Monday, 31 December 2007
1,001 PERASAAN DI AMBANG 2008
DALAM masa beberapa jam lagi, kita akan meninggalkan tahun 2007.
1,001 perasaan memenuhi benak. Selamat datang 2008.
Ada yang menyambutnya dengan hiba apabila keputusan peperiksaan yang lalu tidak membawa kejayaan.
Bagaimanapun, pesan saya, usahlah berputus asa. 2008 adalah tahun membina tekad baru agar kegagalan tidak diharungi sekali lagi.
Ada yang seram sejuk melihat sekolah baru. Saya pasti adik-adik di menengah satu ataupun rakan-rakan yang memulakan persekolahan tiga bulan pertama di maktab rendah mahupun yang baru menyertai Institut Pendidikan Teknikal (ITE) akan dilanda rasa tidak sabar bercampur gentar memulakan alam persekolahan baru.
Sememangnya, tatkala berada di sekolah baru, kita akan rasa terasing. Adakalanya, kita terasa seperti rusa masuk kampung - serba tak kena dibuatnya, lebih-lebih lagi jika kita tiada teman.
Teringat saya dahulu ketika bertukar sekolah baru. Sampai saja di sekolah, saya terus bersembunyi di sebelah tandas. Sehinggalah waktu berhimpun bermula! Entah mengapa saya malu-malu kucing, saya pun tidak pasti.
Dalam pada itu, saya pasti ada daripada anda gembira dengan kehadiran teman-teman baru. Senanglah untuk anda memperluas rangkaian kenalan. Kalau dahulu mungkin setakat amati melalui laman Friendster, kini sudah bersua muka.
Bagi yang dilanda perasaan takut kerana akan menghadapi peperiksaan 'besar' pada 2008, usah khuatir.
Dalam mengejar cita-cita anda, janganlah biarkan perasaan malas menguasai diri anda, sebagaimana yang dinasihati Dr AR, pakar yang saya temui minggu lalu.
Lawanlah perasaan negatif. Buatlah penyesuaian diri.
Akhir kata, Selamat Tahun Baru dan perbaharui semangat anda dengan tekad lebih jitu.
Monday, 24 December 2007
APABILA 'WABAK TERKEJUT' MENYERANG
ADAKAH pelajar kini dilanda 'wabak terkejut'? Hhmmm... tidak faham maksud saya? Usah khuatir dan usah takut.
Saya baru sahaja bertemu dengan Dr AR, seorang 'pakar' yang akan membincangkan 'penyakit musiman' ini.
Katanya: 'Wabak terkejut ini adalah penyakit lama yang akan berulang kali menjangkiti pelajar setiap penghujung cuti sekolah Jun ataupun Disember.
'Mangsanya ialah pelajar sekolah rendah, menengah dan maktab rendah.'
Apa gaknya tanda-tanda 'wabak terkejut'?
'Rasa malasnya menjadi-jadi sehingga berat mengangkat kaki ke sekolah,' katanya.
Ooo... begitu rupanya. Saya sendiri memang pernah diserang 'wabak terkejut' ini.
Malasnya bukan main. Memang 'wabak' ini tidak memudaratkan seperti Sars ataupun flu burung, tetapi kalau ia berlarutan, apa nak jadi dengan persekolahan anda?
Dr AR memberitahu saya, 'wabak' ini paling hebat khususnya sekitar Disember kerana tempoh cuti yang lebih panjang.
'Pelajar dah puas bercuti. Mereka terasa bagaikan ingin lalui lagi tempoh 'berbulan madu' itu,' ujar beliau.
Jadi, bagaimana mengatasinya?
Mestilah 'psiko diri' agar berfikiran positif. Tanpa bekalan pelajaran, anda akan dapati diri anda tidak mampu rasa terisi dengan ilmu. Cuba anggap tempoh persekolahan sebagai paling nikmat. Jangan sekali-kali mengabaikan tanggungjawab anda.
Kalau sudah bekerja nanti, 'wabak' lain pula menimpa! Justeru, hargailah tempoh persekolahan anda.
Saturday, 15 December 2007
HAYATI ERTI HARI RAYA KORBAN
BULAN Zulkaedah baru meninggalkan kita, kini kita sudah berada dalam Zulhijah dan selang beberapa hari lagi, kita akan menyambut Hari Raya Korban atau Hari Raya Haji.
Pada 10 Zulhijahlah kita menyambut hari kebesaran umat Islam sedunia, yang pada hari itu berlaku satu sejarah penting iaitu penyembelihan Nabi Ismail as oleh bapanya Nabi Ibrahim as.
Ketika saya tanya tiga rakan mengenai apa yang mereka faham daripada perkataan 'korban', seorang yang bernama Md Zen menjawab 'sanggup melakukan atau mengorbankan apa saja demi mencapai keredaan dan cinta Allah swt'.
Seorang lagi, Hafiz, berkata:
'Berkorban apa saja kepada Dia yang satu.'
Rakan saya yang ketiga, Md Faris, pula menjawab:
'Ia terbahagi kepada dua, satu daripadanya ialah Hari Raya, manakala satu lagi ialah sanggup melakukan apa saja demi seseorang.'
Jika dirujuk kepada Kamus Dewan edisi keempat, ia mempunyai empat makna. Rasanya ketiga-ketiga mereka peka mengenai erti 'korban'.
Korban yang sebaiknya ialah kepada Allah.
Akan tetapi ia berlaku juga pada sesama manusia.
Contohnya, dalam konteks pelajar remaja, mengorbankan waktu untuk menimba ilmu dan mengulang kaji pelajaran, terutama dalam musim peperiksaan.
Berkorban juga termasuk memberikan wang untuk membantu seseorang yang susah.
Begitulah bahasa Melayu kita, indah dan kaya dengan makna. Anehlah jika ada orang Melayu yang tidak mencintai bahasa ibundanya sendiri.
Selamat menyambut Hari Raya Aidiladha!
Tuesday, 11 December 2007
Jangan lupa sekolah apabila duit sudah di tangan
TERBELEK-BELEK halaman akhbar.
Begitulah keadaan sesetengah pelajar. Mereka bukan mencari sebarang laporan menarik.
Sebaliknya, halaman Klassified di akhbar ini menjadi pilihan untuk meneliti kerja kosong yang ditawarkan pelbagai syarikat sempena cuti sekolah.
Ada teman yang ingin menjadi tutor, operator pengeluaran, pembantu gerai dan macam-macam lagi tugas pentadbiran.
Apa yang mereka perlu akur ialah keperluan syarikat itu, kelulusan dan syarat yang ditetapkan.
Saya juga sibuk mencari pekerjaan sambilan.
Bukannya apa. Sebagai golongan muda, remaja kita sentiasa inginkan sesuatu yang baru demi meraih pengalaman.
Ramai berpendapat bahawa ia jauh lebih baik daripada duduk bawah blok melepak sesuka hati.
Ada juga yang berkata mereka ingin bekerja untuk mengumpul wang bagi membeli sesuatu yang baru seperti pakaian terkini bagi mengikut trend.
Tidak kurang pula yang ingin memiliki barangan mewah seperti telefon bimbit.
Jadi, harus bekerja keras dan tidak wajar bebankan ibu bapa.
Apa yang saya dapati ialah niat pelajar bekerja rata-ratanya berunsurkan kebendaan.
Zaman sekarang ni... mereka bagaikan berlawan-lawan dengan teman-teman sedarjah untuk memiliki perkakas sekolah baru yang berjenama.
Kali pertama dapat gaji, aduhai... seronoknya tidak terkata.
Bagaimanapun, saya berharap niat remaja bekerja dapat diperbetulkan.
Tidak salah untuk memenuhi keperluan memiliki barangan yang diidam-idamkan.
Bagaimanapun, diharapkan apabila kita bekerja, kita akan sedar betapa susahnya orang tua kita mencari rezeki.
Kita sekali gus akan sedar betapa pentingnya pelajaran untuk menjamin pekerjaan yang baik.
Kita juga tidak sewajarnya membazir pendapatan kita dengan membeli barangan tidak perlu.
Bekerja tidak semudah yang dibayangkan. Rasanya, belajar itu lebih mudah.
Kepada teman-teman yang sedang bekerja pada waktu cuti ini, berusahalah dengan gigih.
Jangan abaikan tanggungjawab tetapi jangan pula dek seronok bekerja, lupa tentang persekolahan yang belum tamat.
Tanpa pendidikan, bagaimana boleh kita dapat wang daripada pekerjaan?
Friday, 7 December 2007
Azam di sebalik kegagalan anak kita
Berikut adalah Rencana Encik Rahim Sakom yang sedikit sebanyak mengulas tulisan Rauuf dalam ruangan forum yang lalu.
MUNGKIN segelintir sahaja anak Melayu sebaik Natasha Nabila Mohd Nasir dengan agregat tertinggi, 294, dalam Peperiksaan Tamat Sekolah Rendah (PSLE) dan bakal menerima Anugerah Pencapaian Khas Bagi Kecemerlangan dari Yayasan Mendaki.
Sedang pelajar pintar dipuji dan disanjung, usah pula lupakan atau sisihkan pelajar-pelajar yang kurang cemerlang begitu saja.
Dekati mereka... cukup sekadar kata-kata perangsang, terutama daripada ibu bapa.
Sebagai orang tua memang kita impikan keputusan cemerlang untuk anak dalam apa jua peperiksaan demi masa depan mereka, tetapi kita juga harus bersedia menghadapi kenyataan.
Jika ayah atau ibu kecewa dengan keputusan anak sebab bimbangkan masa depan, itu memang wajar, tetapi jika kecewa gara-gara setakat takut 'jatuh air muka' di mata rakan atau jiran, saya rasa ia sama sekali tidak wajar.
Sikap ibu bapa begini nampaknya masih berleluasa.
Jika tidak mana mungkin ada insan yang menimbulkannya sejurus selepas keputusan PSLE diumumkan? Seolah-olah reaksi ibu bapa itu sudah dijangka.
Bagi ibu bapa yang khuatir, usah terlalu terbawa-bawa oleh perasaan sebab perjalanan anak masih jauh lagi. PSLE baru setakat sekolah rendah.Surat dalam ruangan Forum Berita Harian bertajuk
Peperiksaan: Ibu bapa perlu bantu anak terima keputusan (BH, 24 November)
membincangkan dilema ini dengan wajar. Penulis melahirkan simpati terhadap
murid yang kurang baik keputusan peperiksaannya dan pada masa yang sama
mengharapkan ibu bapa pula menerimanya dengan tangan terbuka.
Memang baik jika ibu bapa prihatin terhadap pelajaran anak, malangnya ia kadangkala menimbulkan tekanan. Ibu bapa berasa tertekan apabila mereka membandingkan keputusan anak dengan anak rakan atau anak jiran.
Anehnya, mereka lebih pentingkan 'air muka' daripada menerima hakikat kemampuan anak mereka. 'Kenapa teruk sangat keputusan periksa kau ni huh? Mana nak letak muka aku ni,' inilah kata-kata yang sering kita dengar daripada setengah-setengah ibu bapa selepas mendapati keputusan periksa anak tidak sebagaimana yang diharapkan. Yang menyedihkan, ada yang sanggup menghukum anak atas 'kegagalan' mereka itu. Anak-anak mungkin rasa terguris, terutama mereka yang memang sudah berusaha bersungguh-sungguh.
Kesannya? Ada anak yang patah semangat sedangkan waktu
inilah sokongan ibu bapa amat diperlukan.
Masih ada GCE 'O', GCE 'A' dan diploma dan ijazah. Kadangkala anak mereka late bloomer, hanya menunjukkan kecemerlangan di peringkat menengah atau maktab rendah, malah ada juga yang dapat menapak jauh tanpa ijazah atau diploma.
Baru-baru ini, saya menerima panggilan telefon daripada seorang abang yang membaca pandangan saya tentang 'Mimpi manis anak Melayu'.
Menurut beliau, adiknya juga berjaya menjawat jawatan tinggi walaupun berkelulusan vokasional.
Sekarang adiknya itu ketua jurutera kapal tangki yang belayar ke serata dunia.
'Nak tahu di mana beliau sekarang encik?' katanya. 'Di Manila, terima anugerah kerana khidmatnya.'
Begitulah bangganya seorang abang menceritakan kejayaan adiknya yang tidak melalui laluan menara gading meniti hidup dan kini sudah berjaya bergelar jurutera.
Kita boleh ambil iktibar daripada kisah ini, malah banyak lagi.
Usah biarkan kegagalan awal mematahkan semangat. Beri anak perangsang dan galakan sebab laluan masih jauh lagi.
Monday, 3 December 2007
JANGAN 'FRIENDSTER' JADI 'MONSTER'
FRIENDSTER.
Sebut sahaja perkataan itu, pasti semua remaja tahu tentang rangkaian kenal-kenal ini.
Pelajar di peringkat rendah pun nampaknya sudah pandai menggunakan laman ini yang dikatakan lebih 'mesra remaja' berbanding satu lagi laman popular, Facebook.
Bagaimanapun, saya tidak hairan jika sesetengah ibu bapa masih dilanda kebimbangan dengan menularnya trend berkenal-kenalan melalui Friendster.
Bagaimanapun, jika saya diminta menjelaskan lebih lanjut tentang manfaat laman ini, banyak yang boleh dikongsi.
Pertama, ia merupakan laman untuk kita mengumpul rakan dan taulan kita dari serata dunia.
Ia juga laman yang menduga kreativiti remaja dalam berkongsi maklumat daripada fail muzik, buku yang pernah dibaca hingga kepada filem yang menarik untuk ditonton remaja.
Buat masa ini, saya dapat tahu laman Friendster adalah yang ketiga paling banyak menampung anggota selepas Facebook dan MySpace.
Seramai 50 juta pelungsur serata dunia menganggotainya.
Ada teman yang mungkin seronok membelek daripada satu halaman ke halaman lain.
Membaca profil teman-teman ataupun mereka yang tidak dikenali sahaja menyeronokkan. Apatah lagi, setelah meninjau foto mereka yang boleh dimuat turunkan.
Setiap laman peribadi boleh dihias mengikut cita rasa tersendiri.
Anda juga boleh menghasilkan URL anda sendiri seperti yang saya manfaatkan dalam URL http://profiles.friendster.com/abdulrauuf.
Anda juga boleh menggunakan nama samaran bagi laman tersebut jika anda amat berjaga-jaga tentang privasi anda.
Sesetengah artis memiliki akaun Friendster.
Cuma, usah tertipu. Sebab, adakalanya sesetengah orang yang tidak bertanggungjawab akan menggunakan nama selebriti dengan sengaja untuk memperdaya pelungsur lain, seperti dalam hal juara Anugerah, Aliff Aziz.
Pada masa yang sama, saya juga ingin berpesan kepada remaja agar jangan tersalah pilih teman menerusi Friendster. Pastikan mereka tiada niat jahat untuk merapatkan diri mereka dengan anda.
Jangan pula bertemu dengan teman yang baru dikenali menerusi Friendster seorang diri.
Manalah tahu jika Friendster bertukar menjadi Monster!