Monday, 23 February 2009

USAH GUGAT KETENANGAN

BERITA HARIAN SG, 23 FEBRUARI 2009

Masjid bukan tempat suka-suka tebar tabiat buruk

MINGGU ini, saya akan bincangkan adab-adab di masjid tetapi sebelum itu, tahukah anda, apakah makna perkataan tersebut?
Masjid ialah perkataan bahasa Arab dan menurut Kamus Dewan Edisi Keempat ia membawa maksud bangunan khas tempat umat Islam melakukan solat Jumaat dan ibadah-ibadah lain.
Walaupun anda tidak bersekolah di madrasah, saya yakin anda pasti diajar tentang adab-adab di masjid. Adab-adab yang akan saya perkatakan dalam rencana ini lebih berkait dengan rutin harian kita sewaktu di masjid.
Ada di antara adab-adabnya mungkin belum pernah ditegur pihak masjid dan ada pula sudah disentuh pegawai masjid sehingga berbuih mulut mereka. Sebenarnya terdapat bermacam-macam adab berkaitan dengan masjid. Sekiranya hendak diperkatakan semua, senaskhah akhbar mungkin tidak mencukupi. Lima adab akan saya bincangkan secara ringkas.

Merokok
Seperti yang kita sedia maklum, larangan merokok sekarang sudah diperluas sehinggakan di dalam lif, tempat membeli-belah tanpa hawa dingin, panggung wayang dan juga beberapa kawasan lagi turut diletakkan di bawah kawasan larangan bermula 1 Januari lalu. Namun begitu, belum ada lagi saya dengar larangan merokok di kawasan masjid.
Seperti yang kita maklumi, kawasan masjid adalah kawasan yang bersih lagi suci. Kawasan itu juga merupakan tempat paling tenang bagi kita menghambakan diri pada-Nya. Namun begitu, apabila asap-asap rokok yang berbau itu terbang dan menerawang ke dalam kawasan masjid, adakah kita akan menjadi tenang? Pasti ada yang rasa mual ataupun mabuk apabila bau itu menusuk hidung.
Mungkin juga wajar bagi pihak masjid mengadakan saman $200 seperti dikenakan Agensi Alam Sekitaran Kebangsaan (NEA). Hasil daripada pungutan itu mungkin boleh sahaja didermakan bagi dana pembangunan masjid. Bukankah idea yang baik?

Meletak kenderaan
Walaupun ruangan Obor ini khusus untuk remaja, namun saya yakin ada sebahagian ibu bapa yang sudi membaca rencana saya. Oleh demikian, perbincangan yang kedua ini memang dikhususkan buat orang dewasa yang mempunyai kenderaan.
Pihak masjid sering memberi notis meletakkan kenderaan di kawasan yang disediakan. Namun, masalah ini kerap kali berlaku tanpa henti, bahkan sehingga hari ini. Ada yang meletak kereta di hadapan kereta lain sehingga menghalang kereta lain untuk keluar. Ada pula yang bagaikan 'meminta' disaman sahaja.
Selesai beribadah di masjid, semahunya kita berasa tenang. Saya tanya anda, mahukah anda disaman selepas menunaikan solat Jumaat atau solat Hari Raya? Mahukah anda dihon kereta lain kerana anda tidak meletak kereta dengan betul sehingga dicaci? Tentu sekali tidak bukan? Jadi, kayakanlah diri dengan bersikap timbang rasa.

Menukar nada deringan telefon bimbit
Ketiga, matikan telefon bimbit atau letakkan dalam mode gegaran ataupun senyap. Langkah ini diharap tidak memberi sebarang gangguan kepada jemaah lain sewaktu mengabdi diri pada Tuhan di masjid.
Pada suatu hari, sedang saya mendengar khutbah Jumaat, tiba-tiba saya terdengar pula suara kucing mengiau. Saya lihat di keliling saya, tiada pula gerangan kucing itu... Rupa-rupanya di tepi saya. Ingatkan jemaah itu menculik kucing, padahal itulah bunyi telefon bimbitnya. Isy... Isy...isy...

Menutup aurat
Seperti yang dimaklumi, sewaktu di kawasan masjid, kita dikehendaki menutup aurat. Menutup aurat tidak bererti menutup kawasan-kawasan yang dikira aurat sahaja tetapi pakaian yang ketat dan baju yang 'tidak cukup kain' juga dikira sebagai pakaian yang tidak menutup aurat.
Menutup aurat juga tidak bermakna sewaktu sedang beribadah sahaja tetapi sebaiknya sepanjang dalam kawasan masjid. Ini tidak. Ada yang saya lihat selesai sahaja solat Jumaat, dengan sepantas kilat terus membuka kain pelikat. Terlihat pula lutut-lutut dan kaki-kaki yang berbulu!
Persoalannya di sini, mengapa harus dibuka segera kain pelikat itu? Tidakkah bangga dengan budaya kita? Kalau tidak mahu mengenakan kain pelikat, gunakanlah sahaja seluar panjang atau seluar berukuran tiga suku. Yang terpenting sekali, tutup aurat anda.


Menggunakan tandas
Terakhir dan perkara yang kelima yang akan dibincangkan ialah mengenai tandas. Tempat itu sering dikunjungi sewaktu kita hendak 'melabur' bukan? Masalahnya, ada pengguna yang malas ataupun tak kuasa hendak mengepam lubang jamban itu.
Ada kalanya rasa terkejut melihat 'makhluk-makhluk' di dalam lubang jamban itu sehinggakan perut yang berasa sakit hendak 'melabur' itu tersentak dan 'hilang selera' hendak membuang.
Aduhai, nampaknya semakin banyak kes penyakit batu karang jika perkara sebegini kerap berlaku.
Contoh tandas terbaik yang boleh saya berikan di sini ialah tandas Lapangan Terbang Changi. Tidak dapat dinafikan kebersihan tandas di situ dikawal rapi.
Bukan hendak membandingkan antara tandas masjid dan tandas di Lapangan Terbang Changi. Bukan juga hendak menyoal sama ada pihak masjid melakukan tugas dengan baik ataupun tidak.
Soalnya di sini, kita semua sebagai warga ataupun jemaah masjid, hendaklah sama-sama menggunakan harta benda masjid secara cermat dan bersama-sama menjaga kebersihan masjid.
Dengan terbitnya rencana kali ini, saya berharap agar kita akan lebih sedar akan peri pentingnya sikap toleransi dan timbang rasa sesama kita di masjid.

Monday, 9 February 2009

TERIMA KASIH TEMAN

BERITA HARIAN SG, 9 FEBRUARI 2009

"Pasang surut persahabatan lumrah bak kartun Tom & Jerry"

SAYA ingin bertanya kepada anda. Siapa itu kawan? Kalau anda tanya saya, saya akan beri anda pengertiannya dalam bentuk akronim berikut.
Kenangan demi kenangan terukir
Ada masa gembira dan duka
Waktu susah dan senang bersama
Allah sahaja membalas budimu
Nilai persahabatan tak terbeli

Setiap orang tidak kira usia mahupun jantina pasti mempunyai kawan. Perkataan kawan itu sendiri luas. Sahabat, teman dan rakan adalah kata seerti seiras bagi perkataan kawan.
Mungkin guru anda pernah berkata dengan anda: 'Jadikanlah kamus sebagai kawan baik anda.'
Mungkin juga sewaktu kita kecil apabila bergaduh kita akan katakan, 'Saya tak nak kawan dengan awak lagi! Menyampah!'
Biarpun berbeza penggunaannya, yang pasti kawan bererti sesuatu atau seseorang yang rapat dengan kita. Rencana saya kali ini akan mengatakan tentang perihal kawan.
Tidak dapat dinafikan bahawa sejak di alam tadika lagi, kita sudah pasti ada kawan. Walaupun tidak begitu mengerti makna persahabatan sebenar, setiap daripada kita pasti ada seorang teman. Terkenang pula saya akan rakan-rakan lama saya yang dulunya selalu berlari dan bergurau bersama sewaktu di alam tadika dulu. Lihatlah foto yang saya sisipkan.
Terdapat pelbagai jenis persahabatan. Ada yang terlalu rapat sehinggakan boleh diibarat seperti isi dengan kuku.
Ada pula yang umpama kartun Tom & Jerry walaupun selalu bergaduh, tetapi akhirnya akan kembali berbaik semula.
Tidak lupa. Ada pula yang bagaikan cicak dan lipas - di mana ada cicak, di situ ada lipas. Jadi, jenis yang manakah anda?
Saya yakin ada di antara kita pernah terdengar pepatah yang mengatakan: 'Kawan ketawa ramai, kawan menangis seorang diri.'
Ada benar apa yang disebutkan pepatah itu. Dalam kita bersuka ria, bergembira dan ketawa, ramai kawan akan bersama mendekati kita. Tetapi, apabila kita mempunyai masalah dan perlukan seorang kawan untuk kita kongsi masalah tersebut, mungkin kita akan dapati sukar untuk mencari kawan yang sanggup mendengar segala rintihan, teriakan hati dan jerih payah kita. Percayalah.
Ibu bapa kita mungkin sering menasihati kita untuk bijak memilih kawan. Iyalah... ada benarnya kata orang bahawa seorang rakan itu dapat membentuk peribadi kita.
Jika kita berkawan dengan yang baik, baiklah jadinya dan ia berlaku sebaliknya jika tersalah memilih kawan.
Teringat saya dalam satu ceramah Dr Ustaz Ahmad Dahri.
Katanya: 'Cuba anda tengok binatang di Mandai Zoo itu. Hari-hari kawan dengan orang, last-last jadi macam orang.'
Memilih kawan memang penting tetapi jangan pula terlalu cerewet memilih sehinggakan anda hanya mahu berkawan dengan yang mempunyai kedudukan ataupun yang ada rupa sahaja.
Sedarlah, kita semua serupa. Misal kata anda berteman dengannya kerana sebab fizikalnya, suatu hari nanti ia pasti luntur. Kecantikan dan kekayaan hanya sementara. Kalau anda berbuat begitu bermakna, jika suatu hari nanti sekiranya beliau jatuh miskin atau cacat, masihkah anda mahu berteman dengannya? Fikir-fikirkan.
Dalam masa kita mempunyai seorang teman itu, kita harus terima hakikat bahawa tidak semua masa yang diluang bersama akan baik- baik sahaja.
Saya sendiri akui yang ada masanya kita akan berselisih faham, 'mendidih' sesama sendiri dan juga boleh sampai ke tahap bergaduh walaupun kawan itu rapat 'gila'! Inilah dia kawan jenis Tom & Jerry.
Dalam sebuah lagu kumpulan Hijjaz berjudul Kawan, liriknya berbunyi begini:
Kadang-kadang kawan jadi lawan...
Kadang-kadang lawan jadi kawan...

Sebelum ini, ada saya katakan tentang persahabatan yang bak isi dan kuku. Sememangnya ia sukar untuk kita mencari kawan sebegitu rapat. Untung andalah kalau ada. Walau serapat manapun anda dengan rakan anda, suatu hari pasti terpisah jua. Iyalah, sudah pasti hala tujuan kita semua berbeza.
Pada pandangan saya, walau terpisah jauh, hati tetap bersama. Hirupan udara dan berpanas tetap pada matahari yang sama.
Secara hakikat, mencari rakan adalah mudah. Ia boleh saya ibaratkan seperti memetik daun daripada rantingnya. Walau bagaimanapun, sukar dicari seorang rakan yang baik lagi sejati.
Bagi saya, kawan yang baik dan sejati itu merupakan seorang yang dekat dengan kita, setia juga jujur dan pandai menjaga hati kita.
Beliau juga tahu bila waktu untuk bergurau senda dan bila waktunya kita perlukan sokongan dan semangat daripada mereka. Menjaga keaiban, menutup kelemahan dan menghormati maruah sahabat juga tidak kurang pentingnya.
Anda tidak akan tahu bila masanya sahabat anda akan pergi meninggalkan anda.
Apabila anda selalu dengannya, anda akan rasakan yang anda akan lebih selalu dengannya tetapi apabila anda terpisah, barulah anda dapat tahu rasa kehilangan yang mendalam. Lebih-lebih lagi jika seseorang itu rapat dengan anda.
Perkataan yang sewajarnya dijadikan pegangan ialah 'MENGHARGAI'.
Anda harus pandai menghargai teman anda. Bayangkan, hari ini anda tertawa bersama. Hari esok pula, ajalnya tiba. Bukankah sedih dan pilu rasanya?
Jadi, hargailah teman anda dan jagalah hatinya seperti mana anda mahu dihargai dan dijaga hati.
Jika anda merupakan kawan lama saya yang mahu berhubung semula dengan saya, sila e-mel kepada rauff_n91@hotmail.com.
Sekian, salam rindu buat semua rakan, kawan, teman dan sahabat lama saya.