sedikit ruang untuk anda bersama keluarga anda.
Kalaulah anda berada di tempat saya (di Mesir), jauh daripada keluarga, pastinya anda memahami apa yang cuba saya sampaikan.
Bukan sahaja belaian keluarga dirindukan, bahkan teguran dan kekecohan ibu memarahi adik-adik turut menjadi dambaan.
Sekian, salam dari Mesir. Hargailah keluarga anda kerana air dicencang tidak akan putus.
Nota: Penulis kini menuntut di Universiti Al-Azhar, Kahirah, Mesir.