Saturday, 13 April 2013

Tapak Nabi bersebelahan Maqam Imam Syafie?


Lama rasanya tidak menulis, rindu sebenarnya. Dari itu, saya teruskan semula blog ini dengan memberikan secubit dari pandangan saya. Yang daif, yang kurang, silakanlah betulkan saya. Yang betul, mungkin tetap ada kurangnya. Jangan pula taassub dengan pandangan saya sedang pandangan yang lain mungkin lebih baik dari saya.

Berkenaan topik di atas ini, bukanlah maksud saya untuk menghina atau menafikan kewujudan 'sejarah' berkenaan Tapak Nabi Muhammad S.A.W. ini. 
Maaf kalau ada yang tersinggung dengan penulisan ini.

Jika anda pernah ke Mesir dan mengunjungi Maqam Imam Syafie R.A. Mungkin anda pernah diajak untuk melihat 'Tapak' Nabi Muhammad. Bila fikirkan dan renungkan... Bukankah Nabi Muhammad kita wafat sebelum kelahiran Imam Syafie. 

Bukan nak ingkar 'sejarah' cuma akal kadang-kadang tak dapat terima benda yang bertentangan dengan logik. Itu tidak bermakna saya ingkar semua yang bertentangan dengan logik.

Kisah Israk dan Mikraj contohnya, kita wajib percaya kerana ia sudahpun dijelaskan dalam Al-Quran dan Sunnah. Janganlah kita sesekali mengkufurinya. 

'Ala kulli haal, saya tidak menghalang orang untuk mempercayainya. Cuma, berpada-padalah. Jangan terlalu ta'assub hingga ada yang sujud dan meraba-raba 'tapak' itu dan melumurnya di badan dengan mempercayai ada keberkatan di situ. 

Akal manusia tidak bodoh, kita boleh berfikir. Akal manusia suka mencari-cari kebenaran. 

Wallahu 'alam.

#sekadarpandangan


Monday, 8 April 2013

Jaga Adab Di Laman Sosial

BERITA HARIAN SG, 23 JANUARI 2013

Rabiul Awal menjelang kini, 
Bulan kelahiran Nabi Habibi, 
Beliaulah Kekasih Ilahi, 
Hadirnya menyinar alam ini.  

Setiap dari kita pasti menyedari bahawa kita sudahpun berada di bulan Rabiul Awal. 

Mana tidaknya, di Facebook, Twitter dan laman sosial yang lainnya pasti kecoh diposkan status dan gambar mengingatkan kita bahawa kita sudahpun berada di bulan Rabiul Awal. 

BERKATA YANG BAIK ATAU BERDIAM  

Segala puji bagi Tuhan yang memberikan kita nikmat teknologi untuk digunakan sebagai mengingatkan sesama kita dan mengajak kepada jalan kebaikan.  

Namun sayangnya, dalam menyambut bulan kelahiran Nabi ini, kita akan melihat sesetengah orang mula memberikan komen yang negatif terhadap sesetengah fahaman hinggakan ada yang sanggup mengambil langkah menyesatkan sesetengah pendapat. Ada pula yang menyindir-nyindir pendapat yang lainnya.  

Teringat saya pesan Nabi Muhammad kita yang diriwayatkan oleh Al-Bukhari, “barangsiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhir maka hendaklah dia berkata yang baik ataupun berdiam.”  

Cuba kita renungkan dan fikirkan semula hadith tersebut, apakah dengan kutukan, hinaan serta sindiran terhadap pendapat sesebuah fahaman itu merupakan sebuah perkataan yang baik? Maka berdiam diri sahajalah.

LAMAN SOSIAL BUKAN RUANG BERDEBAT  

Keadaan sebegitulah yang dapat saya lihat pada hari ini di laman-laman sosial kita. 

Memang benar, kalau nak dikatakan benda yang batil itu perlulah dibetulkan. Namun, janganlah sampai laman sosial menjadi mangsanya. Tolonglah jaga imej agama kita.  

Secara terus terang, bagi saya laman sosial bukanlah ruang yang terbaik untuk berdebat kerana apa yang kita poskan tidak semestinya itu yang difahamkan orang. Mungkin, kita maksudkan sebegini tetapi yang difahamkan adalah sebegitu. Maklumlah, orang mempunyai akal dan daya pemikiran yang berbeza. Namun, tidak semua pemikiran itu salah dan tidak semua pemikiran itu betul. Anda yang menilainya , semoga hidayah Tuhan sentiasa bersama kita.

Jika ingin berbincang tentang sesebuah khilaf itu, duduklah bersama-sama di tempat yang sesuai. Bila diutarakan sesebuah pendapat yang mungkin bertentangan dengan kita, janganlah memaksa orang untuk menerimanya.

Janganlah pula sekadar berpandukan Google atau menjadi tukang copy dan paste tanpa ilmu terhadap apa yang ada di situ. Carilah guru jika ingin benar-benar ingin mengetahui jawapannya seperti firman Allah dalam Surah Al-Anbiya ayat 7, “maka tanyakanlah olehmu kepada ‘ahlaz zikri’ (orang-orang yang berilmu) jika kamu tiada mengetahui.” 

HARMONI SESAMA ISLAM  

Keharmonian. Itulah yang saya rasa kurang pada masyarakat kita. Hari ini, kita ada keharmonian sesama kaum dan keharmonian sesama agama. Namun, di manakah dia keharmonian sesama Islam itu sendiri?  

Mungkin inilah waktunya untuk kita duduk bersama-sama dan membincangkan sesuatu perkara itu dengan fikiran yang lebih terbuka dan bukanlah dengan mengecam sesebuah pendapat itu.  

Ambillah waktu untuk memahami dan mengkaji fahaman yang mungkin berbeza dari kita dan jauhi sikap menghukum.  

Lumrah alam, tidak semua orang akan mempunyai fikiran yang sama. Atau, sama tapi tak serupa. Perbezaan ataupun khilaf dalam sesebuah fahaman itu memang tidak dapat dielakkan. Di dalam Surah An-Nahl ayat 93 juga, ada menyebutkan,”Dan jika Allah mengkehendaki, tentulah Dia menjadikan kamu satu umat (yang bersatu dalam ugama Allah yang satu).”  

Marilah kita, sempena bulan Rabiul Awal ini, belajar untuk lebih mengamalkan sikap toleransi dan menghormati fahaman sesama kita. Usah dikeji dan dicaci walau mungkin sesebuah fahaman itu tidak kita serasi. Jagalah batasan serta sensitiviti dan hidupkan Islam dengan harmoni.

Semoga kedatangan Rabiul Awal mengurniakan kita berkat serta hidayah dari Ilahi.


NB: Rencana telah disunting pihak Berita Harian.