Monday, 10 October 2011

'Adikku' Siti Saleha...

BERITA HARIAN SINGAPURA,
10 OKTOBER 2011

Aaron tercabar berlakon dengan Siti Saleha kerana perbezaan usia

KESERASIAN antara Aaron Aziz dan pasangan televisyennya, Siti Saleha di dalam dua drama popular, Habil dan Qabil dan Nora Elena, memang tidak dapat disangkal.

Mereka dianggap antara pasangan paling ideal, yang menghiasi kaca televisyen.

Namun, kalau ditanya Aaron, dengan selamba pelakon kacak itu menjawab:

'Bagi saya, dia macam adik saya sajalah. Umur dia tu... tengoklah, baru 21 tahun. Saya ni pun dah 35 tahun. Pernah saya beritahu dia, baik panggil saya pak cik sahaja!'

Bapa tiga anak yang dikenali dengan sifat penyayangnya terhadap keluarga walau sesibuk mana pun, juga menganggap wujud cabaran berlakon dengan Siti Saleha kerana perbezaan umur itu.

'Berlakon dengannya sebagai suami isteri dalam Nora Elena semacam satu cabaran bagi saya kerana usianya yang masih muda belia.

'Cuma nasib baiklah, Saleha ni nampak matang orangnya. Maklumlah, sebelum ini saya biasanya berlakon dengan mereka yang lebih mapan dan senior atau sebaya seperti Nasha Aziz, Umie Aida dan Erra Fazira,' ujar Aaron, yang ditemui di Hotel Traders, sebelum acara promosi Habil dan Qabil, anjuran saluran kabel StarHub, Sensasi, di pusat beli-belah City Square.

Aaron kemudian beralih membincangkan tentang Habil dan Qabil, drama serius penuh dengan pergelutan konflik dan dendam yang kini disiarkan di Sensasi.

Di dalam drama itu, beliau membawa watak sebagai Habil, manakala pelakon seberang Tambak, Zed Zaidi, pula sebagai Qabil.

'Di awal cerita ini, saya kelihatan baik sahaja, tetapi sebenarnya tidak kerana berdendam terhadap apa yang orang tua Qabil lakukan.

'Asalnya, Habil bukanlah seorang yang berjaya, tetapi perlahan-lahan menjadi orang senang. Dengan situasinya yang kemudiannya senang, Habil mengambil kesempatan memusnahkan kehidupan Qabil,' cerita Aaron lagi.

Jalan cerita drama ini, yang berpangkalan pada perihal perniagaan, tidak seperti Nora Elena - drama yang dipadankan daripada novel tetapi memiliki jalan cerita yang mudah sahaja.

Aaron yang ditemani isterinya, Diyana Halik, menambah kerana rumitnya plot drama ini, ia payah difahami. Lantaran itu, kesimpulannya, perlulah saksikan setiap episod.

RINDU BERLAKON DI SINGAPURA

Dalam pada itu, Aaron akur amat merindui peluang berlakon di Singapura. Di dalam kesibukannya menerima tawaran yang datang mencurah-curah di Malaysia, beliau akan pastikan saban tahun, masanya terisi dengan idea menyiapkan klip video F&N di sini sempena Hari Raya.

'Waktu itulah, saya dapat mengumpulkan rakan-rakan saya untuk bersama-sama menghasilkan video itu walaupun usaha dan sumbangan kami tidak seberapa. Yang penting, kami dapat berjumpa,' jelas Aaron.

IKHLAS UNTUK BERJAYA

Walaupun Aaron sudah lama berkecimpung dalam bidang lakonan dan tampak berjaya di seberang Tambak, beliau amat merendah hati sewaktu diminta memberikan tip kepada pendatang baru di dalam industri lakonan.

'Saya ni bukanlah sesiapa untuk berikan tip lakonan. Formula atau rahsia ke memang tak ada.

'Bukannya saya ni berjaya sangat. Cuma bagi saya, kita perlu ikhlas dalam bidang inilah. Lakonan tu bagi saya adalah minat yang kemudiannya saya jadikan kerjaya.

'Kalau awak fikir masuk bidang ni senang nak cari kekasih, ke jadi kaya raya, awak dah tersalah masuk industri! Benda tu semua kalau nak dapat, akan dapatlah. Kalau tak, apa nak buat bukan?' jelasnya.

Aaron berpesan yang paling penting sekali seseorang itu tidak boleh melupakan dirinya.

'Ada sebahagian artis yang dulunya biasa-biasa sahaja macam member, tetapi kini berbeza layanannya.

'Bagi saya, senang dapat sesuatu, senang juga hilang dalam industri ini,' katanya yang amat berterima kasih kepada saluran-saluran setempat kerana mencungkil bakat lakonannya.

DUTA TONIK

Baru-baru ini, Aaron sempat mengikat kontrak menjadi duta dan wajah bagi minuman tonik di Malaysia, Drive M7.

Produk ini bakal memasuki pasaran antarabangsa tidak lama lagi dan mempunyai cawangan edaran di Jepun.

Selain itu, Aaron juga sibuk dengan penggambaran drama Jiwa Dan Lara yang sudah pun ditayangkan di TV3 dan masih menjalani penggambaran.

Filem Inggeris beliau, Prince Of The City, juga sedang dalam proses penggambaran.

Habil dan Qabil disiarkan di saluran Sensasi setiap Sabtu dan Ahad, 8.30 malam.

Nota: Penulis mahasiswa Universiti Al-Azhar.

LIMA SOALAN BERSAMA AARON AZIZ:

Kalau anda diberi tawaran berlakon dalam filem Hollywood?
Hangover dan Due Date
Filem klasik kegemaran?
Keluarga 69
Pelakon tempatan yang anda ingin berlakon bersama?
Seri Wahyuni dan Khairudin Shamsuddin
Pelakon dari malaysia pula?
Azean Irdawaty dan Tan Sri Jins Shamsuddin
Pelakon dari Hollywood?
Robert De Niro Jessica Alba dan Tom Cruise
Selebriti yang wajar sekali dicontohi selebriti-selebriti lainnya. Sangat-sangat merendah diri ketika ditemuramah. Semoga Aaron terus berjaya di masa-masa akan datang!

Bancho kecohkan YouTube dengan lenggok Matrep

BEITA HARIAN SINGAPURA,
5 SEPTEMBER 2011

RAMADAN lalu, klip video Bancho The Matrep, yang mempersoal brader-brader yang tidak puasa, begitu popular dilampirkan pada dinding Facebook sebilangan remaja.

Siapakah Bancho, 19 tahun, pelajar politeknik, yang dikenali di laman YouTube dan disebut-sebut ramai yang gemar melungsuri laman perkongsian video itu?

Buat masa ini, Bancho mampu menarik lebih 5,000 pelungsur Internet ke laman YouTube-nya. Di Facebook pula, beliau digemari 20,000 pemilik akaun Facebook.

Ekstra mendekatinya yang enggan mendedahkan identiti dan nama sebenarnya. Hhmmm... nak ikut macam sesetengah artis antarabangsa Hollywood dan YouTube, rupanya!

Apabila ditanya mengapa nama Bancho digunakan, pemuda berkulit sawo matang dan berkaca mata ini berkata: 'Perkataan 'bancho' ni sebenarnya datang dari bahasa Jepun yang bermakna 'melawan untuk kehormatan'. Matrep pula sejenis nama 'pondok'. Ada yang memilih 'apai', 'tupai' dan sebagainya.'

Menurutnya, Oktober ini, genap setahunlah beliau menghiasi laman YouTube dengan klip-klip videonya yang melucukan dan kadangkala mencucuk-cucuk perasaan orang (er... siapa makan cili, dialah yang rasa pedas. Betul bukan?).


'Klip video pertama saya bertajuk How To Be A Matrep. Saya lihat ramai juga yang menonton klip video itu. Justeru, saya rasa lebih bersemangat untuk menghasilkan lebih banyak klip video lain,' ujarnya.

Identitinya yang disorok daripada pengetahuan ramai melalui penggunaan kaca mata hitam itu disamakan seperti selebriti yang menggunakan rambut palsu seperti Miley Cyrus.

'Di dalam klip video, sayalah Bancho The Matrep tetapi di luar, saya adalah orang biasa sahaja. Saya tak akan menggunakan kaca mata hitam walaupun saya memiliki 13 pasang kaca mata! Cuma memandangkan Singapura ini kecil, ada yang mata tajam dan mengesan wajah saya menerusi gigi dan paras rupa saya!' selorohnya lagi.

Namun, penulis tertanya-tanya pula, mengapakah gelaran 'Matrep' menjadi pilihannya sedangkan ia mempunyai konotasi negatif (mat melepak yang tidak berharga)?

Katanya: 'Bagi saya terdapat tiga jenis 'Matrep'. Yang pertama,

mereka yang melepak dan suka buat kacau. Yang kedua, suka duduk bawah blok dan main gitar. Dan yang ketiga pula, mempunyai kelas tersendiri. Dia akan melepak di rumah sendiri atau rumah orang.'

Bagi anda yang belum tahu siapa Bancho dan ingin mendekatinya, apa kata lungsuri laman beralamat www.youtube.com/BanchotheMatrep.

Nota: Penulis mahasiswa Universiti Al-Azhar.

Seorang yang 'gerek' to be with. Had a great laugh with him throughout the interview. Kudos Bancho aka NABIL!