Bekas tauke nasi lemak berjaya ke Hollywood dan kian sukses selepas 'dijodohkan' dengan David Teoh
SIAPA kata kalau anda tidak ada latar belakang dalam bidang lakonan, anda tidak boleh menjadi seorang bintang filem? Sebenarnya, itu semua bergantung pada bakat yang dimiliki seperti seorang pendatang baru dalam industri lakonan, Putri Mardiana Zainal Abidin, 29 tahun.
Beliau telah membuktikan bahawa tanpa adanya sebarang latar belakang pun, beliau tetap boleh menjadi seorang pelakon yang berjaya.
Yang terpenting sekali, anda ada bakat dan minat mendalam terhadap sesuatu perkara itu.
Sebagaimana yang dikongsi dengan saya ketika bertemu selepas sidang media anggota Kelab Obor dengan barisan pelakon Santau di pawagam Eng Wah Suntec:
'Sebenarnya, kalau anda ingin tahu, bidang lakonan merupakan satu impian saya. Saya dah lama impikan bidang ini sejak saya sekolah lagi. Dulu-dulu mana ada uji bakat sana sini? Jadi, saya berdiam saja dan membiarkan minat saya macam gitu.
'Tahun lepas merupakan satu tahun yang bertuah buat saya. Saya dapat tawaran dari Kementerian Pelancongan Malaysia dan mereka hantar saya ke Hollywood untuk bertanding di sana. Kemudian saya jumpa 'jodoh' pula dengan penerbit Metrowealth Movies, David Teoh.'
Menurut Putri yang mula dikenal ramai di Malaysia sejak kemunculannya sebagai Nina, isteri yang dirasuki dalam Santau, beliau belum dikenali sewaktu dihantar ke Hollywood.
'Uji bakat dijalankan di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak. Ramai jugalah yang masuk pertandingan itu dan saya berjaya ke peringkat akhir di Istana Budaya, Kuala Lumpur,' ceritanya lagi.
Apabila ditanya tentang perasaannya dipilih mewakili Malaysia ke Road To Hollywood, beliau menjawab:
'Saya rasa macam wow, oh Tuhan! Hollywood... tak sangkanya! Saya ni hanya pendatang baru dan tak dapat nak digambarkan perasaan saya tu macam mana.
'Sewaktu di situ, saya perlu membuat persembahan di hadapan orang-orang filem yang terbilang seperti penerbit Titanic, Armageddon, pengarah-pengarah filem... memang ia merupakan penghormatan bagi saya.'
Santau, dalam pada itu merupakan sebuah filem seram yang meluaskan lagi pintu rezekinya. Putri memainkan watak sebagai Nina yang disantau jirannya, seorang teman baik suaminya yang iri hati dan dengki dengan kejayaan orang lain. Kebetulan, nama timang-timangan Putri juga Nina.
'Itu sebab Abang Zack (pengarah Santau, Azhari Zain) terkejut. Apabila saya beritahu nama saya Nina, dia lari belakang langsir... agaknya macam kebetulanlah nama saya sama dengan nama watak filem itu,' jelas Putri lagi.
Dalam filem itu, beliau bergandingan dengan Esma Daniel sebagai suaminya.
Apabila ditanyakan Esma tentang kebolehan Putri berlakon, pelakon kacak itu berkata Putri memang seorang pelakon yang diberi bakat semula jadi. Biasanya pelakon baru perlukan pengalaman tetapi beliau tidak.
'Kita hanya perlu berikan beliau sedikit tunjuk ajar dan beliau dah boleh dan berlakon dengan baik. Saya amat senang bekerja dengannya dan kami memang memiliki keserasian yang dipanggil chemistry,' ujar Esma.
Selepas kejayaan filem tersebut, Putri, ibu tunggal tiga anak itu menerima lebih banyak tawaran yang datang dari syarikat Metrowealth sendiri, TV3 dan juga Astro.
'Di TV3, anda dapat saksikan saya dalam rancangan Jangan Tegur Lagi setiap Khamis, 9.30 malam. Ia adalah sebuah lagi kisah seram dan anda dapat menyaksikan saya menjadi hantu. Saya nak buat sedikit pembetulanlah, orang ingat dalam filem Santau saya menjadi hantu dan orang tanyalah, kenapa saya jadi hantu lagi. Sebenarnya, dalam Santau, saya bukanlah hantu tetapi saya mangsa santau. Saya tak naklah kalau nanti orang ingat saya ni 'Ratu Hantu' kan!' jelasnya tertawa.
Putri pernah memenangi pingat emas bagi kategori lakonan terbuka serta pingat perak untuk kategori jurucakap contoh sewaktu Kejohanan Dunia Pementasan Seni (WCOPA) 2009 di Los Angles.
Mengimbas balik penglibatannya dalam Santau, beliau selamba menyatakan 'David Teoh agaknya 'gila' jugalah sebab tawarkan saya berlakon filem dulu sebelum drama!'
Namun, kalau tak kerana David, beliau akur tentunya rezekinya tidak melimpah-ruah kini.
Apa betulkah sebelum menjadi pelakon, Putri merupakan tauke nasi lemak?
'Ya, saya berniaga nasi lemak sebanyak 30 hingga 40 paket sehari. Saya suka masak. Jadi, apa salahnya kalau jual nasi lemak untuk menampung perbelanjaan saya? Rezeki halal,' tambahnya lagi, tanpa berselindung.
Doa saya semoga Putri menjadi seorang pelakon yang bersinar di persada dunia hiburan dengan kemunculan Santau.