GELARAN 'glamor' itu 'melekat' pada deejay Ria 89.7FM, Hafeez Harun, sejak beliau masih menuntut di maktab perguruan Institut Pendidikan Nasional (NIE) lagi.
Soalan itu mungkin sudah basi memandangkan telah 19 tahun lamanya beliau menjadi deejay. Bagaimanapun, Hafeez sudi berkongsi kisahnya sekali lagi apabila kami bertemu selepas beliau dinobatkan sebagai 'Deejay Paling Popular Ria', baru-baru ini.
'Saya berada di NIE dan selalu kendalikan konsert, jadi hos sewaktu Hari Guru dan lain-lain acara. Dari situ, teman-teman selalu 'giat' glamorlah... Maka bermulalah gelaran tersebut.
'Jadi apabila saya kendalikan acara itu dan acara ini, pelajaran saya pula 'tercicir' dan saya hanya sempat belajar di NIE selama tujuh bulan sahaja. Apabila di stesen Ria adakan bengkel, saya sertai bengkel Deejay itu. Tahu-tahu, saya dapat panggilan telefon. Mereka tawarkan saya kerja!' katanya.
Beliau menyifatkan dunia penyiaran radio dan bidang perguruan lebih kurang sama sebab beliau amat mencintai bahasa dan gemar membaca tentang Som Said dan Dr Ariff Ahmad.
Baginya, suara merdu penyiar ketika itu, Zakiah Halim, Suharti Ali dan Ibrahim Jamil, bagaikan 'memanggilnya' untuk mendekati bidang deejay.
Hafeez yang tetap berahsia tentang umurnya terus menceritakan kesukaran beliau sewaktu mula-mula menyertai kerjaya deejay.
'Biasalah... kalau baru masuk tu, salah tekan butang, dua lagu bertembung jadi satu. Semua deejay akan alami masalah ini. Pernah juga waktu itu, terlupa picit butang off air. Sekali saya ternyanyi, buat malu saja! Lepas tu ada orang tanya saya belum matikan mikrofon ke? Lepas tu, pandai-pandai cover baliklah,' tambahnya sambil tersenyum.
Beliau menyifatkan cabaran yang dihadapinya kini ialah lebih untuk mengetahui selera anak muda masa kini. Katanya, beliau tidak mampu memberikan apa sahaja yang beliau suka tanpa mengambil kira cita rasa mereka.
Menjadi deejay juga memberinya peluang menjadi bak penasihat kepada pendengar yang kebingungan kerana payah menurunkan berat badan.
Hafeez menasihatinya berlari di atas treadmill saban hari selama 30 minit setiap kali. Kepuasannya terasa apabila si pendengar memberi maklum balas bahawa panduan itu diikutinya dan ternyata berhasil!
Bagaimana pula dengan kenangan pahit menjadi deejay?
'Yang pahit ialah apabila ada orang mengambil kesempatan untuk menjadikan radio sebagai medan perbalahan dan sindiran. Kita macam blur tak tahu apa yang orang ni cakap pasal orang tu. Rupanya mereka saling menyindir. Itu paling pahit bagi saya!' tambahnya.
'Ngam' dengan Kak Nita
Antara Hafeez dengan Kak Nita (Anita Sarawak) a memang bagaikan isi dengan kuku. Walau bergelar 'diva', Kak Nita, jelas Hafeez, adalah seseorang yang menghargai teman.
'Kadang saya telefon... pernah sekali tu, saya pasang aroma terapi dan kebetulan, dia pun sedang pasang aroma terapi. Macam sehati sejiwa gitu eh?' selorohnya.
Kak Nita, tambahnya, jenis yang rajin bertanya khabar teman karib dan seisi keluarga mereka. Hafeez pernah membantu menyorong kerusi roda menghantar Kak Nita ke hospital sebelum bintang popular itu berumah tangga dengan Abang Mahathir (suaminya kini).
'Masa tu, ada Konsert Diva. Sejak peristiwa itu, kami menjadi kawan. Dah 10 tahun kami berkawan. Beliau mengirim kad terima kasih kepada saya,' kata Hafeez, dengan wajah yang ceria.
Masa depan artis Singapura
Ditanya mengenai perkembangan dan kebolehan artis setempat, Hafeez menyatakan beliau amat mempercayai potensi juara Anugerah, Sarah Aqilah.
'Saya nak beritahu awak. Dia boleh pergi jauh dengan suaranya mengikut pasaran yang ada kini. Dia memang bintang yang berpotensi besar sebab dia ada pakej! Kita macam tercari-cari penyanyi wanita di Singapura. Dengan pasaran yang betul, beliau boleh 'meletup' tetapi kita perlu bersabar!' kata Hafeez lagi.
KENAL-KENAL