Monday, 28 December 2009

Siapa bakal digelar Ma'wa Idol kali ini?

BERITA MINGGU SG, 27 DISEMBER 2009

BERDEGAP-DEGUP jantung mereka. Mungkin itulah perasaan setiap peserta yang ingin bergelar Ma'wa Idol.

Tidak. Saya tidak tersalah.

Bukan saya ditugas menulis tentang Singapore Idol yang kemuncaknya bergema di Stadium Tertutup Singapura malam ini.

Sebaliknya, dalam kehangatan melihat siapa pula yang akan ditabalkan sebagai Idola Singapura, rumah kebajikan Darul Ma'wa juga mencari Ma'wa Idol-nya yang ketiga.

Peringkat akhir peraduan ini akan berlangsung di pekarangan rumah di Still Road itu pada 2 petang, Sabtu depan.

Ma'wa Idol bukanlah sesuatu yang baru, tetapi ia sudah bermula sejak 2007 lagi.

Tujuannya sama seperti Singapore Idol iaitu mencari seorang penyanyi yang hebat di kalangan penghuni rumah kendalian Jamiyah itu.

Yang mungkin saya rasa berbeza sedikit ialah sistem pemarkahan mereka. Juga, juara boleh bertanding semula dua tahun selepas kejuaraan mereka manakala tahun selepas kejuaraan mereka itu, mereka diberikan peranan menjadi mentor.

Untuk merebut gelaran Ma'wa Idol ini lebih sukar kerana mereka tidak menggunakan sistem undian kecuali di peringkat akhir. Jadi, semua keputusan setiap pusingan berada di tangan pengadil.

Peserta-pesertanya yang terdiri daripada para penghuni Darul Ma'wa sendiri dipecahkan kepada dua kategori - junior (pelajar peringkat rendah) dan senior (pelajar peringkat menengah). Pengadil mereka juga bukanlah calang-calang orang, termasuk beberapa penyanyi Singapura yang turut diundang seperti Wawan, Zaibaktian, Fyno dan Nana.

Daripada sejumlah 67 peserta yang memasuki pertandingan itu, hanya 25 orang layak ke pusingan suku akhir. Dan mereka yang berjaya untuk ke peringkat suku akhir turut diberi kelas-kelas vokal bagi memantapkan mutu suara mereka.

Setiap peserta juga menerima piala pusingan yang ditaja oleh kumpulan penyedia khidmat pengiring pengantin, Team Impetus.

Bak kata orang, 'kecil-kecil cili padi'. Walaupun pertandingan kecil, hadiah yang menanti juara tetap lumayan.

Juara Ma'wa Idol yang pertama, Taufiq A. Rahman, misalnya berpeluang merakamkan sebuah lagu di studio Luncai Emas milik M. Nasir.

Piala pusingan dan perkakas elektronik juga menanti pemenang.

Hadiah yang lebih menarik itu ternyata menarik minat para penghuni Darul Ma'wa, bahkan, juara dua tahun lalu, Nuraini Kannu, 15 tahun, pelajar Sekolah Menengah Telok Kurau, turut mencuba nasibnya sekali lagi.

'Selain tertarik dengan hadiah, saya juga ingin merebut peluang keemasan ini. Bagi saya, sewaktu saya memasuki pertandingan ini dua tahun lalu, suara saya macam kartun! Jadi, saya nak berikan satu kelainan kali ini,' kata Nuraini.

Peserta, dalam pada itu, bukan sahaja dapat mengasah bakat menyanyi. Selebihnya, mereka dipupuk dengan nilai-nilai murni yang memberi mereka keyakinan tinggi dan membuat mereka lebih berdisiplin.

Rahsul Bahshar, 12 tahun, pelajar Sekolah Rendah Telok Kurau, pula berkata: 'Inilah kali pertama saya memasuki pertandingan adu bakat sebegini. Memang gementar rasanya apabila berada di atas pentas.

'Saya masuk sebab nak tunjuk kebolehan saya menyanyi. Daripada pertandingan ini, saya dapat pelajari kepentingan disiplin.'

Seorang lagi peserta, Muhammad Mahathir Kannu, 14 tahun, pelajar Sekolah Menengah Broadrick, berkata: 'Pertandingan ini buat saya lebih yakin diri. Saya juga kini memiliki gaya penampilan di pentas atau showmanship. Saya memang suka sangat menyanyi dan sewaktu pertandingan peringkat lalu, saya mendendangkan lagu Spider, Rela Ku Pujuk.

Muhammad Mahathir, adik kepada Nuraini, menambah: 'Walaupun kakak saya pernah menjadi juara, saya rasa saya boleh mengalahkannya. Kelas vokal turut membantu tapi saya perlu terus berlatih.'

Sunday, 27 December 2009

Dunia khayalan yang realistik


BERITA HARIAN SG, 21NOVEMBER 2009

ANDA sudah penat berada di permukaan bumi ini dan mahukan sesuatu yang berbeza? Mengapa tidak anda mengembara ke Planet Pandora bersama-sama Avatar dan juga kaum Na'vi?

Avatar - inilah filem yang dinanti-nantikan menjelang 2010. Apakah 'avatar' itu, sedangkan ia sering terpampang pada skrin komputer si pencinta setia permainan komputer?

Dalam filem ini, ia merupakan ciptaan saintifik dengan kemudahan teknologi yang membentuk manusia menjadi seperti manusia tetapi lebih tinggi dengan badan berwarna biru, telinga yang lebih panjang juga ekor seperti cicak di belakangnya.

Avatar ini juga adalah sebuah rekaan untuk hidup bersama-sama dengan kaum Na'vi berbekal sebuah misi.

Secara umum, filem ini menceritakan tentang Jake (Sam Worthington) yang dipilih untuk menjalani program Avatar. Grace (Sigourney Weaver) meragukan kebolehan Jake yang menggantikan tempat abangnya yang telah meninggal dunia dan sepatutnya menyertai program Avatar ini.

Grace merupakan mentor Jake dalam program itu. Mereka tinggal di dua alam - alam dunia yang biasa dan alam kehidupan Na'vi.

Di Pandora pula, Jake bertemu dengan Neytiri (Zoe Saldana) yang merupakan kaum Na'vi asli di planet itu. Jake ditangkap keluarga Neytiri kerana kekhuatiran keluarganya akan niat Jake untuk merosakkan keharmonian kehidupan mereka. Bagaimanapun, ibu Neytiri berasa bahawa Jake tidak seperti yang mereka jangkakan. Jake kemudian diajar kaum Neytiri tentang cara kehidupan mereka di situ yang merangkumi bahasa dan budaya Na'vi itu sendiri.

Seperti dalam filem-filem lain, Neytiri dan Jake mula jatuh hati dan tidak bertepuk sebelah tangan.

Apabila Jake dan Grace gagal berbincang dengan kaum Na'vi, Colonel Miles (Stephen Lang) mula berang kerana merasakan misinya menghantar mereka berada di ambang kegagalan.

Beliau kemudian mengarah askarnya untuk menyerang Pandora. Alam yang serba indah itu kemudian hancur setelah dimusnah jentera-jentera dan jet-jet berteknologi tinggi. Kesunyian dan keindahan Pandora ranap dan musnah. Neytiri berasa cukup hampa dengan Jake kerana tidak memberitahunya tentang rancangan yang akan terjadi itu.

Ingin tahu misi sebenar mereka menawan Pandora sehingga menghantar Jake dan Grace? Dan dapatkah Pandora diselamatkan daripada kehancuran Colonel Miles yang tiada belas simpati? Bagaimana pula kesudahan kisah cinta Neytiri dan Jake?

Semuanya dapat anda ketahui bila anda menonton Avatar di pawagam. Filem lebih dua setengah jam ini memang tidak membosankan dengan aksi yang sarat lagi hebat.

Apabila anda menonton filem tiga dimensi (3D) ini, anda terasa seakan benar-benar dibawa ke alam Planet Pandora. Anda terpesona dengan setiap ciptaan yang bergemerlapan di layar. Tumbuhan dan binatangnya jauh beza. Ia memang filem yang sesuai untuk pengamat biologi dan ekologi. Anda pasti berasa tidak putus-putus ingin mengetahui terus apakah binatang-binatang dan tumbuhan yang bakal muncul satu persatu.

Grafik yang menarik dan kelihatan lebih hidup membuat anda seperti mengembara bersama-sama dengan Avatar dan kaum Na'vi itu sendiri.

Syabas kepada James Cameron, pengarah Titanic kerana sekali lagi membawa penonton 'tenggelam' dalam dunia khayalannya yang realistik.

Friday, 25 December 2009

Juara niaga

BERITA HARIAN SG, 21 DISEMBER 2009

Belia gerakkan kereta sorong barangan Krismas untuk orang ramai


PERNAHKAH anda nampak sekumpulan pelajar melakukan perniagaan mereka sendiri di Causeway Point beberapa bulan lalu?

Sambil menimba pengalaman, mereka juga merupakan peserta Cabaran Kereta Sorong Kebangsaan, satu inisiatif murni Politeknik Republic dalam menggalak pelajar memupuk semangat usahawan.

Peraduan ini bertujuan memberikan pendedahan dan kemahiran kepada peserta untuk menceburi bidang perniagaan.

Ini merupakan kali ketiga acara sebegini diadakan.

Diminta mengulas tentang peraduan ini, wakil penganjur, Encik Leslie Sim, berkata, peraduan tahun ini menawarkan kelainan.

'Antara yang ditambah ialah penggunaan tema. Kali ini, terdapat lima tema iaitu warisan, kebangsaan (apa yang unik bagi sesebuah negara), Hari Krismas, mesra alam dan peralatan rumah.

'Selain itu, ada juga anugerah baru yang diberi nama Khidmat Pelanggan Terbaik,' katanya.

Seramai 85 peserta dari 15 sekolah serata Singapura telah menyertai acara yang dikenalkan sejak 2007.

Setiap kumpulan dinilai mengikut beberapa kriteria seperti bagaimana mereka mendekati pelanggan, pengetahuan tentang produk yang dijual, imej yang baik, memanfaatkan sepenuhnya peluang jualan dan juga gerak tubuh dalam mendekati pelanggan.

Daripada lima kriteria tersebut, Sekolah Menengah Jurongville telah berjaya memikat hati pengadil sehingga dinobatkan sebagai juara bagi acara tersebut.

Bukan setakat gelaran juara sahaja yang mereka dapat bahkan mereka juga menerima Anugerah Pilihan Penonton, di mana pelanggan telah mengundi mereka bagi melayakkan diri untuk mendapat anugerah tersebut.

Ketika dihubungi, ketua kumpulan tersebut, Muhammad Al-Hafiz Hosni yang juga ketua pancaragam di sekolahnya berkata:

'Kumpulan kami telah menjual arca belon yang harganya tidak melebihi $5. Belon itu telah dibentuk menjadi bunga, watak Elmo dari Sesame Street dan macam-macam lagi mengikut tema yang telah kami pilih iaitu Krismas. Kami memilih tema tersebut kerana kami percaya bahawa memintal belon itu memberi kebahagiaan dan Krismas juga membawa simbol kebahagiaan.

'Setelah menjalani acara ini, banyak sebenarnya yang dapat diraih, baik dalam peraduan ini mahupun program pendidikan usahawan.

'Saya berasa lebih berkeyakinan diri di depan khalayak ramai, tidak senang putus asa, menghormati pembeli dan juga sesama kami.'

Mereka, jelasnya, juga mempelajari cara merancang perniagaan, melakar strategi dan banyak lagi kemahiran.

Muhammad Al-Hafiz yang bercita-cita untuk menjadi seorang pereka hias dalaman menambah kumpulannya mendapat idea tentang cara membuat arca belon itu selepas diajar guru-guru mereka untuk membentuknya dengan pintalan kreatif.

'Saya juga turut mempelajari kemahiran memintal belon ini di laman YouTube. Banyak sokongan dan dorongan sebenarnya diberi kepada kami oleh guru, ibu bapa dan juga teman-teman.

'Dari itu saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada sekolah kami kerana memberikan kami peluang, tidak lupa juga guru-guru seperti Cik Lim, Encik Tan, Encik Wong dan Cik Yee serta ibu bapa kami yang memahami kami apabila pulang lewat dari sekolah,' katanya lagi.

Nyatanya, penyertaan Muhammad Al-Hafiz yang meminati kartun Spongebob membawa tuah bagi kumpulannya.

Mereka sekumpulan memang tidak menjangkakan kemenangan, bahkan, menurut beliau apabila mereka mendapat keputusan, mereka menangis kegembiraan kerana merasakan usaha mereka berbaloi.

Encik Sim yang merupakan pengurus kanan perniagaan di Politeknik Republic, dalam pada itu, menyatakan bahawa peserta tahun ini jauh lebih baik daripada tahun lalu.

'Mereka lebih berdaya saing dan juga inovatif serta kreatif dalam mencipta atau mengubah suai sesuatu produk itu,' ujarnya.

Apabila diminta memberi komen tentang kemenangan Sekolah Menengah Jurongville pula, beliau menambah:

'Antara yang dapat dilihat dari sekolah itu ialah mereka sering bekerjasama dan bersatu hati dalam perniagaan mereka. Itu merupakan antara faktor yang memikat hati pengadil sebenarnya,' katanya lagi.

Peraduan perniagaan sebegini seharusnya digalakkan sejak kecil lagi, bahkan, sebolehnya dimulakan dari alam tadika lagi kerana ia membantu dalam pemahaman matematik secara tidak langsung.

Apa pun, syabas buat Sekolah Menengah Jurongville atas kejayaan mereka!

Monday, 21 December 2009

Nikmat bikin filem

BERITA HARIAN SG, 21 DISEMBER 2009

Pelajar Singapura atasi 'karyawan' media lain dalam peraduan serantau

HANYA karyawan televisyen saja yang pandai buat video? Nanti dulu. Jangan terlalu mengongkong pemikiran anda. Tahukah anda bahawa ada di antara pelajar yang berusia 10 hingga 15 tahun juga berkebolehan sepertimana orang-orang di stesen televisyen?

Peraduan anjuran Panasonic yang diberi nama Kids Witness News (KWN) berjaya mencungkil bakat-bakat muda-mudi dalam pembikinan video. Mereka diminta merakam video selama lima minit mengikut tema 'Negaraku, Budayaku' atau 'Sukanku dan Alam Sekitar'.

Membuat video memang bukan sesuatu yang mudah. Anda harus pandai bermain dengan tetikus anda. Apa yang saya rasa paling sukar dalam membuat video ialah anda perlu membuat pelbagai suntingan.

Takkanlah nak sisipkan babak di mana kelihatan air liur anda meleleh atau anda sedang bersin? Lainlah kalau anda menyiapkan video adegan- adegan yang tidak mahu dilihat atau bloopers!

Saya berkesempatan menemui para pemenang KWN di Auditorium STI, Capital Tower, baru-baru ini.

Lebih menggembirakan apabila saya mendapat tahu bahawa pasukan Sekolah Menengah Jurong juga ditabalkan sebagai juara serantau KWN, menyaingi pasukan-pasukan dari Malaysia, Indonesia, New Zealand, Vietnam, Thailand dan Australia.

Pemenang Anugerah Pembikin Filem Muda, Ian Goh, 10 tahun, murid Sekolah Rendah Pasir Ris, berkata:

'Saya memang telah bekerja keras. Kami mengambil masa selama tiga hingga empat bulan. Sebab nak elakkan daripada bertembung dengan peperiksaan, kami habiskan video ini sebelum peperiksaan. Proses menyiapkan video ini memang menyeronokkan sebab saya dapat belajar cara menyunting video. Saya terperanjat apabila menang anugerah ini. Apa pun, saya nak ucapkan terima kasih kepada guru saya, Encik Faiz dan Cik Bavani.'

Pemenang Penyampai Terbaik, Janet Catherine Stalin, pelajar Sekolah Menengah Canberra, 15 tahun, pula menambah:

'Membuat video memang mencabar terutama bab mencari idea. Sewaktu pembikinan video itu terdapat sedikit masalah dan kami sekumpulan memang cukup tertekan.

'Mujurlah ada guru kami, Dr Nizam. Beliau sering membuat kami tersenyum lebar dan ketawa di saat kami sedang murung. Sesuatu yang berharga yang saya kira kami sekumpulan pelajari daripada peraduan ini ialah untuk tidak berputus asa. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada anggota kumpulan saya dan juga Dr Nizam.'

Kumpulan Janet menghasilkan video mengenai perlumbaan F1. Video tersebut menyingkap kisah belakang tabir perlumbaan itu, bagaimana satu kumpulan itu terpilih sebagai pemenang, memahami perlumbaan F1 secara asas dan pelbagai aspek lain yang bersangkutan dengannya.

Guru aktiviti kokurikular (CCA) mereka, Dr Mohammad Nizam Abdul Kadir, yang turut dipilih sebagai pemenang kategori Anugerah Pemudah Acara Terbaik, mengulas:

'Daripada acara sebegini, saya dapat lebih mengenali pelajar-pelajar saya. Guru biasanya mengajar di hadapan dan tidak tahu perihal seseorang pelajar secara mendalam tetapi bagi saya, sekarang ini, saya lebih mengenali anak didik saya.'

Guru CCA yang mempunyai ijazah kedoktoran dalam bidang teknologi maklumat itu menambah:

'Sewaktu pembikinan video ini, memang ada masalah yang agak rumit. Pelajar saya semua seperti berputus asa. Ada juga yang menangis. Saya telah memberikan mereka kata-kata perangsang dan akhirnya mereka tidak lagi berputus asa.

'Bagi guru-guru yang belum menyertakan pelajar mereka dalam KWN ini, saya syorkan anda melibatkan mereka dalam kembara yang menyeronokkan ini kerana anda dapat mengenal hati budi pelajar anda.'

Pasukan Sekolah Menengah Jurong cukup bertuah. Mereka telah pun diundi daripada 47 penyertaan dan terpilih sebagai pemenang klip video terbaik.

Klip video mengenai basikal lipat menyentuh manfaat penggunaan basikal lipat dan bagaimana ia mesra alam.

Mereka terbukti inovatif kerana setelah mewakili Singapura dalam peraduan KWN peringkat serantau, kemenangan tetap jatuh di tangan mereka.

Mereka juga akan disertakan dalam Peraduan Sejagat KWN Grand Prix 2010.

Syabas kepada Choo Yi Xuan, 14 tahun, Abdul Aziz Ishak, 15 tahun, Nurul Huda, 14 tahun, Tiara M Hamarian, 15 tahun, dan Nurdiyanah Atiqah, 14 tahun.

Mereka dibimbing Encik Lam Chee Leong. Keistimewaan klip video ini ialah ia berupaya menyampaikan isu basikal mesra alam ini dalam sudut infohiburan - daripada seorang pengguna MRT menceritakan tentang pengalamannya, ia langsung menjurus ke arah keprihatinan awam tentang pencemaran.


SENARAI PEMENANG

Peringkat Singapura

*******************

Penerbitan Terbaik: Sekolah Menengah Jurong

Kandungan Pendidikan Terbaik: Sekolah Menengah Jurong

Kesan Suara Terbaik: Sekolah Menengah Canberra

Suntingan Terbaik: Sekolah Menengah Jurong

Penyampai Terbaik: Sekolah Menengah Canberra

Anugerah Pembikin Filem Muda: Ian Goh, pelajar Sekolah Rendah Pasir Ris

Anugerah Pemudah Acara Terbaik: Dr Mohammad Nizam Abdul Kadir, Sekolah Menengah Canberra

Peringkat Serantau

*******************

Juara Serantau: Singapura

Skrip Terbaik: Australia

Konsep Terbaik: Malaysia

Videografi Terbaik: Vietnam

Suntingan Terbaik: Indonesia

Bunyian Terbaik: Thailand

Penyampai Terbaik: New Zealand

Thursday, 17 December 2009

Mencipta lagu dengan PSP

BERITA HARIAN SG, 14 DISEMBER 2009

INGIN mencipta rentak muzik sendiri tetapi tidak tahu atau sukar memainkan alat muzik? Jangan putus asa! Beaterator, permainan PSP penyelamatnya.

Beaterator berupaya meniru alat muzik sejagat seperti gitar, dram, piano dan banyak lagi. Mungkin anda tertanya-tanya bagaimanakah pula dengan tempo, kord dan nadanya - apakah ia boleh diubah sepertimana alat-alat muzik yang sebenar diubah? Jangan takut. Semuanya boleh dilakukan.

Permainan yang diterbitkan oleh Timbaland yang popular dengan lagu Apologize dikatakan boleh meniru hampir 99 peratus gaya alat muzik sebenar.

Pada mulanya saya bermain permainan ini, ia agak rumit dan mengelirukan tapi setelah beberapa kali mencuba, barulah saya dapati ia senang untuk dimainkan. Boleh ketagih tau main permainan ni! Saya ada juga cuba-cuba juga untuk mencipta rentak tetapi tidak menjadi-jadi. Lain pula bunyinya.

Permainan ini mempunyai dua peringkat - asas dan lanjutan. Bagi peringkat asas, ada bantuan cetak irama - anda hanya perlu ikut dan sambungkan. Bagi peringkat lanjutan pula, anda harus mulakan segalanya dari asas.

Permainan ini amat sesuai untuk pencinta muzik dan penggubah lagu kerana potensinya yang besar.

Nampaknya, tidak lama lagi kuranglah orang beli alat-alat muzik sebab sudah ada Beaterator. Permainan ini adalah yang pertama kali dikeluarkan syarikat pembikin permainan.

Mana tahu kalau-kalau sambutan hangat diberikan, maka ada pula permainan susulan, Beatarator 2 yang akan memasukkan sekali bunyian alat muzik Melayu seperti gambus, gong dan kompang.

Bagaimana Timbaland? Datanglah ke Singapura atau Malaysia... terapkanlah khazanah kami ke dalam permainan anda itu. -- Oleh ABDUL RAUUF MASKHAZIN

Monday, 14 December 2009

Jangan cuba-cuba

BERITA HARIAN SG, 14 DISEMBER 2009

Cap orang, gila kuasa dan lupa diri bukan caranya, brader...

Jangan... cuba...merayu lagi
takkan kuulangi bertemu denganmu
jangan... cuba...menggoda lagi
Takkan kuulangi bercinta denganmu

EWAH... ewah! Ramlah Ram pula kali ini! Dah lama tak tulis ruangan ini, berdangdut pula saya kali ini. He... he... Rasa-rasanya apa pula nak dijadikan bahan bual kali ini ya?

Cara bagaimana nak bercinta? Atau macam mana cara terbaik untuk menggoda? Isy! Tidaklah. Takkanlah saya sejahat itu.

Baiklah, sebab tak nak buang masa dan ruang rencana, saya bilanglah ya. Rencana kali ini akan membincangkan tentang perkataan 'jangan' dan apa yang bersangkut-paut dengannya.

Mungkin datangnya inspirasi bila melihat banyak filem yang menggunakan perkataan 'jangan' sebagai tajuknya seperti Jangan Pandang Belakang, Jangan Pandang Belakang Congkak, Bohsia Jangan Pilih Jalan Hitam dan lain-lain lagi.

Dengan itu, tercetuslah pula ilham untuk saya menggunakan perkataan 'jangan' sebagai bahan perbualan kali ini. Telah saya keluarkan tiga pecahan untuk dibicarakan. Siapa tahu boleh jadi tajuk filem Ahmad Idham ke, Yusof Haslam ke, Steven Spielberg ke... (Alahai...berangan sajalah, Rauuf. Yang penting ada aspirasi tinggi. He... he...)

#1: Jangan Cap Orang

'Tatu? Alah ni mesti kes budak terbiarlah tu...' atau... 'Eh, mudanya mak dia! Confirm anak luar nikah yang dia sedang pimpin...' atau 'Budak ni memang 'penyangak' dekat sekolah. Aku rasalah memang dia yang curi barang kau!'

Kalaulah anda ada fikiran sebegitu, saya terus terang katakan dengan anda: 'Siapalah anda nak cap orang? Bagus sangatkah diri anda?'

Lumrahnya, kita sering mengecap orang sembarangan. Saya juga tidak terkecuali. Apabila ada tatu saja, mesti orang jahat. Apabila pimpin anak dan ibunya muda saja, gerenti anak luar nikah. Apabila buat jahat sekali saja, dalam hati dikatakan orang itu selalu akan buat jahat.

Sebenarnya, siapalah kita untuk menghitung orang sembarangan? Hitungilah diri anda sebelum anda dihitung. Siapa tahu mereka telah berubah dan insaf setelah peristiwa hitam itu terjadi? Siapa juga tahu kalau-kalau setelah mereka berubah, keadaan mereka akan lebih baik daripada kita?

JANGAN GILA KUASA

'Buat itu!' 'Buat ini!' 'Lepas dah habis yang itu, habiskan yang ini pula.' Tekalah dialog siapa? Bos? Betullah tu agaknya.

Ahhh... Jangan gila kuasa! Ingatlah, sebelum anda jadi bos, anda mungkin seorang kuli. Kalau pun bos anda pernah membuli anda, takkanlah nak balas yang serupa seperti yang diperlakukan terhadap diri anda sendiri suatu masa dahulu? Apakah perasaan anda bila mana anda dibuli? Terasa kecil bukan diri anda?

Bukan sahaja orang dewasa yang boleh gila kuasa seperti bos, guru dan lainnya. Pelajar juga boleh gila kuasa! Aik! Ada ke? Adalah. Ketua pelajar sebagai contoh atau pengawas. Mentang-mentang dia ketua, macam-macam dia boleh arahkan. Kadang tu, apabila tak nak buat nanti dia katakan, 'Kalau kau tak nak buat, aku bilang cikgu!' Isy... Ni dah masuk kes ugut ni. Tak gitu?

Apa pun, anda sebenarnya patut mensyukuri nikmat kelebihan anda yang dikurniakan Ilahi sehingga mendapat tempat yang lebih tinggi daripada yang lainnya. Janganlah gila kuasa. Sedarlah, jika anda yang berkuasa, ada yang lebih berkuasa daripada anda. Keadilan dan kesaksamaan patutlah diserapkan dalam diri anda. Barulah nanti disayangi ramai. Boleh?

JANGAN LUPA ILAHI

'Ho! Ho! Ho! Aku kaya!!! Duit aku makan sepuluh keturunan pun tak habis!'

Aik bang, konfiden nampak? Ha... ha... Ingat tak, 'kun fayakun' atau '(Bila Allah kata) jadi, maka jadilah'? Janganlah konfiden sangat sampai kata sepuluh keturunan makan pun tak habis. Siapa tahu kalau-kalau harta anda dicurikah? Atau anda jatuh mufliskah? Ingatlah Tuhan. Syukurilah nikmatnya.

Sebahagian daripada kita yang bila senang lupa pada Tuhan tetapi apabila susah barulah nak dicari Tuhan. Ini bukanlah direka-reka tetapi kebenaran. Apabila kita sihat, kita seakan lupa pada Tuhan. Agaknya, ada hikmahlah apabila penyakit diciptakan. Iyalah, apabila kita sakit saja, berkali-kali kita sebut nama Tuhan.

Dalam kita tidak perasan, kita ada juga waktu lapang walaupun ada kalanya sibuk dengan tugasan seharian. Sewaktu dalam perjalanan ke tempat kerja ataupun ke sekolah, berzikirlah. Sekurang-kurangnya, dapat juga pahalakan? Senangkan nak dapat pahala sebenarnya?

Sebenarnya banyak lagi perkara yang boleh dimasukkan dalam kategori 'jangan'. Kerana keterbatasan ruang dan ilham yang belum sampai, lain kali sajalah saya sambung ya? Dari itu, saya akhiri dengan serangkap lagu yang saya karang mengikut rentak lagu Selamat Jalan Romeo di awal rencana tadi.

Jangan cap orang sembarangan
Mahukah anda dicap macam tin longan?
Jangan gila... jangan gila kuasa.
Nanti ramai tidaklah suka pada anda.
Jangan lupa pada Ilahi Rabbi.
Ajal kita entah bila datang nanti.

Monday, 7 December 2009

Serangan zombi menjadi-jadi

BERITA HARIAN SG, 7 DISEMBER 2009

INGAT lagi filem Zombi Kampung Pisang? Sekarang ini, ada versi Inggeris pula. Bukanlah diterjemah bahasanya atau ada sari kata tetapi ia menceritakan tentang zombi. Watak dan jalan ceritanya berbeza sekali.

Zombieland adalah filem arahan Ruben Fleischer yang mengambil masa sekitar sejam setengah. Jalan ceritanya mudah sekali dan dipenuhi dengan unsur komedi yang akan membuat anda tidak kering gusi!

Tak ke kelakar apabila melihat si zombi mematahkan tulang manusia dan membuatnya kelihatan macam sup tulang di Beach Road sampai disedut sumsumnya?

Nasihat saya: Kalau anda hendak makan bertih jagung, jangan lupa beli air sekali. Takut-takut apabila anda terperanjat nanti terbegik pula!

Aksinya juga banyak yang memeranjatkan. Bayangkan sewaktu anda di tandas, tiba-tiba zombi muncul di bawah pintu. Tak ke terperanjat beruk dibuatnya?

Secara ringkasnya, ia menceritakan tentang kehidupan Jesse Eisenberg sebagai Columbus yang menyangka bahawa dia seorang sahaja yang terselamat daripada cengkaman zombi.

Dia turut berkongsi sama undang-undang supaya tidak menjadi zombi dan juga untuk mengelakkan diri daripada zombi kerana apabila zombi itu gigit sahaja, yang lain akan menjadi zombi!

Columbus mahu pulang ke Columbus, Ohio untuk mengetahui khabar ibu bapanya - apakah mereka masih hidup atau tidak. Malangnya, dia terjebak dalam kemalangan dan berjumpa pula dengan Tallahassee (Woody Harrelson). Dia mengagak itu adalah zombi tetapi Tallahassee adalah manusia juga.

Mereka berdua singgah ke sebuah kedai sewaktu perjalanan mereka dan bertemu dengan adik beradik penipu iaitu Wichita (Emma Stone), kakak kepada Littel Rock (Abigail Breslin).

Mereka berdua memang kaki penipu sehinggakan kereta yang Columbus dan Tallahassee naiki dirampas beberapa kali. Mereka berempat kemudian bertambah akrab.

Kemudian, mereka ke rumah Bill Murray untuk berehat setelah lama perjalanan. Keesokan harinya pula, Wichita membawa Little Rock ke taman tema Pacific Playland di mana zombi dikatakan tidak wujud di situ.

Columbus dan Tallahassee ditinggalkan tanpa disedari. Columbus yang mula jatuh hati dengan Wichita tidak mahu berjauhan dengannya.

Di Pacific Playland itu pula, memang tiada zombi kerana taman bertema itu gelap. Namun, setelah adik beradik penipu itu menggerakkan kesemua permainan di situ, ia menjadi tarikan kepada zombi-zombi yang tertarik pada cahaya di taman bertema itu.

Apakah nasib Wichita dan Little Rock? Adakah dua jejaka tersebut sanggup menyelamatkan mereka walaupun dikelentong banyak kali? Ingin tahu? Jangan lupa menyaksikan filem yang memang baik untuk anda yang terlalu stres kerana banyak adegan komedi!

Mula tidak rela, selepas itu suka

BERITA HARIAN SG, 7 DISEMBER 2009

BAGAIKAN tidak percaya apabila nama pasukan mereka diumumkan. Maklumlah, pada awalnya, mereka seakan terasa dipaksa menghadiri kem tersebut.

Begitulah gelagat empat sekawan dari Sekolah Menengah Fuhua, Nadinatul Naqiah Azman, Nur Diyanah Azmi, Siti Nasuha Abdul Karim dan Syahirunnisa Mahadi, kesemuanya 15 tahun, di hari terakhir Kem Obor.

Bagaimanapun, nasib tentunya menyebelahi pasukan yang begitu ghairah dan bersemangat sepanjang sesi tiga hari itu.

Mereka dinobatkan sebagai naib juara dengan Siti Nasuha terpilih sebagai Editor Terbaik kerana kerancakannya bersuara dan berkongsi tentang konsep laporan pasukannya.

Berikut adalah sekilas interviu saya bersama mereka.

Soalan (S): Apa pendapat anda tentang acara ini, ya? Syahirunnisa, sila jawab.

Syahirunnisa (SY): Kem Obor memang menyeronokkan! Saya dapat buat ramai kawan-kawan baru.

S: Apa pula agaknya cabarannya?

SY: Kami sekumpulan tinggal di kawasan Jurong tetapi disebabkan waktu singkat, kami tidak boleh berjumpa untuk berbincang tentang peraduan ini tetapi dengan kemudahan teknologi, kami menggunakan MSN untuk berhubung.

S: Nadinatul, dengar cerita mula-mula kumpulan anda tak mahu hadirkan diri? Betul ke?

Nadinatul (N): Betul. Sebenarnya kami macam seram gitu. Lagi pun, kami memang jenis yang kurang gemar berkawan atau tidak sosial sangat. Tapi kawan kami cakap best. Jadi, pergi ajelah.

S: Apa pendapat anda tentang Body Worlds?

N: Saya seorang pelajar Biologi. Jadi, lawatan itu memang bermakna dan kami dapat juga tahu anggota badan dengan lebih mendalam dan bagaimana ia diawet.

S: Nasuha, apa yang awak pelajari daripada kem ini?

Siti Nasuha (SN): Oh, bagi saya, kalau dah ditetapkan satu tugasan untuk kita, janganlah tukar-tukar peranan. Kekalkan sajalah peranan yang ditetapkan. Saya belajar bagaimana untuk bersama-sama bersatu dalam melakukan sesuatu tugas dan supaya tidak terlalu panik kalau ada masalah.

S: Khabarnya ada masalah sewaktu pembikinan akhbar. Ada gaduh-gaduh? Betul ke?

SN: Memang sewaktu itu kami ada masalah teknikal. Ada bahan untuk akhbar itu lesap. Jadi, kami dah mula panik. Tapi, Alhamdulillah, dapat diselesaikan. Kalau gaduh-gaduh tu, tak sampailah tumbuk-tumbuk atau tarik rambut. Kami cuma tak berapa setuju dengan sesetengah perkara tetapi ia dapat diselesaikan apabila tujuan kami semua sama iaitu untuk memenangi peraduan ini.

S: Diyanah, selain daripada membawa pulang hadiah, apa lagi yang lebih penting yang anda bawa?

Nur Diyanah (ND): Yang lebih penting ialah belajar bagaimana hendak menjadi kreatif dan bersabar jika ada masalah. Lihat dari satu sudut yang positif dan jadilah seseorang yang berfikiran positif walaupun dalam masalah.

S: Terakhir sekali, nak ucapkan terima kasih buat sesiapa?

ND: O.K. kami nak ucapkan terima kasih buat guru kami iaitu Cikgu Rohana Ismail dan juga Cikgu Faizal Jasman. Tidak lupa juga keluarga kami dan diri kami sendiri.

Dibuang Jangan

BERITA HARIAN SG, 7 NOVEMBER 2009

'ANDA nak pokok? 'Saya' nak beri anda ni. Betul. Ini bukan kelentong. Tapi, 'saya' ada permintaan sedikit. Itu pun kalau anda dapat tunaikan. Anda boleh dapat pokok di Indonesia. Anda rasa jauh sangat?

'Tak perlu khuatir. Anda boleh melihatnya di Internet. Jadi, apa lagi yang ditunggu? Takkan tunggu bulan jadi biru? Bolehlah ya, tunaikan permintaan 'saya'?'

Agak-agak anda siapakah 'saya' yang merayu-rayu tadi ya? Bukan saya tetapi 'saya'. Mungkin anda sudah bingung sekarang kan? Tak mengapa.

'Saya' yang dimasudkan di sini ialah... telefon bimbit. Telefon bimbit boleh dikitar semula? Tak meletupkah? Jawapannya ada di rencana ini.

Dalam era serba moden ini, bukan sahaja botol-botol plastik, gelas atau surat khabar sahaja yang boleh dikitar semula. Bahkan dengan adanya teknologi canggih, segala yang akal kita rasa pelik juga dapat direalisasikan. Umpamanya syarikat telefon bimbit Nokia.

Nokia adalah sebuah jenama yang boleh saya katakan sebagai prihatin terhadap alam. Mereka mengambil langkah untuk mengitar semula telefon-telefon bimbit. Langkah ini dimulakan pada 1997 secara global di United Kingdom dan Sweden tetapi ia hanya bermula di Singapura tiga tahun selepas itu, iaitu pada 2000.

Bagi penduduk Singapura khususnya, anda boleh 'menderma' telefon-telefon bimbit anda di kesemua Pusat Jagaan Nokia. Langkah ini tidak diterhadkan kepada telefon jenama Nokia sahaja bahkan jenama yang lain juga boleh dikitar semula di sana. Begitulah murah hatinya Nokia.

Selain dari ke pusat jagaan ini, anda juga boleh ke kempen-kempen yang mereka adakan di mana di sana nanti ada kios kitaran semula Nokia untuk mengitar semula telefon-telefon terpakai.

Di kios itu nanti, anda hanya perlu memberitahu butiran diri anda. Nama anda akan diambil sebagai nama pokok yang akan ditanam di Indonesia. Untuk melihat pokok anda itu pula, anda boleh ke laman Google Earth selang beberapa minggu selepas itu.

Dari kios itu sendiri atau Pusat Jagaan Nokia, telefon bimbit itu akan dibawa ke firma kitar semula TES-AMM di mana proses pemisahan dan penghancuran telefon bimbit dilakukan.

Banyak proses dilakukan bagi mengitar semula barangan itu seperti memisahkan setiap bahagian dan bahan seperti plastik, besi, bahan bersalut emas dan sebagainya agar ia tidak meletup sewaktu proses penghancuran dan mengumpulkan bahan salutan emas sehingga menjadi bebuku emas. Bahan plastik pula berubah menjadi peralatan rumah.

Untuk mengitar semula, anda tidak perlu mengitar kesuluruhan telefon bimbit. Iyalah, mungkin anda mahu simpan telefon bimbit anda kerana ia bernilai sentimental bagi anda.

Jadi, kalau bateri anda tidak boleh digunakan lagi, bolehlah anda mengitarnya. Kesimpulannya, anda boleh mengitar bahagian apa pun jua yang anda mahukan seperti bateri, penutup telefon, kibod dan lain-lain lagi. Telefon bimbit yang rosak juga boleh dikitar semula. Jadi, dari telefon bimbit anda terperap sahaja di dalam peti bertahun-tahun lamanya, apa kata anda mulakan langkah untuk mengitar semula? Jadi apa tunggu lagi? Jom ke Pusat Jagaan Nokia sekarang juga!


TAHUKAH ANDA?

  • Antara 50,000 hingga 80,000 bahagian emas daripada telefon bimbit mampu dijadikan sebuku emas.

  • Sekitar 85 negara dilibatkan dalam usaha Nokia mengitar semula telefon bimbit.

  • Bahagian plastik telefon bimbit dijadikan jerami bagi tujuan pergudangan.

  • Bahagian besi kelulinya pula digunakan untuk pelbagai produk seperti cerek air, ketuhar, bingkai basikal dan macam-macam lagi.

  • Nokia menggunakan 25 peratus tenaga hijau dan menjimatkan lagi 3.5 peratus tenaga antara tahun 2003 hingga 2005.
  • Wednesday, 2 December 2009

    Cinta lokomotif jadi paparan pengajaran

    BERITA HARIAN SG, 2 DISEMBER 2009

    Anak dan bapa cipta kisah kereta api dan teman-teman untuk sebar mesej kerjasama

    KEMBARA sebuah kereta api di atas trek yang berliku. Kerjasama masyarakat sekeliling dan persahabatan yang terjalin.

    Inilah yang menjadi teras kisah kereta api popular, Thomas & Friends, sebuah siri televisyen dan pementasan kanak-kanak yang dipadankan daripada buku-buku cereka The Railway Series, karya Rev Wilbert Awdry dan anaknya, Christopher Awdry.

    Apa yang menarik ialah siri ini yang menjadi kegemaran kanak-kanak dan remaja diusahakan oleh pasangan bapa dan anak untuk meneruskan legasi mengenai sistem rel dan enjin-enjinnya di kepulauan Sodor.

    Terdapat 41 buku dalam siri ini, dengan jilid pertamanya diterbitkan pada 1945. Sebanyak 26 jilid ditulis oleh Rev Awdry, manakala 14 lagi jilid diusahakan Christopher. Dua tahun lalu, Christopher muncul dengan karyanya yang ke-15 iaitu Thomas and Victoria.

    Hampir kesemua kisah yang dicoretkan dalam siri ini berdasarkan kisah sebenar.

    Wilbert ialah pengamat dan penggemar rel yang sejati. Justeru, beliau memastikan kisah-kisah yang dicoretkannya adalah serealistik mungkin. Watak- watak enjin dalam bukunya juga berdasarkan pengetahuannya mengenai dunia lokomotif, dengan beberapa contoh dipetik daripada pengalaman menaiki kereta api mengelilingi Britain.

    Mendiang Wilbert pernah menceritakan tentang cinta pandang pertamanya terhadap kereta api. Menurutnya:

    'Bapa saya dilahirkan di Hampshire dan seperti saya ialah pencinta sistem kereta api. Memandangkan kami dibesarkan dalam suasana desa, kami beruntung mempunyai beberapa teman yang tugasnya juga adalah menjaga rel kereta api.

    'Saya mengingati saat-saat manis tidak dapat tidur pada waktu malam. Saya dan adik saya, George, akan baring di atas katil sambil mendengar bunyi enjin kereta api.

    'Saya kemudian bertemu jodoh dengan Margaret Wale, seorang guru yang saya temui di Palestin. Hanya selepas kami berpindah ke Birmingham dan Christopher pula dilahirkan, maka kisah- kisah pertama Railway Series tercipta. Saya ingat ketika itu Christopher terkena campak dan saya pula sibuk berkarya,' katanya.

    Kerana minat yang mendalam terhadap kereta api, Wilbert mencipta enjin kereta api daripada kayu untuk Christopher. Enjin itu dipanggil Thomas.

    Karya pertama mengenai Thomas, yang dipanggil The Three Railway Engines, kemudian diterbitkan pada Mei 1945. Ini disusuli dengan kisah Thomas The Tank Engine dan hampir saban tahun, ada sahaja buku baru yang dihasilkan Wilbert.

    Sedang beliau berkarya, beliau juga ghairah menyiapkan model-model kereta api dan peta-peta rel yang dipamerkan serata Britain. Beliau juga terlibat dalam beberapa projek pemuliharaan sistem rel.

    Dua tahun sebelum pemergian Wilbert, seorang penulis dan wartawan penyiar, Brian Sibley, telah menerbitkan kisah riwayat tokoh sastera rel terkenal. Buku itu diberi nama Thomas the Tank Engine Man.

    Wilbert diberi anugerah kepujian New York pada 1996 dan meninggal dunia pada usia 85 tahun pada 1997.

    PERJUANGAN DITERUSKAN ANAK

    Sejak usia remaja lagi, Christopher telah mula menulis rencana mengenai pemuliharaan sistem rel dan treknya. Beliau hanya mengarang beberapa kisah mengenai Thomas untuk bacaan anaknya, Richard, tetapi bukan untuk diterbitkan.

    Hanya selepas dipujuk bapanya, barulah Christopher memberanikan diri menerbitkan buku Really Useful Engines.

    Buku terakhirnya, New Little Engine, mengisahkan tentang sistem rel rekaan, Skarloey, yang persis struktur sistem rel Talyllyn di Wales.

    BILA KARYA SASTERA DIPENTASKAN

    Namun, yang paling menggembirakan bagi Christopher kini tentunya apabila melihat watak ciptaan bapanya itu menebarkan sayapnya ke pentas pementasan.

    Mulai Jumaat ini, satu pementasan Thomas & Friends Live! On Stage: A Circus Comes To Town akan dipentaskan di Stadium Tertutup Singapura.

    Saya berkesempatan menemui dua pelakonnya, Brendan Melafonte, yang menjayakan watak pemandu kereta api, dan Greg Pearl, yang membawa watak Sir Topham Hatt atau The Fat Controller.

    Kata Greg ketika ditemui di Hotel Grand Mercure Roxy:

    'Bagi saya, pementasan ini bagaikan satu persembahan rok untuk kanak- kanak.'

    Beliau, bagaimanapun, menjelaskan bahawa sewaktu kecil, beliau lebih melihat watak Harold, si helikopter, sebagai idolanya kerana helikopter itu cukup istimewa dan tidak akan tersangkut pada landasan kereta api.

    Bagi Brendan, idolanya ialah James, kereta api merah.

    'Sewaktu kecil, saya memang sukakan warna merah dan nombor lima. Secara kebetulan, James berwarna merah dan bernombor lima!

    'Namun, apabila dewasa dan melibatkan diri dalam pementasan ini, saya lebih sukakan Thomas kerana lagaknya yang keletah dan mencuit hati,' tambahnya.

    Pementasan ini dijangka menarik minat bukan saja kanak-kanak, malah orang dewasa yang diharap terhibur dengan lagu-lagu ceria yang dipaparkan.

    Selebihnya, seperti dalam karya The Railway Series, ada pesanan mengenai kerjasama, persahabatan dan cara terbaik menghurai masalah.

    Nota: Tiket-tiket untuk pementasan 4 petang (Ahad); 4.30 petang (Jumaat dan Sabtu); 7 malam (Sabtu) dan 11 pagi (Ahad) berharga $38, $48 dan $68 dijual di kaunter Sistic.