Monday, 31 May 2010

Bertemankan Gisel

BERITA HARIAN SG, 24 MEI 2010

Naib Juara 'Indonesian Idol 2008' bukan boneka tetapi berpotensi besar

SUDAH menjadi lumrah dunia hiburan. Pasti ada yang muncul dan ada yang pergi.

Ada yang muncul kemudian hilang dibawa angin. Ada yang sekejap muncul, sekejap hilang. Tidak kurang pula yang muncul seketika tetapi kemunculannya tidak diendahkan dan pelbagai lagi rentak yang boleh kita lihat dalam dunia seni ini.

Nasib seorang artis baru Indonesia ini, entah bagaimana agaknya, ya? Gisella Anastasia, 19 tahun.

Beliau seorang pendatang baru dari Indonesia dan merupakan naib johan Indonesian Idol musim kelima, dua tahun lalu. Di Singapura, Gisella lebih dikenali sebagai pasangan duet Didicazli dalam lagu Berteman Rindu.

Sejak umurnya empat tahun lagi, beliau memang sudah menanam minat menyanyi. Setelah meningkat dewasa, beliau menyanyi pula di majlis-majlis persandingan.

Penyanyi asal Surabaya yang lebih manja dengan nama Gisel merupakan seorang bekas pelajar SMR Petra dan kini sedang menunggu kemasukan ke kolej September nanti. Dalam kesibukan belajar, beliau tetap mempunyai masa untuk menyanyi.

Hasrat anak tunggal itu hampir-hampir tidak kesampaian apabila beliau dikritik habis-habisan dan beliau langsung berputus asa sewaktu pertama kali menyanyi bersama 24 finalis lain Indonesian Idol.

'Kritikan daripada juri waktu itu, Anang, jika tidak silap saya, memang melemahkan semangat saya. Waktu itu saya menyanyikan lagu Aku Bukan Boneka.

'Mas Anang bilang, suara saya persis kanak-kanak apabila menyanyi. Bukan sahaja Mas Anang yang kritik. Juri-juri yang lain juga sama. Itulah penampilan pertama dan saya terus dikritik. Mungkin lagunya seperti main-main jadi saya terbawa-bawa,' ceritanya dalam satu temu bual melalui panggilan jauh.

Gisel akui mula-mula payah ingin bangkit daripada kritikan tersebut. Beliau rasa tidak selesa tetapi ramai rakan Idol-nya yang membantu memberi sokongan moral.

'Mereka galakkan saya agar tidak fikirkan kritikan itu dan apa yang sudah berlaku biarlah berlalu pergi. Enggak usah diingat-ingat lagi. Mereka beri semangat untuk saya kekal beradu suara,' ceritanya.

Walau baru dua tahun dalam industri, pengalaman yang diraihnya tetap luas.

'Saya kini dapat pelajari cara menyanyi dengan lebih profesional lagi. Dulu, saya hanya pandai menyanyi saja. Kini, saya sudah tahu nota, nada suara, tonasinya dan sebagainya.

'Dulu, orang tidak mengenali saya tetapi kini sudah dikenali. Kalau kawan saya dulu ada yang membenci atau tidak rapat, tetapi kini mereka mulai suka dan beri sokongan dan yang tidak rapat tiba-tiba jadi dekat tapi itu tidak jadi masalah malahan saya suka!' ujarnya dengan nada senang hati.

Penggemar buku novel berunsurkan cinta itu kini dalam proses menyiapkan albumnya sendiri. Sehingga hari ini, dua lagu telah disiapkan iaitu Diseksa Cinta dan juga Say You Love Me.

Sebagai seorang pendatang baru, Gisel memang cukup terbuka dengan pihak media. Khabarnya, beliau sudah ada pacar. Sempat ditanyakannya sama ada pacarnya itu tidak iri hati memandangkan beliau seorang penghibur dan pasti mempunyai peminat di kalangan lelaki.

Katanya: 'Pacar saya itu memang sangat mengerti. Dia tahu kalau hati saya tidak akan ke mana-mana dan tentunya ada batas antara peminat dengan saya.'

Melalui pemberitahuannya, memang jelas beliau hangat dibuai cinta. Hinggakan beliau sempat memberitahu penulis, jika beliau membaca novel, beliau seakan menebar imaginasi antara beliau dan kekasih hatinya.

Gisella Anastasia bakal mengakhiri zaman belasan tahunnya, November nanti.

Yang pastinya, ramai yang akur terpukau dengan vokal mantapnya, mendendangkan lagu Rossa, Ayat-Ayat Cinta di acara Sedetik Bersama Dude Harlino di Politeknik Republic pada 27 Mac lalu.


KENAL-KENAL GISEL

  • IDOLA: Taylor Swift
  • ARTIS POPULAR YANG INGIN DIDEKATI SEBAGAI PASANGAN DUET: Datuk Siti Nurhaliza
  • NEGARA YANG INGIN DILAWATI: Jepun & Perancis
  • TIGA BENDA PENTING BAGI GISEL: Telefon bimbit, jam tangan dan komputer riba
  • HOBI: Membaca novel
  • Tuesday, 18 May 2010

    Hero baru

    BERITA HARIAN SG, 17 MEI 2010

    Kamal enggan 'tenggelam' apabila berganding dengan hero mapan

    USAH menilai senaskhah buku daripada kulit mukanya.

    Ini mungkin pepatah Inggeris yang sering kali diucapkan.

    Bersandarkan pepatah itulah, Ahmad Kamal Ahmad Adli, 24 tahun, terpilih untuk menjayakan filem seram, Niyang Rapik.

    Meskipun baru lagi dalam industri perfileman, Ahmad Kamal tetap dipilih untuk menjayakan filem tersebut bersama empat lagi hero filem Malaysia yang lebih mapan - Zed Zaidi, Shaheizy Sam, Awal Ashaari dan Fizz Fairuz.

    Kamal merupakan antara tiga pelakon filem tersebut yang ke sidang akhbar Niyang Rapik di pawagam Eng Wah Suntec City baru-baru ini untuk menceritakan pengalamannya.

    Siapakah Kamal sebelum menjadi bintang filem?

    'Sebelum berlakon saya belajar bidang penyiaran di Akademi TV3 dan sempat menjadi seorang model sambilan untuk iklan televisyen.

    'Saya kemudian menyertai peraduan ala Manhunt di Malaysia, yang diberi nama Hero Remaja, anjuran majalah Remaja. Kemudian, saya menang dan dari situlah bermulanya kerjaya saya dalam bidang lakonan,' jelasnya.

    Beliau mulanya berminat menjadi pengacara, bahkan, sempat mengacarakan sebuah program pelancongan di Jepun, disusuli dengan program pertandingan band atau Battle of the Band.

    Mengenai bidang lakonan, Kamal berkata beliau tidak merancang mahu berlakon sehinggalah tiba-tiba tergerak melakukan demikian ketika peluang mengacara tidak kesampaian.

    'Nak jadi hos, tak menjadi. Sesi uji bakat telah ditutup tetapi ada sesi uji bakat untuk berlakon drama. Saya pun cuba saja. Kebetulan berjaya. Tak ada pula orang yang cakap saya berlakon macam kayu atau tak perlu berlakon lagi.

    'Jadi, mula dari situ, saya rasa kenapa tidak cuba bidang ini? Drama pertama saya adalah Impian Sunsilk dan saya memainkan watak sebagai teman lelaki heroine filem. Tak tahulah saya ni cukup hero ke tak! Niyang Rapik pula adalah filem pertama saya,' jelasnya.

    Selepas lebih setahun berlakon dan mengacara, Kamal mendapati rezekinya murah, termasuk dalam bidang teater, iaitu Impak Maksima The Musical yang dibawa ke Esplanade sempena Pesta Raya tahun lalu.

    Mengenai pengalaman berlakon dalam Niyang Rapik, beliau tentunya rasa bertuah dapat berlakon dalam filem Ahmad Idham.

    'Di situlah, saya dapat menimba pengalaman baru dan rasa seronok. Untuk filem ini, ada empat hero dan saya rasa cabaran utama adalah agar saya tidak kelihatan tenggelam tetapi seiring dengan mereka.

    'Saya berlakon sebagai Helmi. Helmi adalah seorang yang pendiam dan nampak macam macho, tampan dan berani tetapi di akhir cerita, dia ni penakut sebenarnya. Dia pantang lihat barang ghaib!' ujar Kamal.

    Bagi seorang pelakon baru, pengalaman menjalani penggambaran di Tasik Kenyir adalah yang payah dilupakan. Pemandangannya indah dan keluasannya lebih seganda saiznya daripada Singapura. Di tasik itu, bot dinaiki tetapi bot mereka bocor.

    'Di rumah bot, saya tahulah perangai satu-satu apabila tidur!' selorohnya.

    Apakah pengalaman itu merupakan suatu kejutan budaya, sebagaimana yang dinyatakan Awal Ashaari?

    'Saya orang Pahang. Kehidupan saya dikelilingi laut, tasik dan bukit. Nampak tasik dan laut, saya terjun. Nanti naik pokok tinggi-tinggi terjun ke bawah. Memang lasaklah.

    'Bila ke sana, macam dah biasalah. Bila ada aktiviti sebegitu di Tasik Kenyir, saya yang buat dulu semua. Seronok tengok kawan-kawan saya ni yang tak biasa benda-benda macam ni. Dengan tak ada line telefon, itu yang membuat kita semua (pelakon) rapat!' cerita Kamal lagi.


    KENAL-KENAL

    Apa kata Kamal Adli tentang...

  • Selain daripada hantu, yang menyeramkan saya...: Ayah saya ketika beliau memarahi saya. Ayah saya garang. Tengok mukanya, dah takut. Tapi beliau tetap beri galakan bagi saya berlakon.
  • Kalau saya seorang hantu, saya nak jadi...: Hantu yang boleh terbang. Jerangkung boleh terbang, mungkin! Pocong kena ikat? Bosan!
  • Saya 'hantu'...: 'Game'. Saya suka apa sahaja permainan aksi dan bola. Saya boleh menghabiskan duit saya untuk 'game'. Kalau beli telefon bimbit, mesti nak ada 'game'. Kalau tidak, saya akan rasa bosan. Saya memang betul-betul 'hantu'!

  • FOTO: TUNI SHARIF dan INTERNET

    Saturday, 15 May 2010

    Duta Budi ke S'pura ajak anak anda menari

    BERITA HARIAN SG, 10 MEI 2010

    PEMINAT mereka bukan calang- calang. Gwyneth Paltrow, John Travolta, Johnny Depp dan Sarah Jessica Parker 'gilakan' The Wiggles.

    Pada 5 dan 6 Jun ini, cuti sekolah anak-anak anda akan lebih bermakna kerana The Wiggles akan 'mendarat' di Stadium Tertutup Singapura untuk menghiburkan anak-anak di peringkat usia prasekolah.

    The Wiggles, kumpulan dari Sydney, Australia, yang mengeluarkan album pertama mereka pada 1991 terdiri daripada Anthony Field (Blue Wiggle), Murray Cook (Red Wiggle), Jeff Fatt (Purple Wiggle) dan Sam Moran (Yellow Wiggle).

    Sebelum terlibat dalam The Wiggles, Anthony dan Jeff mempunyai kumpulan rok mereka sendiri yang dinamakan The Cockroaches! Tercetus kemudian idea mengajar kanak-kanak prasekolah tetapi dengan cara yang lebih berbeza iaitu dengan menyanyi.

    Baru-baru ini, saya sempat menemu ramah salah seorang anggota tertua The Wiggles, Jeff, 56 tahun, melalui panggilan jauh.

    Menurut Jeff, beliau berbesar hati kerana berpeluang bertemu dengan peminat-peminat ciliknya dari Singapura.

    'Kanak-kanak pasti terhibur dengan aksi kami kerana mereka sukakan watak-watak yang ada dan juga lagu-lagu kami. Persembahan kami juga tidak akan henti-henti mencuit hati penonton dengan lagak masing-masing. Kami akan gempakkan stadium itu nanti umpama sarkas!

    'Saya dan Anthony akan melakukan akrobatik, manakala Murray akan mengimbangi barangan dan Sam pula akan memetik gitar. Watak-watak seperti Wags the Dog dan Henry the Octopus akan turut sama menggeletek hati anda dengan telatah mereka,' katanya.

    Bercakap tentang lagu wajib mereka sewaktu persembahan nanti, Jeff menyatakan mereka akan mendendangkan lagu-lagu hit mereka seperti Hot Potato, Fruit Salad dan banyak lagi yang akan membuat kaki dan badan anda terasa mahu bangkit menari.

    The Wiggles telah pun banyak membuat persembahan di serata dunia dari England ke Amerika, Dubai, Jepun dan inilah julung-julung kali mereka ke Singapura.

    Apabila ditanyakan mengenai kesukaran yang beliau hadapi sewaktu membuat persembahan, Jeff berkata:

    'Kami perlu menjadikan hiburan kami lebih baik dari masa ke masa. Kami juga akan meletakkan warna-warna yang lebih ceria agar kanak-kanak akan lebih tertarik pada kami.

    'Tumpuan kanak-kanak biasanya kurang. Jadi, kami perlu pandai menarik perhatian mereka dan itu merupakan cabaran bagi kami.'

    Apa lagi yang ada perlu tahu tentang The Wiggles?

  • 30 Juta DVD dan CD terjual di serata dunia.
  • The Wiggles ditonton 147 negara.
  • Mereka ditabal sebagai Duta Budi, Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unicef) 2008.
  • Mereka pernah berganding bahu dengan artis-artis popular seperti Kylie Minogue dan Leo Sayer.
  • NOTA: Tiket-tiket boleh didapati di kaunter atau laman Sistic dengan harga $78, $68 dan $58. Harga tidak termasuk bayaran tempahan sebanyak $3.


    KUIZ

    Ingin menangi hamper The Wiggles, yang setiap satu mengandungi empat tiket $68 untuk menonton konsert The Wiggles, miniatur, cawan, boneka dan koleksi DVD kumpulan ini (tajaan Tinsel PR).

    Soalan: Namakan empat anggota kumpulan The Wiggles.

    Kirimkan jawapan anda kepada haryani.ismail@gmail.com selewat-lewatnya Ahad ini. Sertakan nama, alamat, usia, nombor telefon dan pekerjaan anda.