
SUARA kecoh pegerai bazar berteriak:
'Mari-mari... mari-mari... Adik, kakak, abang, mak cik, pak cik, tengok sini, murah-murah! Tiga $1... mari-mari.'
'Mari-mari... mari-mari... Adik, kakak, abang, mak cik, pak cik, tengok sini, murah-murah! Tiga $1... mari-mari.'
Kalau anda ke bazar serata Singapura, pastinya akan ketemu keadaan seperti ini.
Ruang bazar sesak, lorong-lorongnya terhimpit dek lautan manusia yang berkunjung ke sana untuk ditenggelami suasana perayaan. Rasanya, macam ikan sardin dalam tin!
Keadaan sebegitu pun... masih ramai yang datang berkunjung.
Geylang - itulah tempat yang pastinya sibuk setiap Ramadan.
Ada yang datang hanya untuk membeli daging dendeng, ayam percik, burger Ramly ataupun kebab.
Jika sebelum ini, saya mengajak anda bermuhasabah diri tentang adakah remaja lelaki dibuli, kali ini, saya nak menyentuh soal puasa pula.
Bazar yang turut menjual langsir, perabot dan barangan hiasan rumah menjadi lokasi paling popular selepas waktu berbuka. Macam tak sah rasanya kalau tidak menggerakkan kaki ke sana.
Sebelum waktu berbuka, bazar sudah pun sesak dengan mereka yang membeli berplastik-plastik makanan.
Ada kalanya, rambang mata juga melihat roti john yang panas-panas digoreng, sup tulang yang pedas serta air katirah yang lemak manis.
Pernahkah anda menghadapi senario di mana anda terasa bagaikan nak 'angkut' sahaja hidangan di setiap gerai kerana kebingungan dan nak merasa semua?
Ya, begitulah kesan nafsu makan yang tidak terkawal.
Bayangkan betapa saratnya perut selepas berbuka. Macam dicucuk-cucuk senaknya!
Apabila perut dah senak, nak bersolat pun macam lembap.
Mulalah malas dan terasa nak tergelimpang atas tilam sahaja selepas itu.
Kalau diikutkan mata yang layu dan keadaan yang persis ular sawa kekenyangan, agak-agaknya solat tarawih ke mana, diri kita ke mana.
Sebagai remaja yang masih muda belia, sewajarnya rebutlah peluang untuk mengumpul pahala dengan mendirikan solat tarawih.
Jangan pula seperti ustaz-ustaz berpesan:
'Lailatul-Qadr jadi Lailatul-Bazar pula...'
Semakin jauh kita meninggalkan Ramadan, semakin jauh pula kita daripada mengerjakan ibadah.
Sambil-sambil membeli-belah dan ghairah untuk berlebaran, diharapkan remaja tidak melupakan tuntutan agama.
PENIRUAN ATAU PERCETAKAN TANPA IZIN SPH ADALAH DILARANG.