Friday, 5 March 2010

Surat-menyurat penjalin kasih

BERITA HARIAN SG, 1 MAC 2010

Dear John. Mendengar nama tajuknya sahaja membuat anda menyangka ia ada kaitan dengan kerja surat-menyurat. Jika itu yang anda teka, tepatlah jawapannya.

Cerita hampir dua jam ini mengisahkan tentang kehidupan John Tyler (Channing Tatum) yang merupakan seorang askar. Sewaktu percutiannya, beliau pulang ke kampung halamannya. Di sana, beliau berjumpa dengan Savannah (Amanda Seyfried) yang merupakan seorang siswi dari Universiti North Carolina.

Hubungan mereka mula terjalin apabila bertemu di tepian pantai. John cuba menyelamatkan barang berharganya yang terjatuh dari jeti di mana Savannah dan kawan-kawanya lepak bersama.

Bermulalah cinta pandang pertama mereka. Hubungan mereka mula rapat dan mesra apabila hari demi hari berlalu.

John tinggal bersama bapanya (Richard Jenkins) yang membesarkannya tanpa ibunya. Bapanya pula mempunyai penyakit Sindrom Asperger, sejenis penyakit autisme. Apabila beliau mengenali Savannah, begitu cepat sekali cinta dan kasih yang beliau curahkan padanya. Ia begitu luhur dan tulus sekali.

Jarak dan masa memisahkan mereka berdua. Tanggung jawab John dilaksanakan. Begitu juga Savannah yang bakal menghabiskan pengajiannya. Hubungan mereka tetap kukuh dengan surat-menyurat. Tetapi, apakah surat-menyurat sebegitu dapat mengekalkan kasih sayang sesama insan?

Itulah yang menjadi sebab mengapa anda harus ke pawagam untuk menonton filem arahan Lasse Hallstrom ini.

No comments: