Tuesday, 16 March 2010

Alice mengembara gara-gara hati tak sudi...

BERITA HARIAN SG, 11HB MAC 2010

JIKA anda mempunyai mimpi yang sama hampir setiap hari, apakah yang akan anda lakukan? Jumpa ahli nujum?

Sayangnya, si Alice (Mia Wasikowska) ini tiada ahli nujum untuk dirujuk. Jadi, tempat yang beliau boleh mengadu hanyalah bapanya dan kenalan terapat beliau. Kesian Alice... bagaikan tiada yang menghiraukannya.

Alice In Wonderland, filem sejam lebih, merupakan filem yang diadaptasikan daripada buku cerita fantasi kanak-kanak karangan Lewis Carroll.

Ia mengisahkan tentang Alice yang bakal dilamar seorang jejaka. Sewaktu majlis lamaran jejaka itu diadakan, beliau teragak-agak untuk memberi jawapan. Lantas, Alice memberi alasan untuk memikirkan seketika tentang lamaran itu. Ibunya kemudian berbual dengannya, lalu muncul seekor arnab yang mencuri perhatiannya ketika perbualan bersama ibunya.

Arnab itu merupakan binatang yang beliau pernah lihat dalam mimpi yang sering diulang-ulang dalam lena tidurnya. Kerana sifat curiga, beliau terus mengikut arnab itu mungkin untuk mengelak jejaka tersebut.

Arnab itu kemudian masuk ke pohon yang bawahnya berlubang. Alice melihat ke dalam lubang tersebut lalu tersungkur masuk ke dalamnya. Bermulalah pengembaraannya di Wonderland.

Ceritanya memang cerita yang agak biasa dan boleh dijangka. Bahkan sudah boleh diketahui penghujungnya apabila gulungan kertas tentang kisah Alice dan Jabba Wocky dijumpai pasukan jahat yang diketuai Red Queen (Helena Bonham Carter). Kisah Alice memang benar-benar terjadi seperti yang tertulis di gulungan kertas itu.

Yang menariknya, filem ini juga mempunyai unsur-unsur humor dengan karakter-karakter tambahan seperti The Fat Boys dan yang lainnya. Pastinya, ia adalah filem untuk seisi keluarga tontoni sempena cuti sekolah nanti kerana banyak pengajaran yang boleh dibawa pulang termasuk menghayati sifat-sifat kemanusiaan dalam filem ini.

Saya kira, ramai yang tidak sabar menyaksikan filem Tim Burton, lebih-lebih lagi kalau ia muncul dalam versi tiga dimensi (3D).

Sejurus menontonnya, terasa bagaikan batu dan dahan dilemparkan ke wajah anda. Macam nak tepis-tepis sahaja!

Antara pengajaran yang dapat diambil daripada filem ini, bagaimanapun, ialah menanam keyakinan diri walaupun ada kalanya ia tidak boleh digapai seperti dalam enam perkara mustahil yang Alice hadapi.

Persoalannya di sini, apakah Alice akan kembali ke dunia asal ataupun tinggal terus di Wonderland kerana tidak suka akan jejaka itu? Jawapannya diperolehi di mana lagi kalau bukan di pawagam?

Bukan itu sahaja, anda juga dapat ketahui kisah pengembaraan Alice sebelum menentang Jabba Wocky dengan caranya sendiri. Apa tunggu lagi? Alice sedang menunggu anda!

Trivia: Pelakon Mia Wasikowska menewaskan beberapa calon lain untuk watak Alice. Mereka termasuk Amanda Seyfried dan Lindsay Lohan.

Friday, 5 March 2010

Surat-menyurat penjalin kasih

BERITA HARIAN SG, 1 MAC 2010

Dear John. Mendengar nama tajuknya sahaja membuat anda menyangka ia ada kaitan dengan kerja surat-menyurat. Jika itu yang anda teka, tepatlah jawapannya.

Cerita hampir dua jam ini mengisahkan tentang kehidupan John Tyler (Channing Tatum) yang merupakan seorang askar. Sewaktu percutiannya, beliau pulang ke kampung halamannya. Di sana, beliau berjumpa dengan Savannah (Amanda Seyfried) yang merupakan seorang siswi dari Universiti North Carolina.

Hubungan mereka mula terjalin apabila bertemu di tepian pantai. John cuba menyelamatkan barang berharganya yang terjatuh dari jeti di mana Savannah dan kawan-kawanya lepak bersama.

Bermulalah cinta pandang pertama mereka. Hubungan mereka mula rapat dan mesra apabila hari demi hari berlalu.

John tinggal bersama bapanya (Richard Jenkins) yang membesarkannya tanpa ibunya. Bapanya pula mempunyai penyakit Sindrom Asperger, sejenis penyakit autisme. Apabila beliau mengenali Savannah, begitu cepat sekali cinta dan kasih yang beliau curahkan padanya. Ia begitu luhur dan tulus sekali.

Jarak dan masa memisahkan mereka berdua. Tanggung jawab John dilaksanakan. Begitu juga Savannah yang bakal menghabiskan pengajiannya. Hubungan mereka tetap kukuh dengan surat-menyurat. Tetapi, apakah surat-menyurat sebegitu dapat mengekalkan kasih sayang sesama insan?

Itulah yang menjadi sebab mengapa anda harus ke pawagam untuk menonton filem arahan Lasse Hallstrom ini.

Thursday, 4 March 2010

BERITA HARIAN SG, 1 MAC 2010

MEMPESONAKAN. Begitulah melihat persembahan kumpulan Pianka yang terdiri daripada Nita, Cici dan Sher di konsert siaran langsung Suria Elektra tidak lama dahulu.

Walaupun band itu jarang dikenali tetapi sebenarnya mereka sudah lama menempah nama, bahkan sejak tahun 2006 lagi.

Suria Elektra memberikan mereka peluang untuk membuat persembahan siaran langsung pertama di Singapura.

Walaupun mereka belum lagi dikenali lagi tetapi konsert sempena sambutan ulang tahun Suria kesepuluh itu merupakan satu landasan untuk mereka mencipta nama di kalangan peminat muzik di sini.

Seperti band The Lima, mereka juga lahir dari program realiti TV GangStarz dan mendapat kedudukan antara yang tujuh tertinggi.

Trio jagaan Arte Sound di Indonesia dan Labels of Love di Singapura serta Malaysia itu sudah lama menjalinkan persahabatan antara mereka.

Jadi, perbualan saya bersama Pianka lebih fokus pada hubungan yang menurut mereka terjalin sejak di sekolah vokal.

Cici, atau nama sebenarnya, Nita Lesmana mendefinisikan persahabatan sebagai tempat untuk berkongsi dan di mana kelebihan dan kekurangan tidak diendahkan dan berkawan dengan tulus.

Puspita Wardhani lebih mesra dengan panggilan Dedek antara trio itu kerana beliau merupakan anggota bongsu band tersebut. Beliau juga dikenali sebagai Pipit.

Mentakrifkan erti kawan, katanya: 'Kawan adalah keluarga kedua. Tentunya Pianka adalah keluarga kedua saya. Tempat suka dan duka dan juga pacar kedua.'

Anggota tertua kumpulan itu pula ialah Sherine Fahrani Bahar atau lebih mesra dengan panggilan Sher.

Menurutnya, kawan adalah dalam kedukaan dan kawan yang bersama-sama dalam kesukaan itu juga harus hadir dalam kedukaan juga.

Kalau dah namanya persahabatan, pasti ada konflik bukan? Jadi, bagaimana agaknya mereka menyelesaikan masalah atau mengukuhkan persahabatan mereka ya? Ikuti kini, perbualan saya bersama mereka.

Soalan (S): Baiklah Pianka, memandangkan anda sudah lama berhubungan, saya ingin bertanya. Apakah cara mengukuhkan hubungan?

Cici (C): Yang penting, jujur, komunikasi baik dan tiada salah faham. Itu adalah kunci utama. Penting juga untuk menerima antara satu sama lain.

Sher (SH): Kita sudah lama mengenali. Jadi, sudah tahu sikit-sikit apa yang teman lain suka seperti snek begitu. Jadi, kalau saya ke kedai, saya akan belikan makanan yang mereka gemari.

Pipit (P): Pada hari-hari lahir, kami akan saling memberi 'kadok' (hadiah) dan bagi kejutan buat mereka.

S: Dalam persahabatan juga biasa terjadi konflik atau pergaduhan sesama kawan itu. Pendapat kamu bagaimana?

C: Sebenarnya bergaduh itu perlu kerana dari situ kita dapat mempererat hubungan di samping belajar untuk mengenal peribadi seseorang. Gaduh juga untuk mencari satu solusi.

S: Dengarnya selain menyanyi, Pianka juga mengajar kelas vokal. Jadi, Pipit, mungkin mahu kongsi tip menjaga vokal.

P: Sebaiknya jauhi makanan goreng. Mesti ada warm-up dan juga praktis. Tidur yang cukup juga penting dalam menjaga mutu suara.

S: Dalam mengajar vokal pasti ada cabarannya bukan? Bagaimana Cici?

C: Memang ada. Kami mengajar dari umur empat tahun hinggalah ke dewasa. Ada seorang anak kecil itu memang hiperaktif. Jadi dia conteng skirt saya dengan spidol (marker). Saya tidak marah. Lalu saya terus cari orang tuanya dan berikan anak itu pada mereka.

S: 'Mau Yang Besar' merupakan single anda yang pertama. Jadi, apakah yang anda mahu besar?

P: Saya mahu impian dan cita-cita yang besar.

C: Saya mahu hati dan rezeki yang besar.

SH: Umur dan cita-cita yang besar.

Begitulah wawancara saya dengan trio Pianka. Mereka boleh dikatakan sungguh ramah sekali dengan media juga pelajar-pelajar sewaktu kami mengadakan sidang media di Sekolah Menengah Mayflower, baru-baru ini.

Mereka mempunyai personaliti yang berbeza. Kalau si sulung, Sher, memang pendiam sekali. Sebab itulah sewaktu wawancara, tidak banyak jawapan diberikan.

Kalau Pipit memang banyak sekali ngobrolnya sama juga seperti Cici. Cici orangnya cukup simple. Menurutnya, beliau ini terima sahaja apa yang disyor untuk dibeli.

Akhir kata, pesan mereka kepada peminat di Singapura: 'Semoga kami selalu diterima dan disokong semua peminat. Mohon restu supaya boleh terus ada di industri.'


TRIVIA

  • Apakah buah-buahan kegemaran anda?
  • Pipit: Saya suka durian.

    Sher: Saya juga suka durian.

    Cici: Mereka memang 'setan durian'! Kalau makan tak ingat saya! Tapi saya suka epal dan juga pisang.

  • Binatang yang paling digeli?
  • Pipit: Saya amat geli dengan lipas.

    Cici: Cicak atau reptilia. Pernah sekali tu, cicak masuk ke dalam air kopi saya!

    Sher: Cicak juga. Pernah sekali, ia jatuh atas rambut saya.