Monday, 26 October 2009

Doa tanpa usaha ibarat kereta tanpa minyak

Berita Harian Sg, 26Okt2009

Hanya pada-Mu aku meminta
sesungguhnya Kau pemurah
ampuni segala dosaku

WAH! Baru sebait sahaja lirik lagu yang saya berikan, anda sudah dapat meneka lirik lagu ini yang seterusnya? Hebat sungguh! Boleh masuk K-Nite musim ketiga! He... He...

Lagu ini memang sering diputarkan di stesen tempatan Warna sebelum atau sesudah azan. Sudah lama didengar lagu ini. Cuma, baru sekarang datangnya ilham untuk menulis yang berkaitan dengannya.

Doa. Itulah judul lagu biduanita Rahimah Rahim. Doa. Itulah juga antara perkara yang akan saya bincangkan bersama pembaca budiman kali ini.

Apabila saya beritahu anda bahawa saya akan membincangkan tentang doa, pasti anda ingat saya ingin bersyarah bukan? Nanti dulu! Janganlah nak menilai sebarangan. Saya akan cuba membawa mauduk ini sehip mungkin. Sering kita dengar perkataan doa. Tapi apa itu doa ya? Masanya sampai untuk dirujuk pada Kamus Dewan!

Menurut edisi keempat kamus tersebut, terdapat tiga macam makna 'doa'. Pertama sekali, ia membawa maksud permohonan atau permintaan kepada Tuhan. Seterusnya pula, ia bermakna kebaikan yang dipinta dengan restu daripada Tuhan. Yang terakhir sekali, ia memberi erti potongan ayat terutama daripada Al-Quran, hadis dan sebagainya yang dibaca untuk memohon sesuatu kebaikan daripada Tuhan.

Hari ini, kita berdepan dengan banyaknya berlaku bencana alam di sana sini. Justeru, ayuhlah kita bersama-sama doakan mereka di kejauhan sana supaya diselamatkan daripada segala macam bentuk ancaman serta ditenteramkan kehidupan mereka, tidak kurang juga supaya disentosakan sentiasa negara kita yang tercinta ini, amin.

Seperti yang anda sedia maklumi, sekarang ini kita sudah berada di musim peperiksaan.
Mungkin ada di antara pelajar yang menyiapkan senarai peralatan yang diperlukan atau checklist sehari sebelum peperiksaan. Alat tulis, sudah. Nota untuk ulang kaji terakhir, sudah. Pakaian seragam sekolah, sudah. Agaknya, apa lagi yang belum ya? Doa? Tepat sekali!
Sesudah anda bersedia menempuhi peperiksaan dengan ulang kaji yang mampat, janganlah lupa berdoa ataupun membuat solat hajat atau sujud syukur. Mintalah pada-Nya agar dipermudahkan urusan sewaktu peperiksaan dijalankan.

Selain daripada alat tulis, nota, seragam sekolah dan doa, satu lagi yang saya kira penting adalah jam loceng. Sebolehnya, letaklah jam loceng agar keesokan harinya anda dapat bangun awal. Iyalah, kadang-kadang tu apabila sudah mengulangkaji sampai melebihi jam 12 tengah malam, apabila hendak bangun pun, bukan main liat lagi!
Apabila loceng dah bunyi, janganlah buat tak tahu atau tangguh-tangguhkan. Mula-mula nanti terfikir hendak tangguhkan lima minit, apabila bunyi lagi, lima minit lagi. Tup tup, matahari pun dah atas kepala! Kasihan...
Namun, janganlah pula anda hanya berdoa sewaktu musim peperiksaan. Bukan tidak boleh tetapi di musim peperiksaan sebeginilah kita meningkatkan lagi jumlah doa kita daripada kebiasaannya buat yang di atas sana.
Saya tanya anda, adilkah kalau seseorang yang setiap hari berdoa untuk berjaya berbanding dengan seseorang yang berdoa hanya setahun sekali untuk berjaya? Anda sendiri tahu jawapannya.
Ada pula kes yang berdoa sahaja tapi tidak berusaha. Pepatah Arab ada mengatakan, 'Siapa berusaha pasti mendapat hasilnya.'

Jadi, bagi sayalah, doa tanpa usaha ibarat kereta tanpa minyak ataupun tanpa enjin. Mana boleh gerak? (Ingat zaman Flintstones-kah? Yabba-dabba-doo!) Samalah juga dengan anda berdiri di hadapan batu bata kemudian berdoa, 'Wahai Tuhan, tolonglah dirikan batu-bata ini sehingga menjadi rumah bagiku.' Anda rasa batu itu akan bergerak sendirikah? Wallahualam.
Sekarang kita beralih ke situasi apabila sudah mendapat keputusan pula. Janganlah terlalu kecewa jikalau doa untuk berjaya tidak dimakbulkan. Lihatlah dari satu sudut yang lain. Mungkin, belum tiba masanya untuk anda berjaya dan yakinlah bahawa setiap yang berlaku itu pasti ada hikmahnya.

Macam sayalah, doa hendak jadi kaya, tapi belum lagi kaya! Agaknya, kalau saya kaya, saya lupa diri dan sombong tak? Sebab itulah belum dimakbulkan. (PS: Agaknya kenapa ya doa saya untuk berjumpa Datuk Siti Nurhaliza belum dimakbulkan? Hehe.. Doakan saya ya?).

Semoga keputusan anda kelak adalah yang anda idam-idamkan. Selamat maju jaya.

Monday, 12 October 2009

Usah jadikan Al-Quran dan buku perhiasan semata

BERITA HARIAN SG, 120KT2009

Bacalah... sebutlah dengan nama Tuhan yang menciptakan segala kejadian di dunia
MASIH ingat lagi bait lagu nasyid yang berentak rancak ini?
Lagu inilah yang dipopularkan kumpulan Rabbani yang waktu itu diketuai oleh Allahyarham Ustaz Asri Ibrahim (Al-Fatihah buatnya).
Lagu yang sedikit sebanyak memberi penerangan atau penafsiran Surah Al-'Alaq itu berjudul, Apa yang kau tahu.
Iqra'. Itulah perkataan yang pertama diturunkan ke atas Nabi Muhammad saw. Iqra' bermakna bacalah. Bacalah, itulah dia suruhan Allah ke atas kita semua. Jika dirujuk pada tafsir ayat tersebut, ia mengatakan bahawa membaca adalah kunci kejayaan.
Demikianlah kitab suci Al-Quran. Ia adalah sebuah buku yang sarat dengan panduan juga kekata hikmah.
Cewah! Ada tokoh jadi pak ustaz tak saya? Alahai... Bukannya apa, sekali-sekala tu, nak juga feeling-feeling jadi Pak Ustaz!
Walaupun ilmu yang dikurniakan Ilahi hanya setitik sahaja tetapi saya rasa perkara baik sebegini wajarlah dikongsi bersama.
Membaca. Seperti yang Al-Quran katakan, membaca merupakan kunci kejayaan. Jadi, berapa kerapkah anda membaca? Di bulan Ramadan yang lalu, sempat saya menemuramah tiga kenalan saya dan bertanyakan mereka tentang minat membaca mereka.
Pertama, Puteri Nurrul Hafezoh, 16 tahun.
Katanya: 'Saya sudah minat dalam bidang membaca ini sejak di darjah lima lagi. Dengan membaca, saya dapat memperbaiki bahasa Melayu saya. Minat saya membaca buku lahir apabila rakan saya membelikan saya buku keluaran Alaf 21 dan ia sekali gus menjadi pengeluar buku yang saya gemari.
'Buku yang paling tebal saya pernah baca sejauh ini ialah buku yang ada lebih daripada 500 muka surat.
'Pesanan saya bagi mereka yang kurang gemar membaca ialah supaya cubalah untuk membaca kerana ia boleh meningkatkan inspirasi dan pengetahuan selain memberikan mereka sifat kematangan dan mendorong mereka menghargai pandangan masyarakat atau individu.'
Yang kedua pula ialah Nur Atiqah Haizan, 18 tahun. Beliau memang tidak asing lagi dalam bidang penulisan terutama di ruangan Sastera Remaja, Berita Harian. Selain minat menulis, beliau juga turut minat membaca.
Khabarnya, 'minat saya membaca tumbuh di alam remaja dan keinginan membaca itu semakin mengembang setelah masuk ke peringkat prauniversiti. Jika ditanya mengapa saya gemar membaca? Mungkin jawabnya kerana ingin meluaskan pengetahuan am barangkali.'
Beliau yang kini sudah mempunyai buku hasil karyanya sendiri memberi pesanan bagi mereka yang kurang gemar membaca: 'Cubalah tanam minat untuk membaca. Dapat pahala tau! Tapi mestilah baca bahan yang elok, bukan yang dot dot dot...'
Bukunya yang berjudul Suatu Harapan Di Sebalik Pelangi boleh dibeli dengan harga $10. Sebanyak 20 peratus daripada hasil penjualan akan disalurkan ke dana masjid atau madrasah. Untuk keterangan lanjut, sila hubungi beliau di alamat e-mel, durqalbi@gmail. com.
Terakhir, saya menemuramah seorang jejaka 17 tahun. Husni Falah Ibrahim namanya.
Apabila ditanya pendapat tentang stereotaip minat membaca hanya serius di kalangan wanita sahaja, beliau menjawab:
'Pada pendapat saya, apa orang hendak fikir, fikirlah kerana setahu saya, tidak ada sesiapa yang akan menghalang kita daripada membaca buku kerana ia bukan satu kesalahan, malah sekolah-sekolah juga turut menggalakkan kita membaca buku bagi mempertingkatkan lagi pengunaan bahasa.'
Beliau yang sejauh ini pernah membaca 700 muka surat buku sebagai yang tertebal dalam masa dua minggu menyambung: 'Membaca buku ini menyeronokkan sebab kita seperti boleh melayari ke dunia lain. Pesanan saya kepada mereka yang di luar sana, kalau anda tidak minat membaca buku tidak apalah.
'Janji baca Quran,' sambungnya.
Saya memang tidak terperanjat dengan kenyataan sebegitu yang dibuat oleh mereka tentang muka surat yang dibaca bahkan saya percaya ada yang di luar sana boleh membaca dengan lebih kerap lagi daripada yang ditemuramah.
Bacalah. Itulah yang akan menambah lagi pengetahuan kita. Banyak bahan bacaan yang ada di luar sana tidak kiralah bahasa apa sekalipun.
Tidak kira jugalah sumber mana sekalipun. Baik ia dari buku, surat khabar, blog www.abdulrauuf.blogspot.com He... he... he... (menerusi laman ini pun boleh) dan macam-macam lagi yang boleh dimanfaatkan bersama.
Di Singapura juga, mudah mencari perpustakaan. Di setiap kawasan perumahan, pasti ada satu. Langkah ini adalah suatu langkah yang bestari bagi penduduk di sini kerana ia dapat menarik minat pembaca.
Ramadan sudah lama pergi meninggalkan kita dan akan bertemu sekali lagi andai takdir mengizinkan. Pada bulan itulah kita digalakkan membaca Al-Quran. Mana tidaknya, dengan setiap huruf yang disebut ganjaran berlipat ganda pasti melimpahi kita. Namun, jangan pula apabila tamatnya Ramadan semangat membaca pun lenyap.
Jika ada yang di luar sana boleh membaca buku yang tebal dalam masa beberapa hari, mengapa tidak cuba khatamkan Al-Quran juga? Iyalah, walaupun bulan suci Ramadan sudah berlalu, ganjaran bagi setiap yang membaca Al-Quran pasti menanti tanpa ragu.
Saya faham, ada kalanya masa tidak mengizinkan kerana kesibukan dengan tugas atau aktiviti harian tetapi itu tidak bermakna kita boleh suka-suka jadikannya sekadar perhiasan.
Kalau satu kitab suci itu tidak dapat dikhatamkan sepenuhnya, saya kira, satu muka surat pun jadilah. Kalau masih tidak berkesempatan juga, surah-surah yang pendek tetap ada. Orang tua-tua kata, di mana ada kemahuan di situ ada jalan.
Abdul Rauuf pula kata: 'Quran jangan dijadikan perhiasan. Sekian, terima kasih kerana membaca rencana ini dan buat mereka yang berjaya mengkhatamkan Al-Quran sewaktu bulan Ramadan yang lalu, syabas dan tahniah saya ucapkan!
Semoga Tuhan memberi kebarekahan pada anda.'