
aku menulis bukan kerna nama
kerna sifat kasih
pada sesama insan
dan menyatakan kasih sayangmu
kita sama semuanya sama
apa yang ada hanyalah kehidupan
Begitulah dia lirik lagu Lagenda Ramli Sarip, Bukan Kerna Nama. Lagu yang mempunyai maksud yang mendalam sekali.
Hari ini, kita mempunyai banyak platform untuk menulis khususnya dengan kemunculan media sosial.
Sangkaan, rentak baca dan emosi sewaktu membaca mungkin faktor ia disalahmaksud.
Begitulah
kebiasaannya. Saya rasa blog saya ni pun, kalau dibaca dengan sangkaan yang
buruk, rentak baca yang berbeza dari intonasi saya dan emosi yang negatif pun
boleh membuat segala tulisan saya disalahmaksud. Lebih-lebih kalau anda tidak mengenali secara peribadi. ;)
Tidak
dapat saya mengelak fakta ini, saya gemar untuk melihat keadaan sekeliling. Observant
terhadap sesebuah perkara. Bukan saja observe, tetapi saya akan mencari
hikmah atau pelajaran yang boleh diambil dari sesebuah perkara itu. Kemudian,
saya akan berkongsi untuk manfaat ramai.
Ibu
saya juga sering berpesan, “nampak, diam. Tak payah nak post segala
benda.” Bukan nak melawan kekatanya, cuma hakikatnya, saya suka menulis dan
sukar untuk mengelakkannya.
Sejak
di zaman sekolah rendah lagi, saya minat menulis. Alhamdulillah, semangat saya
semakin membara saban tahun dengan mendapat peluang untuk menulis di Berita
Harian Singapura.
Bukan
hendak menyombong atau berbangga tetapi saya amat bersyukur sekali diberi
peluang untuk menulis di akhbar nasional mewakili pelajar Madrasah.
Sewaktu
zaman saya sekolah menengah, saya diberi ruang “Cakap Saja Tau” di akhbar Melayu tersebut untuk meluahkan
dan mengekspresi apa yang terpendam. Rindu zaman itu. Ramai juga orang yang
memberi semangat dengan memberikan komen yang positif.
Namun,
saya tidak dapat lari dari menerima komen yang negatif. Ini semua lumrah. Komen
yang negatif itu tidak pernah menghalang saya dari terus menulis. Saya
jadikan kutukan atau kritikan sebagai cabaran untuk diri lebih maju kehadapan. "Tak hidup dek puji, tak mati dek keji." Itu
pendirian saya.
Jika ia berbentuk kritikan atau kutukan, saya akan cuba
lihat dimana kekurangan saya yang boleh boleh diperbaiki. Manusia tidak
sempurna, namun kita boleh cuba untuk mencapai kesempurnaan.
Menulis bukanlah mudah. Kita perlukan ilham, idea dan
semangat. Satu pesanan ibu saya yang tidak akan saya lupakan, “bila nasihatkan
orang tu, jangan pula diri sendiri yang buat.” Menulis membuat saya lebih matang. Sebagai pelajar Madrasah ketika
itu, saya merasakan ia adalah satu amanah untuk berakhlak mulia dan apa yang saya
nasihatkan, akan saya cuba elakkan dan jauhkan.
Rencana yang saya gemar untuk tulis kebanyakannya
berunsur nasihat. Ketahuilah, bila saya memberikan nasihat itu, bukanlah kerana
saya rasa diri cukup sempurna (jauh sekali) tetapi kerana saya yakin ada ruang
untuk individu atau kumpulan tersebut berubah. Adakalanya tulisan itu lahir dari kesedaran diri sendiri.
Sayang sekali, ada sesetengah individu atau pihak yang
merasakan diri mereka dihina, dikutuk, dikritik ataupun diherdik bila membaca. Walhal,
sorry to say, siapa makan cili terasa pedas. Sungguh, saya tiada masa
untuk melayan individu atau pihak sebegini. Kalau nak kata saya cemburu, beribu
batu jauhnya. Kejahatan dan negativiti takkanlah nak dicemburukan? Bak kata
Nabil Raja Lawak, “Lu pikirlah sendiri.” Perlukah cemburu bila lihat orang buat
perkara yang mencampakkannya ke neraka?

Semoga kita dijauhkan dari sangkaan buruk. Maafkan saya
kalau mengguris hati dalam berkata-kata. “Dan berilah peringatan kerana
sesuungguhnya peringatan itu baik untuk orang Mukmin.” Anggaplah nasihat yang
lahir dari saya sebagai peringatan sesama insan sebelum nanti bertemu Ar-Rahmaan.